A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Organisma ‘Alert’

Organisma ‘Alert’

Pengenalan / Definisi

Organisma ‘alert’ adalah kumpulan mikroorganimsa spesifik tersenarai di mana identifikasi perlu mengikut IPC Lead (Infection & Prevention Lead) yang berperanan dalam  :

  • Mengenalpasti organisma yang berpotensi menyebabkan jangkitan berhubungkait dengan penjagaan kesihatan
  • Mengenalpasti cara bagi mengurangkan kadar risiko jangkitan penyakit yang disebabkan organisma tersebut
  • Menyiasat tanda-tanda ‘alert’ jika kemungkinan berlakunya wabak

Definisi kes organisma ‘alert’ mesti memenuhi tiga kriteria :

  • Organisma ‘alert’ diasingkan daripada mana-mana bahagian anggota badan
  • Pesakit yang dimasukkan ke wad
  • Kes dirujuk sebagai ‘Kes yang baru dikenalpasti ‘Kes yang baru dikenalpasti termasuk: Organisma ‘alert’ dikenalpasti untuk kali pertama sepanjang kemasukan ke wad. Kes telah dikenalpasti di wad tetapi mesti kes baru untuk pesakit berkenaan. Maksudnya, pesakit tersebut telah terdedah dan mendapat jangkitan.

Jenis-Jenis Organisma ‘Alert’ Di Hospital

Senarai organisma ‘alert’ yang tersenarai di bawah pemantauan adalah:                      

  • MRSA (Methicillin Resistant Staphylococcus aureus)
  • ESBL (Extended Spectrum Beta Lactamases)
  • CRE (Carbapenem Resistant Enterobacteriaceae)
  • MRO (Multidrug Resistant Organisms)
  • VRE (Vancomycin Resistant Enterococci)

  kepelbagaian jenis organisma

MRSA atau dikenali sebagai Methicillin Resistant Staphylococcus aureus ialah bakteria Staphylococcus aureus yang kebal kepada antibiotik oxacillin atau cefoxitin melalui ujian kepekaan antibiotik atau memberi keputusan ujian positif bagi ujian penggumpalan lateks ‘Penicillin Binding Protein 2a (PBP2a) atau melalui ujian molekular pengesanan gen mecA. Ia juga memberi keputusan positif melalui ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) lain yang telah disahkan kaedahnya.

MRSA memberi impak negatif di hospital, penjara, rumah penjagaan dan pusat asuhan di mana pesakit yang mendapat jangkitan (terutama jika mengalami luka terbuka) dan sistem imun yang lemah berpotensi lebih tinggi mendapat jangkitan berhubungkait dengan penjagaan kesihatan berbanding di kawasan khalayak awam. MRSA pada mulanya dikenali sebagai Hospital Acquired Infection (HAI) atau dikenali juga sebagai HA-MRSA (Healthcare-Associated MRSA), tetapi berkembang menjadi status endemik dan kini telah wujud di kalangan komuniti, dikenali sebagai CA-MRSA (Community-Associated MRSA).

ESBL

ESBL atau dikenali sebagai Extended Spectrum Beta Lactamase adalah enzim yang menyebabkan tindakbalas kebal kepada antibiotik ‘extended-spectrum’ (generasi ketiga kumpulan cephalosporin iaitu ceftazidime, cefotaxime dan ceftriaxone) juga monobactams (aztreonam). CLSI (Clinical Laboratory Standard Institute) telah menyarankan ujian pengesahan ESBL yang dihasilkan oleh bakteria Klebsiella pneumoniae, Klebsiella oxytoca, Escherichia coli dan Proteus mirabilis dengan menjalankan ujian ‘phenotypic’ menggunakan  gabungan disk antibiotik cefotaxime dan ceftazidime, secara tunggal dan yang telah digabungkan dengan ‘clavulanic acid’ dengan melihat perbandingan diameter saiz zon kepekaan antara kedua-duanya.

Kebiasaannya, cara jangkitan adalah melalui sentuhan tangan yang tidak dicuci dengan sempurna. Faktor risiko jangkitan ESBL adalah melalui rawatan meluas dengan antibiotik, tinggal di dalam wad bagi tempoh yang lama terutamanya di Unit Rawatan Rapi, tahap keterukan penyakit (neutropaenia, pemindahan organ, hemodialisis atau ‘tube feeding’) dan penggunaan catheter. Saringan rutin bagi anggota penjagaan kesihatan tidak diperlukan. Sekiranya berlaku wabak bakteria ESBL, saringan perlu mengikut protokol bagi mengenalpasti kes baru jika ada.

CRE

CRE, atau dikenali sebagai Carbapenem Resistant Enterobacteriaceae adalah kumpulan mikroorganisma yang agak sukar dirawat kerana mempunyai tahap kekebalan (kerentanan) yang tinggi kepada antibiotik. Klebsiella species dan Escherichia coli adalah contoh bakteria dalam kumpulan Enterobacteriaceae yang biasa, namun boleh menjadi kebal kepada antibiotic Carbapenem. KPC (Klebsiella pneumoniae carbapenemase) dan NDM (New Delhi Metallo-beta lactamase) adalah contoh-contoh CRE. KPC dan NDM adalah gen yang mengkodkan penghasilan enzim carbapenemase yang memecahkan ikatan struktur antibiotik Carbapenem dan beta laktam antibiotik, menjadikannya tidak efektif untuk melawan bakteria.

Individu yang sihat biasanya tidak mendapat jangkitan CRE. Ia biasanya berisiko kepada pesakit di hospital, rumah penjagaan dan pusat-pusat kesihatan. Pesakit yang memerlukan penjagaan rapi contohnya melalui penggunaan alat bantuan pernafasan, catheter urin, catheter intravenous atau pesakit yang mengambil rawatan antibiotik dalam tempoh masa yang panjang adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan CRE.

Sebilangan bakteria CRE menjadi kebal kepada kebanyakan antibiotik sedia ada. Jangkitan dengan bakteria ini sangat sukar dirawat, dan boleh menyebabkan kematian. Laporan menunjukkan jangkitan bakteria ini boleh menyumbang kepada 50% kematian daripada pesakit yang dijangkiti.

Modified Hodge Test (MHT) ialah ujian saringan bagi pengesanan enzim Carbapenemase yang hadir dalam kumpulan Enterobacteriaceae. Kaedah ujian ini menggunakan Klebsiella pneumoniae ATCC BAA-1705 (sebagai kawalan mutu positif) and Klebsiella pneumoniae ATCC BAA-1706 (sebagai kawalan mutu negatif) bagi membezakan keputusan ujian positif dan negatif bagi pengesanan CRE.

Ujian MHT menunjukkan keputusan saringan CRE :                                               

No. 1) Kawalan mutu positif (Klebsiella pneumoniae ATCC BAA-1705)         

No. 2) Kawalan mutu negatif (Klebsiella pneumoniae ATCC BAA-1706)

No. 3) Sampel ujian (menunjukkan keputusan positif)

MRO

MRO atau dikenali sebagai Multidrug Resistant Organisms adalah bakteria yang kebal kepada beberapa kumpulan antibiotik di mana antibiotik tersebut tidak lagi mampu mengawal pertumbuhan atau membunuh bakteria.

Antibiotik adalah rawatan ubat yang penting. Ia membantu dalam melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Multidrug Resistant Organisms atau Organisma yang kebal kepada pelbagai kumpulan antibiotik, biasanya dikesan terutama di hospital dan pusat penjagaan (dalam tempoh yang panjang). Biasanya, berlaku kepada pesakit yang berumur, mempunyai sistem imun yang rendah dan boleh menyumbang kepada infeksi yang teruk. MRO berkembang apabila pesakit mengambil antibiotik dalam tempoh yang lama daripada keperluan atau semasa tidak diperlukan. Pada awalnya, hanya sebilangan bakteria yang mampu melawan antibiotik. Semakin kerap pengambilan dan pendedahan kepada antibiotik, semakin tinggi kadar bakteria yang kebal akan muncul. Kes MRO ini mampu memberi kesan buruk kepada komuniti.

Kebiasaannya, kes MRO disebarkan di kalangan pesakit melalui sentuhan tangan oleh anggota penjagaan kesihatan. Ia juga boleh tersebar melalui alat perubatan seperti carta perubatan, katil pesakit, meja & troli rawatan dan juga catheter. Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan secara terus dengan pesakit yang telah dijangkiti. Multidrug Resistant Organisms boleh menyebabkan jangkitan pada kebanyakan bahagian anggota badan termasuk dalam saluran darah, paru-paru, saluran kencing, luka, kulit dan sebagainya.

Jangkitan Multidrug Resistant Organism (MRO) ini sukar dirawat kerana ia tidak bertindakbalas kepada kebanyakan jenis antibiotik, termasuk antibiotik yang kuat. Namun, masih terdapat antibiotik yang boleh mengawal jangkitan MRO. Doktor akan mengenalpasti jenis MRO yang menyebabkan jangkitan bagi memastikan rawatan dengan antibiotik yang betul dapat diberikan kepada pesakit.

VRE

Enterococci adalah bakteria yang biasanya hadir dalam saluran usus, saluran peranakan wanita dan juga dari persekitaran. Bakteria ini kadangkala boleh menyebabkan jangkitan.  Vancomycin adalah antibiotik yang digunakan dalam merawat jangkitan yang kebal kepada antibiotik lain (yang disebabkan oleh Enterococci). Dalam sesetengah situasi, enterococci menjadi resistan kepada antibiotik ini, dan kes ini diklasifikasikan sebagai Vancomycin-Resistant Enterococci (VRE). Kebanyakan kes VRE berlaku di kalangan pesakit yang dirawat di hospital.

Individu yang dikolonisasi bakteria VRE (bakteria hadir, tetapi tiada symptom jangkitan) tidak perlu diberikan rawatan. Kebanyakan jangkitan VRE boleh dirawat dengan antibiotik selain daripada vancomycin seperti Linezolid dan Tigecycline. Ujian diagnostik makmal boleh menentukan jenis antibiotik yang mampu melawan jangkitan VRE. Penggantian atau pembuangan catheter apabila sudah tidak diperlukan lagi dapat mengelakkan jangkitan berterusan bagi pesakit yang mendapat jangkitan VRE pada bahagian pundi kencing.

Langkah Pencegahan Dan Kawalan ‘Alert Organism’

Secara umum, amalan harian dan langkah-langkah penjagaan perlu diamalkan apabila mengendalikan pusat penjagaan kesihatan:

  • Penyediaan kemudahan bilik asingan (isolasi) lengkap dengan tandas
  • Pembersihan tangan yang betul dalam keadaan berikut :
  1. Sebelum menyentuh pesakit
  2. Sebelum memulakan prosedur aseptik
  3. Selepas terdedah kepada cecair badan
  4. Selepas menyentuh pesakit
  5. Selepas menyentuh persekitaran pesakit

  • Mempraktiskan langkah pembersihan tangan yang betul
  • Pembersihan rutin kawasan persekitaran
  • Menggunakan kelengkapan penjagaan peribadi sendiri, dan perlu dinyah kuman jika berkongsi alat
  • Pemakaian alat kelengkapan perlindungan diri (Personal Protective Equipment – PPE)
  • Memakai sarung tangan dan gaun lengan panjang semasa mengendalikan proses pembersihan
  • Cucian rutin kawasan sekitar, tempat basuhan pakaian dan kelengkapan makan minum
  • Penggunaan antibiotik yang terkawal : Mengambil antibiotik hanya bila diperlukan, dan dalam tempoh seminima yang mungkin bagi menghalang penyebaran jangkitan MRO
  • Pemantauan : Hospital dan lain-lain pusat penjagaan kesihatan perlu memantau penyebaran MRO dan memberi panduan terbaik kepada anggota penjagaan kesihatan untuk mencegahnya.

Rujukan

  1. Centers for Disease Control & Prevention (CDC) Online
  2. NHS – Worcestershire : Infection and Prevention Control Countywide Health Services
  3. Alert Organism – Scribd Online
Semakan Akhir : 3 March 2017
Penulis : Aliyaisma binti Ariffin
Akreditor : Mohd Razali bin Hassan Sabery

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Kelamin

Penyakit kelamin boleh disebarkan melalui hubungan seks. Ia juga dikenali sebagai SexuallyTransmitted Infections (STI’s).

Lelaki

Anda boleh membuat beberapa ujian atau saringan untuk mengetahui adakah anda sihat atau tidak

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,102,534

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia