A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ortodontik Mini – Skru

Mini-skru diperolehi daripada teknologi penetapan tulang. Ia bergantung kepada pengekalan mekanikal dan bukannya osseointegrasi.

Apakah yang dimaksudkan dengan ortodontik mini-skru?

Ia adalah sejenis skru bersaiz kecil (diameter 1.5-2.0 mm) yang dimasukkan (screwed) ke dalam tulang rahang melalui gusi untuk mengawal pergerakan gigi semasa rawatan ortodontik (pendakap). Mini-skru diperbuat sama ada daripada titanium atau aloi titanium, oleh itu ia bersifat biocompatible. Mini skru juga dikenali sebagai mini implan atau peranti pegangan sementara Temporary Anchorage Device (TADS).

Mini-skru diperolehi daripada teknologi penetapan tulang. Ia bergantung kepada pengekalan mekanikal dan bukannya osseointegrasi. Dalam erti kata lain, skru ini dilekatkan ke tulang melalui ikatan fizikal antara alur skru dan tulang, bukan melalui ikatan biologi dengan tulang. Oleh itu, mini-skru boleh segera dikenakan daya dan mudah dikeluarkan untuk ditanggalkan pada bila-bila masa selepas dimasukkan. Mini-skru dipasangkan buat sementara waktu ke tulang untuk menyediakan pegangan rangka atau pusat penambatan yang utama. Pegangan ini mempunyai ciri-ciri yang membolehkan daya digunakan untuk menggerakkan gigi. Daya- daya ini adalah stabil dimana mini-skru ini berfungsi sebagai alat penambatan.

Mengapa saya perlu memakai mini-skru?

Rawatan ortodontik digunakan untuk membetulkan gigi yang tidak teratur atau berlapis dimana gigi yang terjejas digerakan atau disusun kepada kedudukan yang betul. Gigi diatur dengan menggunakan pendakap (perkakas ortodontik). Kadang-kadang pergerakan gigi yang tidak diingini boleh berlaku dan menjejaskan hasil rawatan. Beberapa kaedah telah dibangunkan untuk menstabilkan gigi penambat (anchor) dengan menggunakan peranti yang dipasangkan ke pendakap. Peranti ini boleh dipasang di dalam dan / atau di luar mulut.

Mini-skru telah dimasukan sebagai salah satu kaedah rawatan ortodontik untuk menyediakan struktur yang stabil bagi penambatan pelbagai jenis pergerakan gigi. Ia telah digunakan dalam pelbagai jenis keadaan termasuk pembetulan overjet yang besar (jongang), gigitan dalam (pertindihan gigi hadapan bawah yang banyak oleh gigi hadapan atas), gigitan terbuka (atas dan bawah gigi hadapan tidak menyentuh), menarik gigi yang terbenam dalam gusi dan menutup ruang. Ia juga telah digunakan untuk merawat masalah gigitan yang berkaitan dengan saiz rahang yang tidak seimbang, yang mana sebelum ini terpaksa dirawat melalui pembedahan rahang. Perkembangan mini skru telah meningkatkan kecekapan dan skop rawatan ortodontik.

Mini-skru kebiasaannya diletakkan di antara akar gigi dan kadang-kadang di bahagian lelangit. Ia akan dihubungkan pada pendakap tetap, dan bertindak sebagai pusat penambatan untuk membolehkan pergerakan gigi yang tepat berlaku semasa rawatan.

Penggunaan mini skru telah menjadi semakin popular kerana ianya bersaiz kecil, mudah dipasang dan tidak bergantung kepada kerjasama pesakit.

Bagaimanakah mini skru akan dipasangkan?

Mini skru boleh dipasang pada bila-bila masa semasa rawatan pendakap oleh pakar ortodontik. Sebelum pemasangan mini-skru, bius setempat akan diberikan untuk mengebaskan gusi di tempat penempatan skru. Gel bius juga boleh digunakan pada permukaan gusi sebelum suntikan untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Pesakit dinasihatkan untuk berkumur dengan ubat kumur 0.2% chlorhexidine gluconate selama satu minit. Ini adalah untuk mengurangkan jumlah bakteria di kawasan pemasangan skru dan mengurangkan risiko jangkitan.

Pemasangan mini skru boleh dilakukan dengan atau tanpa pra-penggerudian. Ini bergantung kepada kawasan pemasangan dan jenis mini-skru yang digunakan. Mini-skru jenis self-drilling boleh dimasukkan terus kedalam gusi dan ke dalam tulang tanpa penggerudian. Walau bagaimanapun, apabila menggunakan mini-skru jenis self-tapping, pada pemasangan ke dalam tulang yang tebal, lubang boleh digerudi ke dalam tulang rahang sebelum pemasangan mini-skru ini. Ini adalah untuk memudahkan pemasangan mini-skru dengan mengurangkan risiko skru patah. Bagi sesetengah skru, pemotongan gusi dan pendedahan tulang mungkin diperlukan untuk membantu pemasangan.

Mini-skru boleh digunakan dengan segera selepas pemasangan atau pada lawatan berikutnya.

Adakah ia akan menyakitkan?

Pesakit mungkin merasa sedikit ketidakselesaan apabila mini skru dimasukkan. Apabila rasa kebas telah hilang, mereka mungkin merasa tidak selesa dalam masa 24 jam dan ketidakselesaan itu akan hilang dengan sendirinya. Pengambilan ubat penahan sakit yang ringan (seperti parasetamol, ibuprofen) boleh juga digunakan untuk melegakan ketidakselesaan ini. Gusi di sekeliling skru mungkin merasa sensitif apabila disentuh selama satu atau dua hari.

Cara penjagaan selepas prosedur

Selepas prosedur, gusi disekitar mini skru mesti sentiasa dijaga bersih dan sihat untuk memastikan mini skru ini bertahan lama. Pengumpulan plak (sisa makanan) berhampiran dengan skru boleh menyebabkan peradangan dan jangkitan, yang boleh membawa kepada kegagalan mini skru. Pesakit perlu menahan diri daripada merokok selama 24 jam selepas prosedur. Mereka dinasihatkan supaya tidak menyentuh skru dengan jari atau lidah mereka.

Penggunaan berus gigi elektrik disekitar mini skru adalah tidak digalakkan. Sebaliknya, pesakit perlu memberus dengan pelahan-lahan disekitar mini-skru dua kali sehari dan menggunakan ubat gigi berflourida dan berus gigi yang berkepala kecil. Berkumur dengan ubat kumur chlorhexidine dua kali sehari selama 5 hari pertama mungkin diperlukan.

Kebanyakan mini skru kekal stabil (tidak longgar) semasa rawatan pendakap dan hanya terdapat sedikit keradangan dan ketidakselesaan. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi longgar pada sesetengah keadaan dan terpaksa dibuang atau diganti. Lilin ortodontik boleh diletakkan pada kepala mini-skru bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh mana-mana permukaan yang menonjol atau tepi skru yang berasa tajam.

Pesakit dinasihatkan untuk menghubungi pakar ortodontik mereka jika mereka mengalami mana-mana gejala seperti berikut :-

Pendarahan berterusan, bengkak, sakit atau ketidakselesaan di sekitar mini-skru.

Risiko yang berhubung kait dengan penggunaan mini-skru

Beberapa risiko dan kesan sampingan terhadap penggunaan mini-skru secara klinikal telah dikesan dan disebutkan dalam jurnal penyelidikan.

Kerosakan akar

Mini-skru sering diletakkan di antara akar gigi. Kecederaan pada permukaan akar boleh berlaku apabila secara tidak senjaga mini-skru terkena akar gigi semasa pemasangannya. Walau bagaimanapun, kajian telah menunjukkan bahawa permukaan akar yang rosak akan pulih sepenuhnya dalam 12-18 bulan selepas penyingkiran skru.

Kegagalan Mini-skru

Mini-skru boleh menjadi longgar sebaik sahaja selepas pemasangan atau selepas 1-2 bulan. Ia boleh digantikan (dimasukkan semula) pada kedudukan yang sama pada lawatan berikutnya atau di lokasi yang berbeza. Kadar kejayaan penggunaan mini-skru adalah lebih besar daripada 80 peratus seperti yang dilaporkan dalam laporan penyelidikan.

Mini-skru patah

Patah (kerosakan), terutama bahagian hujung skru mungkin berlaku apabila mini-skru tersentuh akar gigi semasa proses pemasangan. Hujung patah boleh ditinggalkan dalam tulang tanpa menimbulkan sebarang masalah. Dalam keadaan tertentu di jika penyingkiran sebahagian patah diperlukan, maka ianya boleh dilakukan dengan prosedur pembedahan kecil.

Masalah tisu lembut

Tisu yang bersebelahan dengan kepala mini-skru mungkin tercedera terutamanya jika skru mempunyai tepi yang menonjol atau tajam. Jangkitan pada tisu sekitar skru biasanya sedikit dan akan pulih dengan sendirinya. Jangkitan akut jarang terlihat dan mudah disembuhkan dengan antibiotik atau penanggalan skru dengan serta-merta. Kajian telah menunjukkan bahawa keradangan tisu lembut berkait rapat dengan peningkatan 30 peratus kegagalan mini skru.

Berapa lama mini skru akan berada di dalam mulut saya?

Pakar ortodontik akan menentukan berapa lama mini skru perlu dipasang di dalam mulut. Dalam kebanyakan kes, mini skru akan dipasang selama beberapa bulan sehingga pergerakan gigi yang dikehendaki telah selesai. Jika terdapat keraguan tentang keperluan terhadap pegangan (anchor) pada masa depan, ia boleh ditinggalkan di situ untuk beberapa bulan.

Mini-skru boleh dikeluarkan dengan mudah, biasanya tanpa memerlukan bius setempat. Tiada langkah penjagaan yang khusus selepas penanggalan mini skru di perlukan (contohnya: jahitan atau ubat tahan sakit). Gusi dan tulang akan sembuh dalam tempoh beberapa hari tanpa sebarang masalah.

Rujukan

  1. Cousley, Richard R.J. (2013). The orthodontic mini-implant Clinical Handbook. United Kingdom : Wiley Blackwell
  2. Shingo Kuroda and Eiji Tanaka (2014). Risks and complications of miniscrew anchorage in clinical orthodontics. Japanese Dental Science Review. 50(4), 79-85.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Soh Huey Shyen
Penterjemah : Dr. Suryati Hartini bt. Mohamed Zini
Akreditor : Dr. Rafeaah bt. Ayat Khan
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Gusi Berdarah

Keadaan pendarahan gusi adalah tidak sihat, oleh itu ia tidak

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,314,848

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia