A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gaya Pemikiran Kanak-Kanak

Gaya pemikiran adalah tabiat positif yang menyumbang kepada pemikiran yang lebih baik, kritikal, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Sebenarnya tiada satu jenis gaya pemikiran yang lebih baik daripadajenis gaya pemikiran yang lain. Setiap gaya pemikiran mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Kekuatan dan kelemahan gaya pemikiran banyak bergantung kepada pengaruh motivasi dalaman individu itu sendiri dan motivasi orang yang berada di sekelingnya terutama ibu bapa.

Setiap Kanak-Kanak Mempunyai Gaya Pemikiran Tersendiri

Pengenalan

Kanak-kanak merupakan anugerah istimewa tuhan kepada ibu bapa. Setiap kanak-kanak dilahirkan denga gaya pemikiran yang berbeza. Gaya pemikiran akan membentuk personaliti, sikap, gaya berkomunikasi, gaya tindak dan gaya pembelajaran mereka. Persekitaran kehidupan yang mereka lalui juga akan mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tingkah laku kanak-kanak.

Apa Itu Gaya Pemikiran?

Gaya pemikiran adalah tabiat positif yang menyumbang kepada pemikiran yang lebih baik, kritikal, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Sebenarnya tiada satu jenis gaya pemikiran yang lebih baik daripadajenis gaya pemikiran yang lain. Setiap gaya pemikiran mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Kekuatan dan kelemahan gaya pemikiran banyak bergantung kepada pengaruh motivasi dalaman individu itu sendiri dan motivasi orang yang berada di sekelingnya terutama ibu bapa.

Kepentingan Ibu Bapa Mengenal pasti Gaya Pemikiran Kanak-Kanak

Ibu bapa mempunyai peranan penting yang akan mencorakkan sikap, gaya hidup, kemahiran bersosial dan masa depan anak-anak mereka. Untuk itu ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan mengenai jenis gaya pemikirakanak-kanak kerana:

  • Lebih memahami kehendak dan kemahuan yang dikehendaki oleh anak-anak mereka.
  • Membantu anak-anak mereka dalam perkembangan psikologi dan emosi iaitu daripada segi meningkatkan harga diri, keyakinan diri, kemahiran bersosial, memaksimumkan  bakat dan kerjaya.
  • Ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk mengekspresi perasaan, mengurus emosi dan dapat menyelesaikan masalah mereka dengan lebih berkesan.
  • Mengurangkan tekanan yang dialami oleh ibu bapa dan kanak-kanak. Dengan itu kehidupan kekeluargaan ibu bapa dengan kanak-kanak tersebut akan lebih harmoni dan bebas daripada tekanan emosi dan mental.
  • Kesefahaman mengenali personaliti anak dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Kegembiraan dan kualiti kehidupan yang baik serta lebih bermakna akan dapat dinikmati.

Jenis-jenis Pemikiran Kanak-kanak

Mengikut Lanna Nakone (2005) penulis buku Every Child Has A Thinking Style menerangkan terdapat empat jenis gaya pemikiran yang mempengaruhi sikap, tret, personaliti, bakat dan kerjaya kanak-kanak. Jenis gaya pemikiran adalah seperti berikut:

  1. Gaya Pemikir – Thinking Style
  2. Gaya Inovatif – Innovating Style
  3. Gaya Pemelihara – Maintaining Style
  4. Gaya Harmoni – Harmonizing Style

Tret dan Personaliti Mengikut Gaya Pemikiran

Pembahagian 4 jenis gaya pemikiran mengikut tret personal adalah seperti rajah di bawah.

Panduan Mendidik Kanak-Kanak Mengikut Jenis Gaya Pemikiran

    1. Gaya Pemikir – Thinking Style

Ciri Secara Umum:

Matlamat
  • Bercita-cita tinggi dan mencapai matlamat

Organisasi
ruang

  • Suka kepada perkara-perkara yang dapat berfungsi dengan baik.
  • Mahu barangan mereka berada dalam ruang yang logik.

Kekuatan

  • Pandai mengurus masa dengan baik.
  • Berkecenderungan hyperfocused dalam menyelesaikan sesuatu tugasan secara bersendirian.
  • Mendorong diri sendiri untuk mencapai matlamat.

Cabaran

  • Lebih suka melakukan sesuatu apabila mendapati keuntungan atau kebaikan atau ganjaran yang bakal diperoleh.
  • Tidak begitu sensitif kepada perasaan orang lain.
  • Mahu melakukan sesuatu mengikut kehendak sendiri. Tidak suka mendengar pandangan orang lain.

Bakat/Kerjaya

  • Cenderung dan cekap dalam pelbagai bidang.
  • Fokus kepada subjek yang diminati yang memberangsangkan mental.

Panduan Untuk Menguruskan Kanak-Kanak: Gaya Pemikir – Thinking Style

No.

Panduan

1.

Beri mereka pilihan dan biarkan mereka membuat keputusan apa yang perlu dilakukan. Walau bagaimanapun ibu bapa perlu membantu andainya mereka perlukan bantuan.

2.

Berikan penjelasan dengan cara berterus terang dengan tidak menunjukkan perasaan beremosi dalam memberi arahan untuk melakukan sesuatu tugasan.

3.

Cenderung tidak menghargai barangan yang diberi apabila tidak menepati kehendak atau cita rasa mereka. Adalah lebih baik memberi wang daripada membeli barangan kepada mereka.

4.

Belikan barangan yang baik tetapi dalam bilangan sedikit.

5.

Mereka suka kepada fakta dan angka. Oleh itu arahan yang diberikan perlu diberi dengan penjelasan yang spesifik dan nada yang tegas. Peruntukkan sedikit masa kepada mereka bagi menyelesaikan sesuatu tugasan yang diarahkan.

6.

Mereka sangat menghargai dan menyimpan barangan atau alat permainan kepunyaan mereka. Hargai barangan mereka walaupun barangan tersebut telah rosak. Barangan tersebut perlu disusun dengan baik.

7.

Lebih suka menyimpan barangan mereka mengikut simbol, warna, perkara atau jenis, bukan mengikut turutan nombor atau huruf.

8.

Mereka lebih suka tempat penyimpanan yang mudah dan senang untuk dicapai berbanding dengan kecantikan tempat simpanan tersebut.

9.

Cenderung untuk bekerja berlebihan. Bantu mereka untuk belajar memberi delegasi kerja kepada orang lain.

10.

Galakkan mereka untuk meluangkan masa dengan menggembirakan diri sendiri dan bukan hanya belajar atau kerja untuk hidup.

 

    1. Gaya Innovatif – Innovating Style

Ciri Secara Umum:

Organisasi
Ruang
  • Lebih suka barangan mereka terdedah di hadapan mata sebanyak yang mungkin. Ini adalah untuk memudahkan mereka mencari barangan mereka kelak.

Kekuatan

  • Sangat kreatif.
  • Ketua perancang dalam sesuatu projek.
  • Mempunyai banyak idea untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.
  • Dapat menyiapkan kerja dengan cepat apabila mereka mempunyai kemahuan.

Cabaran

  • Mempunyai kesukaran untuk menyelesaikan sesuatu tugasan terutamanya apabila melibatkan perkara-perkara yang terperinci.
  • Mereka tidak suka mendapat arahan dan penjelasan bagaimana untuk melakukan sesuatu daripada orang lain.

Bakat/Kerjaya

  • Tidak suka berperaturan, kerja rutin  dan  berstruktur.
  • Suka suasana/pekerjaan yang menggunakan koordinasi fizikal dan peralatan.

Panduan  Untuk Menguruskan Kanak-Kanak: Gaya Innovatif – Innovating Style

No.

Panduan

1.

Jangan pindahkan barangan mereka tanpa pengetahuan mereka.

2.

Letakkan barangan di tempat yang mudah dicapai. Jangan letakkan barangan mereka di tempat tinggi yang susah untuk dicapai oleh mereka.

3.

Letakkan barangan mereka dalam bekas yang lut sinar supaya mereka boleh lihat dengan terang. Letakkan penyangkut di dinding untuk menyangkut barangan mereka.

4.

Selalu berikan motivasi dan galakan kepada mereka untuk mengurus barangan mereka. Memerlukan inisiatif daripada anda untuk membantu mereka menyiapkan tugasan kerja. Lebih suka kerja bersama-sama daripada melakukakan kerja bersendirian.

5.

Peruntukkan masa 15 minit kepada mereka untuk menyudahkan setiap tugasan yang diberikan kepada mereka.

6.

Cenderung untuk lupa nama atau label barangan. Oleh itu letakkan nama atau label di luar bekas atau kotak yang telah disediakan

7.

Biarkan mereka merancang, mengusaha dan menguruskan barangan mereka dalam bilik mereka sendiri.

8.

Cenderung untuk menyimpan banyak barang dalam bilik. Peringatkan mereka untuk memilih barangan yang perlu sahaja.

9.

Cenderung untuk bertindak secara impulsif dalam sesuatu keadaan. Perlu bersedia dari segi ketahanan emosi.

10.

Mereka berkomunikasi menggunakan pergerakan. Oleh itu mereka cenderung menggunakan banyak ruang untuk meletakkan barangan mereka. Contohnya barang-barang mereka di letakkan di ruang tetamu atau ruang makan.

 

    1. Pemelihara – Maintaining Style

Ciri Secara Umum:

Tujuan
  • Untuk menyediakan konsistensi, keboleh-percayaan dan stabiliti untuk diri sendiri dan orang lain.

Organisasi
Ruang

  • Suka kepada keadaan seperti keadaan asal. Mereka tidak suka untuk menyusun semula ruang yang telah disusun sebelum ini.

Kekuatan

  • Mereka adalah seorang yang rajin melakukan sebarang pekerjaan.
  • Mereka adalah pembantu yang setia dalam apa jua tugasan yang diberikan dan dapat menyelesaikannya dengan baik.

Cabaran

  • Kurang gemar untuk mencuba atau meneroka perkara-perkara baru.
  • Perlukan galakan dan persediaan yang banyak untuk menggalakkan mereka melakukan sebarang perubahan.

Bakat/Kerjaya

  • Ketua, pemimpin atau orang kuat sesuatu organisasi.
  • Suka suasana atau pekerjaan yang berperaturan, rutin dan  sistematik.

Panduan Untuk Menguruskan Kanak-Kanak: Gaya Pemelihara – Maintaining Style

No.

Penjelasan

1.

Menghormati dan menghargai usaha mereka dalam menyelesaikan tugasan. Adakan perbincangan keluarga dan beri ruang kepada mereka untuk memberi idea atau cadangan dalam menyelesaikan tugasan..

2.

Mereka seringkali leka dengan masa. Peringatkan mereka bahawa mereka perlu menyiapkan tugasan dalam masa yang telah ditetapkan. Letakkan papan tanda dalam bilik mereka untuk memperingatkan atau memberitahu mereka tentang aktiviti yang dirancang dan tarikh akhir sesuatu tugasan yang telah diberikan.

3.

Belikan barangan dan label untuk membantu mereka mengurus barangan mereka.

4.

Mereka seronok menyusun/mengemas barang-barang. Hendaklah spesifik dan limitkan masa.

5.

Berikan ruang untuk mereka untuk meletakkan barangan dan tempat mereka berbaring sama ada katil dan lantai.

6.

Cenderung untuk menyimpan banyak barangan yang pelbagai jenis.
Bantu mereka untuk memilih keutamaan barangan yang perlu disimpan dalam bilik tidur mereka.

7.

Sediakan senarai semak untuk persediaan untuk setiap aktiviti yang memerlukan masa untuk mengemas barangan. Contoh aktiviti lawatan dan perkhemahan.

8.

Mereka suka bekerja bersendiriran. Mereka tidak suka diganggu ababila mereka sedang melakukan tugasan atau kerja rumah.

9.

Mereka tidak suka kejutan. Beri maklumat awal sekiranya berlaku sebarang perubahan.

 

    1. Gaya Harmoni – Harmonizing Style

Ciri Secara Umum:

Tujuan
  • Untuk mencapai keharmonian antara orang dan persekitaran. Persekitaran mereka perlu dalam keadaan relaks dan tenteram.  

Organisasi
Ruang

  • Cenderung menjalinkan persahabatan dengan orang lain dan persekitaran untuk mencapai keharmonian, ketenteraman dan keselesaan.

Kekuatan

  • Sensitif dan baik hati untuk memenuhi kehendak dan keinginan mahu berbakti kepada masyarakat.
  • Mereka adalah ketua perancang dalam sesuatu projek.
  • Mereka mempunyai banyak idea untuk menyudahkan tugasan.
  • Mereka dapat menyudahkan kerja dengan cepat apabila mereka mempunyai kemahuan.

Cabaran

  • Kesukaran untuk menepati masa dalam menguruskan kehidupan mereka.
  • Mereka lebih menumpukan perasaan berbanding produktiviti.

Bakat/Kerjaya

  • Suka berkarya, puitis, memberi motivasi dan ilmu.
  • Suka bidang seni, komunikasi,pendidikan dan kebajikan

Panduan  Untuk Menguruskan Kanak-Kanak : Gaya Harmoni – Harmonizing Style

No.

Penjelasan

1.

Pastikan ada orang memantau tugasan mereka.

2.

Pastikan intonasi suara jika berkomunikasi dengan mereka terutama ketika memberi arahan. Pastikan suara dalam keadaan tidak mendesak dan peramah.

3.

Beri ganjaran dengan pujian, tepukan, ketawa, pelukan atau hadiah kepada mereka.

4.

Semasa membuat kerjarumah mereka suka mendengar kepada melodi muzik yang ringan. Galakkan mereka melakukan kerja rumah dalam keadaan gembira dan seronok bersama-sama ahli keluarga dan kawan-kawan.

5.

Bantu mereka mengingat barangan mereka dengan warna. Mereka mempunyai rangsangan kuat dengan warna yang boleh menaikkan perasaan. Bantu mereka melakukan kod warna untuk barangan mereka. Contoh penyangkut baju untuk pakaian formal-berwarna merah, pakaian kasual-berwarna hijau dan sebagainya.

6.

Letakkan barangan memberi inspirasi atau motivasi di meja belajar contoh gambar keluarga.

7.

Jangan simpan barangan kenangan mereka dalam stor. Letakkan dan sesuaikannya dalam bilik mereka.

8.

Cenderung untuk mengingati sesuatu dengan gambar atau simbol daripada tulisan atau label. Oleh itu perlu letakkan sesuatu dengan gambar atau simbol pada barangan mereka.

9.

Mereka suka menyimpan semua barangan mereka yang dianggap penting dan bermakna. Dalam menguruskan barangan mereka, bantu mereka memilih, mengenalpasti dan menyisihkan barangan yang menjadi keutamaan keperluan atau kehendak.

10.

Cenderung untuk menjadi egocentric. Mereka lebih fokus kepada barangan kepunyaan mereka. Mereka tidak suka kepada desakan atau paksaan atau gesaan. Mereka akan lebih cenderung untuk beremosi.

Rumusan

Salah satu pendekatan psikologi dalam mendidik kanak-kanak adalah mengenalpasti gaya pemikiran kanak-kanak. Ia merupakan salah satu kemahiran keibubapaan yang perlu dipelajari dan diamalkan. Pendekatan ini dapat membantu ibu bapa mengenali personaliti anak-anak mereka dengan lebih berkesan. Tekanan yang dialami ketika mendidik kanak-kanak dapat dikurangkan. Kanak-kanak dapat membesar dalam keadaan keluarga yang lebih selesa dan harmoni. Mereka akan merasa diri mereka mendapat perhatian, kasih sayang daripada keluarga mereka. Bakat dan potensi yang ada dalam diri mereka dapat dikenalpasti dan arahkan kepada kerjaya yang bersesuaian dengan gaya pemikiran mereka. Seterusnya mereka akan menjadi kanak-kanak yang gembira dan bahagia dalam kehidupan mereka.

Rujukan

  1. Nakone, Lanna.(2005). Every Child Has A Thinking Style. Peguin Group (USA) Inc. New York
  2. https://aae.boisestate.edu/wp-content/uploads/2013/03/Anthony-Gregorc-4-Mind-Styles.pdf
  3. http://www.psicopolis.com/psicopedia/Hermann.htm
  4. http://pmtips.net/Blog/project-management-thinking-styles
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Haji Bon Nissa binti Md Abdul Kadir
Akreditor : Ruhana binti Mahmod
Penyemak : Dr. Nurulwafa binti Hussain

 

Artikel Berkaitan

Bimbang & Takut

Resah, bimbang dan takut adalah sesuatu yang biasa di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia tidak akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.

Menangani Fobia Sosial Kanak-Kanak

Perkembangan sosial kanak-kanak bermula sejak bayi lagi. Ia merupakan satu proses kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang telah didedahkan oleh budaya dan masyarakat setempat.

Disleksia

Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,103,251

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia