A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa itu Natberry?

Natberry adalah ekstrak bilberi dengan kandungan antosianidin yang diseragamkan kepada 25%. Satu tablet Natberry mengandungi 120mg ekstrak bilberi.

Kegunaan Natberry

Natberry digunakan untuk mengurangkan masalah rabun dan mata letih, manakala bilberi mempunyai sejarah penggunaan dalam pengubatan. Bermula abad ke-12, pakar herba Jerman Hildegard von Bingen (1098-1179) mengesyorkan pengambilan buah beri biru bagi melegakan senggugut, yang turut dilaporkan oleh pakar herba sekitar tahun 1700.

Bilberi kering pula telah digunakan untuk merawat cirit-birit, serta dijadikan ubat sapu bagi merawat keradangan di mulut dan tekak. Penggunaan tradisional lain termasuk untuk mengurangkan pengeluaran susu ibu, merawat jangkitan saluran kencing, mengawal diabetes dan sebagai makanan tambahan untuk mencegah penyakit skurvi.

Kini bilberi disyorkan untuk pelbagai kegunaan seperti:

  1. Rawatan simptomatik bagi penyakit arterosklerosis dan penyakit vaskular periferi

    Kajian in vitro dan haiwan menunjukkan ekstrak bilberi berguna dalam pencegahan penyakit vaskular dan mengurangkan pengoksidaan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL). Kandungan antosianidin dalam bilberi boleh menyebabkan penngembangkan salur darah dan menghalang pembekuan darah, lantas menggalakkan pengaliran darah.Tambahan pula, antosianidin juga meningkatkan penyilangan kolagen yang menyebabkan kebolehtelapan vesikel berkurang.

  2. Pencegahan katarak

    Pengambilan bilberi bersama vitamin E, disyorkan untuk mencegah katarak. Bilberi disifatkan sebagai antioksidan kerana kandungan bioflavonoid. Hipotesis menyatakan bioflavonoid ini dapat melindungi kanta mata daripada kerosakan akibat radikal bebas dengan melambatkan proses kelegapan kanta.

  3. Rawatan Chronic Venous Insufficiency – CVI

    Ekstrak bilberi sering digunakan untuk rawatan CVI di Eropah. Kajian menunjukkan , ekstrak bilberi mengurangkan edema serta melegakan rasa ketidakselesaan akibat penyakit ini. Namun, kesahihannya diragui kerana metodologi kajian dipersoalkan.

  4. Merawat cirit-birit

    Ekstrak tanin dalam bilberi meredakan cirit-birit. Kajian terkini menunjukkan tindak balas positif di kalangan pesakit yang mengalami radang usus besar (kolitis) biasa dan sederhana serta sindrom usus yang terganggu (irritable bowel syndrome – IBS).

  5. Rawatan simptomatik dismenorea (senggugut)

    Bioflavanoid dan ekstrak antosianidin dalam bilberi dikatakan melegakan gejala senggugut dengan menenangkan otot-otot yang menyebabkan senggugut. Kajian ke atas pesakit dismenoreakolitis dan sindrom usus yang terganggu (IBS) mendapati rawatan menggunakan bilberi mengurangkan kesakitan pada pelvik, lumbosakrum dan payudara serta mual, muntah-muntah dan sakit kepala.

  6. Rawatan penyakit fibrosista payudara

    Bukti awal menunjukkan bilberi mungkin bermanfaat untuk merawat penyakit fibrosista payudara.

  7. Mencegah glaucoma

    Kajian ekstrak bilberi dengan kulit kayu ‘pine’ menunjukkan penurunan tekanan intraokular mata selepas tiga bulan, sekaligus mengurangkan risiko glaukoma. Walau bagaimanapun, penemuan diragui kerana terdapat kelemahan dalam metodologi kajian.

  8. Rawatan ulser peptik

    Kajian ke atas haiwan menunjukkan bilberi boleh menyembuhkan ulser kerana flavonoid mengandungi sianidina klorida.Ekstrak bilberi merencat pembiakan bakteria H. Pylori yang terdapat dalam kebanyakan kes ulser gastrik dan duodenum.

  9. Rawatan retinopati dan vaskular diabetes

    Kajian ke atas haiwan dan plasebo terkawal menunjukkan keputusan yang memberangsangkan dalam merawat retinopati. Namun, keberkesanannya masih belum disahkan. Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa bilberi mempunyai kesan perlindungan terhadap radang retina dan membantu mengawal kristallin yang meransang pertumbuhan sel saraf retina.

  10. Meningkatkan penglihatan malam

    Kajian tanpa kawalan pada awal tahun 1960an hingga 1970an serta laporan anekdot menunjukkan pengambilan bilberi memberi manfaat pada penglihatan malam. Walau bagaimanapun, kajian terkawal terkini tidak menunjukkan sebarang kesan. Namun, terdapat kelemahan dalam metodologi kajian.Dos yang lebih tinggi mungkin diperlukan untuk mendapatkan kesan tersebut, namun kurang bukti saintifk.

  11. Meningkatkan ketajaman penglihatan

    Berbeza dengan kajian klinikal penglihatan malam, kajian yang dijalankan selama 24 bulan melaporkan peningkatan ketajaman penglihatan dalam kalangan pesakit yang mempunyai ketegangan normal glaucoma (Normal Tension Glaucoma – NTG).

  12. Pengurusan penyakit diabetes

    Bilberi yang dicampurkan dengan minyak ikan dan makanan bijirin penuh terbukti meningkatkan metabolisma glukosa.

Kesan-kesan bilberi yang lain

  1. Kesan antikanser

    Kajian in vitro menunjukkan bilberi mempunyai ciri-ciri antikanser dengan merencat topoisomerase bagi melindungi DNA dan mengurangkan angiogenesis.

  2. Kesan antiradang

    Kajian ke atas haiwan menunjukkan ekstrak bilberi mempunyai kesan antiradang yang disebabkan oleh beberapa mekanisme termasuk gangguan tindak balas keradangan, gangguan dengan mediator proinflamasi, tindakan antioksidan, dan kesan langsung terhadap degradasi sel.

  3. Kesan antibakteria

    Antosianidin dalam bilberi berkait rapat dengan proantosianidin yang terdapat dalam kranberi, yang menghalang pelekatan bakteria pada dinding pundi kencing. Kajian menunjukkan bilberi mengurangkan pelekatan bakteria ke tahap yang lebih rendah berbanding kranberi, membuktikan keberkesanannya terhadap bakteria.

  4. Kesan antikemurungan

    Kajian ke atas haiwan mencadangkan bahawa bilberi boleh mengurangkan kemurungan akibat stres dengan merencat nitrik oksida synthase dan menghasilkan kesan antidepresan.

Bagaimana Natberry berfungsi?

Kandungan aktif Natberry, iaitu bilberi, mengandungi sebatian biologi aktif seperti antosianidin, flavonoid, hidrokuinon, asid oleanolik, neomyrtillin, tanin, asid ursolik dan resveratrol.Kandungan antosianidin, tanin dan flavonoid dalam bilberi terbukti menunjukkan unsur biologi termasuk merencat sintesis prostasiklin, mengurangkan kebolehtelapan dan kerapuhan kapilari, menghapus radikal bebas, merencat pelbagai enzim, menggagalkan pembekuan dan pengumpalan platelet dan antikarsinogen.

Antosianidin dalam bilberi meningkatkan penyilangan dan sintesis kolagen, dan mengurangkan kemusnahan kolagen, menstabilkan tisu penghubung seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan.

Panduan sebelum menggunakan Natberry

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya sebagai makanan tambahan kerana produk ini mungkin bertindak balas dengan ujian makmal, ubat-ubatan atau penyakit yang dihidapi.

JANGAN mengambil produk ini jika alah kepada bilberi atau sebarang komponennya.

Tindak balas ubat-ubatan

  1. Ubat-ubatan antikoagulan / antiplatelet

    Memandangkan bilberi boleh memberi kesan pada agregasi platelet, risiko lebam dan berdarah mungkin berlaku jika produk ini diambil bersama ubat-ubatan yang mengurangkan pembekuan darah. Contoh ubat-ubatan antikoagulen/antiplatlet adalah aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, lain-lain), ibuprofen (Brufen, Nurofen, lain-lain), naproxen (Synflex, Sunprox, lain-lain), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (clexane), heparin, warfarin (Coumadin), dan lain-lain.

  2. Ubat-ubatan diabetes

    Bilberi boleh mengurangkan tahap gula dalam darah.Pengambilanproduk ini bersama ubat diabetes boleh menyebabkan gula dalam darah menjadi terlalu rendah.Pantau glukosa dalam darah dengan teliti ketika mengambil produk ini.Dos ubat diabetes mungkin perlu diubahsuai.

    Contoh ubat-ubatan diabetes adalah glimepiride (Amaryl), glybenclamide (Dionil, Diabelet, Euglucon), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone (Avandia), klorpropamid (Propamide, Glucomid), glipizide (Minidiab), tolbutamide (Tobumide), dan lain-lain.

  3. Ubat-ubatan antihipertensi

    Bilberi berpotensi menurunkan tekanan darah kerana merehatkan aktiviti otot halus.Mengambil produk ini dengan ubat antihipertensi boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah. Pantau tekanan darah dengan kerap semasa mengambil makanan produk ini.

Panduan untuk wanita hamil atau merancang untuk menyusu

Bilberi selamat untuk dimakan oleh wanita hamil. Elakkan mengambil produk ini melebihi dos yang telah ditetapkan.

Kaedah pengambilan Natberry

Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum memula atau menghentikan pengambilan produk ini.

Makan satu (1) tablet sekali ATAU dua (2)tablet dalam sehari selepas makan.

Masa:

  1. Dos satu (1) kali sehari – ambil setiap pagi
  2. Dos dua (2) kali sehari – ambil satu (1) biji di pada waktu pagi dan satu (1) biji pada waktu petang

Panduan menggunakan produk Natberry

Pembedahan: Bilberi boleh mengganggu kawalan gula dalam darah semasa dan selepas pembedahan. Berhenti mengambil produk ini sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menjalani pembedahan.

Kesan sampingan

Kesan sampingan produk ini termasuklah perut rasa kurang selesa, loya/mual atau pedih hati.

Rujukan

  1. Concise Info: Natberry. MIMS Malaysia [Online] 2013 [cited 2013 June 8]. Available from: https://www.mims.com/Malaysia/drug/info/Natberry/?q=natberry
  2. Chu W, Cheung SCM, Lau RAW, Benzie IFF. Bilberry (Vacciniummyrtillus L.). In: Benzie IFF, Wachtel-Galor S, eds. Herbal Medicine: Biomolecular and Clinical Aspects. 2nd ed. Boca Raton, FL: Taylor and Francis Group; 2011.
  3. Llewellyn PJ. Herb at glance: Bilberry. National Center for Complimentary and Alternative Medicine (NCCAM) [Online] 2006 May [updated 2012 April, cited 2013 June 8]. Available from: http://nccam.nih.gov/health/bilberry
  4. Rowland LJ, Hammerschlag. Vaccinium spp. Blueberry. Litz RE, editor. Biotechnology in Algriculture Series, no 29: Biotechnology of fruit and nut crops. Towbridge, England: CABI Publishing; 2005.
  5. Natberry Tablet Malaysia. Natberry Tablet 120mg – Bantu Kurangkanrabun&Rehatkanmata. Facebook [Online] 2013 [Updated: 2013 June] Available at: URL: https://www.facebook.com/media/set/?set=a.170598929759351.1073741828.130375120448399&type=3
  6. Kemper KJ. Bilberry (VacciniumMyrtillus). The Longwood Herbal Task Force and The Center for Holistic Paediatric Education and Research [Electronic] No Date [Updated: 1999 September 9, cited: 2013 November 13] Available from:
  7. URL:http://www.longwoodherbal.org/bilberry/bilberry.pdf 7. Basch E, Basch S, Bent S, Boon H, Burke D, Catapang M, et al. Bilberry (VacciniumMyrtillus). Natural Standard Professional Monograph [Online] 2013 [Updated: 2013 November 13] Available from: URL:http://www.naturalstandard.com/databases/herbssupplements/bilberry.asp
  8. Biedermann L, Mwinyi J, Scharl M, et al. Bilberry ingestion improves disease activity in mild to moderate ulcerative colitis – an open pilot study. J Crohns Colitis. 2013;7(4):271-279.[PubMed 22883440]
  9. Hawrelak JA, Myers SP. Effects of two natural medicine formulations on irritable bowel syndrome symptoms: a pilot study. J Altern Complement Med. 2010;16(10):1065-1071.[PubMed 20954962]
  10. Shim SH, Kim JM, Choi CY, Kim CY, Park KH. Ginkgo biloba extract and bilberry anthocyanins improve visual function in patients with normal tension glaucoma. J Med Food. 2012;15(9):818-823.[PubMed 22870951]
Semakan Akhir : 15 September 2016
Penterjemah : Noorhayati bt. Kassim
Akreditor : Nur Azibahwati bt. Aziz

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,266,770

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia