Kucing pertama dijangkiti H1N1
WASHINGTON 5 Nov. - Seekor kucing peliharaan di negeri Iowa, Amerika Syarikat (AS) dipercayai kucing pertama di dunia yang disahkan menghidapi selesema babi.
Kucing jantan berusia 13 tahun itu disyaki dijangkiti virus Influenza A (H1N1) daripada keluarga yang memeliharanya setelah dua daripada tiga anggota keluarga itu sebelum ini dijangkiti virus pembawa maut tersebut.
"Inilah kucing pertama yang kami ketahui dijangkiti virus H1N1," kata Penolong Profesor mikrobiologi veterinar, Brett Sponseller yang membantu merawat haiwan tersebut di Kolej Perubatan Veterinar di Universiti Iowa State.
Setelah menolak kemungkinan penyakit pernafasan kucing berkenaan disebabkan punca biasa, sepasukan pakar veterinar universiti dan negeri mengkaji sejarah perubatan pemiliknya dan mengesyaki selesema babi sebagai punca sebenar.
Mereka mengesahkan virus H1N1 selepas menjalankan ujian selama lima hari.
"Ini penemuan besar dan semua orang yang terlibat menyedarinya," kata Sponseller.
Menurut beliau, keluarga pemilik kucing itu sudah pulih dan haiwan itu beransur-ansur sembuh setelah diberi cecair tambahan dan antibiotik.
Sebelum ini, virus selesema burung atau H5N1 yang merebak daripada unggas kepada manusia diketahui menjangkiti kucing, tetapi kes di Iowa merupakan kes pertama kucing dijangkiti selesema babi dan kemungkinan mempunyai implikasi bagi wabak yang ditakuti itu.
Sponseller berkata, bahaya seekor kucing yang sudah dijangkiti merebakkan virus H1N1 kepada manusia atau kucing lain tidak diketahui tetapi kadarnya dipercayai tidak tinggi. - AFP
|