A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Pemakanan Semasa Tumbesaran Gigi

Pemakanan Semasa Tumbesaran Gigi

Diet yang diambil oleh ibu hamil boleh mempengaruhi perkembangan gigi anak mereka. Ini adalah disebabkan pembentukan gigi desidus (gigi susu) dan kekal bermula semasa bayi dalam kandungan lagi.

Pengenalan

Diet yang diambil oleh ibu hamil boleh mempengaruhi perkembangan gigi anak mereka. Ini adalah disebabkan pembentukan gigi desidus (gigi susu) dan kekal bermula semasa bayi dalam kandungan lagi. Pembentukan gigi susu bermula 6-8 minggu kehamilan. Gigi-gigi susu ini hanya akan sempurna apabila akar gigi telah terbentuk dengan lengkap ketika kanak-kanak mencapai umur 3 tahun. Bagi kegigian kekal pula, pembentukannya bermula ketika kandungan berusia 20 minggu dan akan berterusan sehingga dewasa.

Gigi terbentuk melalui proses mineralisasi matriks protein. Proses ini bermula ketika kandungan berusia 4 bulan dan akan berterusan sehingga remaja. Justeru itu, pengambilan nutrien secukupnya oleh ibu-ibu hamil adalah sangat penting dalam pembentukan dan perkembangan gigi yang sihat. Kekurangan nutrien yang teruk semasa hamil boleh mengakibatkan pembentukan gigi kanak-kanak menjadi tidak normal dan juga cenderung untuk mendapat karies.

Kepentingan nutrien semasa tumbesaran gigi

Nutrien yang penting dalam pembentukan dan perkembangan struktur gigi yang sihat adalah protein, vitamin (A, C dan D), kalsium dan fluorida. Struktur Enamel gigi mengandungi keratin iaitu sejenis protein yang memerlukan Vitamin A untuk pembentukannya. Struktur Dentin gigi pula mengandungi kolagen, juga sejenis protein yang bergantung kepada Vitamin C untuk dihasilkan dengan sempurna. Vitamin D pula diperlukan dalam proses dimana Kalsium dan Fosforus dimasukkan ke dalam Kristal Hydroxyapatit, iaitu struktur matriks bagi gigi dan tulang.

Semasa perkembangan struktur matriks gigi, bahan Fluorida dapat digabungkan bersama-sama Kalsium dan Fosforus untuk membentuk Fluoroapatit, iaitu struktur yang lebih kuat dan tahan hakisan berbanding dengan Hydroxyapatit. Ketika pembentukan struktur gigi, bahan Fluorida memainkan peranan secara sistemik. Selepas gigi telah lengkap terbentuk, Fluorida hanya memberi kesan secara topikal pada permukaan gigi sahaja.

Oleh itu, kesan Fluorida ini boleh memperkuatkan struktur gigi dengan mengurangkan demineralisasi dan meningkatkan remineralisasi apabila gigi terdedah kepada hakisan asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam plak.

Kesan ketidakseimbangan nutrien kepada tumbesaran gigi

Ketidakseimbangan nutrien boleh memberi pelbagai kesan kepada perkembangan gigi. Kekurangan protein boleh menyebabkan pertumbuhan gigi menjadi lambat, gigi bersaiz kecil (Microdontia) dan juga menyebabkan enamel mudah terlarut. Kekurangan Kalsium, Fosforus dan Vitamin D pula boleh menyebabkan struktur matriks gigi menjadi kurang termineralisasi (hypomineralisation) dan melambatkan corak pertumbuhan gigi.

Pengambilan Vitamin A yang tidak cukup boleh menyebabkan pengurangan jumlah pembentukan enamel atau satu keadaan yang dipanggil sebagai Enamel Hypoplasia. Pengambilan Fluorida yang tidak optimum pula boleh meningkatan demineralisasi dan mengurangan remineralisasi apabila gigi terdedah serangan asid oleh bakteria. Walaubagimanpun, pengambilan Fluorida yang berlebihan semasa pembentukan gigi boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil sebagai Fluorosis.


Microdontia
 

Hypomineralisasi
     

Fluorosis
 

Pertumbuhan Gigi Lambat

Panduan pemakanan

Garispanduan Pemakanan Malaysia (Malaysian Dietary Guidelines – MDG), 2010 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia memberi panduan pemakanan yang lengkap bagi setiap individu dan masyarakat.

Diet yang seimbang boleh memberikan hampir kesemua nutrien yang diperlukan oleh manusia. MDG mengandungi beberapa rekomendasi untuk pengambilan nutrisi yang lengkap bagi setiap individu.

Untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan gigi yang sihat, pengambilan nutrien yang mencukupi adalah penting terutamanya Protein, Vitamin (A, C, D), Kalsium, Fosforus, dan Fluorida. Secara umumnya, pengambilan nutrien-nutrien ini boleh didapati dengan:

  • Memakan pelbagai jenis makanan seperti yang disyorkan
  • Memakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Mengambil ikan, daging, ayam, telur dan kekacang dalam jumlah yang sederhana
  • Mengambil susu dan produk susu dalam jumlah yang mencukupi
  • Minum air yang mengandungi fluorida dalam jumlah yang mencukupi

Kesimpulan

Pengambilan diet yang seimbang boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan dan perkembangan gigi. Oleh itu, adalah penting bagi individu dan ibu-ibu yang hamil mengambil makanan seimbang yang merangkumi semua jenis makanan dan nutrisi yang diperlukan bagi memastikan gigi-gigi kanak-kanak tumbuh dengan sihat dan sempurna.

Rujukan

  1. DePaola DP, Faine M, Palmer C. Nutrition in relation to dental medicine. In Shils M, Olson J, Shike M, Ross AC, eds.. Modern Nutrition in Health and Disease, 9th Ed. Baltimore, MD: Williams and Wilkins, 1999: 1099-1124
  2. Li Y, Navia JM, Bian J-Y. Prevalence and distribution of developmental enamel defects in primary dentition of Chinese children 3-5 years old. Community Dent Oral Epidemiol 1995; 23(2): 72-79
  3. Rugg-Gunn AJ, Al-Mohammadi SM, Butler TJ. Effects of fluoride level in drinking water, nutritional status, and socio-economic status on the prevalence of developmental defects of dental enamel in permanent teeth in Saudi 14 year old boys. Caries Res. 1997; 31:259-267
  4. Seow WK. Enamel hypoplasia in the primary dentition: a review. J Dent Child 1991; 58:441-452
  5. Nutrional Factors in Tooth Development and Maintenance: American Dental Hygienists’ Association (2012)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Leslie S. Geoffrey
Akreditor : Dr. Salleh b. Zakaria
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

 

Artikel Berkaitan

Rekahan Bibir & Lelangit – Rawatan Pergigian

Rekahan bibir dan lelangit merupakan kecacatan semasa lahir di mana tisu bahagian mulut dan bibir tidak terbentuk dengan sempurna semasa pembentukan fetus. Punca kecacatan masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, kecacatan ini boleh dirawat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,225,409

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia