A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Patah Tulang Hidung

Patah tulang hidung adalah salah satu kecederaan yang paling kerap berlaku melibatkan -tulang muka. Ianya disebabkan oleh kecederaan kepada atas hidung. Dalam kebanyakan kes, terdapat juga patah ‘septum’ hidung (septum ialah struktur terdiri dari rawan ditengah rongga hidung yang membahagikanya kepada 2 bahagian iaitu kiri dan kanan).

Pengenalan

Patah tulang hidung adalah salah satu kecederaan yang paling kerap berlaku melibatkan -tulang muka. Ianya disebabkan oleh kecederaan kepada atas hidung. Dalam kebanyakan kes, terdapat juga patah ‘septum’ hidung (septum ialah struktur terdiri dari rawan ditengah  rongga  hidung yang membahagikanya kepada 2 bahagian iaitu kiri dan kanan).

Fig 1: Patah tulang hidung “Angulated”(bengkok) dan filem X-ray pandangan sisi

Jenis

Jenis patah tulang hidung adalah bergantung kepada arah kecederaan yang berlaku:

  1. Patah jenis Tertekan/Penyet
    Ianya disebabkan oleh pukulan/kecederaan dari hadapan.
  2. Patah jenis “Angulated” / Bengkok
    Ianya disebabkan oleh pukulan/kecederaan dari arah sisi.

Punca

Punca utama penyakit patah tulang hidung adalah trauma atau kecederaan pada muka. Di antaranya adalah:

  1. Kemalangan jalanraya
  2. Sukan (bola sepak, hoki, ragbi, tinju, seni mempertahankan diri)
  3. Jatuh
  4. Pergaduhan
  5. Terlanggar objek yang keras yang tidak bergerak seperti pintu atau dinding
  6. Permainan kasar seperti jenis bergusti

Tanda & Gejala

Tanda-tanda dan gejala patah tulang hidung adalah:

  1. Sakit tulang hidung terutamanya apabila disentuh
  2. Hidung berdarah atau epistaxis (biasanya berhenti dengan sendirinya)
  3. Bengkak hidung
  4. Lebam di sekitar hidung
  5. Hidung tersumbat (sama ada sebelah atau kedua-dua rongga hidung)
  6. Hidung cacat atau bengkok
  7. Gangguan deria bau

Diagnosis

Kebiasaannya, patah tulang hidung boleh disahkan secara klinikal; dari sejarah pesakit dan pemeriksaan pada hidung dan persekitarannya. X-ray tulang hidung (pandangan sisi) boleh dilakukan sebagai bukti terutamanya bagi kes-kes “medico–legal” iaitu kes-kes yang melibatkan polis dan perundangan.

Fig 2: Hidung Patah Tertekan/Penyet (sebelum dan selepas pembedahan)

Komplikasi

Komplikasi dan kecederaan yang berkaitan dengan patah tulang hidung adalah seperti berikut:

  1. Hematoma Septum
    Pengumpulan darah beku dalam septum hidung menyebabkan hidung tersumbat dan memerlukan pembedahan kecemasan (segera) kerana ia boleh menyebabkan kemusnahan (nekrosis) tulang dan rawan septum tersebut.
  2. Septum bernanah
    Jika hematoma septum tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan nekrosis rawan dan tulang septum yang boleh dijangkiti kuman seterusnya bernanah
  3. Hidung bengkok (tulang luaran)
    Tulang hidung patah akan menampakkan kecacatan pada muka disebabkan hidung terletak di tengah-tengah muka.
  4. Septum hidung (tulang dan rawan dalaman)
    Septum hidung patah akan menyebabkan salah satu rongga hidung sempit dan akibatnya hidung tersumbat.
  5. Perdarahan hidung yang berulang
    Epistaxis atau perdarahan hidung boleh berulang disebabkan oleh kekeringan dan pembentukan kuping keras pada septum. Kuping keras ini boleh terkoyak dan mendedahkan saluran-saluran darah yang mudah berdarah.
  6. Hidung “Saddle”
    Hidung Saddle adalah kepenyetan atau lekuk teruk pada pangkal hidung disebabkan struktur sokongan hidung sudah tiada lagi.
  7. Gangguan bau
    Pesakit boleh mengalami gangguan bau, jika patah itu melibatkan kawasan bumbung rongga hidung di mana terletaknya deria dan saraf bau.
Fig 3: Hidung Patah Tertekan/Penyet (sebelum dan selepas pembedahan)

Rawatan

Rawatan tulang hidung patah bergantung kepada gejala dan tahap kecacatan tulang yang patah.

Rawatan asas untuk mengurangkan tanda dan gejala adalah:

  1. Meletakkan pek ais pada tulang hidung yang patah- untuk mengurangkan bengkak dan menghentikan perdarahan hidung
  2. Ubat tahan sakit
  3. Ubat semburan hidung “decongestant” – untuk mengurangkan bengkak dalam rongga hidung dan membersihkan saluran hidung supaya tidak tersumbat

Rawatan tidak diperlukan di dalam kes keretakan tanpa menyebabkan tulang bengkok, penyet atau menghalang pernafasan.

Jika patah teruk dan kecacatan sangat jelas, tulang hidung boleh dipulihkan semula secara manual dalam prosedur yang dipanggil “Pembedahan kaedah tertutup pemulihan tulang hidung”.

Bengkak pada hidung boleh menyukarkan doktor menilai kesan pembedahan. Oleh itu, masa yang terbaik untuk pembedahan, adalah sebelum bengkak muncul atau selepas bengkak surut biasanya 5-7 hari selepas trauma.

Prosedur ini biasanya dilakukan di klinik menggunakan bius setempat (LA) di dalam keadaan pesakit sedar. Rongga hidung disumbat dengan ubat decongestan dan kawasan pembedahan disuntik dengan ubat bius bagi mengurangkan kesakitan serta perdarahan semasa prosedur dijalankan. Forsep ‘Walsham’ digunakan untuk membaiki tulang patah manakala forceps “Ash” digunakan untuk membaiki septum patah. Anduh aluminium empuk (external nasal splint) diletakkan di atas hidung sekurang-kurangnya 2 minggu bagi tujuan perlindungan kawasan pembedahan (Fig 4.).

Fig 4: Pembedahan tulang hidung menggunakan bius setempat (kaedah tertutup)

 

Fig 5: Instrumen/ peralatan yang digunakan semasa pembedahan hidung (kaedah tertutup)

Prosedur ini juga boleh dilakukan menggunakan bius umum dimana pesakit tidak sedar dan dilakukan di dewan bedah. Kebiasaannya prosedur ini dilakukan untuk pesakit muda ataupun pesakit yang tidak tahan kesakitan.

Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas trauma iaitu sebelum pembentukan “kalus” berlaku (tulang baru di sekitar kawasan tulang patah semasa proses penyembuhan). Selepas tempoh ini, pembedahan hanya boleh dilakukan melalui pembedahan kaedah terbuka. Prosedur ini dikenali sebagai “rhinoplasty” atau “septorhinoplasty”.

Fig 5: Instrumen/ peralatan yang digunakan semasa pembedahan hidung (kaedah tertutup)

Rujukan

  1. A Short Practice of Otorhinolaryngology, 3Rd edition (2007), KK Ramalingam, All India Publisher & Distributors
  2. Diseases of Ear, Nose and Throat, 4th edition (2007), PL Dingra, Elsevier
  3. Scott-Brown’s Otolaryngology, Rhinology 6th edition (1997), IS Mackay & TR Bull, Butterworth-Heinemann

 

Semakan Akhir : 1 Disember 2015
Penterjemah : Dr. Eshamsol Kamar b. Omar
Akreditor : Dr. Faridah bt. Hassan

Artikel Berkaitan

Myringoplasty

Myringoplasty adalah satu pembedahan untuk menampal gegendang telinga yang berlubang atau pecah.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,232,239

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia