Muntah

Apa itu muntah?

Muntah adalah satu tindakan mengeluarkan atau penyingkiran isi kandungan perut melalui mulut. Muntah bukan sejenis penyakit tetapi ia adalah gejala kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi kanak-kanak, muntah selalunya pulih dengan sendirinya dan tidak berbahaya kecuali ia disebabkan oleh penyakit serius.

Apakah cara-cara seseorang itu muntah?

Muntah boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk:

  • Refluks – Ia berlaku apabila susu yang diminum terkeluar semula dari perut secara perlahan-lahan disebabkan oleh injap yang memisahkan perut dengan saluran esofagus terbuka secara tidak sengaja. Ini adalah keadaan biasa yang berlaku di peringkat beberapa bulan pertama umur bayi dan tidak memudaratkan.
  • Possetting / regurgitation(jeluak) – Ia berlaku apabila bayi anda terjeluak susu melalui mulut sejurus selepas menyusu. Ini juga adalah keadaan biasa di kalangan bayi.
  • Projectile vomiting (muntah memancut) – Ia berlaku apabila isi kandungan perut bayi terkeluar secara memancut dan mengejut melalui mulut. Kuantiti yang dimuntahkan selalunya banyak.

Apakah sebab-sebab muntah?

Sebab-sebab biasa berlakunya muntah:

  • Jangkitan ringan kepada kanak-kanak seperti jangkitan virus atau ‘stomach flu’.
  • Keracunan makanan.
  • Mabuk perjalanan.
  • Terlebih makan.

Sebab-sebab yang jarang berlaku tetapi serius:

  • Jangkitan selaput otak atau otak / ensefalitis (meningitis or encephalitis).
  • Kecederaan / hantukan pada kepala / otak.
  • Ketumbuhan dalam otak.
  • Usus tersumbat / tersekat.
  • Jangkitan saluran kencing.
  • Ketoacidosis diabetik.
  • Kegagalan hati.
  • Kegagalan buah pinggang.
  • Penyakit metabolik.
  • Radang appendiks.
  • Radang pankreas.

Apakah tanda dan gejala penting yang lain?

Di samping mengalami muntah yang ketara, kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda-tanda lain sekiranya muntah menjadi teruk. Kehilangan banyak air dalam badan menyebabkan dehidrasi (penyahairan) berlaku.

Keadaan ini terjadi apabila kanak-kanak muntah terlalu banyak dan tidak mendapat air yang mencukupi. Dehidrasi dikategorikan seperti berikut:

Dehidrasi ringan ke sederhana

  • Mulut / lidah kering.
  • Bibir merekah.
  • Tiada / kurang air mata semasa menangis.
  • Tidak membuang air kencing selama tempoh 4 – 6 jam (lampin tidak basah dalam tempoh tersebut).
  • Ubun-ubun di kepala bayi menjadi cengkung.
  • Gelisah.

Dehidrasi yang teruk

Semua tanda-tanda di atas dan diikuti tanda-tanda berikut:

  • Kulit kering, berkedut.
  • Tidak bermaya, letih dan tidak aktif.
  • Mata cengkung.
  • Susah bernafas.
  • Denyutan nadi lemah dan sangat cepat.
  • Kaki dan tangan kanak-kanak terasa amat sejuk.
  • Enggan makan .

Tanda-tanda bahaya

Apabila tanda-tanda ini terjadi, kanak-kanak mungkin akan mengalami keadaan/penyakit yang lebih bahaya:

  • Muntah yang memancut terutama pada kanak-kanak berumur kurang daripada 1 bulan.
  • Demam, suhu badan > 38oC.
  • Muntah berdarah.
  • Muntah cecair berwarna hijau.
  • Muntah selepas berlaku kecederaan di kepala.
  • Kekeliruan, dalam keadaan mengantuk atau lali.
  • Pucat.
  • Mata jadi kuning.
  • Susah bernafas.
  • Sakit perut.
  • Perut mengembung.
  • Muntah yang berterusan dan sukar untuk maka.

Apakah komplikasi akibat muntah?

Komplikasi yang terjadi disebabkan oleh dihidrasi di samping keadaan-keadaan lain yang serius seperti dinyatakan di atas.

Komplikasi lain termasuk:

  • Kegagalan organ seperti kegagalan buah pinggang.
  • Kecederaan pada saluran esofagus disebabkan oleh muntah yang berulangan.
  • Komplikasi yang berkaitan dengan penyakit yang dihidapi oleh kanak-kanak

Bagaimana muntah boleh dirawat?

Kehilangan jumlah cairan badan disebabkan muntah yang berterusan perlu diganti supaya dehidrasi tidak berlaku. Bagi bayi berumur kurang daripada 6 bulan:

  • Berikan bayi anda air garam rehidrasi (oral rehydration salt – ORS) dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Berikan 2 – 3 sudu teh setiap 15 – 20 minit.
  • Jika bayi anda tidak muntah selepas menerima air garam rehidrasi tersebut, tambahkan jumlah ORS beransur-ansur (tidak melebihi jumlah pengambilan yang sebenar berlaku dengan setiap penyusuan).
  • Jangan beri air kosong atau ORS berperisa.
  • Jika bayi menyusu susu formula, anda boleh mulakan menyusu bayi anda selepas bayi anda tidak lagi muntah dalam masa 6 – 8 jam.
  • Jika bayi diberi susu ibu sepenuhnya, anda boleh menyusu bayi anda selama 5 – 10 minit untuk setiap payudara setiap 2 jam. Selepas 6 – 8 jam bayi anda tidak lagi muntah, anda boleh menambahkan masa penyusuan.

Bagi bayi diperingkat umur 6 bulan hingga 1 tahun:

  • Berikan bayi anda air garam rehidrasi (ORS) dengan jumlah yang sedikit tetapi kerap – berikan 3 sudu teh air garam rehidrasi (ORS) setiap 15 – 20 minit.
  • Jika bayi anda tidak muntah selepas menerima air garam rehidrasi, beransur-ansur tambahkan jumlah ORS yang diberi (tidak melebihi jumlah pengambilan yang sebenar setiap kali anak anda makan/menyusu).
  • Jangan berikan air kosong.
  • Air garam rehidrasi (ORS) berperisa mungkin boleh diberikan.
  • Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6 – 8 jam, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa.
  • Mulakan penyusuan dalam jumlah yang sedikit dan beransur-ansur tambahkan jumlah susu sekiranya anak anda dapat menerimanya.

Bagi kanak-kanak lebih daripada 1 tahun:

  • Berikan bayi anda air garam rehidrasi (ORS) atau air kosong dengan jumlah yang sedikit tetapi kerap – berikan 3 sudu teh setiap 15 – 20 minit.
  • Air garam rehidrasi (ORS) berperisa boleh diberikan.
  • Sekiranya anak anda boleh menerima air garam rehidrasi, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa (tidak melebihi jumlah pengambilan yang sebenar setiap kali anak anda makan/menyusu).
  • Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6 – 8 jam, beransur-ansur cuba berikan anak anda sup kosong dan makanan lembut (roti, bubur/nasi yang tidak pedas dan mee).
  • Jangan memaksa anak anda makan.
  • Selepas 24 jam tidak muntah, beransur-beransur mulakan makanan seperti biasa.

Perhatian

Dapatkan bantuan perubatan sekiranya:

  • Anak anda muntah secara berterusan dan enggan makan.
  • Anak anda mempunyai mana-mana tanda bahaya yang tersebut di atas.

Bolehkah muntah dicegah?

Muntah sukar dicegah sekiranya disebabkan oleh jangkitan atau penyakit-penyakit yang lebih teruk tetapi terdapat langkah-langkah yang boleh mencegah mabuk perjalanan dan jeluak.

Untuk mengurangkan mabuk perjalanan

  • Jangan beri terlalu banyak minuman ringan/berkarbonat dan gula-gula kepada anak anda semasa dalam perjalanan.
  • Dudukan anak anda di dalam kerusi kenderan dengan mengadap ke hadapan dan gunakan penghadang pada cermin sisi bagi mengelakkan pandangan luar.

Untuk mengurangkan jeluak

  • Jangan beri terlalu banyak makan pada setiap kali makan. Berikan dalam jumlah yang sedikit tetapi dengan lebih kerap.
  • Pegang bayi anda dalam posisi menegak dan sendawakannya dalam20 minit pertama selepas makan/minum.
  • Elakkan menimang bayi dalam pangkuan anda atau meletakkan bayi anda dalam posisi bongkok di kerusi bayi selepas makan/minum.
  • Apabila menidurkan bayi anda, pastikan kepala bayi berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada kakinya.
Semakan akhir : 28 OGos 2020
Penulis : Dato’ Dr. Lim Nyok Ling
  : Dr. Lim Sern Chin
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar