A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Pemakanan Untuk Pesakit HIV

Pemakanan Untuk Pesakit HIV

hiv-neighborhooduu-org

Human Immunodeficiency Virus, atau HIV, adalah jangkitan virus yang memusnahkan sistem pertahanan badan, menjadikan seseorang itu terdedah kepada jangkitan dan risiko peningkatan tumor. Jangkitan HIV yang tidak terkawal boleh menjadi bertambah teruk kepada peringkat akhir perkembangannya iaitu penyakit AIDS atau Acquired Immune Deficiency Syndrome. Ketika ini berlakulah masalah jangkitan opportunistik seperti kanser kulit yang jarang berlaku iaitu Kaposi’s sarcoma, jangkitan paru-paru (Pneumocystis pneumonia) dan Candida atau jangkitan fungus yang teruk di mulut atau vagina.

Sehingga kini, tiada penawar untuk HIV atau AIDS, tetapi terdapat rawatan untuk memperlahankan perkembangan HIV melalui ubat-ubatan anti-retroviral dan mengekalkan pemakanan yang baik untuk menyokong sistem imun dan mencegah kemerosotan otot serta kehilangan berat badan.

 

Kenapa Pemakanan Yang Baik Penting Untuk Pesakit HIV?

Pemakanan yang baik adalah penting bagi semua orang, tetapi ia amat penting bagi pesakit HIV. Menjaga diri dengan baik boleh membantu badan melawan jangkitan dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan pesakit HIV.

  1. Pemakanan yang baik membantu memastikan sistem imun pesakit lebih kuat, membolehkan mereka melawan penyakit dengan lebih baik. Diet yang sihat dapat meningkatkan kualiti hidup.
  2. Kehilangan berat badan, kemerosotan, dan malnutrisi (kekurangan zat) terus menjadi masalah biasa dalam kalangan pesakit HIV. Pemakanan yang baik boleh mengekalkan status pemakanan yang optimum bagi pesakit HIV.
  3. Kini terdapat ubat anti-retroviral yang berkesan untuk mengawal perkembangan jangkitan HIV namun ia boleh memberi kesan sampingan seperti masalah pengagihan semula lemak dan ketidaknormalan metabolik seperti peningkatan paras gula, kolesterol dan trigliserida darah.
  4. Pemakanan yang baik membantu badan memproses ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit HIV.
  5. Diet (dan senaman) boleh membantu pesakit mengatasi gejala-gejala seperti cirit-birit, loya, keletihan dan masalah pengagihan semula lemak dan keabnormalan metabolik.

 

Kalori Yang Mencukupi

Kehilangan berat badan adalah masalah biasa yang membawa kepada malnutrisi dan penurunan kadar kelangsungan hidup dalam kalangan pesakit HIV. Pengambilan jumlah kalori yang mencukupi adalah penting untuk mengekalkan berat badan dan mencegah kehilangan berat badan dalam populasi ini.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, 35 hingga 40 kalori per kilogram berat badan (35-40kcal/kgBW) diperlukan setiap hari untuk pesakit HIV. Ini boleh dilakukan dengan mengambil makanan seimbang protein, lemak, karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran melalui makanan dan snek kerap.

 Sekiranya pesakit mempunyai berat badan yang berlebihan, adalah penting untuk memastikan tidak berlaku peningkatan berat yang berterusan untuk mengelakkan masalah kesihatan lain seperti obesiti dan peningkatan risiko penyakit kronik yang lain.

 

Protein Yang Mencukupi

Keperluan protein bagi pesakit HIV adalah sama atau lebih tinggi sedikit berbanding dengan individu dalam populasi umum. Ini kerana pengambilan protein yang mencukupi membantu menguatkan sistem imun, dan mencegah kemerosotan dan kerosakan otot. Keperluan protein ini akan meningkat apabila pesakit mengalami masalah infeksi opportunistik atau malnutrisi

Pengambilan 1.0 hingga 2.0 gram protein per kilogram berat badan (1.0-2.0g/kgBW), adalah disarankan.

  • Makanan tinggi protein termasuk semua sumber haiwan seperti daging, ikan, ayam, telur dan tenusu.
  • Legum dan kekacang adalah sumber yang kaya dengan protein tambahan kepada nutrien-nutrien lain yang penting yang perlu dimasukkan ke dalam diet seharian.

Makanan dan protein tambahan boleh didapati untuk memenuhi keperluan harian jika pesakit tidak mengambil jumlah yang mencukupi melalui diet mereka.

protein-niemagazine-com

Gambar 1 : Sumber protein (sumber : niemagazine.com)

 

Lemak

Lemak juga penting dalam pemakanan seharian pesakit HIV kerana disebabkan kandungannya yang tinggi kalori, ia dapat membantu pesakit HIV mengekalkan berat badan. Adalah disyorkan pengambilan lemak kurang daripada 30% daripada jumlah kalori seharian.

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan tertentu yang diperlukan oleh pesakit HIV boleh menyebabkan paras kolesterol dan trigliserida meningkat. Ini adalah antara punca utama penyakit jantung. Jadi, pengambilan lemak yang sesuai adalah penting.

  • Pengambilan lemak tepu (yang menyumbang kepada penyakit jantung) disarankan sebanyak 7% daripada kalori pesakit HIV setiap hari
  • Manakala lemak monounsaturated (monotaktepu) dan lemak polyunsaturated (politaktepu), masing-masing mewakili 10% daripada jumlah kalori.

Pengambilan kolesterol harian juga dihadkan kepada kurang daripada 200mg sehari. Semua peratusan adalah selaras dengan garis panduan umum untuk orang dewasa bagi pencegahan penyakit jantung.

Sumber-sumber lemak tepu yang PERLU DIHADKAN dalam diet seharian termasuklah :

  • produk tenusu penuh lemak
  • mentega
  • daging berlemak
  • makanan yang digoreng dengan minyak kelapa atau safflower.

Sumber yang tinggi kolesterol juga perlu dikawal seperti :

  • telur
  • daging merah
  • makanan laut.

Lemak tak tepu iaitu polyunsaturated dan monounsaturated (lemak yang mencegah daripada penyakit jantung) termasuklah :

  • ikan
  • kacang
  • avokado dan biji benih
  • minyak seperti canola dan minyak zaitun.

Pesakit juga digalakkan untuk mengambil ikan dalam diet harian mereka sebagai sumber protein dan lemak yang baik.

 

Mineral Yang Mencukupi

Pengambilan yang mencukupi bagi sesetengah mineral adalah penting untuk mengukuhkan sistem imun mereka yang dijangkiti HIV.

Zat besi (iron), yang ditemui dalam daging merah, bayam dan bijirin yang diperkaya adalah penting untuk mencegah anemia.

Gambar 2 : Sumber zat besi.

 

Selenium dan zink adalah penting untuk sistem imun. Selenium, yang menggalakkan fungsi imun dan tindak balas, boleh diperoleh dalam :

  • produk gandum
  • bijirin
  • susu
  • keju
  • yogurt
  • daging
  • ayam, telur
  • kacang dan kekacang.

selenium-for-hiv-1

selenium-for-hiv-2

Pengambilan zink yang mencukupi melindungi pesakit daripada kekurangan zink yang boleh menyebabkan kurang selera makan. Sumber-sumber yang kaya dengan zink termasuk :

  • protein haiwan
  • produk gandum (terutamanya bijirin)
  • kacang dan kekacang
  • produk tenusu.

 

Vitamin

Vitamin yang mencukupi adalah penting dalam mengekalkan sistem imun pesakit HIV, terutamanya vitamin B, vitamin A dan C. Menurut Journal of Clinical Nutrition, kekurangan pengambilan vitamin tersebut telah dikaitkan dengan perkembangan virus HIV.

Sumber-sumber yang kaya vitamin A termasuk :

  • bayam
  • lada hijau
  • lobak merah
  • mangga.
vitamin-a-for-hiv

Makanan yang tinggi dengan vitamin C termasuk :

  • oren
  • strawberi
  • anggur
  • kubis
  • kentang.
vitamin-c-for-hiv

Vitamin B pula boleh didapati dalam :

  • daging
  • telur ayam
  • makanan gandum
  • kekacang.
vitamin-b-for-hiv

Nutrien yang diambil akan diserap melalui saluran gastrousus, (yang kebanyakannya rosak dalam kalangan pesakit HIV). Maka, pengambilan pil tambahan mungkin diperlukan jika pesakit tidak mengambil jumlah yang mencukupi.

 

Gejala HIV dan Pemakanan

Pengambilan diet seharian pesakit boleh terjejas sekiranya pesakit mengalami beberapa gejala yang berlaku akibat penyakit itu sendiri atau kesan sampingan sepanjang mereka menjalani rawatan. Gejala tersebut akan mengganggu corak pengambilan makanan pesakit dan hal ini sekali gus menjejaskan tahap kesihatan pesakit dalam usaha melawan penyakit mereka.

Berikut adalah sebahagian daripada gejala yang selalu dialami oleh pesakit HIV dan cara bagaimana mereka ataupun penjaga boleh lakukan untuk meningkatkan kualiti pengambilan makanan seharian :

1) Fatigue

Fatigue adalah kekurangan tenaga dan keletihan berpanjangan. Ia boleh menjadi salah satu daripada gejala yang paling melemahkan yang dialami oleh pesakit HIV.

Panduan bagi mengatasi masalah tersebut :

  • Makan dengan lebih kerap seperti setiap 1 atau 2 jam untuk mendapatkan kalori yang diperlukan
  • Hadkan pengambilan makanan atau minuman mengandungi kafein kerana kadang-kala ia boleh meningkatkan keletihan apabila kafein berkurangan di dalam badan
  • Berikan makanan yang digemari oleh pesakit
  • Memastikan makanan adalah mudah dicapai oleh pesakit seperti meletakkan snek ringan, buah-buahan, kekacang dan minuman berhampiran atau bersebelahan dengan katil pesakit
  • Jika didapati pesakit kurang makan, lebihkan pengambilan minuman yang berkhasiat seperti milkshake (campuran yogurt rendah lemak atau susu dengan mana-mana yang berikut : buah-buahan dalam tin, jus, campuran koko, mentega kacang, atau sarapan segera). Boleh juga mencuba untuk menambahkan susu tepung atau serbuk protein minuman di dalam air kosong pesakit.

2) Cirit-birit

Cirit-birit adalah masalah yang biasa dialami oleh pesakit HIV. Ia ditakrifkan sebagai najis berair, ataupun pembuangan najis yang kerap.

Panduan untuk melegakan cirit-birit :

  • Memastikan pesakit mempunyai tahap hidrasi yang tinggi seperti pengambilan cecair (minuman) yang mencukupi. Cecair tersebut boleh terdiri daripada air kosong, jus buah-buahan, sup, bubur dan sebagainya. Seharusnya air kosong atau mineral perlu diutamakan bagi menggantikan cecair yang hilang semasa cirit-birit. Jika boleh, hadkan soda dan minuman bergula
  • Makan makanan secara kerap di dalam kuantiti yang kecil dan disarankan mengambil makanan ringan atau snek sampingan di antara waktu makan utama. Makan makanan dalam jumlah yang besar dikhuatiri boleh merangsang tindakan usus dan boleh memburukkan lagi keadaan cirit-birit
  • Makan secara perlahan-lahan
  • Elakkan makanan yang tinggi lemak, seperti makanan bergoreng, mentega, marjerin dan berminyak
  • Elakkan pengambilan susu dan produk tenusu kerana pesakit mungkin mempunyai alahan kepada laktosa yang terdapat di dalam susu. Boleh juga mengambil produk susu tanpa laktosa sebagai alternatif
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran mentah hendaklah dicuci dengan sebersih-bersihnya sebelum makan. Jika perlu, bertukar kepada sayur-sayuran dan buah-buahan dalam tin atau yang dimasak
  • Tingkatkan pengambilan serat larut seperti oat, barli, legum (kacang peas, soya), buah-buahan (prun, plum, pisang, epal, pir yang dikupas kulitnya), sayur-sayuran (brokoli, lobak merah) dan kekacang (kacang) adalah beberapa contoh yang baik.

serat-larut

 

3) Loya

Loya dalam kalangan pesakit HIV mungkin disebabkan oleh jangkitan atau ubat-ubatan.

Beberapa panduan pemakanan bagi pesakit yang mengalami loya-loya sepanjang menjalani rawatan :

  • Makan secara kerap dalam kuantiti yang kecil setiap 1 atau 2 jam sekali. Memakan makanan yang rendah lemak dalam kuantiti yang kecil adalah lebih baik kerana lebih mudah dihadam dan bergerak dengan lebih cepat melalui perut
  • Kadang-kala bau daripada makanan yang sedang dimasak dan makanan berminyak boleh menyebabkan rasa mual. Jika pesakit mempunyai masalah dengan makanan tersebut, pilihlah makanan sejuk seperti produk tenusu, sandwich dan buah-buahan
  • Elakkan minum ketika makan. Minuman boleh diambil 30 hingga 60 minit sebelum ataupun selepas makan
  • Elakkan berbaring rata sekurang-kurangnya 2 jam selepas makan
  • Kesimpulannya, ELAKKAN makanan seperti makanan berlemak, berminyak, bergoreng, makanan yang sangat manis (gula-gula, cookies atau kek), makanan pedas dan makanan yang berbau kuat serta makanan panas.

 

Kesimpulan

Pemakanan yang berkualiti adalah sangat penting kepada semua individu lebih-lebih lagi mereka yang sakit di mana pengambilan diet seharian hendaklah terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang tanpa lemak dan sumber protein rendah lemak. Makanan tersebut padat dengan kandungan nutrien yang diperlukan oleh badan dan akan menyumbang lebih banyak khasiat untuk kesihatan dan kesejahteraan pesakit jika dibandingkan makanan atau minuman yang mengandungi kalori kosong yang terdiri daripada gula dan lemak.

Berikut adalah kesimpulan tentang bagaimana untuk mendapatkan diet yang berkualiti kepada pesakit HIV :

  • 3 kumpulan makronutrien iaitu karbohidrat, protein dan sedikit lemak perlu ada dalam hidangan pesakit tidak kira hidangan utama ataupun snek sampingan
  • Disarankan pesakit untuk makan 5 hingga 6 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari, atau kira-kira 3 cawan. Disarankan juga pesakit mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang terdiri daripada pelbagai jenis warna kerana setiap warna mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendirin
  • Sekurang-kurangnya pengambilan utama karbohidrat adalah terdiri daripada bijirin penuh
  • Pilihlah sumber protein tanpa lemak seperti dada ayam tanpa kulit, ikan, potongan daging tanpa lemak tambahan dan produk tenusu rendah lemak
  • Hadkan pengambilan gula, gula-gula dan minuman ringan. Makanan tersebut adalah kurang daripada segi khasiat nutrisinya dan boleh menyebabkan pesakit mengalami gangguan metabolisma gula dalam badan
  • Kumpulan makanan lain seperti kacang, biji-bijian atau kekacang hendaklah dimasukkan sekali ke dalam menu harian pesakit.

 

Semakan Akhir : 22 September 2016
Penulis : Pn. Hasliza binti Hassan
Akreditor : Prof. Madya Dr. Roslee bin Rajikan

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,243,251

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia