Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Bedah Mulut > Pembedahan Rahang Kosmetik

Pembedahan Rahang Kosmetik

Pengenalan

Pembedahan rahang kosmetik juga lebih dikenali sebagai pembedahan Ortognatik. Pembedahan Ortognatik dilakukan bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata tetapi juga untuk membetulkan kecacatan atau ketidakseimbangan dentofasial. Masyarakat secara umumnya boleh mengenali maloklusi atau susunan gigi yang tidak teratur yang memerlukan rawatan ortodontik. Walau bagaimanapun,  maloklusi bukan sahaja berpunca daripada pertumbuhan gigi yang tidak teratur tetapi  berkait rapat dengan ketidakseimbangan rahang. Ketidakseimbangan rahang ini dapat dikaitkan dengan ciri-ciri rupa paras sesetengah bangsa kerana ia dipengaruhi oleh faktor genetik yang ketara. Masalah ini terjadi kerana terdapat ketidakharmonian di antara kerangka tulang muka dan dasar tengkorak. Dalam erti kata yang lain, terma ketidakseimbangan dentofasial boleh didefinisikan sebagai ketidakharmonian kerangka tulang muka, rahang atas (maksila) dan rahang bawah (mandibel).

Pembedahan Ortognatik telah diperkenalkan untuk membetulkan kecacatan atau ketidakseimbangan dentofasial ini dengan membenarkan peletakan semula segmen dentoalveolar, mandibel, maksila dan bahagian tengah tulang muka ke posisi yang sesuai. Pembedahan ini bertujuan  untuk mencapai kestabilan, fungsi dan nilai estetik yang optimum. Pembetulan kecacatan ini memerlukan gabungan kepakaran Pakar Bedah Oral & Maksilofasial dan Pakar Ortodontik. Selain daripada itu kemahiran pakar Pergigian Kanak-kanak, Prostodontik dan Periodontik juga diperlukan dari semasa ke semasa.

Siapa Yang Memerlukan Rawatan Ortognatik Ini?

Individu yang mempunyai posisi rahang dan gigitan yang tidak normal. Rahang atas dan bawah boleh membesar pada kadar yang berlainan dan boleh menimbulkan pelbagai masalah. Masalah ini mungkin tidak dapat dibetulkan dengan rawatan penyusunan gigi (rawatan ortodontik) semata-mata kerana tidak dapat membetulkan kedudukan rahang dan gigitan.

Tanda – Tanda 

  • Rahang bawah yang memanjang ke hadapan (gigi depan bawah berada di hadapan gigi atas).
  • Ketidakseimbangan rahang bawah/ Rahang bawah yang senget.
  • Rahang bawah yang kecil dan pendek.
  • Dagu yang panjang dan prominen.
  • Ketidakseimbangan dagu.
  • Kedudukan rahang atas yang terlalu ke hadapan.
  • Senyuman yang menampakkan terlampau banyak gusi.
  • Gigitan terbuka (Gigi hadapan yang tidak bertemu ketika menggigit).
  • Susunan gigi atas dan bawah yang terlalu berlapis akibat rahang yang sempit.
  • Kedudukan gigi kacip yang terlalu ke hadapan/ jongang.
  • Kesukaran untuk mengunyah makanan akibat gigi yang tidak teratur.
  • Kesukaran untuk merapatkan bibir atas dan bawah.
  • Penegangan otot bibir setiap kali bibir dirapatkan.
  • Berdengkur.
  • Tulang pipi yang leper dan tidak ketara.
  • Kesukaran bertutur kerana kedudukan gigi dan rahang yang tidak normal.

Kesan Sampingan akibat Ketidakseimbangan Rahang

  • Gigi yang tidak sekata menyebabkan kesukaran untuk membersihkannya.
  • Menjejaskan pengunyahan dan boleh mengakibatkan ketidakhadaman sekali gus penyerapan nutrisi.
  • Mengakibatkan rasa rendah diri kerana penampilan rahang dan susunan gigi yang tidak normal.
  • Boleh mengakibatkan kesakitan pada sendi rahang (Temporomandibular).
  • Kesukaran tidur (Sleep apnoea).
  • Kesukaran untuk menyebut sesetengah perkataan ataupun boleh menjejaskan pertuturan secara amnya.

Rawatan

Pesakit memerlukan pemeriksaan yang terperinci di klinik bersepadu (Bedah Mulut – Ortodontik) berserta dengan filem x-ray dan model gigi yang berkenaan. Pada kebiasaannya, pesakit perlu menjalani rawatan ortodontik prapembedahan dalam jangka masa enam bulan hingga dua tahun sebelum menjalani pembedahan ortognatik. Pembedahan pada lazimnya akan dilakukan selepas tamat fasa tumbesaran ( 17 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki). Rawatan perlu dijalankan di hospital di mana pembedahan akan dilakukan secara bius am. Selepas pembedahan pesakit masih perlu menjalani rawatan ortodontik (pasca pembedahan) untuk jangka masa enam bulan hingga setahun.

Terdapat beberapa jenis pembedahan rahang yang boleh dilakukan untuk membetulkan ketidakseimbangan rahang.  Ia adalah termasuk osteotomi bersegmen, pengalihan rahang bawah atau/dan rahang atas ke posisi yang betul, pembetulan dagu dan tulang muka. Pembetulan rahang atas dan bawah juga boleh dilakukan dengan menggunakan teknik penarikan secara perlahan (“distraction osteogenesis”). Bahagian tulang rahang atau muka yang telah dipotong akan dialihkan ke posisi yang dikehendaki dan  distabilkan dengan menggunakan plet dan skru titanium. Plet dan skru titanium ini selamat untuk dibiarkan di dalam tubuh badan sepanjang hayat dan hanya perlu dikeluarkan jika perlu.

Pemulihan Selepas Pembedahan

Pesakit perlu tinggal di hospital untuk tiga hingga lima hari selepas pembedahan bergantung kepada jenis pembedahan yang dilakukan dan beberapa faktor yang lain. Semasa fasa penyembuhan, pesakit mungkin perlu memakai elastik ringan untuk membiasakan rahang di kedudukan barunya.

Rawatan ortodontik yang aktif akan dimulakan selepas itu. Pesakit perlu mengambil diet cecair berkhasiat untuk dua minggu selepas pembedahan diikuti dengan diet lembut untuk tempoh sebulan. Pengamalan kebersihan mulut yang baik amat penting dalam tempoh pemulihan. Pesakit juga memerlukan tiga hingga empat minggu untuk berehat di rumah sebelum boleh menjalani aktiviti rutin harian seperti sedia kala.

Masalah yang mungkin dihadapi

  • Bengkak di bahagian muka terutama bibir dan rahang bawah.
  • Kebas di bibir bawah dan dagu (bagi pembedahan rahang bawah).
  • Kebas di bibir atas (bagi pembedahan rahang  atas).
  • Kecederaan saraf yang serius yang di mana bibir akan kebas selamanya.
  • Pendarahan semasa pembedahan yang mungkin memerlukan transfusi darah.
  • Osteotomi/pemotongan tulang yang tidak tepat.
  • Komplikasi anestesia.

Gambar Klinikal

Gambar untuk kes-kes tertentu seperti yang ditunjukkan:

.
.

Sebelum pembedahan

.
.

Selepas pembedahan

Kes 1 –  Sendi rahang kiri yang terlebih besar (hiperplasia)  mengakibatkan pemanjangan rahang bawah (prognatik).
Prosedur – Bilateral sagittal split osteotomy with differential setback and rotation on lower jaw.

.
.

Sebelum pembedahan

.
.

Selepas pembedahan

Kes 2 – Contoh keadaan rahang bawah yang kecil “Severely retrognathic mandible” (Mandibular hypoplasia).
Prosedur – Distraction Osteogenesis untuk memajukan rahang bawah (mandible).

.
.

Sebelum pembedahan

.
.

Selepas Pembedahan

Kes 3 – Rahang atas terlebih panjang dan proklinasi dentoalveolar (Vertical maxillary excess with upper dentoalveolar proclination)
Prosedur : Osteotomi Le Fort I dan pengalihan rahang atas (maksila) ke posisi lebih atas dan belakang diikuti dengan Osteotomi “sagital split” bagi rahang bawah.

.
.

Sebelum pembedahan

.
.

Selepas pembedahan

Kes 4 – Rahang bawah (mandible) yang terlebih besar dengan dagu yang memanjang.
Prosedur – Osteotomi “sagittal split” dan pengalihan mandible ke posisi kebelakang serta pengurangan ketinggian dagu.

Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Ravindran a/l Murugesan
Akreditor : Dr. Abdul Latif b. Abdul Hamid
Penyemak : Dr. Kok Tuck Choon