| |
Strategi Kempen Cara Hidup Sihat diubah
KUALA LUMPUR: Kempen Cara Hidup Sihat yang dilancar sejak 1991 gagal mengubah gaya hidup rakyat Malaysia menjadi lebih sihat, sebaliknya semakin ramai menderita pelbagai penyakit berbahaya, terutama kanak-kanak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata walaupun pelbagai kempen dijalankan kementerian sepanjang kempen itu, ia tidak membabitkan kumpulan sasaran yang sepatutnya.
Sehubungan itu katanya, mulai tahun ini kempen ‘Sihat Sepanjang Hayat’ yang diperkenalkan memberi fokus utama kepada golongan yang menjalani gaya hidup tidak sihat, khususnya mereka yang obesiti.
“Kita menukar strategi kempen supaya lebih agresif membabitkan penyertaan syarikat swasta kerana golongan sasaran seperti mereka yang obesiti selalunya kurang menyokong aktiviti seperti ini,” katanya selepas merasmikan acara jalan kaki ‘Jacob’s Walk of Life’ di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Danone Malaysia, Dieter Schulz.
Dr Abdul Latiff berkata, kajian kementerian mendapati obesiti di kalangan rakyat Malaysia meningkat tiga kali ganda dalam tempoh kurang 10 tahun dengan satu daripada empat rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan.
“Kementerian serius membantu rakyat menjalani gaya hidup lebih sihat dan mereka perlu ‘keluar’ dari zon selesa sebelum dibebani dengan pelbagai penyakit kronik yang mengancam nyawa,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Abdul Latiff melepaskan kira-kira 3,000 peserta acara berjalan kaki yang turut disertai Duta Danone Malaysia seperti pengacara TV3, Azizah Ariffin serta deejay Hot.fm, Fara Fauzana dan Faizal Ismail.
| |