Home > Bayi & Kanak-Kanak > Sakit Sendi

Sakit Sendi

Sakit sendi di kalangan kanak-kanak bukan sesuatu perkara yang luar biasa. Sakit sendi secara amnya merupakan gejala yang tidak khusus dan tiada kaitan dengan sebarang penyakit. Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan kecil kanak-kanak yang mengalami sakit sendi disebabkan oleh penyakit tertentu.

Kesakitan sendi

Kesakitan sendi boleh disebabkan oleh masalah yang berasal dari pelbagai struktur di dalam atau luar/ sekeliling sendi. Penyakit atau trauma pada struktur sendi akan menyebabkan rasa sakit (rujuk kepada rajah sendi).

Kadang-kala, kesakitan sendi bukan berpunca dari sendi itu sendiri tetapi disebabkan oleh penyakit yang berlaku di bahagian badan yang lain. Keadaan ini dinamakan sebagai ‘referred pain’.

Selain daripada rasa sakit, simptom-simptom lain yang mungkin menunjukkan bahawa sendi tersebut bermasalah ialah seperti berikut:

  • Ketegangan sendi.
  • Pembengkakan sendi.
  • Sendi terlibat terasa lebih panas apabila disentuh.
  • Pergerakan sendi yang terhad.
  • Sendi tersekat (‘locking’).

Mungkin terdapat simptom-simptom sistemik yang lain seperti:

  • Demam.
  • Ruam kulit.
  • Pengurangan berat badan atau hilang selera makan.
  • Radang mata.
  • Ulser di mulut atau kemaluan.
  • Sakit atau ketegangan belakang.
  • Sakit di bahagian punggung.
  • Kelemahan otot.
  • Simptom usus : cirit-birit, najis berdarah.
  • Gejala penyakit lain seperti hemofilia, penyakit hati kronik, gangguan usus perut.

Apakah punca sakit sendi?

Terdapat pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kesakitan sendi seperti berikut.

Penyakit yang melibatkan satu sendi:

  • Trauma.
  • Haemarthrosis.
  • Jangkitan dalam sendi ataupun tulang – septic arthritis, osteomyelitis, tuberculous arthritis.
  • Osteonecrosis – Osgood Schlatter syndrome, Severs syndrome.
  • Reactive Arthritis.
  • Juvenile Idiopathic Arthritis.
  • Avascular necrosis.
  • Osteoarthritis / Degenerative joint conditions.
  • Idiopathic Chondrolysis.
  • Barah.

Penyakit yang melibatkan pelbagai sendi:

  • Benign hypermobility syndrome.
  • Benign nocturnal night pain (Growing pain).
  • Juvenile Idiopathic Arthritis.
  • Connective Tissue Disorders – Systemic Lupus Erythematosus, Juvenile Dermatomyositis.
  • Acute Rheumatic Fever.
  • Post Streptococcal Arthritis.
  • Henoch Schonlein Purpura.
  • Chronic Multifocal Osteomyelitis.
  • Cryopyrin Associated Periodic Syndromes (CAPS).

Kesakitan pada sesuatu sendi tidak bermaksud ada masalah pada sendi tersebut. Terdapat segolongan kanak-kanak yang mungkin mengalami sakit sendi sebagai satu petanda penyakit yang kronik. Namun tiada masalah yang dapat dikesan dalam sendi yang terlibat. Kesakitan yang dialami berpunca daripada modulasi sensasi kesakitan kanak-kanak tersebut dan mereka memerlukan pemeriksaan pakar.

Benign Nocturnal Night Pain (“Growing Pains”)

Keadaan ini biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 7 tahun tetapi boleh berlaku seawal umur 2 tahun. Kesakitan yang agak teruk dialami di kedua-dua bahagian kaki. Sakit biasanya berlaku pada waktu malam dan mungkin mengejutkan kanak-kanak dari tidurnya. Kesakitan akan hilang sepenuhnya pada keesokkan pagi.

Kanak-kanak ini berada dalam keadaan sihat sekiranya tiada mengalami kesakitan. Gejala sakit ini biasanya berlaku secara sekejap-sekejap sahaja tetapi untuk segelintir kanak-kanak, ia mungkin berlaku setiap hari. Pada hari-hari di mana kanak-kanak menjalankan senaman ataupun aktiviti fizikal, rasa sakit ini mungkin menjadi lebih ketara. Kesakitan boleh dikurangkan dengan urutan, pek haba ataupun ubat penahan sakit seperti paracetamol.

Gejala ini agak membimbangkan tetapi tidak berbahaya kepada kanak-kanak. Keadaan ini biasanya akan berkurangan apabila kanak-kanak mencecah umur 6 hingga 7 tahun.

Apakah komplikasi yang berkaitan dengan kesakitan sendi ?

Komplikasi adalah berkaitan dengan masalah sendi yang terjejas.

Segera dapatkan rawatan sekiranya terdapat tanda-tanda kecemasan berikut:

  • Pembengkakan pada atau sekitar sendi.
  • Kulit merah-merahan atau perubahan pada sekeliling sendi.
  • Demam panas beserta sakit sendi.
  • Kebengkakan, kemerahan atau rasa sakit pada beberapa sendi.
  • Sakit sendi yang teruk pada waktu malam hingga ke pagi.
  • Ketegangan sendi terutamanya pada waktu pagi.
  • Sendi seperti tersekat/terlekat.
  • Ruam pada badan beserta sakit sendi.
  • Sebarang rasa sakit pada sendi.
  • Berjalan dengan incang-incut (limping).
  • Kesukaran menggerakkan sendi seperti biasa.

Bagaimanakah penyakit sendi dikesan?

Sebarang kesakitan sendi perlu diperiksa oleh doktor. Berikut adalah langkah-langkah yang biasa dilakukan untuk mengesan punca sakit sendi:

  • Sejarah penyakit – Tanda atau gejala yang pernah dialami, termasuk tanda atau gejala yang berkaitan dengan masalah kesihatan semasa yang lain.
  • Pemeriksaan badan – Pemeriksaan yang teliti pada sendi serta seluruh badan.
  • Pengimejan – Laporan pengimejan seperti sinar-X kadang-kadang turut diperlukan. Namun, laporan pengimejan semata-mata tidak boleh digunakan untuk diagnosa penyakit sendi.
  • Ujian darah – Ujian darah tertentu membantu dalam proses diagnosa. Namun, perlu ditafsirkan bersama laporan klinikal yang lain.

Bagaimana sakit sendi dirawat?

Ia bergantung kepada punca yang menyebabkan kesakitan. Tiada rawatan khusus untuk benign hypermobility syndrome dan benign nocturnal pain. Hanya kes-kes tertentu sahaja yang memerlukan rawatan seperti ubat-ubatan, fisioterapi, terapi cara kerja serta kaunseling.

Apa yang perlu saya lakukan jika anak saya mengalami sakit sendi?

Dapatkan nasihat doktor dan bawa anak anda ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Semakan Akhir : 27 Mac 2013
Penulis : Dr. Lim Sern Chin