A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mitosis

Pengenalan

Setiap sel dalam badan kita akan melalui satu siri peristiwa, yang dinamakan kitaran sel. Kitaran sel ini membawa kepada pertumbuhan, pembahagian dan penyalinan sel untuk menghasilkan dua sel anak. Dalam sel-sel eukariot (sel yang mempunyai nukleus), kitaran sel dibahagikan kepada dua tempoh utama: fasa interfasa dan mitosis (M). Semasa interfasa, sel melalui tiga fasa, iaitu G1 (jurang pertama), S (sintesis) dan G2 (jurang kedua); di mana sel bertumbuh, mengumpul nutrien yang diperlukan untuk mitosis, menyediakan diri bagi pembahagian sel dan menduplikasi fasa mitosis, sel berpecah menjadi dua sel anak berbeza, diikuti oleh sitokinesis di mana sel baru terbahagi sepenuhnya. Selain itu, sel juga boleh meninggalkan kitaran sel buat sementara waktu atau selama-lamanya dan memasuki fasa G0 (berehat) untuk berhenti membahagi di atas sebab tertentu.

Gambarajah 1 : Kitar sel

Fasa
Nama fasa
Singkatan
Butiran
Fasa berehat
Jurang 0
G 0
el boleh meninggalkan kitaran sel buat sementara waktu atau selama-lamanya dan memasuki fasa G0 (berehat) untuk berhenti membahagi di atas sebab tertentu
Interfasa
Jurang 1
G1
Saiz sel bertambah
Sintesis
S
Penyalinan DNA
Jurang 2
G2
Sel terus bertumbuh
Pembahagian sel Mitosis
Mitosis
M
Pertumbuhan sel berhenti pada peringkat ini dan memberi tumpuan kepada pembahagian sebelumnya kepada dua sel anak. Pusat pemeriksaan di pertengahan mitosis (pusat pemeriksaan metafasa) akan memastikan sel telah bersedia untuk melengkapkan pembahagian sel

Mitosis adalah sebahagian daripada kitaran sel di mana kromosom dalam nukleus sel dipisahkan kepada dua set kromosom yang sama. Set kromosom ini berada di dalam nukleus sendiri. Terdapat dua tempoh dalam mitosis; karyokinesis dan sitokinesis.

  1. Karyokinesis adalah fasa di mana nuklues membahagi.
  2. Sitokinesis adalah fasa di mana sitoplasma membahagi bersama dengan organel dan membran sel. Hasil akhir pembahagian ini ialah penghasilan dua sel anak (yang mempunyai jumlah komponen selular yang sama).

Penemuan

Proses “mitosis” pertama kali ditemui oleh seorang ahli biologi Jerman pada tahun 1882, Walther Flemming. Beliau mengkaji mengenai pembahagian sel dan pengedaran kromosom ke dalam sel anak. Perkataan mitosis diambil dari perkataan Greek (mitos) yang bermaksud “bebenang meleding”.

Fungsi Mitosis

  1. Pertumbuhan dan perkembangan

    Kehidupan bermula daripada satu sel tunggal (sel gamet), yang kemudiannya menjadi sel telur yang telah disenyawakan (zigot). Proses ini menghasilkan banyak sel yang akhirnya membentuk tisu, organ dan sistem organ dalam organisma.

  2. Penggantian Sel

    Mitosis akan menghasilkan sel-sel baru untuk menggantikan bahagian badan kita seperti kulit yang telah mati / tercabut akibat daripada penggunaan harian, koyak atau kecederaan.

  3. Pertumbuhan Semula Sel-sel Baru

    Berlaku dalam sesetengah organisma, penjanaan semula bahagian-bahagian badan dilakukan oleh proses mitosis. Sebagai contoh, bahagian badan tapak sulaiman yang hilang boleh tumbuh semula melalui mitosis.

  4. Pembiakan Aseksual

    Berlaku dalam sesetengah organisma unisel Amoeba dan multisel Hydra, serta pembiakan vegetatif dalam tumbuhan. Organisma-organisma ini menggunakan mitosis untuk menghasilkan anak yang mempunyai kandungan genetik sama seperti induk asal.

Fasa mitosis

Terdapat empat fasa utama dalam mitosis iaitu profasa, metafasa, anafasa dan telofasa. Setiap fasa ini menjalani perubahan sel yang berbeza.

Gambarajah 2 : Fasa mitosis

Profasa

Profasa adalah peringkat pertama mitosis. Pada peringkat ini, kromosom berada pada pemanjangan yang terbaik. Kromosom mula membentuk gegelung dan menjadi tebal. Kromosom pada ketika ini mula kelihatan dan boleh dilihat di bawah mikroskop cahaya. Semasa fasa ini, membran nuklear hilang dan gentian gelendong (spindle fiber) muncul. Kinetokor (kinetochore) memegang kromosom dan terikat di gentian gelendong.

Gambarajah 3 : Profasa

Metafasa

Semasa metafasa, sentriol (centriole) membahagi dan berpindah ke tapak yang bertentangan kutub. Gentian gelendong melekat pada sentromer (centromere) setiap sepasang kromatid beradik dan kromatid beradik mula beratur di plat khatulistiwa, atau pusat sel.

Gambarajah 4 : Metafasa

Anafasa

Sentromer mula membahagi secara longitud. Gentian gelendong mula memendek dan kromatid beradik ditarik ke kutub yang bertentangan. Pada peringkat ini, kromatid beradik berpisah. Pada akhir anafasa, setiap kutub sel mempunyai satu set lengkap kromosom.

Gambarajah 5: Anafasa

Telofasa

Gegelung kromosom mula terbuka dan membentuk kromatin, nukleoli (nucleoli) dan membran nuklear terbentuk semula.

Gambarajah 6: Telofasa

Sitokinesis

Sitokinesis (pembahagian sitoplasma) adalah peringkat akhir dalam proses pembahagian sel. Produk akhir proses ini adalah dua sel anak yang mempunyai genetik yang serupa dan mengandungi set lengkap bahan genetik. Kedua-dua sel anak memasuki interfasa, dan kitaran ini akan berulang.

Gambarajah 7: Sitokinesis

Rujukan

  1. http://www.ck12.org/api/flx/get/perma/modality/lesson/Mitosis-and-Cytokinesis/SCI.PSC.111.2?extension=version%3A48&format=html&_=1456065394560
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Cell_cycle
  3. https://en.wikibooks.org/wiki/An_Introduction_to_Molecular_Biology/Cell_Cycle
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Mitosis
  5. http://www.ck12.org/biology/Mitosis-and-Cytokinesis/lesson/Mitosis-and-Cytokinesis-BIO/
Semakan Akhir : 07 April 2017
Penulis/Penterjemah : Kamalru Azman bin Daud
Akreditor : Farah Amalina bt. Mohd Zulkufli

Artikel Berkaitan

Bedah Siasat : Mediko Legal vs Klinikal

Prinsip asas pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan kepada mayat atau jasad adalah untuk mengetahui dengan lebih tepat berkaitan dengan cara dan penyebab yang paling mungkin keatas sesuatu kejadian kematian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,270,779

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia