Home > Dewasa > Penyakit > Sistem Respiratori > Pemindahan Paru-paru

Pemindahan Paru-paru

Pemindahan paru-paru adalah prosidur yang dilakukan untuk pesakit yang mengalami penyakit paru-paru pada tahap kritikal yang boleh mengancam nyawa.

Pemindahan paru-paru adalah prosidur pembedahan di mana paru-paru berpenyakit sebahagiannya atau keseluruhannya digantikan dengan paru-paru yang datang dari penderma. Paru-paru penderma boleh diambil dari penderma hidup atau yang telah mati. Penderma hanya boleh mendermakan satu ‘lobe’ paru-paru. Untuk beberapa penyakit paru-paru seperti emphysema, penerima hanya mungkin perlu menerima satu paru-paru (single lung). Untuk penyakit paru-paru yang lain seperti cystic fibrosis (penyakit yang sangat jarang berlaku di Malaysia), adalah penting untuk pesakit menerima dua paru-paru (double lung transplant). Walaupun pemindahan paru-paru mempunyai risiko tertentu, ia boleh melanjutkan jangka hayat dan meningkatkan kualiti hidup pesakit paru-paru yang sudah tidak mempunyai pilihan rawatan lain.

Indikasi

Berikut adalah indikasi untuk pemindahan paru-paru:

  • Idiopathic*  fibrosis (parut) paru-paru
  • Peringkat akhir penyakit kronik pulmonari obstruktif (COPD), yang termasuk emphysema
  • Penyakit Cystic Fibrosis
  • Idiopathic*  hipertensi pulmonari
  • Kekurangan enzim Alpha 1-antitrypsin
  • Sebab-sebab lain, termasuk lymphangioleiomyomatosis (LAM), bronchiectasis dan sarcoidosis.

* Idiopathic bermaksud punca penyakit tidak di ketahui

KontraIndikasi

Pemindahan paru-paru  tidak boleh dilakukan untuk pesakit yang:

  • Terlalu kritikal atau tahap ‘nutrition’ yang sangat kurang
  • Terus merokok atau penyalahgunaan alkohol atau ubat-ubatan lain
  • Mempunyai virus aktif hepatitis B, hepatitis C, atau HIV
  • Menghidap kanser dalam tempoh 2 tahun yang lalu
  • Mempunyai penyakit paru-paru yang mungkin akan memberi kesan kepada paru-paru baru
  • Mempunyai penyakit yang teruk pada organ-organ lain

Prosidur

Pra-Pemindahan Paru-Paru

Sebelum prosedur, perkara-perkara berikut hendaklah dilakukan untuk menentukan pesakit adalah calon yang baik untuk pembedahan pemindahan paru-paru.

  • Ujian darah seperti:

    ‘Full Blood Count’ untuk memastikan bahawa tahap hemoglobin yang mencukupi dan tidak ada jangkitan

  • Fungsi buah pinggang dan fungsi hati
  • Menentukan jenis darah
  • Tissue typing, untuk memastikan bahawa badan pesakit tidak akan menolak paru-paru yang didermakan
  • Ujian untuk menilai fungsi paru-paru
  • Ujian untuk menilai jantung, seperti ekokardiogram, atau catheterization jantung (jika perlu)
  • Ujian untuk mencari kanser awal (pap smear, mammogram, kolonoskopi)
  • Pesakit hendaklah tidak melebihi daripada 65 tahun
  • Pesakit perlu mempunyai profil psikologi yang baik
  • Pesakit perlu mempunyai sistem sokongan sosial yang baik
  • Pesakit mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar perbelanjaan (jika rawatan perubatan dibayar terus oleh pesakit)

Calon yang sesuai untuk pemindahan paru-paru akan disenaraikan. Penyenaraian nama dalam senarai menunggu (waiting list) adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk:

  • Jenis penyakit paru-paru yang dialami
  • Keterukan penyakit paru-paru
  • Kemungkinan bahawa pemindahan paru-paru akan berjaya

Bagi kebanyakan orang dewasa, jumlah masa yang dihabiskan dalam senarai menunggu biasanya tidak menentukan berapa lama pesakit mendapat paru-paru. Masa menunggu sering sekurang-kurangnya 2 – 3 tahun atau lebih.

Sementara menunggu pemindahan paru-paru, pesakit hendaklah:

  • Patuhi sebarang diet yang disyorkan
  • Berhenti minum arak
  • Berhenti merokok
  • Berat badan perlu dalam julat yang disyorkan
  • Mengambil semua ubat-ubatan yang telah ditetapkan
  • Patuhi sebarang program senaman atau pemulihan pulmonari
  • Pastikan mengikuti semua temujanji susulan yang dibuat dengan doktor dan pasukan pemindahan paru-paru
  • Pastikan bahawa mereka boleh dihubungi dengan mudah
  • Sentiasa bersedia untuk pergi ke hospital

Semasa Pemindahan Paru-Paru:

Pesakit diberi bius am dan tidak sedar serta tidak merasakan apa-apa sakit. Torehan pembedahan dibuat dalam dada. Pembedahan pemindahan dilakukan dengan menggunakan mesin jantung paru-paru. Peranti ini melakukan kerja-kerja jantung manakala jantung dihentikan untuk pembedahan.

Source : http://www.adam.com/
  • Bagi pemindahan paru-paru tunggal, torehan itu dibuat di sebelah dada di mana paru-paru akan dipindahkan. Operasi ini mengambil masa 4 – 8 jam. Dalam kebanyakan kes, paru-paru dengan fungsi yang paling teruk dikeluarkan.
Sumber : http://www.adam.com/
  • Bagi pemindahan kedua paru-paru, torehan dibuat di bawah dada dan mencapai kedua-dua belah dada. Pembedahan mengambil masa 6 – 12 jam. Tiub digunakan untuk mengalirkan darah ke mesin pintasan jantung paru-paru untuk menyediakan oksigen dan darah mengalir ke seluruh tubuh semasa pembedahan.

Selepas torehan dibuat, langkah-langkah utama semasa pembedahan pemindahan paru-paru termasuk:

  • Satu atau kedua-dua paru-paru dikeluarkan. Bagi pesakit yang mengalami pemindahan kedua-dua belah paru-paru, kebanyakan atau semua langkah-langkah pemindahan pertama diselesaikan sebelum pemindahan kedua dilakukan.
  • Saluran darah utama dan saluran udara paru-paru baru dijahit kepada saluran darah dan saluran udara. Paru-paru yang didermakan dijahit ke tempatnya. Tiub dada dimasukkan untuk mengalirkan udara, cecair, dan darah keluar dari dada selama beberapa hari bagi membolehkan paru-paru untuk kembang semula.
Sumber : http://www.adam.com/
  • Kadang-kadang, pemindahan jantung dan paru-paru dilakukan pada masa yang sama (pemindahan jantung paru-paru) jika jantung itu juga berpenyakit.

Setelah Pemindahan Paru-Paru

Pesakit dijangka tinggal di hospital selama 7 – 21 hari. Kebanyakan masa dihabiskan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas pembedahan. Kebanyakan pusat yang melaksanakan pemindahan paru-paru mempunyai standard operative procedure(SOP) untuk merawat dan menguruskan pesakit pemindahan paru-paru.

Tempoh pemulihan adalah kira-kira 6 bulan. Selalunya, pasukan pemindahan paru-paru akan meminta pesakit untuk tinggal berdekatan dengan hospital untuk 3 bulan pertama. Pesakit perlu mempunyai pemeriksaan secara berkala dengan ujian darah dan x-ray untuk bertahun-tahun.

Pesakit juga perlu mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan (rejection) paru-paru yang telah dipindahkan. Ubat-ubatan ini membantu tindakbalas ‘imune’ badan dan mengurangkan peluang penolakan.

Komplikasi

Ini boleh berlaku awal atau lewat. Komplikasi awal ialah:

  • Jangkitan
  • Kegagalan jantung
  • Penolakanparu-paru yang dipindahkan
  • Komplikasi yang berkaitan dengan ubat ‘anti-rejection’
  • Kanser
  • Kematian

Pemulihan/Rehabilitasi

Ini adalah satu proses yang berterusan dan pesakit dikehendaki untuk menjalani proses pemulihan. Proses pemulihan termasuk:

  • Pernafasan dan latihan berjalan
  • Latihan kardiopulmonari
  • Diet yang disyorkan diamalkan sepenuhnya
  • Apa-apa bentuk jangkitan dirawat segera
  • Minuman keras adalah dilarang
  • Memastikan pesakit tidak merokok

References

  1. Putnam JB. Lung, Chest Wall, Pleura, and Mediastinum. In: Townsend CM Jr, Beauchamp RD, Evers BM, Mattox KL, eds.Sabiston Textbook of Surgery
  2. Solomon M, Grasemann H, Keshavjee S. Pediatric lung transplantation. Pediatr Clin North Am
  3. Flume PA, Mogayzel PJ Jr, Robinson KA, Rosenblatt RL, Quittell L, Marshall BC; Clinical Practice Guidelines for Pulmonary Therapies Committee; Cystic Fibrosis Foundation Pulmonary Therapies Committee. Cystic fibrosis pulmonary guidelines: Pulmonary complications: hemoptysis and pneumothorax.Am J Respir Crit Care Med
  4. Kotloff RM. Lung transplantation. In: Mason RJ, Broaddus CV, Martin TR, et al.Murray & Nadel’s Textbook of Respiratory Medicine
Semakan Akhir : 29 Mei 2017
Penulis/Penterjemah : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman