Otot

Pengenalan

Selepas berumur 30 tahun, jumlah dan saiz fiber otot berkurangan secara perlahan dan menyebabkan penurunan dalam otot skeletal dan jisim badan. Proses ini dinamakan “sarcopenia”. Proses ini mungkin dipercepatkan sekiranya anda mengamalkan cara hidup yang tidak aktif. Kekuatan otot boleh dipelihara dan ditingkatkan walaupun pada usia lanjut melalui senaman yang berkala. Terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi pembentukkan sarcopenia seperti penurunan bilangan sel saraf, kekurangan hormone tumbesaran (growth hormone), menurunnya kebolehan tubuh untuk mensintesis protein dan kekurangan pengambilan protein ataupun kalori untuk mengekalkan jisim otot.

Di kalangan orang muda yang sihat, 30% berat badannya adalah terdiri daripada otot, 20% tisu adipos dan 10% tulang. Pada  usia 75 tahun, separuh dari jumlah jisim otot telah hilang, di mana 15% dari berat badan yang tinggal terdiri daripada otot, 40% tisu adipos dan 8% tulang.

Pada usia antara 25 dan 75 tahun, proposi lemak badan dengan jumlah berat meningkat dua kali ganda. Jumlah lemak tidak berkurangan tetapi tersebar dari kulit ke bahagian dalaman organ. Bagi kaum wanita lemak banyak disimpan di bahagian bawah badan seperti paha dan pinggul sedangkan lelaki di bahagian abdomen (perut).

  • Lelaki – kenaikan berat badan berterusan hingga pertengahan 50-an kemudian menurun dan meningkat semula dalam umur 60-an dan 70-an.

  • Wanita – kenaikan berat badan berterusan hingga lewat 60-an, kemudian menurun pada kadar yang perlahan daripada lelaki.

Gejala dan Tanda

Jika proses sarcopenia berterusan, anda akan mengalami lemah otot dan kekurangan stamina. Gejala-gejala ini akan lebih ketara jika terdapat masalah otot yang lain seperti myositis, myopathy and myasthenia.

Berjaga-jaga sekiranya terdapat tanda-tanda amaran seperti berikut:

  • Sakit atau lemah otot (biasanya berlaku pada otot bahu dan otot paha)

  • Ruam pada kulit (sesetengah jenis penyakit myositis)

  • Gejala yang muncul selepas pengambilan ubat-ubatan atau minuman beralkohol (cth: ubat steroid, ubat tradisional dan sesetengah ubat antibiotik).

  • Pengurangan berat dan selera makan.

  • Dapatkan nasihat doktor sekiranya terdapat tanda-tanda amaran di atas.

Komplikasi

Otot yang lemah boleh menyebabkan anda tidak boleh berjalan atau terus lumpuh jika tidak dirawat.

Rawatan/ Pencegahan

  • Punca sarcopenia akan dikenalpasti dan dirawat atau dirujuk kepada pakar jika ada.

  • Cara hidup dan makan secara sihat serta senaman yang berkala akan mengurangkan kandungan lemak dalam badan dan meningkatkan kekuatan dan jisim otot.

  • Latihan ketahanan atau resistan menggunakan pemberat atau gelung regangan merupakan senaman yang boleh meningkatkan kekuatan otot. Ianya juga sangat bermanafaat untuk pencegahan dan rawatan sarcopenia.

  • Bagi hasil yang optima dengan kecederaan yang minima, pastikan ianya dilakukan dengan bilangan, kekerapan dan intensiti yang betul.

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Sanidah binti Md. Ali
Penyemak : Dr. Radziah binti Jabir