Kecelaruan gaya pemakanan
Pengenalan
Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada ketak suban seseorang
yang melampau memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.
Ketak suban ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti
harian yang berkait langsung dengan makanan. 90% daripada mereka yang
mengalami kecelaruan gaya pemakanan adalah wanita. Anoreksia nervosa
dan bulimia nervosa merupakan dua kecelaruan gaya pemakanan yang lazim
dialami oleh mereka.
Penyakit ini lazimnya bermula semasa zaman remaja atau menjelang
alam dewasa. Namun demikian, terdapat juga laporan yang mengesahkan
bahawa penyakit ini boleh dikesan pada zaman kanak-kanak atau di peringkat
dewasa.
Kecelaruan gaya pemakanan boleh juga berlaku seiring
dengan penyakit mental lain seperti kemurungan, penyalahgunaan bahan
terlarang dan penyakit resah atau takut.
Anorexia nervosa
- Penghidap anoreksia nervosa lazimnya memilih untuk terus berlapar dan enggan mengekalkan berat badan unggul kerana berpendapat mereka masih gemuk.
Bulimia nervosa
Tanda-tanda dan gejala
Penghidap anoreksia biasanya menunjukkan gejala dan tanda-tanda berikut:
- Hilang berat badan, akibat dari enggan makan, penggunaan ubat julap dan ubat diuretik yang kerap atau bersenam secara keterlaluan.
- Enggan mengekalkan berat badan unggul
- Ketakutan yang keterlaluan akan menjadi gemuk atau kelihatan gemuk
- Beranggapan diri gemuk
- Gangguan kitaran atau putus haid di kalangan wanita
- Letih lesu dan tidak bermaya
- Terdapat bulu roma halus (lanugo) menyaluti tubuh badan
- Kurang darah atau anemia
- Kuku dan rambut menjadi rapuh
- Tekanan darah yang rendah
Gejala penyakit bulimia pula meliputi:
- Makan terlampau mengikut nafsu dan tidak henti-henti
- Tabiat makan yang tidak dapat dikawal
- Usaha dilakukan bagi mengurangkan berat badan sama ada secara memuntahkan apa yang dimakan, menggunakan ubat julap, berlapar, berpuasa atau bersenam secara keterlaluan selepas makan secara melampau.
- Memberi tumpuan yang tidak sihat kepada isu berkaitan bentuk dan berat badan
- Kekeringan badan atau dehidrasi
- Letih lesu dan tidak bermaya
- Sembelit
- Gigi dan gusi rosak disebabkan kesan asid perut yang keluar bersama bahan muntah.
- Pipi bengkak akibat sering muntah.
Kesan dan Akibat
Anorexia nervosa
Boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh
diri. Dianggarkan 1 dari 10 orang meninggal dunia akibat penyakit ini.
Akibat-akibat lain termasuklah gangguan degupan jantung, rembesan
hormon terjejas, gangguan kitaran haid, kemandulan, tulang rapuh, ketidakseimbangan
bahan galian dalam badan dan gangguan pada sistem saraf.
Bulimia nervosa
Mengakibatkan kerosakan pada gigi dan gusi akibat kesan asid
perut dalam bahan yang dimuntahkan. Dehidrasi badan dan penurunan paras
kalium akibat kerap muntah boleh menyebabkan gangguan degupan jantung
selain dari badan menjadi tidak bermaya. Pembuangan bahan-bahan dari
usus secara kerap akan menyebabkan keradangan pada dinding saluran pemakanan,
dan juga sembelit.
Rawatan
Bagi kes yang serius, kemasukan ke wad diperlukan bagi rawatan
yang berkesan. Ini termasuk membetulkan ketidakseimbangan cecair dan
bahan galian dalam badan, serta mengembalikan status pemakanan kepada
tahap yang normal dan sihat. Pegawai pemakanan dapat membantu merangka
satu kaedah pemakanan yang seimbang lagi sihat agar berat badan dapat
dicapai dengan jayanya.
Rawatan kognitif dan tingkah-laku berkesan dapat membantu dalam
membetulkan salah tanggapan berkaitan cara pemakanan. Terapi keluarga
membantu ke arah pemulihan. Ubat- ubat khusus juga digunakan untuk merawat
penyakit mental yang berkaitan.
Pencegahan
Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik di
media massa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat kepada
remaja dan dewasa muda. Memiliki susuk badan yang terlalu kurus tidak
harus digalakkan untuk paparan di media-media. Keyakinan dan harga diri
yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung
masalah kecelaruan gaya pemakanan yang tidak sihat.
Pemulihan
Pendidikan mengenai pemakanan secara sihat dan seimbang diiringi
dengan latihan senaman yang betul dapat membantu pemulihan jangka panjang.Kemahiran-kemahiran
lain seperti pembinaan harga diri yang baik, memperbaiki perhubungan
keluarga yang positif dan memperkukuh jalinan sokongan psikososial juga
sama penting
Kumpulan sokongan
PERTUBUHAN KESIHATAN MENTAL MALAYSIA
Semakan akhir: 20 Mei 2008
|