Home > Umum > Radiologi > Kaedah Pemeriksaan > ORTHOPANTOMOGRAPHY (OPG)

ORTHOPANTOMOGRAPHY (OPG)

Apakah OPG?

Orthopantomography (OPG) merupakan salah satu cara untuk memperlihatkan gigi dan rahang dengan menggunakan sumber X-ray. OPG digunakan oleh doktor untuk mengetahui masalah berkaitan gigi dan menentukan cara rawatan gigi.

Antara sebab-sebab OPG diperlukan:

  • Mengenalpasti sebab sakit atau bengkak gigi dan gusi.

  • Mengenalpasti gigi yang tidak teratur.

  • Merancang rawatan untuk gigi berlubang atau pembedahan saluran akar gigi.

  • Merancang untuk rawatan ortodontik (membetulkan susunan gigi dan memperbaiki kedudukan rahang yang tidak teratur).[1]

Bagaimanakah Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini.

  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.

  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.

Sebelum OPG

  • Juru X-ray akan menerangkan kaedah memposisikan pesakit mengikut posisi yang tertentu dan X-ray didedahkan untuk mendapatkan imej.

  • Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.

  • Anda perlu menanggalkan objek berasaskan besi seperti klip rambut, subang dan rantai leher, untuk mengelakkan artifak pada imej.

Semasa OPG

  • Nama anda akan dipanggil dan dibawa masuk ke bilik OPG.

  • Anda akan diminta untuk memakai baju plumbum sebagai perlidungan kepada radiasi serakan.

  • Anda akan diminta berdiri berdekatan dengan mesin OPG.

  • Juru X-ray akan memposisikan anda semasa mengikut keperluan pemeriksaan.

  • Setelah memposisikan anda, Juru X-ray akan membuat dedahan X-ray untuk merakamkan imej.

  • Semasa dedahan X-ray ini bahagian tiub X-ray akan berpusing mengelilingi kepala anda. Anda diminta untuk tidak bergerak semasa mesin bergerak di sekeliling kepala. Mesin yang bergerak di sekeliling kepala anda, tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat.

Selepas OPG

  • Juru X-ray akan mengeluarkan anda dari mesin OPG.

  • Baju plumbum akan ditanggalkan.

  • Anda akan dibenarkan beredar setelah pemeriksaan tamat.

Posisi untuk OPG Keseluruhan gigi dan rahang diperlihatkan

Gambar 1 : Posisi pesakit yang diperlukan dan imej OPG.

Sumber: www.gendex.com/US/Products/Panoramic-X-ray-Systems/Gendex-GXDP-300.aspx

Teknik baru

  • Teknik baru dalam pemeriksaan X-ray gigi ialah Cone Beam Computed Tomography (CBCT). CBCT membolehkan imej dimanipulasi dan diproses menggunakan komputer untuk melihat gigi dan rahang dalam pelbagai arah. CBCT dilakukan menggunakan mesin digital.

Gambar 2: Imej OPG yang dihasilkan menggunakan CBCT dan imej sebatang gigi yang dirotasikan.

Sumber: www.reedyforddental.com/cone-beam-referrals.html

Rujukan

  1. Gendex GXDP-300™, Digital Panoramic X-ray System, http://www.gendex.com/US/Products/Panoramic-X-ray-Systems/Gendex-GXDP-300.aspx

  2. Reedyforddental centre, cone beam scanning, http://www.reedyforddental.com/cone-beam-referrals.html

  3. Panaromic Radiograph, 2014, http://en.wikipedia.org/wiki/Panoramic_radiograph

 

Semakan Akhir : 9 Jun 2014
Penulis : Solehah binti Ismail
Akreditor : Mohd Zin bin Yusof