A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Orlistat?

Orlistat merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan perencat enzim lipase. Ia berfungsi mengurangkan penyerapan lemak ke dalam badan. Orlistat tersedia dalam 2 kekuatan iaitu, 120mg dan 60mg. Buat masa ini, terdapat 6 produk mengandungi Orlistat yang berdaftar di Malaysia dan ianya hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor.

Bila Orlistat Diperlukan?

Orlistat adalah untuk rawatan obesiti dan ia merupakan rawatan jangka masa panjang (maksima 2 tahun). Orlistat diberikan apabila pesakit obese gagal menurunkan berat badan selepas 6 bulan mengamalkan diet sihat dan melakukan senaman.

Selain daripada itu, rawatan menggunakan Orlistat adalah untuk pesakit obese dengan:

    1. Indeks Jisim Badan (BMI) antara 25 dan 27.5 kg/m2 serta mempunyai 2 antara penyakit/keadaan berikut:
      • Penyakit diabetes (kencing manis)
      • Penyakit jantung
      • Penyakit yang memberi kesan pada fungsi otak seperti angin ahmar/strok
      • Hipertensi (darah tinggi)
      • Hiperlipidaemia (kandungan lemak yang tinggi dalam badan)
      • Ukur lilit pinggang melebihi 90 cm untuk lelaki dan 80 cm untuk perempuan

 

    1. BMI melebihi/sama dengan 27.5 kg/m2

 

  1. Tanda-tanda komplikasi obesiti seperti osteoarthritis (sakit sendi) yang teruk, kesukaran untuk bernafas semasa tidur dan radang esofagus (pesakit mengalami kesukaran untuk menelan, loya, muntah dan pedih ulu hati/heartburn)

Doktor akan mempertimbangkan keperluan memulakan rawatan menggunakan ubat setelah menilai dengan teliti risiko dan manfaat yang akan diperolehi oleh pesakit. Pemantauan rapi dan nasihat oleh ahli profesional kesihatan khususnya dalam skop kesan ubat semasa rawatan, perubahan cara pemakanan dan aktiviti fizikal, sokongan psikologi dan intervensi tingkah laku dapat membantu pesakit sepanjang proses rawatan.

Bagaimana Orlistat Bertindak Dalam Badan?

Enzim lipase wujud secara semulajadi dalam badan manusia. Enzim ini adalah untuk memecahkan molekul lemak daripada makanan yang diambil supaya ianya boleh diserap ke dalam badan.

Orlistat pula bertindak dengan menghalang fungsi enzim lipase. Ini menyebabkan molekul lemak kurang diserap ke dalam badan. Molekul lemak yang tidak diserap akan dibuang melalui najis.

Cara Pengambilan Orlistat

Pesakit disarankan untuk mengambil Orlistat, 3 kali sehari sebaik sebelum makan dan selewat-lewatnya 1 jam selepas makan.

Walau bagaimanapun, dos Orlistat tidak perlu diambil sekiranya anda tidak makan atau hidangan tersebut tidak mengandungi lemak. Oleh kerana Orlistat boleh mengurangkan penyerapan Vitamin A & E (vitamin larut lemak) pada sesetengah pesakit, mereka disarankan mengambil vitamin tambahan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum atau selepas Orlistat diambil. Penggunaan Orlistat adalah tidak disarankan untuk kanak-kanak, wanita mengandung atau menyusukan anak. Pesakit yang pernah mengambil Orlistat dan mengalami kesan sampingan terhadap ubat tersebut juga tidak disarankan untuk mengambil ubat ini.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami

  • Najis berminyak
  • Tidak mampu menahan untuk membuang air besar
  • Cirit-birit
  • Kembung dan sakit perut
  • Pening
  • Penat
  • Resah

Sila berhubung dengan doktor anda apabila anda mengalami kesan-kesan berikut:

  1. Gatal-gatal dan ruam
  2. Sesak nafas
  3. Kurang selera makan
  4. Kulit dan mata bertukar warna kuning
  5. Air kencing berwarna gelap
  6. Najis berwarna cerah
  7. Sakit pada bahagian atas kanan perut
  8. Sentiasa lemah dan penat
  9. Sentiasa mengalami sakit perut yang teruk

Perkara-Perkara Yang Perlu Diketahui

    1. Program aktiviti fizikal atau senaman yang tetap perlu dilakukan meskipun anda mengambil Orlistat. Ini kerana fungsi Orlistat adalah untuk menyerap sebahagian daripada molekul lemak daripada makanan yang diambil (lebih kurang sepertiga). Sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal atau senaman baru, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli professional kesihatan terlebih dahulu.

 

    1. Semasa pengambilan Orlistat, anda perlu mengamalkan pemakanan secara sihat. Anda perlu membahagikan jumlah lemak, karbohidrat dan protein dari makanan yang diambil ke dalam 3 hidangan utama. Anda juga perlu mengelak daripada mengambil makanan yang mengandungi lebih 30% kandungan lemak. Oleh itu, amalan menyemak label makanan terlebih dahulu amatlah penting semasa membeli-belah.

 

  1. Apabila anda berhenti mengambil Orlistat, kemungkinan penambahan berat badan boleh berlaku. Oleh itu, anda perlu mengekalkan berat badan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam secara kerap.
Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Nor Izyani bt. Hanafi
Penyemak : Norhayati bt. Musa

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,452

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia