|
Keadaan Spesifik >> Kanser
>> Kanser Pangkal Rahim
Kanser Pangkal Rahim
Apa dia pangkal rahim?
Pangkal rahim adalah bahagian sempit yang terletak di bawah rahim.
Rahim pula bertindak sebagai ruang tumbesaran janin. Pangkal rahim adalah
bahagian yang menyambungkan rahim dengan faraj dan ianya membentuk saluran
kelahiran.
Apakah jenis kanser pangkal rahim?
Keabnormalan sel pangkal rahim
- Atypia - merujuk kepada sedikit perubahan pada
sel. Boleh dikesan melalui ujian pap smear. Perubahan pada sel ini
mungkin menjadi bertambah teruk atau pulih seperti biasa. Jika keputusan
ujian pap smear menunjukkan perubahan atipikal, wanita itu akan dinasihatkan
supaya mengulangi ujian "pap smear" dalam masa enam bulan lagi untuk
melihat samada perubahan sel atipikal tiada.
- Dysplasia - sejenis perubahan luar biasa dalam
sel di pangkal rahim. Juga dikenali sebagai Cervical Intraepithelial
Neoplasia (CIN) dan Squamous Intraepithelial Lesion (SIL).
Terdapat dua jenis utama barah pangkal rahim iaitu
- Squmous cell carcinoma
Squamous cell carcinoma adalah barah pangkal rahim sering berlaku.
Ianya bermula dari dalam sel skuamus atau kulit seperti sel di pangkal
rahim.
- Adenocarcinoma.
Adenocarcinoma adalah jenis barah pangkal rahim yang jarang berlaku;
ia bermula dari dalam sel glandular. Selain itu, barah pangkal rahim
boleh dibahagikan kepada microinvasive atau invasive.
Apa faktor risiko kanser pangkal rahim?
Risiko kebarangkalian seseorang wanita menghidapi barah pangkal rahim
boleh dibahagikan kepada risiko yang boleh dikawal seperti merokok dan
faktor risiko tidak boleh dikawal seperti umur dan sejarah keluarga.
Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko wanita mendapat barah
pangkal rahim:
- Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) - faktor risiko utama mendapat
barah pangkal rahim ialah jangkitan HPV. HPV dibawa dari individu
ke individu yang lain melalui hubungan seks. Faktor yang meningkatkan
risiko tercemar dengan HPV adalah aktif dalam aktiviti seksual pada
usia yang muda, mempunyai ramai pasangan seks (atau hubungan seksual
dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan seks) dan / atau hubungan
seksual dengan lelaki yang ada ketuat di penis.
- Jangkitan Human Immunodeficiciency Virus (HIV) -wanita yang dijangkiti
dengan HIV berisiko untuk mendapat barah pangkal rahim.
- Herpes - wanita yang mendapat jangkitan virus herpes pada bahagian
kemaluan berisiko tinggi mendapat barah pangkal rahim
- Ubatan - anak perempuan kepada ibu yang mengambil ubat Diethylstilboestrol
(DES) semasa hamil untuk mengelakkan keguguran kandungan berisiko
mendapat barah pangkal rahim
- Merokok - meningkatkan risiko barah pangkal rahim sebanyak empat
kali ganda.
Apakah gejala kanser pangkal rahim?
Kebanyakan wanita tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala pada peringkat
awal barah pangkal rahim. Gejala barah selalunya tidak dirasai oleh
pesakit sehinggalah barah telah merebak ke tisu dan organ lain.
Berikut kemungkinan tanda atau gejala cervical dysplasia atau barah:
- Tompokan darah atau sedikit pendarahan antara tempoh kering haid
atau selepas haid
- Pendarahan haid berpanjangan dan banyak daripada biasa.
- Pendarahan selepas putus haid
- Sakit semasa hubungan seksual
- Penambahan lelehan dari faraj
Jika anda mengalami gejala ini, sila berjumpa doktor dengan segera.
Bagaimana anda diagnosakan kanser pangkal rahim?
- Ujian pap
Dilakukan untuk mengesan perubahan sel yang luar biasa dalam pangkal
rahim sebelum barah terbentuk. Contoh sel dari permukaan pangkal rahim
dihantar untuk analisa patologi di bawah mikroskop. Keputusan selalunya
boleh diperolehi dalam masa seminggu selepas ujian. Doktor akan memasukkan
sejenis alat iaitu spekulum ke dalam faraj di mana ia membuka ruang
faraj bagi membolehkan pangkal rahim dilihat. Doktor akan menggunakan
alat seperti spatula untuk mengambil sel dari pangkal rahim. Wanita
disarankan menjalani ujian pap sekali setiap dua tahun.
- Colposcopy
Doktor mungkin melakukan prosedur colposcopy untuk memeriksa kawasan
pangkal rahim yang luar biasa. Alat khas yang dipanggil colposcopy
(alat membesarkan imej sel pangkal rahim dan faraj, sama seperti mikroskop)
digunakan. Ia memberikan cahaya serta pembesaran imej tisu faraj dan
pangkal rahim. Colposcopy adalah selamat digunakan pada wanita yang
hamil. Walau bagaimanapun pesakit perlu memberitahu doktor jika dia
berkemungkinan hamil kerana pesakit ini mungkin memerlukan rawatan
yang berlainan.
- Biopsi
Biopsi ialah pengambilan sedikit tisu untuk pemeriksaan di bawah
mikroskop. Hanya dengan cara diagnosa dapat dibuat dengan tepat. Semasa
prosedur, doktor mengambil sedikit sampel tisu dan dihantar ke makmal
untuk analisa.
- Cystoscopy dan proctosigmoidoscopy.
Pesakit diberi ubat pelali/ bius sebelum prosedur dilakukan. Pemeriksaan
ini dilakukan untuk mengesan samada barah telah merebak ke organ lain
dalam abdomen.
- Imbasan Computed Tomography (CT atau CAT).
Imbasan CT membentuk gambar tiga dimensi dalam badan dengan menggunakan
sinar-X
- Magnetic Resonance Imaging
Ujian ini sama dengan imbasan CT tetapi ia menggunakan kuasa magnet
bukannya sinar-X untuk membentuk imej bersiri yang jelas dan lengkap
Apakah rawatan untuk kanser pangkal rahim?
Rawatan untuk dysplasia.
Jika pangkal rahim wanita disahkan menghidapi dysplasia, wanita tersebut
mungkin perlu rawatan untuk pembuangan sel yang tidak normal dari pangkal
rahim. Dalam kes yang ringan, hanya ujian pap berkala diperlukan. Manakala
dalam kes yang teruk, sel yang tidak normal mungkin dibuang menggunakan
kaedah cryosurgery (pembekuan), cauterization (pembakaran) atau laser.
Rawatan untuk barah pangkal rahim.
Rawatan barah pangkal rahim bergantung kepada saiz dan lokasi ketumbuhan,
tahap rebakan barah dan tahap kesihatan wanita tersebut. Rawatan utama
untuk barah adalah pembedahan, terapi radiasi dan kemoterapi.
- Pembedahan
Dalam pembedahan, doktor membuang barah tisu. Untuk barah pangkal
rahim yang tidak merebak melepasi pangkal rahim, prosedur ini kerap
digunakan:
- Conization menggunakan teknik yang serupa seperti cone biopsy
untuk membuang tisu yang luar biasa. Ia boleh digunakan untuk membuang
microinvasive barah pangkal rahim
- LEEP menggunakan elektrik melalui cangkuk dawai yang halus. Tisu
dibuang menggunakan cangkuk, ia boleh digunakan untuk membuang microinvasive
barah pangkal rahim.
- Hysterectomy - pembedahan untuk membuang rahim dan pangkal rahim.
Hysterectomy boleh jadi simple hysterectomy, di mana pembuangan
rahim dan pangkal rahim atau radical hysterectomy yang mana pembedahan
melibatkan pembuangan rahim, pangkal rahim, bahagian atas faraj
dan tisu di sekeliling pangkal rahim. Radical hysterectomy turut
termasuk pembuangan kelenjar di pelvis. Jika perlu, bilateral salpingo-oophorectomy
(pembuangan kedua-dua salor falopian dan kedua-dua ovari) dilakukan
pada masa yang sama.
- Radioterapi
Menggunakan radiasi untuk memusnahkan sel barah. Radioterapi mungkin
disarankan sekiranya pesakit tidak sesuai untuk pembedahan. Ia mungkin
juga untuk ketumbuhan yang telah merebak ke dalam tisu sekeliling
pangkal rahim yang menyukarkannya untuk dibedah. Radioterapi mungkin
juga digunakan selepas pembedahan atau digabung dengan kemoterapi.
Kesan sampingan daripada terapi radiasi bergantung kepada dos dan
bahagian badan yang dirawat. Kesan sampingan yang kerap terjadi termasuk
letih dan lesu, reaksi pada kulit (kering atau kemerahan pada kawasan
rawatan radiasi), hilang selera makan, loya, muntah, ketidakselesaan
semasa buang air kecil dan cirit birit. Antara kesan sampingan radiasi
terapi dalaman (internal radiation therapy) adalah termasuk sakit
perut dan usus tersumbat. Kebanyakan kesan sampingan akan hilang selepas
rawatan tamat.
- Kimoterapi
Rawatan barah menggunakan ubat anti-barah. Tujuannya adalah untuk
membunuh sel barah dengan menghalang sel barah daripada bertambah.
Kesan sampingan yang kerap berlaku loya dan muntah, hilang selera
makan, cirit birit, letih lesu, bilangan sel darah rendah, perdarahan
atau lebam selepas luka kecil atau cedera, kebas dan rasa mencucuk-cucuk
di tangan atau kaki, sakit kepala, rambut gugur dan kehitaman pada
kulit dan kuku. Kesan sampingan selalunya hilang selepas rawatan lengkap.
- Rawatan paliatif
Rawatan mengurangkan sakit dan gejala penyakit yang lain. Penjagaan
paliatif boleh diperolehi oleh semua pesakit barah yang mengalami
kesakitan dan tekanan tanpa mengira tahap rawatan. Ia amat penting
bagi penghidap barah di peringkat akhir yang mengharapkan kehidupan
yang selesa tanpa kesakitan dan tekanan.
Semakan Akhir : 22 April 2008 |