|
Keadaan Spesifik >> Kanser
>> Kanser Payu Dara
Kanser Payudara
Pengenalan
Perkataan kanser diambil dari bahasa latin "crab". Umumnya
1 billion sel kanser diperlukan untuk membentuk selonggok tisu kanser
bersaiz 1 diameter dan berat 1 gram. Oleh itu, kanser adalah sukar dan
lewat dikesan melalui teknik pengimejan.
Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan ‘National Cancer
Registry’ 2002:
- Terdapat lebih dari 26,000 kes baru kanser dikesan di Semenanjung
Malaysia.
- Wanita Malaysia mempunyai insiden kanser lebih tinggi (55 peratus
berbanding 45 peratus) daripada lelaki.
- 1 dalam 5.5 warga Malaysia dijangka mendapat kanser sepanjang
hayatnya (1 dalam 4 orang bagi kaum Cina, 1 dalam 5 orang bagi kaum
India dan 1 dalam 7 orang bagi kaum Melayu).
Kanser yang biasa di Malaysia ialah:
- Di kalangan lelaki- Kanser paru-paru tinggi di kalangan lelaki
yang merokok diikuti kanser hidung (nasopharyngeal canser)
- Di kalangan wanita- Kanser payudara adalah tinggi diikuti dengan
kanser pangkal rahim.
- Kanser usus - kadar insiden meningkat pada kedua-dua jantina.
Apa itu Kanser Payudara?
Kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia,
1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Berbanding 1 dalam 8 wanita di
Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara.
Kanser payudara adalah biasa pada wanita dan hanya 1% lelaki mendapat
kanser ini. Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul
yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang bawa susu ke bahagian
puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa. Kebanyakan
kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal
cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer)
dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.
Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan
baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah
dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga
boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi
tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang
berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu
penyakit leukimia.
Jenis-jenis kanser payudara
- Kanser setempat 'Carcinoma in situ' : Istilah ini merujuk kepada kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.
- Kanser saluranan 'Ductal carcinoma in situ' (DCIS): Ia adalah jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluranan susu payudara.
- Kanser lobular (Lobular carcinoma in sit) (LCIS): Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.
- Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC): Merupakan kanser payudara yang paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.
- Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)): Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Tanda dan Gejala
Penyebab Kanser Payudara.Beberapa faktor dikenalpasti menyumbang kepada
kanser payudara. Faktor risiko meningkatkan kemungkinan seseorang untuk
mendapat penyakit.
Faktor risiko terbahagi kepada 2 kategori :
Faktor Risiko tidak boleh di kawal :
- Umur-Semakin berumur semakin tinggi kemungkinan mendapatnya. Wanita
berumur 50 tahun ke atas mempunyai 8-10 kali ganda kemungkinan mendapat
kanser berbanding umur muda.
- Wanita mempunyai 100 kali ganda risiko berbanding dengan lelaki.
- Sejarah keluarga- sekiranya anda ada sejarah keluarga kanser payudara,
anda adalah berisiko tinggi. 4.
- Sejarah lalu kanser payudara- sekiranya anda telah didiagnosa kanser
payudara waktu dulu, anda lebih berisiko mendapat kanser payudara sekarang.
- Tempoh haid- lebih awal datang haid yang pertama, anda berisiko
mendapatnya semasa anda telah berumur.
- Faktor keturunan- 5%-10% berkaitan dengan mutasi gen. Gen BRCA1
dan BRCA2 adalah gen utama ( 80% dari semua gen).
Faktor Risiko Boleh di Kawal
- Penyusuan- wanita yang menyusukan anak dalam tempoh 1-2 tahun akan
mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.
- Alkohol- wanita mengambil minuman beralkohol berisiko 1.5 kali ganda
lebih tinggi dari wanita yang tidak mengambil alcohol 2.5 gbs.
- Senaman- wanita yang melakukan senaman berterusan dapat mengurangkan
risiko kanser payudara. Kajian menunjukkan senaman 30 minit sehari untuk
5 hari seminggu adalah mencukupi.
Gejala-Gejala Kanser Payudara
- Tanda paling biasa kanser payudara ialah ketulan atau bengkakkan.
- Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar
kanser. Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat.
Oleh itu sangat penting berjumpa doktor segera apabila ada pembengkakan
atau ketulan di payudara.
Tanda-tanda lain kanser payudara seperti berikut:
- Bengkak pada sebahagian payudara
- Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
Puting masuk ke dalam atau
sakit
- Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
- Lelehan
dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
- Ketulan pada bahagian ketiak
Bagaimana kanser payudara dikesan?
- Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)- wanita patut melakukan PSP
secara berkala bermula dari umur 20 tahun. Belajarlah dari jururawat
anda dan sekiranya ada ketulan dikesan, jumpa doktor segera.
- Mamogram- Mammogram ialah ujian x-ray payudara. Pemeriksaan ini
dibuat kepada wanita yang tiada masalah tetapi berisiko. Pemeriksaan
bagi wanita yang ada tanda atau masalah payudara juga akan dilakukan.
Semasa ujian mammogram, payudara ditekan antara 2 keping plet dan
boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Kadar radiasi x-ray adalah
rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara.
- (Pengambilan tisu dari payudara (biopsi). Semasa ujian ini, sel
dari kawasan yang disyaki diambil dan duji di makmal.
Tahap Kanser Payudara
Pengkelasan tahap kanser payudara penting untuk memastikan sama ada
pesakit boleh sembuh sepenuhnya pada peringkat awal atau sebaliknya:
- Tahap 0 - Kanser setempat (Cancer in Situ)
- Tahap I - Kanser kurang dari 2 cm.
- Tahap II - Kanser 2 hingga 5 cm tanpa atau dengan bengkakan kelenjar
di ketiak
- Tahap III - Kanser besar dari 5 cm atau penglibatan kelenjar ketiak
yang banyak
- Tahap IV - Kanser telah merebak ke luar payudara dan melibatkan
organ lain dalam tubuh
- Tahap I & II - adalah awal dan boleh disembuhkan.
- Tahap IV - tidak boleh disembuh
Rawatan
Wanita yang dikesan kanser payudara diberi rawatan selepas dibuat
penilaian lengkap oleh doktor. Sebahagian pesakit akan dibedah sebelum
diberi rawatan kemoterapi (adjuvant chemotherapy). Sekiranya pakar
bedah memutuskan untuk mengecilkan saiz kanser sebelum pembedahan,
rawatan kemoterapi atau radioterapi akan diberi terlebih dahulu.
Jenis Pembedahan-tujuan pembedahan ialah untuk membuang tisu
kanser payudara
- Pembuangan ketulan kanser pada payudara (lumpectomy). Merupakan
terapi konservatif, tisu normal tidak dibuang.
- Pembuangan sebahagian payudara (Partial (segmental mastectomy)’
(mas-tek-tuh-me) : Pembedahan ini melibatkan pembuangan lebih tisu
payudara berbanding dengan (lumpectomy). Ia biasanya diikuti dengan
radioterapi.
- Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara (simple or total mastectomy):
Dalam pembedahan ini, keseluruhan payudara yang terlibat dibuang,
tetapi kelenjar limfa di ketiak dan otot-otot di bawah payudara tidak
dibuang.
- Pembuangan payudara radikal diubahsuai (Modified radical mastectomy).
Pembedahan ini melibatkan pembuangan seluruh payudara yang terlibat
dan sebahagian kelenjar limfa di ketiak.
- Pembuangan payudara radikal (Radical mastectomy). Pembuangan seluruh
payudara, yang terlibat kelenjar limfa dan otot-otot bahagian bawah
payudara.
- Pembedahan bahagian ketiak (Axillary dissection). Pembedahan ini
dilakukan untuk memastikan sama ada kanser payudara telah merebak
ke kelenjar limfa di ketiak atau tidak. Sebahagian kelenjar akan dikeluarkan
dan diperiksa dibawah mikroskop.
Kimoterapi
Kimoterapi bertindak sebagai ubat pembunuh sel kanser yang diberi
melalui salur darah atau secara pil memakan. Ubat kimoterapi memasuki
salur darah ke seluruh badan. Sekiranya kimoterapi diberi selepas
pembedahan ia dapat kurangkan kemungkinan kanser berulang. Kimoterapi
juga merupakan rawatan utama yang diberi bila kanser telah merebak
menjangkaui luar payudara dan di kawasan ketiak atau rebakan meluas
selepas rawatan pertama.
Kimoterapi juga diberi sebelum pembedahan, biasanya untuk mengecilkan
saiz bengkakan dan mudah dibuang. Kimoterapi diberi dalam beberapa kitaran, setiap kitaran diikuti dengan
tempoh rehat. Jumlah kitaran rawatan biasanya sehingga 3 – 6 bulan.
Biasanya kombinasi beberapa ubat diberi.
Kesan sampingan kimoterapi bergantung kepada jenis, jumlah dan tempoh
ubat-ubat diberi:
- Sangat letih kerana kekurangan sel darah merah
- Loya dan muntah
- Hilang selera makan
- Rambut gugur
- Kudis mulut
- Perubahan kitaran haid (mungkin berkekalan)
- Risiko jangkitan meningkat kerana kekurangan sel darah putih
- Lebam atau pendarahan dari luka kecil disebabkan oleh kekurangan
sel pembeku darah
Terapi Radiasi
Rawatan ini melibatkan penggunaan pancaran bertenaga tinggi (seperti
x-ray) untuk membunuh atau mengecut sel-sel kanser. Radiasi mungkin
dari luar badan (radiasi luaran) atau dari bahan radioaktif yang diletakkan
pada ketumbuhan (brachytherapy). Rawatan ini digunakan untuk memusnahkan
sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara, dinding dada atau
bahagian ketiak selepas pembedahan. Kadang-kadang ianya digunakan untuk
mengurangkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan.
Setiap rawatan mengambil masa beberapa minit. Rawatan ini biasanya
diberi 5 hari seminggu sebagai pesakit luar, untuk selama 6 atau 7
minggu. Ia bermula sebulan selepas pembedahan. Kesan sampingan utama terapi radiasi ialah bengkak dan merasa berat
pada payudara, kesan kemerahan pada kawasan berkenaan dan keletihan.
Terapi Hormon
Hormon estrogen menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser payu dara pada sesetengah wanita. Kaedah untuk menghalang atau mengurangkan paras estrogen digunakan untuk merawat kanser payu dara.
Ubat tamoxifen bertindak untuk menghalang kesan estrogen. Ia diambil dalam bentuk pil, biasanya setiap hari selama 5 tahun selepas pembedahan. Ia mengurangkan risiko kanser daripada berulang.
Aromatase inhibitors ialah sejenis ubat yang menghalang tubuh membentuk estrogen. Ia hanya berkesan untuk wanita yang telah putus haid dan kanser yang dihidapinya positif hormon (reseptor estrogen positif).
Semakan Akhir : 22 April 2008 |