A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mengurus Parut Abnormal

Parut bisanya akan terbentuk apabila luka sembuh. Penampilan parut berbeza-beza, terdapat parut yang rata, tenggelam ataupun timbul.

Maksud Parut Abnormal?

Parut bisanya akan terbentuk apabila luka sembuh. Penampilan parut berbeza-beza, terdapat parut yang rata, tenggelam ataupun timbul. Apabila parut terbentuk melebihi saiz luka asal, ia dianggap sebagai parut abnormal. Parut abnormal terjadi akibat pertumbuhan tisu yang berlebihan. 

Parut abnormal hanya pada manusia dan muncul sebanyak 1% hingga 16% pada populasi. Orang yang berkulit gelap adalah berpotensi untuk mendapat parut abnormal. Lelaki dan perempuan mempunyai risiko yang sama, namun kekerapan pada perempuan lebih tinggi mungkin kerana sebab-sebab kosmetik. Umur pula adalah dari 10 hingga 30 tahun. Individu berumur lebih 65 tahun biasanya jarang mendapat parut abnormal.

Masalah Parut Abnormal

Parut abnormal jika tidak dijaga ia boleh menimbulkan beberapa komplikasi antaranya ialah :

  • Merasa rendah diri dangan rupa paras yang berparut. Ini boleh menyebabkan kemurungan.
  • Julat pergerakan akan terjejas jika parut itu terbentuk di antara sendi. Ini juga dikenali sebagai kontraktur (contracture).
  • Bahagian parut rasa gatal dan boleh mengakibatkan luka jika digaru.
  • Parut abnormal yang kering boleh merekah, pecah dan mengakibatkan luka. 

Apakah Proses Yang Terlibat Bagi Penilaian Parut Abnormal?

Penilaian keseluruhan terhadap pesakit adalah dari segi kebolehan fizikal dan psikologi termasuk parut abnormal tersebut.

Apa Penilaian Fizikal Dan Psikologi?

Jurupulih Perubatan  Carakerja akan menilai kebolehan fizikal pesakit menggunakan peralatan yang khusus. Penilaian termasuklah julat pergerakan, kekuatan tangan dan  deria rasa. Antara contoh penilaian fizikal pesakit adalah seperti berikut:

Penilaian kekuatan tangan Penilaian julat pergerakan tangan Penilaian deria rasa tangan

Dari segi psikologi, tahap kemurungan  akan dinilai. Ini kerana pesakit yang mempunyai parut abnormal akan mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan jika tidak diatasi dari awal boleh menyebabkan masalah kemurungan.

Apa Penilaian Parut Abnormal? 

Parut dinilai dari segi pigmentasi kulit, warna  (merah jambu, merah atau ungu), jenis parut (keras atau lembut), ketinggian parut, tahap kasakitan dan kegatalan parut tersebut. Parut abnormal yang aktif akan gatal, sakit, bewarna merah jambu dan mempunyai ketinggian yang melebihi kulit. Antara contoh parut abnormal adalah seperti berikut:

 Parut abnormal pada telinga  Parut abnormal pada lengan  Parut abnormal pada tangan

Apakah Perawatan Bagi Parut Abnormal?

Urutan

Urutan boleh membantu melembutkan dan mengurangkan sensitiviti parut. Urutan digabungkan dengan rengangan, dapat membantu melonggarkan tisu parut.  Secara tidak langsung ia dapat mengekalkan julat pergerakan  pada sendi. Malah urutan juga salah satu cara yang dapat meleperkan parut dan juga dapat mengurangkan kesakitan pada parut. Urutan tidak boleh dilakukan jika luka anda belum sembuh. 

Urutan menekan pada parut abnormal

 Senaman Julat pergerakan/ meregangkan sendi

Aktiviti ini akan membantu dalam meningkatkan julat pergerakan. Tisu parut biasanya akan memanjang selepas diregangkan terutama apabila regangan dikekalkan untuk beberapa saat dan dikuti dengan urutan. Tisu parut ada potensi untuk mengecut atau memendek ini akan menghalang pergerakan. Oleh yang demikian, adalah penting melakukan senaman setiap hari untuk memastikan pergerakan sendi adalah penuh dan perlu mengekalkan kefungsian anggota supaya tidak berlaku kecacatan. Antara pergerakan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

Pergerakan menggunakan putty Pergerakan tangan menggunakan alat senaman

 

   
 Melatih deria rasa menggunakan biji plastik  Pergerakan jejari menggunakan alat senaman

Pengunaan “Splint”

Splint dapat membantu meregangkan tisu parut terutama parut yang melibatkan sendi. Penggunaan “splint” dapat membantu meningkatkan kefungsian seseorang dan juga menghalang berlakunya kecacatan. Splint boleh digabungkan dengan pemakaian “Pressure Garment” untuk rawatan parut yang lebih berkesan.

Penjagaan Splint:

  • Patuhi protokol pemakaian seperti yang ditetapkan oleh terapis.
  • Jauhi splint dari sumber yang panas – ia sensitif pada haba dan  akan berubah bentuk.
  • Elakkan meninggalkan splint di dalam kenderaan.
  • Bersihkan splint menggunakan kain basah jika kotor. Elakkan merendam splint dalam air kerana gam pada pelekat splint akan mudah tercabut
Contoh-contoh Splinting pada kaki, hidung dan telinga 

Penggunaan Pakaian Tekanan (pressure Garment)  

Pakaian tekanan adalah diperbuat dari bahan jenis lycra. Ia dijahit berdasarkan saiz pesakit. Pakaian tekanan perlu di pakai 23 / 24 jam sehari. Tekanan yang berterusan dari pakaian tekanan dapat mengurangkan pembentukan parut abnormal dan juga membantu meregangkan tisu parut. Pakaian tekanan perlu dipakai sehingga parut matang.

Penjagaan pakaian tekanan:

  • Cuci menggunakan tangan.
  • Gunakan sabun mandi. Elakkan detergent.
  • Keringkan dibawah kipas. Jauhi sinaran matahari.
Contoh Pakaian Tekanan bagi muka, tangan, kaki dan sebagainya.

Penggunaan Silicone

Silicone berbentuk gel atau  kepingan. Ia dapat membantu parut dari menjadi kering,  melembutkan  dan mengurangkan kegatalan pada parut. Ia boleh diaplikasi atas parut atau dipakai bersama pakaian tekanan atau splint, ruam dan kegatalan yang serius.

Kepingan silicone dan silicone gel   

Pemakaian Elasticated Tubular bandage

Elasticated Tubular bandage adalah berbentuk stokin dan boleh meregang tetapi mempunyai keregangan yang kurang berbanding pakaian tekanan. Biasanya, Elasticated Tubular bandage akan dicadangkan kepada pesakit jika luka masih basah. Ini bagi mengelakkan luka semakin teruk dan dalam masa yang sama tidak menjadi parut abnormal yang serius.

Contoh pemakaian tubigrip bagi kaki

Penggunaan Alat Bantuan

Penggunaan alat bantuan diperlukan sekiranya pesakit tidak dapat menggenggam atau mempunyai kontraktur pada tangan apabila melakukan aktiviti makan. Alat bantuan biasanya akan  dicadangkan oleh terapis berdasarkan keperluan dan masalah pesakit.

Contoh Alat Bantuan

Apa harapan bagi parut abnormal?

Perawatan parut abnormal adalah di luar jangkaan dan biasanya tidak memuaskan. Jika parut abnormal muncul dari sumber yang boleh dikenal pasti seperti menindik telinga, pesakit harus mengelakkan aktiviti tersebut di masa hadapan. Sumber api atau benda panas juga hendaklah dikendalikan dengan waspada bagi mengelakkan kemalangan. Langkah berjaga-jaga ini boleh mengelakkan trauma pada kulit.

Rujukan

Burd A, Huang L. Hypertrophic response and keloid diathesis: two very different forms of scar. Plast Reconstrusct Surg. 2005; 116:150-15

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Zurlina Binti Mahmood
Akreditor : Premalatha A/P Sundram
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,372,944

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia