A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Kenali Risiko Karies Gigi...

Kenali Risiko Karies Gigi Anda

Karies gigi adalah suatu proses yang melibatkan keseimbangan antara kehilangan mineral pada gigi dan penggantiannya semula dalam suatu tempoh masa tertentu sebagai kesan tindak balas daripada serangan asid yang terhasil daripada pengambilan makanan.

Apakah karies gigi?

Karies gigi adalah suatu proses yang melibatkan keseimbangan antara kehilangan mineral pada gigi dan penggantiannya semula. Proses ini berlaku kesan dari tindak balas serangan asid yang terhasil dari tindakbalas bakteria dengan sisa makanan.

Karies gigi boleh dipengaruhi oleh kekerapan dan jumlah karbohidrat (kanji) dan gula yang kita ambil. Bakteria yang terdapat di dalam mulut kita akan menukarkan gula dan kanji tersebut kepada asid.

Hampir setiap kali kita makan, asid yang terhasil akan bertindak terhadap gigi kita. Walau bagaimanapun, gigi kita berupaya untuk menahan serangan asid tersebut selagi ianya mempunyai masa untuk pulih dan membaiki kerosakan iaitu selang masa di antara waktu makan dan minum.

Apakah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kejadian karies gigi anda?

  • Tidak memberus gigi sebelum tidur malam. Ketika tidur, gigi akan lebih mudah terdedah kepada serangan asid disebabkan aliran air liur yang berperanan dalam membaiki gigi yang rosak menjadi lebih perlahan. Ini bermakna, jika terdapat gula atau asid di dalam mulut, ianya akan lebih membahayakan gigi. Oleh itu, pastikan anda memberus gigi sebelum tidur.
  • Mengambil makanan atau minuman yang manis, terutamanya makanan yang melekit di antara waktu makan meningkatkan lagi risiko karies gigi.
  • Pengambilan fluorida yang tidak mencukupi. Fluorida merupakan sebatian bahan kimia yang melindungi gigi daripada karies. Fluorida boleh wujud secara semulajadi melalui air di bawah tanah serta makanan seperti teh dan ikan. Ianya juga boleh didapati dalam bekalan air awam, ubat gigi dan kumuran mulut yang telah ditambah dengan fluorida. Memberus gigi setiap hari dengan ubat gigi berfluorida boleh membantu mencegah kejadian karies gigi.
  • Tidur dengan botol susu. Jika kanak-kanak dibiarkan tidur dengan keadaan botol susu masih lagi di dalam mulut, cecair (sama ada susu, jus buah-buahan atau minuman lain) akan bersentuhan dengan permukaan gigi untuk suatu tempoh masa yang lama. Gula yang terdapat dalam cecair ini akan bertindakbalas dengan bakteria untuk menghasilkan asid dan menyebabkan kerosakan gigi menjadi lebih cepat.
  • Menggunakan puting yang dicelup manisan. Penggunaan puting adalah tidak digalakkan. Meletakkan madu atau sirap pada puting akan memburukkan lagi keadaan kerana kandungan gulanya akan bertindak balas dengan bakteria di dalam mulut yang menyebabkan kerosakan gigi.
  • Aliran air liur yang berkurangan. Air liur amat penting kerana ia membantu untuk membersihkan karbohidrat yang melekit dalam mulut dan juga bertindak sebagai agen penampan (buffer) yang dapat meneutralkan asid yang terhasil oleh tindakan bakteria setiap kali kita makan. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah masalah perubatan, kemoterapi (rawatan penyakit barah) dan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat anti-hipertensi (tekanan darah tinggi), boleh menyebabkan pengeluaran air liur berkurangan. Keadaan sebegini akan meningkatkan lagi risiko karies gigi anda.

Bagaimana anda boleh mencegah karies gigi?

  • Memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi berfluorida.
  • Berkumur-kumur setiap kali selepas makan.
  • Makan 3 – 5 kali hidangan utama sehari, elakkan makan makanan manis dan makanan ringan seperti snek di antara waktu makan utama.
  • Elakkan menghirup minuman manis dan minuman berkarbonat untuk tempoh masa yang panjang.
  • Elakkan mengulum dan menyimpan gula-gula terlalu lama di dalam mulut.

Bagaimana mengelakkan gigi anak anda daripada rosak?

  • Bersihkan mulut bayi anda walaupun giginya belum tumbuh lagi. Lakukan pembersihan dengan menggunakan tuala lembut yang basah setiap kali selepas makan.
  • Bila anak anda telah mempunyai gigi, mulalah memberusnya dengan menggunakan berus gigi berbulu halus dan bersaiz khas untuk kanak-kanak. Kanak-kanak di bawah usia 6 tahun kurang mahir membersihkan giginya secara menyeluruh, oleh itu perhatikan dan bantulah dirinya untuk memberus gigi.
  • Jika anak anda masih menghisap botol susu, pastikan botol susu itu dikeluarkan dari mulutnya apabila dia telah tidur.
  • Cuba gunakan cawan untuk menggantikan botol susu apabila anak anda telah mencapai usia 12 bulan.
  • Jangan perkenalkan penggunaan puting kepada anak anda. Cuba gunakan kaedah lain untuk menenangkan anak anda.
  • Ubat-ubatan untuk kanak-kanak biasanya di dalam bentuk sirap dan kebanyakannya adalah manis. Beri anak anda air masak sejurus selepas makan ubat.

Apa yang doktor gigi boleh lakukan untuk mengurangkan risiko kejadian karies gigi anda?

  • Kanak-kanak dengan riwayat karies pada gigi susu adalah berisiko tinggi untuk mendapat karies pada gigi kekal mereka. Meletakkan bahan pengapan pada fisur (celah/liang) di permukaan mengunyah gigi geraham kekal merupakan langkah pencegahan karies oleh doktor gigi anda.
  • Dalam sesetengah keadaan, air liur tiruan mungkin akan dipreskripsi oleh doktor anda bagi mengatasi masalah ‘mulut kering’ atau kekurangan aliran air liur.
  • Kumuran mulut berfluorida boleh dipreskripsi untuk mengurangkan kejadian karies pergigian pada pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Catherine Chen Jean Ai
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

 

Artikel Berkaitan

Perkhidmatan Pergigian Sekolah

Perkhidmatan pergigian sekolah telah diperkenalkan pada tahun 1957. Penjagaan kesihatan pergigian yang komprehensif dan sistematik ini diberi untuk memastikan murid-murid sekolah mempunyai kesihatan mulut yang baik apabila mereka tamat zaman persekolahan.

Penyakit Periodontal dan Rawatan Ortodontik

Hasil rawatan ortodontik yang memuaskan boleh dicapai jika pesakit memberi kerjasama yang baik dan kesihatan tisu periodontium yang memuaskan dapat dikekalkan tanpa sebarang kerosakan/kemusnahan yang berlanjutan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,225,868

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia