A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Parut merupakan satu perubahan pada kulit yang tidak disenangi dan boleh dipandang hodoh terutama pada bahagian tubuh yang terdedah seperti muka, tangan dan kaki. Parut bukan saja menyebabakan kesan negatif dari segi estetik tetapi ianya boleh mengganggu fungsi seperti pergerakan sendi.

Walaubagaimanapun parut adalah hasil dari proses penyembuhan kulit dan tisu yang semulajadi selepas kecederaan. Kecederaan boleh disebabkan oleh trauma, jangkitan atau pembedahan. Tisu yang normal akan digantikan dengan tisu fibrosis. Parut boleh  terbentuk samada pada  tisu dalaman dan juga pada permukaan kulit.

Parut yang terbentuk akan pudar mengikut masa iaitu dipanggil parut matang tetapi ianya tidak akan hilang sepenuhnya.


Gambarajah 1: Parut yang optima selepas pembedahan membuang tahi lalat

Bagaimana Parut Terbentuk

Apabila tisu atau kulit tercedera, badan akan menghasilkan sejenis protein yang dipanggil kolagen.  Kolagen membantu dalam proses penyembuhan dengan menghasilkan jaringan yang menguatkan tisu yang tercedera. Dalam masa tiga hingga lima bulan kolagen  dan saluran darah yang baru terbentuk dengan aktif menyebabkan parut kelihatan tebal dan kemerah-merahan.

Proses ini akan berlanjutan sehingga satu tahap di mana jaringan kolagen yang terbentuk akan terlerai dan pengaliran ke saluran darah menurun. Parut akan kelihatan semakin rata, lembut dan pudar. Parut yang sedemikian dkenali sebagail parut matang.

Sekiranya penghasilan kolagen berlebihan dan tidak teratur, tisu fibrosis akan meningkat menyebabkan parut lebih tebal dari permukaan kulit dan keras.

Di Mana Parut Boleh Terbentuk

Parut boleh terbentuk di mana-mana bahagian tubuh pesakit. Kualiti parut bergantung kepada seseorang individu dan boleh dipengaruhi oleh faktor genetik, warna kulit, bahagian tubuh yang tercedera, umur dan komplikasi semasa proses penyembuhan.

Bahagian tubuh seperti dada, belakang, cuping telinga dan bahu mempunyai risiko untuk mendapat parut jenis keloid. Manakala parut pada bahagian sendi seperti lutut dan bahu boleh melebar disebabkan oleh pergerakan sendi. Parut pada bahagian sendi seperti jari, siku, ketiak dan leher juga boleh menyebabkan parut jenis kontraktur.

Individu yang mempunyai warna kulit yang gelap mempunyai risiko untuk mendapat keloid. Demikian juga individu yang mempuyai faktor keturunan dalam pembentukan parut hipertrofi atau keloid.

Luka yang tidak ditutup dengan baik atau luka yang mendapat komplikasi seperti jangkitan dan mengambil masa yang lama untuk sembuh akan menghasilkan parut yang hipertrofi atau keloid.

Pesakit muda dan remaja mempunyai risiko pembentukan parut berkomplikasi berbanding pesakit yang telah berusia lanjut disebabkan penurunan pembentukan kolagen.

Jenis-Jenis Parut

1) Parut Hipertrofi. Parut hipertrofi akan kelihatan tebal dari permukaan kulit dan berwarna kemerah-merahan.


Gambarajah 2: Parut hipertrofi pada pipi

2) Parut Keloid. Parut keloid terhasil akibat pembentukan tisu fibrosis yang berlebihan dan melibatkan kulit sekeliling yang normal. Parut ini bukan sahaja hodoh kerana warnanya yang lebih gelap, ianya juga boleh menyebabkan komplikasi lain seperti sakit, gatal dan mengganggu pergerakan tubuh.


Gambarajah 3: Parut keloid pada dada

3) Parut Atrofik. Parut atrofik adalah parut yang tenggelam atau melekuk ke dalam kulit. Parut jenis ini biasanya berlaku pada jerawat yang telah sembuh. Walaupun saiznya kecil tetapi kuantitinya banyak dan akan nampak ketara terutama pada bahagian muka.


Gambarajah 4: Parut atrofik pada muka

4) Parut Kontraktur. Parut kontraktur sering berlaku selepas kecederaan pada kulit akibat luka kebakaran, kelecuran atau kehilangan kulit akibat kecederaan lain. Tisu fibrosis akan menarik kulit di antara permukaan sendi seperti jari tangan, siku dan leher. Ianya juda boleh menarik kulit yang lembut seperti kelopak mata dan bibir.


Gambarajah 5: Parut kontraktur pada jari telunjuk

Rawatan

Parut yang telah terbentuk akan pudar mengikut masa tetapi ianya tidak akan hilang sepenuhnya. Namun demikian ada beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mencapai parut yang optima. Parut yang mempunyai komplikasi juga boleh dirawat mengikut keadaan parut tersebut.

  1. Teknik rawatan luka yang baik
    Pastikan kulit yang tercedera dirawat dengan baik. Teknik dan kesan jahitan yang betul akan menghasilkan kualiti parut yang baik.
  2. Elakkan jangkitan pada luka
    Pastikan keadaan luka bersih dan tidak dijangkiti kuman. Luka yang mengambil masa lebih dari dua minggu untuk sembuh akan menghasilkan parut hipertrofi atau keloid.
  3. Elakkan pendedahan pada cahaya matahari
    Pendedahan kepada cahaya matahari  akan menyebabkan parut lebih gelap dari kulit normal. Gunakan krim penutup cahaya dan pakaian yang boleh melindungi dari cahaya matahari semasa berada di luar.
  4. Urutan parut
    Urutan berkala pada parut dengan menggunakan minyak atau krim pelembab akan memberi tekanan pada tisu fibrosis dan menjadikan pengaliran darah ke tisu tersebut tidak aktif.
  5. Gel silikon
    Gel silikon membantu melembutkan parut yang terbentuk. Ianya boleh didapati dalam bentuk pepejal yang boleh diletakkan terus ke atas parut atau krim sapuan.
  6. Sarung tekanan khas (“pressure garment”)
    Ini merupakan pakaian yang dijahit khas mengikut tekanan yang sesuai dan dipakai ke atas parut. Sarung ini hendaklah dipakai setiap masa kecuali semasa mandi. Ianya perlu dipakai sekurang-kurangnya satu tahun iaitu sehingga parut mencapai tahap matang.
  7. Suntikan steroid
    Suntikan steroid ke dalam tisu parut membantu mengecutkan saluran darah dalam tisu tersebut dan seterusnya menyebabkan proses pembentukan tisu fibrosis menjadi tidak aktif. Walaubagaimanapun prosedur ini perlu dilakukan secara berkala sehingga parut menjadi rata.
  8. Perawatan Laser
    Ada sebilangan peralatan Laser yang boleh digunakan untuk merawat parut pada peringkat awal. Walaubagaimanpun kos rawatan merupakan faktor utama cara ini kurang mendapat sambutan.
  9. Perawatan kulit kurang invasif
    Perawatan lain seperti “microneedling”, “dermabrasion” dan sebagainya dapat membantu pembentukan semula kolagen dan lapisan kulit yang lebih rata.
    Prosedur “subcision” atau melepaskan tisu fibrosis dari bahagian bawah kulit boleh dilakukan untuk parut atrofik. Proses ini kemudian dibantu dengan mengisi semula bahagian bawah parut dengan menggunakan bahan seperti asid hialoronik atau lebih dikenali sebagai “Dermal fillers”.
  10. Pembedahan
    Pembedahan dilakukan sekiranya parut mempunyai komplikasi yang tidak diingini. Pembedahan seperti “ Z- plasty atau W- plasty” membantu untuk mengubah arah parut supaya tidak begitu ketara.
    Parut kontraktur perlu dibedah untuk melepaskan kulit yang tertarik. Ini akan menghasilkan luka baru dan perlu ditutup semula dengan kulit yang diambil dari bahagian tubuh yang lain seperti kulit peha.
    Pesakit yang menjalani pembedahan untuk perawatan parut mestilah memberi komitmen dalam program rehabilitasi parut untuk mengelakkan komplikasi parut berulang.

Gambarajah 6: Parut antara ibu jari dan jari telunjuk

 


Gambarajah 7: Pembukaan antara jari lebih luas selepas pembedahan “Z-plasty”

Rujukan

  1. NHS choices Scars- Treatment
    http://www.nhs.uk/Conditions/Scars/Pages/Treatmenr.aspx
  2. Scar Treatment: Types of Scars and Their Treatments.
    http://www.webmd.com/beauty/skin/cosmetic-procedures-scars

 

Semakan Akhir : 16 Januari 2015
Penulis : Dr. Salina bt. Ibrahim
Akreditor : Dr. Normala b. Hj Basiron

 

Artikel Berkaitan

Tidak Boleh Bercakap selepas Strok

Afasia adalah satu gangguan bahasa di mana seseorang hilang keupayaan samada satu atau lebih kemahiran iaitu memahami bahasa, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi serta menulis dan membaca.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,421,007

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia