Home > Umum > Optometri > Pemakaian Kanta Lekap Yang Selamat

Pemakaian Kanta Lekap Yang Selamat

Pengenalan

Pemakaian kanta lekap sangat mudah dan memberi banyak manfaat. Manfaat yang optimum dapat diperoleh sekiranya pemakai mengamalkan pemakaian dan penjagaan yang betul dan selamat. Antara amalan pemakaian tersebut termasuklah :

Pembelian kanta lekap

  • Dapatkan ujian tahap penglihatan, pengukuran kelengkungan kornea dan pemeriksaan kesihatan mata daripada optometris atau juruoptik berlesen.
  • Jangan beli kanta lekap daripada jurujual kaunter atau melalui internet.
  • Dapatkan pemeriksaan selepas penggunaan kanta lekap kerana penggunaan kanta lekap jangka panjang akan mengubah fisiologi mata dan boleh menimbulkan komplikasi.

Pemilihan Jenis Kanta Lekap

  • Penjagaan kanta lekap lembut jenis pakai buang sangat mudah dan selamat. Kos penjagaan dan risiko mendapat jangkitan mata juga sangat rendah.
  • Kanta lekap separa keras (rigid gas permeable) memberikan kualiti penglihatan yang lebih baik walaupun mengambil masa yang lama untuk menyesuai dan menyelesakan pemakaiannya.
  • Kanta lekap silikon boleh dipakai untuk tempoh masa yang lebih panjang dan kurang risiko jangkitan atau radang mata.

Penjagaan Kanta Lekap Dan Larutan Pencuci/Rendaman

  • Basuh dan keringkan tangan anda sebelum menyentuh kanta lekap.
  • Gunakan larutan pencuci kanta lekap yang hanya disarankan oleh optometris atau juruoptik berlesen anda.
  • Gosok kanta lekap anda semasa mencuci untuk membersihkan sebarang deposit dan mikroorganisma.
  • Jangan gunakan larutan pencuci yang telah luput tarikh (expired). Tempoh luput larutan pencuci kanta lekap yang telah dibuka pula adalah 3 bulan selepas larutan dibuka.
  • Kanta lekap yang terendam lama dan tidak dipakai perlu ditukar dengan larutan rendaman baru sekurang-kurangnya 2 hari sekali. Kanta tersebut juga perlu dicuci sebelum dipakai semula.
  • Cuci dan bilas kanta lekap yang jatuh atau terkeluar dari mata sebelum memakainya semula. Ganti kanta yang terjatuh dengan kanta baru jika anda ada bekalan kanta lain.
  • Jangan menambah larutan rendaman (topping off) untuk mengurangkan risiko jangkitan dan radang mata.
  • Buang larutan rendaman setiap kali selepas kanta lekap dipakai. Gunakan larutan rendaman baru ketika hendak merendam kanta lekap semula.
  • Pastikan anda mempunyai cermin mata dengan kuasa kanta yang terkini.
  • Jangan gunakan air paip atau air suling yang dibuat sendiri untuk mencuci kanta lekap.

Penjagaan Bekas Kanta Lekap

  • Bekas kanta lekap perlu ditukar sekurang-kurangnya 3 bulan sekali.
  • Bekas kanta lekap perlu dicuci dengan larutan pencuci kanta lekap, bukan dengan air paip. Bekas kanta lekap perlu dikeringkan pada posisi terbalik dan penutup bekas dibiarkan terbuka.
  • Bekas kanta lekap harus disimpan atau diletakkan dalam bilik atau pada persekitaran yang kering. Jangan simpan bekas kanta lekap di dalam bilik air atau persekitaran yang lembap.

Pemakaian kanta lekap dalam persekitaran/ situasi berbeza

Situasi Tindakan
Mandi Buka kanta lekap
Berenang / aktiviti sukan air/sauna  Buka kanta lekap atau pakai kaca mata pelindung (goggles)
Naik kapal terbang

Pakai kanta lekap dan guna ubat titis mata untuk mengurangkan simptom mata kering

Mengandung Pakai kanta lekap dan guna ubat titis untuk mengurangkan simptom mata kering
Pakai cermin mata jika tidak selesa memakai kanta lekap
Tidur malam Buka kanta lekap. Hanya sesetengah kanta lekap silikon boleh dipakai  ketika tidur waktu malam.
Tidur sebentar
   (napping)
Boleh pakai kanta lekap namun sebaiknya dibuka untuk mengurangkan risiko pembengkakan bengkak pada kornea
Menggunakan ubat    titis Titiskan ubat mata 10-20 minit lebih awal sebelum memakai kanta lekap atau selepas membuka kanta lekap.
Make-up Pakai kanta lekap sebelum memakai alat solek dan
Buka kanta lekap sebelum mencuci solekan

 

Pengendalian Kanta Lekap

  • Jangan berkongsi kanta lekap anda dengan orang lain.
  • Mulakan memakai kanta lekap pada mata kanan dahulu supaya tidak keliru
  • Pastikan kanta lekap tidak terbalik semasa hendak memakainya
  • Buang kanta lekap yang telah luput tarikh
  • Elakkan memakai kanta lekap tujuh hari berturut-turut. Biarkan mata berehat pada hari keenam atau pada hujung minggu.

Setiap kali anda memakai kanta lekap, pastikan bahawa anda :

  • FEEL GOOD  – selesa memakai kanta lekap
  • LOOK GOOD – mata tidak merah
  • SEE WELL     – penglihatan jelas

Berhenti daripada memakai kanta lekap jika mata anda tidak selesa, mata merah dan penglihatan kabur. Sentiasalah berhubung dengan optometris atau juruoptik berlesen anda untuk mendapatkan nasihat pemakaian dan penjagaan yang selamat.

 

Tarikh Semakan Akhir : 19 Mac 2014
Penulis : Pn. Azalia bt. Razali
Akreditor : Pn. Noor Zahirah Bt. Husain