A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pembedahan Katarak

Katarak ialah suatu keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ini boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran dan menyebabkan  gangguan penglihatan.

Rawatan bagi katarak adalah pembedahan mengganti kanta mata. Tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, senaman atau cermin mata yang boleh mengubati katarak.

Bila Disyorkan Untuk Pembedahan Katarak (Pembedahan mengganti kanta mata)

Rawatan pembedahan ganti kanta disyorkan bila :

  1. Bila kejelasan pandangan tidak lagi boleh dibetulkan dengan cermin mata.
  2.  Kegiatan / aktiviti (kerja, hobi, aktiviti harian dan lain-lain) pesakit mula terganggu disebabkan gangguan pandangan akibat katarak
  3. Bila katarak mula menggangu pemeriksaan atau rawatan mata pesakit seperti pemeriksaan mata untuk kencing manis.

Jenis Pembedahan Katarak

a) Phacoemulsification

Ianya ialah pembedahan katarak luka kecil (lebih kurang 3mm). Isi kanta disedut keluar melalui bukaan 3mm dengan bantuan tenaga Ultrasound. Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata.

Alat khas digunakan untuk menyedut keluar katarak menerusi insisi kecil
Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata
Implan kanta kekal diantara bag kanta dalam mata

Pembuangan katarak melalui Pembedahan Phacoemulsification

b) Extra capsular cataract Extraction (ECCE)

Memerlukan bukaan luka yang lebih besar, lebih kurang 7mm. Isi kanta dikeluarkan, implan kanta dimasukkan ke dalam bag kanta melaui bukaan yang lebih besar berbanding dengan teknik Phacoemulsification.

Kanta di keluarkan secara manual melalui insisi 7mm
Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata
Insisi di tutup dan di jahit

Pembuangan katarak melalui Pembedahan Extracapsular Cataract Extraction

Pilihan Bius Pembedahan

  1. Bius menyeluruh
    • Jarang digunakan
    • Hanya untuk segelintir pesakit katarak
  2. Bius setempat
    Terdapat beberapa cara / pilihan untuk bius setempat

    • Ubat bius titis mata Topikal
    • Suntikan Ubat bius sekitar mata

Jenis-Jenis Kanta

Jenis implant kanta intraocular yang dipilih bergantung kepada banyak faktor seperti sejarah kesihatan pesakit, kuasa kanta yang dikira, dan juga jenis pembedahan yang dijalankan

Persediaan Sebelum Pembedahan

  1. Pemeriksaan spesifik mata pesakit
  2. Pemeriksaan menyeluruh fizikal pesakit bagi memastikan pesakit selamat untuk menjalani pembedahan katarak
  3. Pengesahan pembedahan dan penetapan tarikh pembedahan jika pesakit cukup sihat untuk menjalani pembedahan.
  4. Kaunseling dengan pesakit mengenai jenis pembedahan, jenis bius pembedahan, jenis kanta yang sesuai serta kos pembedahan dan risiko pembedahan.
  5. Pesakit juga akan diberikan kaunseling pra-bedah oleh Paramedik terlatih mengenai penjagaan sebelum dan selepas pembedahan

Peringatan Selepas Pembedahan

  • Gunakan ubat / ubat titis mata seperti yang diarahkan
  • Jaga kebersihan
  • Elak kecederaan
  • Elakkan menggosok atau menekan mata dengan kuat
  • Perlindungan : Seperti yang dinasihatkan oleh doktor. Pesakit perlu menggunakan penutup pelindung mata semasa tidur terutamanya pada minggu pertama selepas pembedahan. Cermin mata gelap boleh digunakan semasa siang hariterutamanya semasa berada di luar rumah untuk mengelakkan rasa tidak selesa / silau yang melampau dari cahaya yang kuat dan juga bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
  • Mencuci muka : Pesakit perlu membersihkan muka dengan lembut dan hati-hati terutamanya pada minggu pertama selepas pembedahan. Jangan biarkan air / sabun / syampu / minyak rambut atau sebagainya masuk terus ke dalam mata. Gunakan tuala / kain bersih yang lembut untuk membersihkan muka.
  • Bercukur : Tiada halangan untuk bercuku (janggut/misai).
  • Mandi : Pesakit boleh mandi seperti biasa. Walau bagaimanapun, elak sebarang benda dari masuk ke dalam mata (air / sabun / syampu / minyak rambut etc).
  • Mencuci rambut : Pesakit boleh mencuci rambut tetapi, pastikan syampu / air tidak masuk terus ke dalam mata.
  • Bersukan : Pesakit boleh melakukan seperti biasa seperti berjalan, membaca dan menonton televisyen. Walau bagaimanapun elakkan aktiviti berat / lasak seperti berjoging, angkat berat, berenang, berkebun, senamrobik, sebarang sukan / permainan lasak dan lain-lain untuk 2 bulan pertama selepas pembedahan.
  • Hubungan seks : Pesakit boleh kembali aktif 1 hingga 2 minggu selepas pembedahan bergantung kepada nasihat doktor
  • Pemakaian kosmetik muka / Bersolek : Pesakit dinasihatkan agar tidak menggunakan sebarang kosmetik mata untuk 6 minggu pertama selepas pembedahan seperti maskara, celak dan bulu mata palsu.
  • Pemakanan / Diet : Tiada pantang dalam pemakanan dan pesakit boleh mengambil diet yang biasa diambil. Bagaimanapun jenis pemakanan hendaklah seperti yang disyorkan mengikut masalah kesihatan pesakit. Yang penting elakkan sembelit dan minum banyak air.
  • Memandu : Cuba elakkan dari memandu melainkan dengan nasihat doktor.
  • Bekerja : Pesakit boleh kembali bekerja dalam masa 1 hingga 4 munggu selepas pembedahan, bergantung kepada jenis perkerjaan dan atas nasihat doktor.
  • Gejala / Tanda-tanda yang normal selepas pembedahan : Selepas pembedahan, pesakit mungkin akan mengalami beberapa gejala / tanda ringan, yang akan beransur-ansur hilang sehingga 6-8 minggu. Antara gejala / tanda tersebut seperti mata kelihatan merah, mata berair, rasa tidak selesa pada mata, rasa silau terhadap cahaya dan mata kelihatan kecil sedikit.
  • Gejala / Tanda amaran : Sekiranya sebarang gejala yang disebutkan dia atas semakin teruk, seperti : mata semakin sakit dan kabur, mata semakin bengkak dan merah, ataupun mata telah mengalami kecederaan; segeralah berjumpa dengan doktor.

Bagaimana Menitiskan Ubat Titik Mata

  • Cuci tangan
  • Dongakkan kepala ke atas, pesakit perlu membuka mata dan melihat ke arah siling
  • Tarik ke bawah kelopak mata bawah dengan lembut, perlahan-lahan sehingga kelihatan bahagian dalam kelopak mata bawah.
  • Picit botol ubat dan titiskan ubat ke dalam mata. Jangan biarkan muncung botol ubat menyentuh mata, kelopak mata atau bulu mata.
  • Lepaskan kelopak mata dan tutup mata perlahan-lahan selama 30saat. Lapkan titisan yang meleleh keluar dari dengan tisu / kapas yang bersih.

Peringatan Khas

  • Untuk memastikan botol ubat titis sentiasa bersih :
    • Jangan biarkan muncung botol menyentuh mata atau sebarang benda atau disentuh dengan jari
    • Jangan berkongsi ubat titis dengan orang lain
    • Sentiasa tutup botol ubat semula selepas menggunakanya
    • Jangan gunakan ubat titis yang telah dibuka lebih 4 minggu
  • Sekiranya pesakit perlu menggunakan lebih dari satu jenis ubat titis pada mata yang sama, pesakit perlu menjarakkan masa sekurang-kurangnya 5 minit sebelum menitiskan ubat seterusnya
  • Sekiranya pesakit perlu menggunakan ubat mata dalam bentuk titisan dan oinmen pada mata yang sama, gunakan ubat titis dahulu, tunggu 5 minit sebelum menggunakan oinmen mata
  • Berhenti menggunakan kanta lekap (contact lens) semasa dalam rawatan melainkan atas nasihat doktor

Rawatan Susulan

Kebiasaan rawatan susulan selepas pembedahan adalah mengikut saranan doktor. Kekerapan rawatan susulan bergantung kepada proses pemulihan setiap pesakit.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Zaidah bt. Mohd Kasim
Akreditor : Dr. Shamala A/P Retnasabapathy
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Katarak

Katarak ialah suatu keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,054,892

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia