Utara: Tunggu pesakit
Oleh Petah Wazzan Iskandar
GEORGETOWN: Sekali pandang, kumpulan lelaki dan wanita serta kanak-kanak kelihatan tidak ubah seperti pengemis atau golongan yang tidak berumah kerana merempat di kaki lima.
Lebih menyedihkan, mereka tidur beralaskan kepingan kertas atau kain di laluan orang ramai. Jika hujan, mereka kesejukan dan terkena tempias. Itulah suasana yang dapat dilihat sepanjang hari di kaki lima berhampiran Wad A2 (Unit Hematologi) dan Farmasi satelit di Hospital Pulau Pinang, di sini. Bagaimanapun, sebenarnya mereka ini bukan pengemis atau golongan yang tiada rumah, sebaliknya menunggu waris masing-masing yang dikategorikan sebagai tenat atau koma yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.
Jauh di sudut hati mereka mahu menjadikan kaki lima itu sebagai 'asrama', tetapi mereka terpaksa berbuat demikian kerana lokasi berkenaan adalah tempat paling hampir dengan wad yang menempatkan waris masing-masing.
Malah, jika ada kes kecemasan yang mana seseorang pesakit mahu berjumpa dengan waris atau petugas hospital mahu mencari waris pesakit, tempat itulah yang dituju.
Sebenarnya, HPP menyediakan tempat penginapan percuma kepada waris pesakit di dalam kawasan hospital iaitu Balai Seri Tanjung, tetapi kapasitinya terhad serta ada prosedur tertentu perlu dipatuhi.
Tempat penginapan itu hanya boleh menampung 44 orang iaitu 22 lelaki dan 22 wanita pada satu-satu masa, selain dua orang ahli keluarga pesakit saja dibenarkan menginap di situ.
Balai penginapan itu yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kaki lima yang menjadi tumpuan waris, akan dikunci pada jam 11 malam, sekaligus menyusahkan waris apabila berlaku kecemasan seperti pesakit nazak.
Selain itu, tempat penginapan berkenaan hanya diberikan kepada waris pesakit dari luar Pulau Pinang.
Seorang waris pesakit, Che Aishah, 52, dari Penaga, Kepala Batas, berkata dia berada di kaki lima terbabit sejak empat hari lalu kerana menemani anak bongsunya yang koma akibat kemalangan jalan raya.
"Saya tiada pilihan kerana di sini tempat yang paling dekat untuk saya berada di sisi anak yang berusia 19 tahun, apabila waktu melawat bermula, saya akan menemaninya dan membaca surah Yassin.
"Menjelang malam, saya akan tidur di sini, bersama waris pesakit yang lain kerana jika ada apa-apa atau doktor mencari saya, saya boleh datang dengan cepat," katanya.
Pesara kerajaan yang dikenali sebagai Bedah, 58, dari Sungai Dua, Seberang Prai berkata, mereka tiada tempat yang sesuai untuk berteduh dan menunggu peluang untuk melawat ahli keluarga yang sakit.
"Takkanlah saya perlu berulang setiap hari kerana ia memakan masa dan kos tinggi. Kalau hujan, kami akan beralih ke tempat yang tidak terkena hujan dan kalau panas, kami menggunakan apa saja untuk dijadikan kipas.
"Saya bukan tidak mahu ke Balai Seri Tanjung, tapi cuba fikirkan, bagaimana pula saudara-mara saya yang lain. Jadi, kami ambil keputusan berehat di sini dan bila siang, kami bergilir-gilir berehat," katanya.
|