Siapa ‘Keldai Dadah’
Keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara rela atau diperdaya untuk menjadi kurier, membawa dadah atau barang seludup ke negara lain. Taktik ini mengurangkan risiko pengedar atau penyeludup dadah tersebut ditangkap. Sindiket penjenayah antarabangsa akan menggunakan laman sosial di internet untuk memperdaya wanita muda menjadi orang suruhan mereka sebagai keldai dadah di Asia. Siasatan Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB) mendapati sasaran utama ialah wanita dari Malaysia, Singapura dan negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur yang lain. Wanita berusia 20-30an yang tidak mempunyai rekod jenayah, menganggur atau bekerja dalam bidang perkeranian, jualan dan perkhidmatan amat sesuai dijadikan keldai dadah. Mereka rela diperalatkan untuk mengejar kemewahan dan ingin cepat jadi kaya. Pada tahun 2006, rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mendapati 31 rakyat Malaysia termasuk 4 wanita ditahan polis negara asing kerana kesalahan mengedar dadah.
Antara Januari – Mac 2008, seramai 9 rakyat Malaysia ditahan kerana mengedar dadah di luar negara. Mereka didapati mudah terjerat dengan cinta “Jejaka Lombok”, “Pak Arab” dan terkini penangan cinta “Pak hitam”. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop menyatakan bilangan keldai dadah pada 2009 berkurang kepada 20 orang sahaja berbanding dengan tahun 2008 (45 orang) dan tahun 2007 (54 orang). Ini adalah hasil kempen penerangan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan JSJN Bukit Aman. Agensi ini menerangkan perihal modus operandi sindiket ini di institusi pengajian tinggi dan tempat awam khusus kepada golongan wanita (Utusan Malaysia 2009).
Teknik Penyeludupan
Penyeludupan adalah perbuatan mengangkut barang atau orang secara haram dan diam-diam, seperti keluar daripada sebuah bangunan, ke dalam penjara, atau melalui sempadan antarabangsa, di mana ia adalah bertentangan dengan undang-undang atau peraturan. Kaedah penyeludupan temasuklah menyembunyikan barang dalam kenderaan, bagasi atau pakaian, mengikat pada badan, ataupun dengan menelannya. Dalam kes mengangkut dadah haram, ini sering dilakukan menggunakan saluran gastrousus keldai atau rongga badan yang lain sebagai bekasnya. Salah satu kaedah melibatkan menelan belon getah (sering kondom atau jari sarung tangan getah) atau pelet khas yang dipenuhi dengan barang-barang dan kemudiannya di ambil semula apabila keluar daripada najis.
Kaedah-kaedah lain daripada membawa dadah dalam badan merangkumi penempatan pakej terus ke dalam dubur atau faraj. Kaedah lain dipanggil pembungkusan pada badan iaitu bermaksud dadah yang melekat pada bahagian luar badan dengan menggunakan pita atau gam, dibalut antara pipi punggung atau lapisan lemak. Tempat tersembunyi lain yabg telah digunakan lebih kerap sebelum awal 90-an adalah seperti bahagian bawah kasut yag dipotong keluar, di dalam tali pinggang atau rim topi,. Oleh kerana peningkatan keselamatan lapangan terbang, kaedah “pembungkusan pada badan” sudah jarang digunakan lagi. Salah satu contoh kes termasuklah seorang wanita India berusia 24 tahun berasal dari Klang, Selangor yang telah ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid sejak 21 Mac 2008 kerana sindiket dadah antarabangsa memaksanya menelan 100 kapsul kokain dan menyeludup dari Brazil ke Sepanyol (Utusan Malaysia 2009). Teknik menelan yang semakin popular adalah melibatkan dadah disimpan dalam bentuk yang belon berisi cecair, kondom, kapsul atau pakej. Perhatikan bahawa campuran air dan dadah adalah berkemungkinan besar tidak dapat dikesan sekiranya menggunakan mesin X-Ray standard. Ini adalah mustahil untuk mengesan melainkan lapangan terbang mempunyai peralatan X-Ray bersensitiviti tinggi yang mana hanya terdapat di kebanyakan lapangan terbang utama di negara Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat.
Negara Asal Dadah
Penanaman tanaman semula jadi untuk dadah haram seperti pokok popi untuk opium di Asia Selatan (Pakistan, Turki, Lubnan, Myanmar, Laos, Thailand) terutamanya Afghanistan telah semakin meningkat sehingga 36% pada tahun 2013. Pengeluaran MDMA (3,4–Metilenedioximetampetamin) yang juga dikenali sebagai pil Ecstasy serta penyeludupan ketamin pula telah semakin meningkat di negara jiran kita di Asia Tenggara (Utusan Malaysia 2010). Bekalan dadah penyalahgunaan utama adalah sebenarnya diambil dari Argentina dan Sepanyol dan diseludupkan ke negara-negara dunia ketiga. Di negara lain, kos pengedaran dadah dari Argentina ke Peru adalah lebih murah, lebih-lebih lagi hukuman di Peru yang dikenakan ke atas penyeludup dadah haram hanya 8 tahun penjara, berbanding di Malaysia, di mana bagi kesalahan ini boleh digantung mandatori jika didapati bersalah.
Terdapat kes-kes yang lebih canggih telah berlaku di sempadan Kanada-Mexico-Amerika Syarikat (AS) di mana pengedar dadah menggunakan meriam spontan, kapal separuh tenggelam buatan sendiri, bot, pesawat ultra-ringan, rentas terowong haram bawah tanah, rumpai tarbil, merpati, orang kurang upaya palsu dan juga dadah diimplan dalam payudara (Attila 2013). Penyeludup dadah turut menggunakan dokumen dan pasport yang sah dengan alasan melancong, bekerja atau melanjutkan pengajian atau diperdaya dengan tawaran percutian percuma di luar negara.
Sindiket juga akan memberi tiket sehala serta menggunakan penerbangan terus ke negara transit seperti negara Malaysia (AADK 2010). Contohnya pada 26 Ogos 2009, seorang wanita Filipina, bekerja di China telah ditahan di Hentian Puduraya kerana bagasinya mempunyai dadah 5kg, yang telah dicairkan dan dikeringkan pada baju-baju. Sebulan selepas itu, wanita Thailand pula ditahan di Hentian Puduraya kerana membawa 2kg kokain di dalam dua bingkai gambar (Utusan Malaysia 2009).
Jenis-jenis Dadah
Beribu-ribu dadah dan bahan kimia yang berbahaya atau yang boleh membawa maut telah merunsingkan ahli toksikologi. Apabila hendak menguji kehadiran sesuatu dadah, ahli toksikologi biasanya mangambil pendekatan secara dua peringkat iaitu ujian saringan dan ujian pengesahan. Ujian saringan adalah sensitif digunakan untuk pemeriksaan awal diikuti dengan ujian pengesahan untuk menentu dadah secara spesifik (Lyle 2004). Di Malaysia, dadah perangsang jenis amfetamin (ATS), kanabis dan heroin masih kekal di antara dadah yang disalahguna paling popular. Bagaimanapun kemunculan dadah-dadah sintetik terus membimbangkan pihak penguatkuasaan undang-undang. Manakala, fenomena parti liar telah menyebabkan peningkatan pengedaran dan penggunaan mefamfetamin dan MDMA, yang seterusnya menyebabkan kewujudan “kelab dadah” yang lain serta peningkatan mendadak bagi kes ketamin (JKM 2006).
Opiat atau candu adalah kumpulan bahan semula jadi yang diperolehi daripada jus pokok popi Papaver somniferum yang popular di Asia Selatan. Morfin adalah terbitan opiat klasik yang diguna secara meluas dalam bidang perubatan; heroin (diacetylmorphine) adalah narkotik terkenal di tepi jalan dan sangat berketagihan tinggi. Opioid pulak merujuk kepada candu dan terbitan candu semulajadi yang lain (contohnya morfin, heroin, kodein dan hidrokodon) serta analog candu sintetik contohnya metadon. Opioid secara umumnya akan merangsang beberapa reseptor opiat tertentu dalam sistem saraf sentral dan menyebabkan sedasi dan depresi pernafasan (Olson 2004).
Pelbagai jenis dadah |
Candu Papaver somniferum |
Morfin |
Heroin |
Cannabis sativa |
Harshish |
Amfetamin |
Mefamfetamin |
MDMA |
Ketamin |
Cara Hisap Ketamin |
Ujian dadah air kencing |
Halusinogen dapat mengubah persepsi dan perasaan, yang seterusnya menyebabkan pemikiran delusi serta halusinasi. Setakat ini halusinogen yang paling biasa adalah marijuana atau ganja. Ia adalah salah satu kanabinoid berasal dari tumbuhan Cannabis sativa yang popular di Kanada, Mexico, Colombia, Jamaica, Kazakhstan, Negara Thai, Afrika Selatan and Nigeria. Kebanyakan undang-undang negara melarang sama sekali pemilikan resin ganja. Bahan aktif, tetrahidrokanabino (THC) terdapat dalam ganja pada kepekatan 2 – 6%. Badan kita menukarkan THC ke satu siri sebatian lain termasuklah 9-carboxy-THC yang merupakan metabolit utama dalam kencing. Bagi penagih yang disyaki, ujian kimia saringan iaitu ujian Duquenois-Levine akan bakal menunjukkan perubahan warna ungu atas kehadiran mana jua jenis kanabinoid termasuklah THC dalam kencingnya.
Ujian saringan lain termasuk TLC atau GC dan ujian pengesahan melalui MS (Lyle 2004). Neal L. Benowitz, profesor di Universiti California menyatakan bahawa ganja selalunya disalai dalam rokok (“Joints” atau “Reefers“) atau resinnya dikering dan dimampatkan iaitu dipanggil “Hashish”. Kedua-duanya menyebabkan pembebasan katekolamin yang mana denyutan jantung akan meningkat serta mengelakkan refleks simpatetic yang mana menyebabkan ortostatik hipotensi. Penggunaannya secara intravena boleh menyebabkan kesulitan nafas, demam, kejutan, kegagalan buah pinggang secara kritikal dan akhirnya kematian (Olson 2004).
Dadah date-rape atau rave bukan sesuatu yang asing sekarang kerana telah menjadi subjek beberapa tindakan jenayah dan litigasi sivil. Dadah date-rape yang utama adalah ketamin (ketamin hidroklorida) dan Ecstasy atau MDMA. Kedua-dua dadah ini menyebabkan sedasi, kadar pertimbangan yang lemah dan amnesia terhadap peristiwa yang telah berlaku semasa di bawah pengaruhnya. Penjenayah mudah memasukkan sedikit dadah ini ke dalam minuman atau sebotol air yang seolah-olah tidak berbahaya kepada mangsa.
Mangsa tersebut kemudian boleh pergi dengan bakal penyerang kemana saja kerana dadah itu melemahkan pertimbangan dan meningkatkan keghairahannya. Kemudiannya, mangsa itu hanya akan menyedari bahawa sesuatu telah berlaku, tetapi kenangan terhadap peristiwa itu adalah kabur atau tidak diingati sama sekali. Dadah ini sering dipotong dan digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti talkum atau dicampur dengan dadah lain apabila sampai ke pengguna di tepi jalan (Lyle 2004). Timothy E. Albertson, seorang profesor di Universiti California menyatakan bahawa mefamfetamin atau syabu (crank, speed), MDMA, Ecstasy dan beberapa terbitan amfetamin lain sering diguna sebagai dadah perangsang haram secara. “Ice” adalah suatu bentuk mefamfetamin yang boleh dihisap. Dadah ini mempunyai indeks terapeutik yang rendah dan tahap keracunannya adalah sedikit lebih daripada dos biasa di mana ini boleh mengancam nyawa seseorang. Walau bagaimanapun, tahap toleransinya boleh menjadi tinggi selepas berulang kali diguna (Olson 2004).
Gregory Cham, tokoh toksikologi bagi Sistem Kawalan Racun California menyatakan bahawa nama ketamin di jalanan adalah termasuk “Jet”, “Kit-kat”, “Special K”, “Special LA Coke”, “Super C” dan “Vitamin K”. Ketamin adalah suatu pemisah anestetik yang menghasilkan persepsi kehilangan sakit bersama sedikit depresi atau tiada refleks saluran udara dan sistem pengudaraan. Perkumuhan di buah pinggang merupakan laluan penting untuk perkumuhan norketamine iaitu metabolit aktif bagi ketamin. Dos rekreasi yang lebih tinggi diperlukan untuk mencapai keadaan psikik yang dipanggil “the K-hole“. Penyalahgunaan kronik ketamin menyebabkan kemerosotan ingatan (Olson 2004).
Ujian toksikologi air kencing adalah perlu untuk menentukan apa dadah yang dibawa dan apa penawar yang diperlukan. Semua dadah tersebut di atas mudah dikesan dengan mengguna gabungan ujian GC/MS. Tempoh pengesanan dalam air kencing bagi mangsa serangan dadah itu adalah antara 1 – 3 hari bagi kesemua dadah disalahguna tersebut kecuali ganja yang memerlukan 2 – 5 hari selepas sekali penggunaannya (Olson 2004).
Dorongan Untuk Menyeludup
Penyeludupan didorong oleh pelbagai sebab. Ini termasuklah perdagangan dadah haram, kemasukan dan penghijrahan haram, mengelakkan cukai, penyeludupan barangan haram kepada tahanan penjara, atau penyeludupan barang yang dicuri. Contoh lain bagi sebab bukan bermotifkan kewangan termasuk membawa barang larangan melepasi pemeriksaan keselamatan seperti di lapangan terbang atau penghapusan dokumen rahsia daripada pejabat kerajaan atau syarikat.
Penyeludupan dadah adalah disebabkan oleh kewujudan peralatan memproses yang terdapat di sesebuah makmal pengeluaran dadah haram yang besar di mana jua negara. Contohnya pada 2004, 33 makmal dadah ketamin haram telah dirobohkan di China namun banyak lagi yang tidak dapat dikesan jejaknya. Lebih-lebih lagi, kelab malam, disko, bar dan festival muzik telah menjadi lokasi utama bagi kegiatan penyalahgunaan dadah dan penyebaran mesej dadah kepada keldai dadah (Utusan Malaysia 2010). Malah, keldai dadah akan cuba untuk menyeberangi sempadan antarabangsa, mengeluarkan kapsul atau belon, dan kemudian menjual dadah haram untuk keuntungan yang tinggi. Ia adalah jauh lebih biasa bagi kaldai dadah yang akan membuat lawatan bagi mengganti pihak pengedar dadah.
Keldai dadah adalah selalunya golongan miskin dan bersetuju untuk mengangkut dadah haram dengan pertukaran untuk wang atau ganjaran lain. Sesetengah kes pula, pengedar dadah pernah cuba memeras ugut seseorang dengan mengancam kecederaan fizikal ke atas rakan-rakan atau ahli keluarga mereka. Tetapi amalan yang lebih biasa adalah keldai dadah rela menerima kerja atas sebab pertukaran untuk ganjaran yang besar. Seperti yang dilaporkan dalam Lost Rights “Ketua dadah haram Nigeria telah mengupah sekumpulan keldai dadah, yang mana mereka akan menelan sebanyak 150 belon dan menyeludup dadah ke AS. Memandangkan pendapatan tahunan per kapita Nigeria adalah $2,100, maka orang Nigeria boleh mengumpul sebanyak $15,000 per satu lawatan” (Bovard 1995).
Nasib
Di Malaysia, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) merupakan suatu akta berhubung dengan bidang kuasa mahkamah untuk mengawal pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan penggunaan candu (1kg) dan beberapa dadah berbahaya tertentu iaitu heroin (15g), morfin (15g), ganja (200g), kokain (40g), daun koka (2kg), ATS iaitu syabu / pil Ecstasy (50g). Milikan berat dalam kurungan setiap dadah itu telah membawa hukuman mati mandatori terhadap pesalah. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah pencegahan khas) 1985 pula membuat peruntukan mengenai tahanan pencegahan orang-orang yang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubung dengan pengedaran dadah berbahaya (JKM 2009).
Pengedar dadah tidak sentiasa rela membuka rahsia mengenai kandungan pakej dadah sama ada kerana takut kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang atau kadang-kala keldai dadah benar-benar tidak tahu. Tambahan pula, pengesanan rutin terhadap pakej diseludup adalah amat sukar. Pakej yang tidak pecah kadang-kadang boleh dikesan melalui pemeriksaan rektum atau faraj, tetapi satu-satunya kaedah yang berkesan adalah melalui X-ray abdomen. Hashish muncul lebih padat daripada najis; kokain mempunyai kepadatan yang lebih kurang sama dengan najis, manakala heroin kelihatan seperti udara (Hergan et al. 2004).
Dalam kebanyakan kes, pakej akan melalui usus seperti biasa, tetapi jika pakej pecah atau jika terdapat halangan usus, maka adalah perlu untuk mengeluarkan pakej melalui pembedahan. Julap berasaskan minyak tidak boleh digunakan, kerana mereka boleh melemahkan lateks kondom dan menyebabkan pakej pecah (Traub t al. 2003). Semua teknik emetik seperti sirap ipecac, enema, dan endoskopik membawa risiko pakej pecah dan tidak boleh digunakan juag (Pidoto et al. 2002). Pakej pecah sering memerlukan rawatan seperti dos dadah yang berlebihan dan mungkin memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana kadang-kala mungkin menyebabkan kematian si keldai dadah (Dueñas-Laita et al. 2004).
Rujukan
-
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). 2010. Banduan Malaysia Seludup Dadah Ambil Bekalan Dari Argentina. http://www.adk.gov.my/html/pdf/berita/berita2010/feb/080210/berita1.pdf [10 Februari 2010]
- Attila, N. 2013. GIZMODO: Thirteen Shockingly Creative Ways Drugs Have Crossed the Border. http://gizmodo.com/5988877/13-shockingly-creative-ways-drugs-have-crossed-the-border [19 Mac 2013].
- Bovard, J. 1995. Lost Rights: The Destruction of American Liberty. pg. 408. US: St. Martin’s Press.
- Dueñas-Laita, A., Nogué, S., Burillo-Putze, G. (2004). Body Packing. N Engl J Med 350 (12): 1260–1.
- Hergan, K., Kofler, K. and Oser, W. (2004). Drug Smuggling by Body Packing: What Radiologists Should Know About It. Eur Radiol 14 (4): 736–42.
- Jabatan Kimia Malaysia (JKM). 2009. Laporan Dadah Januari 2009: Ringkasan Undang-undang Dadah di Malaysia.
- Jabatan Kimia Malaysia (JKM). 2006. Laporan Tahunan 2006: Bahagian Forensik – Keadilan Berasaskan Sains.
- Lyle, D. P. 2004. Finding Drugs and Poisons: The Toxicology Lab. 1st Ed. Forensic for Dummies pg. 243–264. Indiana: Wiley Publishing Inc.
- Olson, K. R. 2004. Specific Poisons and Drugs: Diagnosis and Treatment. 4th Ed. Poisoning & Drug Overdose pg. 72–302. US: Lange Medical Books/McGraw-Hill, Inc.
- Pidoto, R.R., Agliata, A.M., Bertoline, R., Mainini, A., Rossi, G., Giani, G. 2002. A New Method of Packaging Cocaine For International Traffic and Implications For The Management of Cocaine Body-packers”. J Emerg Med 23 (2): 149–53.
-
Traub, S. J., Hoffman, R. S., Nelson, L. S. 2003. Body Packing: The Internal Concealment of Illicit Drugs. N Engl J Med 349 (26): 2519–26.
-
Utusan Malaysia. 2008. Nasib rakyat diperalat sindiket dadah antarabangsa dibela. http://www.utusan.com. my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm [16 Jun 2008]
-
Utusan Malaysia. 2009. Jumlah ‘Keldai Dadah’ Berkurangan. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y= 2009&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm [8 Disember 2009]
-
Utusan Malaysia. 2009. Mohammad Ismail: Cabaran menghadapi tahun 2010. http://www.utusan.com.my/ utusan/info.asp?y=2009&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm [30 Disember 2009]
-
Utusan Malaysia. 2009. Wanita Filipina Seludup Dadah Dengan Rela – Polis. http://www.utusan.com.my/ utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm [2 September 2009]
-
Utusan Malaysia. 2009. Wanita Thai Cuba Seludup Kokain Dalam Bingkai Gambar. http://www.utusan. com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_36.htm [7 September 2009]
-
Utusan Malaysia. 2010. Sindiket Antarabangsa Perdaya Wanita Untuk Jadi ‘Keldai Dadah’. http://www.utusan. com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_07.htm [5 Februari 2010]
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Lai Poh Soon |
Akreditor | : | Dr. Khairul Anuar bin Zainun |
Penyemak | : | Dr. Khoo Lay See |