Home > Bayi & Kanak-Kanak > Telinga, Hidung & Tekak > Pekak Sebelah Telinga di Kalangan Kanak-kanak

Pekak Sebelah Telinga di Kalangan Kanak-kanak

Fakta berkaitan pekak sebelah telinga

  • Pekak sebelah telinga turut dikenali dengan masalah pendengaran unilateral. Masalah pendengaran hanya terjadi pada sebelah telinga sahaja, manakala sebelah telinga lagi adalah normal. Tahap keterukan masalah pendengaran boleh terjadi dari tahap ringan hingga ke tahap sangat teruk.
  • Antara faktor yang menyebabkan masalah pendengaran unilateral ialah jangkitan kuman, jangkitan semasa kandungan, penyakit kongenital dan kecederaan teruk pada bahagian kepala atau telinga (Katz, 2001).

Bagaimana hendak mengenalpasti kanak-kanak pekak sebelah telinga?

Pekak unilateral di kalangan kanak-kanak adalah sukar untuk dikenalpasti, kerana golongan ini kurang memahami keseimbangan pendengaran telinga kiri dan kanan. Kini, saringan pendengaran boleh dijalankan ke atas bayi seawal usia 24 jam. Sekiranya anak anda tergolong dalam kumpulan berisiko yang nyata seperti kecacatan pada muka atau telinga, saringan pendengaran adalah menjadi prosedur yang wajib dijalani bagi membantu pengesanan awal. Walaupun demikian, saringan pendengaran awal adalah sangat digalakkan untuk semua bayi.

Pada peringkat umur yang lebih besar pula, adakalanya kanak-kanak itu sendiri boleh mengadu kurang dengar atau sukar memahami percakapan orang sekeliling. Oleh itu, ibu bapa juga harus peka dengan sebarang perubahan tindakbalas anak terhadap bunyi persekitaran dan perkembangan pertuturannya. Antara tanda-tanda pekak sebelah telinga pada kanak-kanak ialah:

  1. Kerap meminta diulang ketika berbual atau silap memberi maklum balas.
  2. Penggunaan gaya badan bagi membantu mendengar dengan lebih baik. Contohnya, menekup sebelah tapak tangan di belakang telinga (yang kurang dengar), mimik muka dan berpaling muka pada sebelah telinga yang lebih jelas mendengar.
  3. Lebih suka mendiamkan diri dan menjadi pasif daripada bergaulan dengan rakan sebaya.

 

unilateral1

Sumber : www.yzzy.co.uk

Sekiranya anak anda mempunyai sebahagian daripada ciri dinyatakan, tindakan lanjut yang perlu diambil adalah membuat pemeriksaan pendengaran dengan Pegawai Audiologi.

Bagaimana pekak sebelah boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak?

  • Fakta 1
    Kebiasaannya, kanak-kanak yang pekak sebelah sukar mengenalpasti punca bunyi. Contohnya, jika sumber bunyi datang daripada sisi telinga yang bermasalah pendengaran, kanak-kanak terbabit selalunya kurang atau lambat memberi respons. Jika terdapat ancaman keselamatan (seperti kehadiran kenderaan yang membunyikan hon) dari sebelah telinga yang kurang pendengaran, dibimbangi kanak-kanak tersebut bakal tercedera.
  • Fakta 2
    Persekitaran yang bising boleh menyukarkan kanak-kanak terbabit memahami pertuturan dalam komunikasi seharian. Hal yang demikian kerana, mendengar menggunakan kedua-dua telinga sebenarnya amat membantu meningkatkan kualiti dan kejelasan bunyi pertuturan dalam keadaan bising. Northern & Downs (2002) menyatakan bahawa masalah ini menyebabkan kanak-kanak pekak sebelah mengalami kesukaran berkomunikasi yang berterusan.
  • Fakta 3
    Di dalam kelas, kanak-kanak pekak sebelah biasanya sukar memberi tumpuan jika, suara guru  sering ditenggelami bunyi bising persekitaran. Keadaan turut boleh bertambah sukar sekiranya kedudukan tempat duduk tidak sesuai, samada di bahagian belakang kelas ataupun dekat dengan sumber kebisingan luar seperti di tepi tingkap.

unilateral2

Sumber: www.cochlear.com

  • Fakta 4
    Walau bagaimanapun, masalah ini tidak menghalang proses belajar bercakap. Kanak-kanak terbabit masih boleh mempelajari bahasa dengan baik tetapi mungkin terdapat sedikit kelewatan untuk bertutur (Northern & Downs, 2002). Tidak seperti kanak-kanak normal, mereka memerlukan bantuan daripada orang sekeliling terutamanya ibu bapa, guru-guru dan rakan sebaya sebagai contoh terbaik.

Tips membantu kanak-kanak pekak sebelah telinga?

  • Sentiasa berbual/bercakap ke arah telinga yang normal supaya sebutan/suara kedengaran lebih jelas dan tepat.
  • Selalulah bermain dengan menggunakan permainan yang melibatkan bunyi-bunyian dan perbualan aktif.
  • Jika anak anda sukar mengesan sumber bunyi, berilah bantuan sewajarnya dengan kiu visual.
  • Kurangkan bunyi bising persekitaran ketika sedang berbual.

Apakah rawatan masalah pekak sebelah telinga?

  1. Penggunaan alat bantu pendengaran mungkin dapat membantu kanak-kanak yang pekak sebelah (Katz, 2001). Alat ini akan membantu menguatkan bunyi persekitaran supaya kanak-kanak tersebut dapat mendengar dengan tepat dan seimbang pada kedua-dua telinga.
  2. Penggunaan Sistem FM dalam bilik darjah atau ruangan yang lebih besar. Ibu bapa dan guru-guru memakai mikrofon mini, manakala alat bantu pendengaran kanak-kanak terbabit dilengkapi alat penerima (receiver). Sistem FM mampu merendahkan  bunyi bising persekitaran.

Kesimpulan

Jika terdapat sebarang keraguan dan masalah kesihatan yang berkaitan, kanak-kanak terbabit haruslah segera dibawa untuk pemeriksaan lanjutan dengan Pegawai Audiologi. Ini kerana;

  • Seringkali berlaku bahawa individu dengan masalah pendengaran unilateral tidak menyedari masalah mereka berikutan pendengaran sebelah telinga lagi adalah normal.
  • Seringkali juga individu ini dapat menjalani kehidupan harian seperti individu normal yang lain.
  • Namun, tidak bermakna masalah tersebut tidak perlu atau tidak boleh dirawat.

Rujukan

Semakan Akhir : 23 Mac 2016
Penulis : Ummi Najihah bt. Ramlan
Akreditor : Khadijah Azura bt. Salim