Pengenalan
Methylphenidate ialah sejenis perangsang yang mengaktifkan atau meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat. Ia membantu kanak-kanak yang menghidap masalah tumpuan dan hiperaktif (ADHD) menjadi tenang dan boleh menumpukan perhatian. Kajian menunjukkan bahawa ketagihan kepada ubat perangsang sistem saraf pusat tidak akan berlaku jika individu yang menghidap ADHD mengambil ubat mengikut dos yang diarahkan oleh doktor.
Kesan Sampingan
- Kemurungan
- Pening atau sakit kepala
- Mengantuk
- Gangguan tidur
- Perubahan pada tekanan darah atau degupan jantung
- Rambut gugur
- Ruam
- Pertumbuhan terbantut
- Penglihatan kabur
- Kehilangan berat badan
- Loya dan muntah
Penyalahgunaan Methylphenidate
Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan tentang penyalahgunaan methylphenidate oleh sesetengah orang untuk mendapatkan kesan rangsangan yang dihasilkannya seperti untuk mengurangkan selera makan, meningkatkan penumpuan meningkatkan daya tumpuan dan euphoria (kegembiraan yang melampau). Sesetengah penyalahgunaan yang dilakukan adalah dengan melarutkan tablet ke dalam air dan menyuntik larutan itu ke dalam badan. Tindakan ini boleh memudaratkan terhadap diri mereka sendiri kerana tablet yang tidak larut akan menyebabkan salur darah kecil tersumbat.
Penggunaan Ubat Methylphenidate yang Betul
- Makan ubat seperti yang diarahkan.
- Jangan ubah dos atau berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor. Ubat mungkin mengambil masa untuk memberi kesan.
- Jangan hancurkan atau kunyah ubat tersebut kecuali jika diarahkan.
- Tablet dan ubat tablet jenis sustained release harus diambil 30-45 minit sebelum makan.
- Sesetengah ubat mungkin diambil dengan cara yang berbeza. Sila baca arahan dengan teliti.
Langkah Berjaga-jaga
- Pantau tekanan darah kerana methylphenidate dapat meningkatkan tekanan darah.
- Bagi pesakit yang mempunyai sejarah penyakit sawan, maklumkan kepada doktor jika sawan berlaku
- Pantau tinggi dan berat badan anak yang mengambil methylphenidate memandangkan rawatan yang berpanjangan tanpa pemantauan akan menyebabkan tumbesaran terbantut.
- Elakkan daripada memberhentikan ubat secara mendadak.
Maklumat Tambahan
Maklumkan pada doktor jika kesan ubat mula berkurangan pada sebelah malam.
Maklumkan pada doktor jika mempunyai masalah perubatan seperti darah tinggi, glaukoma atau hipertiroid.
Ubat ini tidak disarankan untuk wanita mengandung atau wanita yang menyusukan anak.
Ubat ini tidak disarankan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat/dadah atau alkohol.
Minum air secukupnya kecuali jika anda diarahkan sebaliknya.
Anda mungkin mengalami pengurangan selera makan atau penurunan berat badan. Ambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi dengan lebih kerap bagi mendapatkan keperluan zat makanan yang cukup di dalam badan.
Methylphenidate mungkin menyebabkan pening atau rasa gelisah, terutama pada peringkat awal rawatan. Elakkan memandu atau melakukan tugas yang memerlukan tumpuan semasa mengambil ubat ini.
Kaedah Penyimpanan
Kaedah penyimpanan perlu diberi perhatian serius memandangkan ubat ini selalu disalahgunakan.
Jangan campurkan ubat ini dengan ubat lain.
Simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering, serta jauhkan daripada kanak-kanak.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Yam Chiew Fong |
Penyemak | : | Rabi’ah bt. Mamat |
: | Mohd Shahiri bin Abd Ghapar |