A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Modifikasi Tingkah Laku Di Kalangan Remaja Bermasalah

Pengenalan

Dalam proses pembangunan sesebuah masyarakat dan Negara, setiap satu aspek yang penting mestilah tidak boleh dipinggirkan. Salah satu aset terpenting yang boleh menjamin kemajuan sesebuah masyarakat adalah golongan remaja. Remaja merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku, sama ada daripada segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana pada ketika ini remaja mula minat berhubungan dengan rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam keluarga dan sebagai warga masyarakat.

Remaja

Stanley Hall mengatakan zaman remaja sebagai zaman ‘storm and stress’ yang bersifat biologikal yang terhasil daripada perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh sehingga menyebabkan emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Ketika ini, wujud tekanan dan perubahan serta pelbagai konflik di dalam dirinya juga di dalam masyarakat menyebabkan remaja akhirnya berkembang menjadi individu yang matang dan bermoral.

Apa Itu Tingkah Laku?

Tingkah laku boleh dibahagikan kepada dua iaitu tingkah laku luaran dan tingkah laku dalaman.

  1. Tingkah laku luaran (overt) ialah tingkah laku yang boleh dilihat atau diperhatikan. Ia terbahagi kepada dua iaitu lisan dan motor. Tingkah laku lisan melibatkan bahasa, manakala motor pula melibatkan pergerakan badan. Terdapat tingkah laku luaran yang melibatkan kedua-duanya.
  2. Tingkah laku dalaman (covert) ialah tingkah laku yang tidak boleh dilihat atau ditunjukkan. Contohnya tindak balas selepas mendengar lagu, individu akan mengingatkan kepada sesuatu tetapi perasaan atau keadaan itu tidak dapat dilihat/diperhatikan atau diukur dengan menggunakan alat-alat tertentu.

Bagaimana Tingkah Laku Berkembang

Sesetengah tingkah laku diwarisi, manakala sesetengah lagi berkembang selepas dilahirkan. Faktor baka lebih kepada fizikal yang melahirkan beberapa tingkah laku. Pembelajaran yang terhasil daripada interaksi dengan persekitaran banyak mempengaruhi tingkah laku individu.

Tingkah Laku Bermasalah

Bagi Arnett (1999) menganggap tiga domain potensi pergolakan semasa remaja ialah pertentangan dengan ibu bapa, gangguan mood, dan tingkah laku berisiko. Daripada perspektif ekologi pula, masalah yang berkaitan dengan kanak-kanak atau remaja timbul daripada kombinasi faktor :

  1. ciri-ciri kanak-kanak/remaja
  2. persekitaran keluarga
  3. ciri-ciri guru
  4. persekitaran bilik darjah
  5. ciri-ciri rakan sebaya
  6. lain-lain

Achenbach & Edelbrock pula telah mengkategorikan tingkah laku kepada :

  1. Tingkah laku ‘externalizing’ – bertingkah laku dengan orang lain.

Bersifat ‘impulsive’ dan kurang pengawalan diri seperti agresif dan sering mengganggu orang lain.  Individu ini sentiasa menonjol dengan permasalahan tingkah laku sehingga menjejaskan pembelajaran dan perhubungan sosial. Contoh perlakuan seperti tidak duduk di tempat duduk sendiri, menjerit, memukul, berkelahi atau bergaduh, mencuri, merosakkan harta benda, ‘vandalisme’, berbohong dan sering marah-marah.

Tingkah laku ‘externalizing’

Tingkah laku ‘internalising’ – dalaman diri.

Bersifat mengasingkan diri, ‘compulsive’, selalu sedih, pemalu,  berfokus kepada ketakutan dan fantasi.  Keadaan sebegini mungkin tidak disedari oleh guru kerana tidak mengganggu namun tingkah laku ini menjejaskan pembelajaran dan perhubungan sosial yang normal.

 

Faktor-­faktor yang perlu diambil kira semasa menilai sama ada tingkah laku itu normal atau tidak normal termasuk :

  1. kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut
  2. kekuatan (intensity)
  3. tempoh (duration)
  4. kesesuaian dengan umur (age appropriateness)

Modifikasi Tingkah Laku

Modifikasi Tingkah Laku

Modifikasi tingkah laku adalah satu pendekatan terapeutik (terapi) yang berasaskan kajian saintifik dan kognitif. Tidak terdapat definisi yang muktamad mengenai definisi modifikasi tingkah laku, namun kebanyakan ahli terapi sependapat terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk mendefinisikan konsep ini.

Modifikasi Tingkah Laku Melalui Pendekatan Humanistik

Pendekatan ini dibawakan oleh Carl Rogers dan Abraham Maslow. Carl Rogers menyatakan potensi yang terdapat dalam diri individu akan melahirkan keyakinan dan membantu kepada perkembangan potensi. Sekiranya seseorang menerima rangsangan positif yang tidak dirancang tanpa syarat (unconditional positive regard), dia akan melayan orang lain dengan baik walaupun tidak sependapat.

Modifikasi Tingkah Laku Melalui Pendekatan Humanistik

Potensi diri ini jika disokong dengan persekitaran yang kondusif beserta rangsangan positif, akan terus berkembang. Ini akan melahirkan individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebaliknya sekiranya kita mempunyai keyakinan diri yang rendah, ia turut mempengaruhi cara kita berhubung dengan orang lain. Ini akan menjejaskan hubungan kita dalam masyarakat.

Hakikatnya berlakunya banyak masalah disiplin berpunca dari pelajar yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Kesannya, mereka tidak minat untuk belajar menyebabkan mereka kerap ponteng sekolah, melakukan aktiviti vandalisme, melawan guru, bergaduh dan pelbagai masalah sosial masakini.

Abraham Maslow

Abraham Maslow (1943) telah memperkenalkan konsep kesempurnaan kendiri (self-actualization) iaitu mencapai potensi diri yang bermakna kepada seseorang. Manusia dilahirkan dengan mempunyai kuasa dalaman untuk menghasilkan potensi diri maksimum yang dikenali sebagai kesempurnaan kendiri (self-actualization). Untuk mencapai kesempurnaan kendiri, individu berkenaan perlu melalui beberapa tahap. Ia bermula daripada tahap asas iaitu keperluan fisiologi diikuti oleh keperluan keselamatan seterusnya kepada keperluan sosial kemudian meningkat kepada keperluan penghargaan dan akhirnya tahap mencapai kesempurnaan kendiri.

Remaja hadir daripada pelbagai taraf lapisan sosial ekonomi. Ada yang hidup dalam keadaan miskin juga menghadapi masalah keluarga yang kucar-kacir. Ini bermakna tahap fisiologi masih lagi tidak berjaya dicapai sepenuhnya. Oleh itu, guru perlu mengetahui latar belakang seseorang pelajar supaya dapat membantu pelajar yang bermasalah. Peranan ibu bapa penting dalam memenuhi tahap fisiologi. Remaja akan bermotivasi untuk belajar dan tidak terlibat dengan tingkah laku tidak berdisiplin seperti mencuri, bergaduh, melepak, vandalisme, terlibat dengan dadah dan lain-lain lagi, sekiranya keperluan-keperluan utama fisiologi dipenuhi.

Pendekatan Humanisme percaya kuasa dalaman yang dimiliki oleh manusia perlu dipupuk ke arah nilai-nilai positif. Tingkah laku remaja ataupun pelajar sekolah dapat dipupuk dengan baik sekiranya ibu bapa dapat menyemai nilai positif di dalam keluarga itu sendiri. Nilai-nilai seperti kasih sayang, tolong-menolong, jujur, dan semua nilai baik perlu diberi perhatian oleh ibu bapa secara berterusan.

Rujukan

  1. Anuar Bin Puteh. “Perkembangan dan Pembentukan Remaja Menurut Perspektif Islam.” Kajian Malaysia, Jilid XIX, No. 2, Disember 2001.
  1. Bach, Patricia and S. G. McCracken. “Best Practice Guidelines For Behavioral Interventions.”Behavioral Health Recovery Management Project (2006): 1-508.
  1. Maslow, A. H. 1943. A Theory of Human Motivation. Psychology Review, July. 388-389. Axelrod, S. 1983.
  1. Mather, N, and Sam Goldstein. “Behavior Modification in the Classroom.” LD Online (2001): 1-21. www.Idonline.org Web. 25 Oct. 2011
  1. Saadah Sumrah, Salwan Sudirman, Roslee Ahmad.”Kaedah Menangani Kanak-kanak Bermasalah Tingkah laku”. Seminar Kaunseling Keluarga 2008.

 

Semakan Akhir : 5 Januari  2016
Penulis : Zainab binti Hj. Tambol
Akreditor : Hjh Hashimah binti Hashim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,093,327

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia