Johor: Lubuk nyamuk
Oleh Kalam Hadi
MASAI: Kewujudan sebuah kolam takungan air bersebelahan tapak projek perumahan yang terbengkalai di tepi Jalan Utama Masai, menimbulkan rungutan ramai yang bimbang lokasi terbabit bakal menjadi tempat pembiakan nyamuk berikutan kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa.
Penduduk mendakwa kolam takungan berkenaan sebelum ini bekas tapak projek yang dibina bagi pembinaan rumah kedai yang terbengkalai lebih lima tahun lalu bersebelahan bekas bangunan Rumah Kedai Mara di Kampung Sungai Rinting. Jurucakap penduduk, Sabri Abdul Rahman, 38, berkata kolam berkenaan terletak di tengah Pekan Masai dan dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk yang boleh mengancam keselamatan penduduk. Katanya, tindakan membiarkan kolam berkenaan tanpa pemantauan akan memudahkan nyamuk membiak dengan cepat berikutan musim hujan dan panas sejak kebelakangan ini, selain mengundang bahaya berikutan tapak projek terbengkalai berkenaan menjadi tempat persembunyian serangga berbisa seperti lipan, ular dan kala jengking.
"Sepatutnya pihak berkuasa Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) bertindak segera mengenal pasti pemilik projek berkenaan dan mengarahkan mereka membersihkan kolam dan barangan lain supaya pemandangan di sini tidak tercemar oleh sisa projek terbengkalai.
"Kawasan ini adalah laluan utama orang ramai ke Pekan Masai kerana kedudukannya di tepi Jalan Utama Masai dan kolam ini boleh dilihat dengan mudah dari tepi jalan di sini.
"Kami bimbang jika kanak-kanak bermain di situ terjatuh ke dalam kolam yang tidak dipantau dan keselamatannya juga tidak terjamin," katanya.
Sabri yang juga Ketua UMNO cawangan Rumah Pangsa Meranti, berkata Pejabat Kesihatan Daerah perlu membuat semburan asap di kawasan terbabit bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes dalam kolam berkenaan.
Sementara itu, Ahli Majlis MPJBT Kawasan Masai, Chia Chor Hui, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat lawatan ke kawasan terbabit bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung aduan penduduk.
Katanya, beliau akan mengarahkan supaya kawasan bekas tapak projek terbengkalai itu dibersihkan jika benar aduan penduduk bahawa tapak terbabit menjadi kawasan pembiakan nyamuk.
|