A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Panduan Berguna Untuk Menangani...

Panduan Berguna Untuk Menangani Rasa Takut Terhadap Rawatan Pergigian!

Untuk sesetengah orang, apabila memikirkan berjumpa dengan doktor gigi mungkin membawa kepada perasaan bimbang dan rasa takut yang berterusan. Rawatan pergigian sering dikaitkan dengan kesakitan dan pengalaman yang buruk. Kebanyakkannya memikirkan bahawa rawatan pergigian hanyalah akan menyebabkan kesakitan kepada gigi dan gusi. Mereka berasa ngeri jika perlu mencabut gigi. Adakalanya, perasaan takut tersebut diwarisi daripada ibubapa kepada anak-anak. Kemungkinan kerana ibubapa yang mengalami fobia terhadap rawatan pergigian akan memberitahu cerita-cerita negatif tentang rawatan pergigian yang mereka alami. Trauma terhadap rawatan pergigian ketika kanak-kanak boleh menghalang seseorang daripada mendapatkan rawatan pergigian yang sempurna. Walau bagaimanapun, dengan teknik semasa, teknologi terkini dan doktor gigi yang terlatih, perasaan takut terhadap rawatan pergigian dapat dikurangkan dengan berkesan. Kenyataan mengenai rawatan pergigian tanpa kesakitan dipertikaikan oleh sebahagian orang tetapi satu perkara yang mengejutkan ialah ianya boleh dicapai dengan hanya mengamalkan panduan-panduan yang mudah dan latihan pemikiran sebelum menghadiri temujanji pergigian.

Terdapat beberapa panduan untuk mengurangkan rasa takut dan pemikiran negatif terhadap rawatan pergigian sekiranya anda memerlukannya.

Sebelum membuat temujanji dengan doktor gigi:

  1. Cari doktor gigi yang memahami dan empati dengan perasaan anda!Lakukan tinjauan untuk mencari doktor gigi yang boleh memahami masalah anda dan empati dengan perasaan takut atau fobia anda. Anda juga boleh bertanya dengan rakan-rakan, saudara-mara dan doktor perubatan anda tentang pengalaman positif mereka apabila berjumpa doktor gigi tertentu. Bacalah di dalam laman web mengenai pendapat atau komen masyarakat terhadap doktor gigi dan/atau klinik pergigian yang dapat membantu anda.
  2. Berfikiran positif!Fikirlah secara positif mengenai rawatan pergigian. Elakkan dari mendengar tentang pengalaman yang buruk dari orang lain. Cuba fokuskan pemikiran anda terhadap cerita-cerita yang menggembirakan dan mencipta imaginasi dan persepsi yang baik mengenai rawatan pergigian. Dapatkan maklumat mengenai prosedur pergigian yang dijalankan supaya anda boleh mendapat idea tentang proses rawatan secara keseluruhan.
  3. Lakukan lawatan pra-temujanji terhadap klinik yang dipilih!Anda boleh membuat permintaan untuk melakukan lawatan pra-temujanji ke klinik yang berkenaan samada di klinik kerajaan atau swasta untuk membiasakan diri anda dengan keadaan di sekitar klinik tersebut.
  4. Bawa seseorang untuk menemani anda!Anda bebas untuk membawa pasangan, rakan-rakan, adik-beradik atau saudara-mara pada temujanji pertama dan kebanyakan doktor gigi akan membenarkan mereka untuk menemani anda sepanjang prosedur dijalankan (seorang sahaja yang menemani sudah mencukupi!). Bagaimanapun, orang yang menemani anda haruslah boleh memberi sokongan emosi dan mempunyai sikap positif terhadap rawatan pergigian.
  5. Bawa bersama peralatan kegemaran anda!Ini termasuk buku, MP3, telefon pintar atau tablet dan ‘earphone’. Mendengar muzik atau menonton program kegemaran anda semasa prosedur rawatan pergigian dijalankan boleh mengalihkan perhatian anda daripada bunyi mesin gerudi pergigian yang mungkin mengganggu.
  6. Apabila anda menghubungi klinik pergigian tersebut, sila maklumkan kepada mereka mengenai situasi anda supaya mereka boleh memberikan tempoh masa yang sesuai untuk temujajni anda. Mereka mungkin memerlukan lebih masa bagi membolehkan anda melalui temujanji pertama dengan selesa dan tenang.

Semasa temujanji dengan doktor gigi:

  1. Terangkan perasaan anda dalam bahasa yang mudah! Sila beritahu kepada doktor gigi dan kakitangan di klinik tersebut mengenai perasaan takut anda terhadap rawatan pergigian. Pastikan doktor gigi yang anda pilih adalah seorang yang menerima maklumbalas yang baik daripada pesakitnya sebelum ini. Sekiranya doktor gigi tersebut tidak dapat membantu anda, anda boleh meminta beliau mencadangkan mana-mana doktor gigi yang boleh menangani pesakit yang mempunyai perasaan takut/ fobia terhadap rawatan pergigian.
  2. Bertenang!Tarik nafas sedalam-dalamnya dengan perlahan, tahan nafas dan lepaskannya perlahan-lahan. Cuba kekalkan emosi dalam keadaan tenang semasa berada di atas kerusi pergigian. Memegang tangan orang yang menemani anda adakalanya boleh membantu. Mendengar dengan teliti percakapan doktor gigi kerana beliau mungkin akan bertanya soalan yang penting kepada anda. Jawapan anda mungkin boleh membantu mengurangkan perasaan takut tersebut.
  3. Beritahu doktor gigi supays menerangkan kepada anda setiap langkah rawatan yang akan dilakukan!Bagi sesetengah orang, perasaan takut akan berkurangan dengan mendapatkan penerangan yang mendalam mengenai prosedur yang akan dilakukan. Namun demikian, terdapat individu yang akan merasa lebih selesa tanpa mengetahui apa yang akan dilakukan. Oleh itu, anda hendaklah mengenal pasti anda berada di golongan yang mana dan beritahu doktor gigi kerana ini boleh membantu anda dan doktor gigi untuk mengatasi masalah yang anda hadapi.
  4. Bincang dengan doktor gigi anda supaya anda boleh meminta beliau berhenti seketika semasa rawatan dijalankan pada bila-bila masa dengan cara memberi tanda isyarat yang mudah seperti mengangkat tangan.
  5. Satu jenis rawatan pada satu masa!Anda boleh berbincang dengan doktor gigi tentang rawatan yang akan diterima. Tiada masalah sekiranya anda ingin memulakan dengan rawatan yang mudah dan melakukan rawatan yang lebih kompleks pada temujanji berikutnya.

Teknik-teknik lain yang boleh mengurangkan rasa takut terhadap rawatan pergigian.

  1. Sekiranya anda mengalami rasa takut yang melampau, anda boleh bertemu dengan kaunselor atau pakar psikiatri untuk berbincang tentang masalah anda.
  2. Sedasi Nitrous oxide (Gas ketawa)Dalam prosedur ini, gas nitrous oxide digunakan untuk pesakit bernafas, yang akan membantu menghilangkan rasa bimbang dan takut tetapi masih lagi sedar sepenuhnya semasa rawatan pergigian dijalankan.
  3. Sedasi oralUbat anti-kebimbangan yang diberikan kepada pesakit dan akan menyumbang kepada rasa tenang, selesa dan hilang ingatan sementara.
  4. Bius UmumProsedur ini mesti dilakukan di Dewan Bedah dimana pesakit akan dikendalikan oleh pakar bius yang akan menyebabkan pesakit tidak sedar sepenuhnya.

Bagaimanapun, tidak semua klinik gigi menyediakan teknik-teknik seperti di atas.

 

Semakan Akhir : 15 Januari 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Siti Zaleha bt. Hamzah
Akreditor : Dr. Norjehan bt. Yahaya

 

Artikel Berkaitan

Leukoplakia Oral

Leukoplakia ditakrifkan sebagai tompokan putih atau plak yang tidak boleh dicirikan sebagai penyakit-penyakit spesifik yang lain secara klinikal atau patologi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,236,074

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia