A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Mengurus Kesan Sampingan Ubat...

Mengurus Kesan Sampingan Ubat Kemoterapi (Loya, Keletihan, Radang Mulut)

Apa itu kemoterapi?

Ubat kemoterapi digunakan untuk merawat kanser. Ia digunakan sama ada bersendirian atau dalam kombinasi dengan ubat-ubatan lain. Tujuan rawatan ini adalah untuk memusnahkan sel-sel kanser. Kemoterapi bertindak membunuh sel-sel yang membahagi dengan cepat, sama ada sel-sel kanser atau sel-sel sihat.

Ubat kemoterapi yang merosakkan sel-sel diakar rambut atau folikel, membawa kepada keguguran rambut. Manakala, kerosakan kepada sel-sel darah yang sihat membawa kepada kekurangan sel darah merah (anemia), keletihan dan jangkitan. Kerosakan sel-sel yang melapisi membran mukus boleh menyebabkan radang mulut, kerongkong dan perut.

Kesan Sampingan Kemoterapi

Pesakit kanser bertindak balas secara berbeza kepada kemoterapi dan kesan sampingannya. Terdapat banyak cara untuk mengurangkan dan mencegah kesan sampingan ubat. Selain rawatan perubatan, ada cara lain yang anda boleh lakukan untuk meringankan kesan sampingan. Berikut adalah beberapa kesan sampingan yang biasa dihadapi dan cara-cara menguruskannya.

  1. Loya dan Muntah

    Ubat-ubatan yang biasa menyebabkan loya dan muntah adalah cisplatin, epirubicin dan cyclophosphamide. Terdapat pelbagai pilihan ubat-ubatan yang boleh membantu menguruskan loya dan muntah daripada berlaku dari awal. Ubat-ubatan ini dikenali sebagai ubat tahan muntah (anti-emetik).

    • Merawat Loya dan Muntah

      Tujuan rawatan ubat tahan muntah adalah untuk mengelakkan loya dan muntah sepanjang tempoh risiko yg menyebabkan muntah (risiko muntah biasanya berlarutan sehingga 3 hari). Ubat tahan muntah yang biasa ialah:

      1. Kortikosteroid (contoh dexamethasone)
      2. Agenprokinetik (contoh metoclopramide)
      3. Penghalang Serotonin blocker (contoh granisetron, ondansetron)
      4. Neurokinin antagonist (contoh aprepitant)
      5. Benzodiazepine (contoh lorazepam)

      Biasanya, doktor mengesyorkan gabungan ubat tahan muntah sebelum dan selepas rawatan untuk mengelakkan loya dan muntah. Doktor anda akan membuat keputusan mengenai ubat tahan muntah yang terbaik untuk rawatan anda. Adalah penting untuk mengambil ubat ini walaupun anda tidak berasa loya atau muntah pada masa itu.

    • Menghadapi Loya dan Muntah

      Beberapa perkara disenaraikan di bawah untuk mencegah atau mengurangkan keterukan loya dan muntah, ini termasuk:

      • Makan lebih kerap, dengan hidangan kecil sepanjang hari dan bukannya 3 hidangan yang besar (sarapan, makan tengah hari dan makan malam).
      • Minum banyak cecair (sekurang-kurangnya 2 liter). Jangan minum antara waktu makan kerana ia boleh menyebabkan kembung dan meningkatkan loya.
      • Makan dan minum perlahan-lahan.
      • Kunyah makanan untuk pencernaan yang lebih baik.
      • Elakkan makanan manis, bergoreng, pedas, berlemak dan makanan yang mempunyai bau yang kuat . Makan makanan yang sejuk atau pada suhu bilik untuk mengelakkan bau kuat.
      • Elakkan alkohol dan kopi.
      • Berehat di kerusi selepas makan. Jangan berbaring untuk sekurang-kurangnya 1-2 jam selepas makan.
  2. Keletihan

    Keletihan adalah salah satu kesan sampingan yang paling biasa dalam rawatan kanser. Ia adalah perasaan keletihan fizikal, mental atau emosi yang berterusan yang berkait dengan kanser dan /atau rawatan. Biasanya, kesan sampingan hilang selepas rawatan kemoterapi.

    • Merawat Keletihan

      Langkah pertama dalam mengurus keletihan adalah untuk merawat mana-mana sebab perubatan yang menyumbang kepada keletihan. Keletihan adalah perkara biasa yang muncul beberapa hari selepas rawatan kemoterapi. Pendidikan dan kaunseling adalah sebahagian daripada rawatan.Tidak ada ubat khusus untuk merawat keletihan.

    • Menghadapi Keletihan

      Keletihan selalunya hilang dari masa ke masa selepas rawatan berakhir. Perubahan gaya hidup boleh membantu dalam menghadapi keletihan. Berikut adalah beberapa langkah-langkah untuk mengurangkan keletihan.

      • Imbangi rehat dan aktiviti harian. Tempoh rehat yang pendek adalah lebih baik daripada yang panjang.
      • Hadkan aktiviti anda. Cuba lakukan apa yang penting dahulu, apabila anda mempunyai tenaga yang banyak.
      • Kurangkan tekanan dengan bertafakur, berdoa, bercakap dengan orang lain atau mana-mana aktiviti lain yang memberikan anda keseronokan.
      • Makan makanan yang seimbang dan minum banyak cecair (sekurang-kurangnya 2liter).
      • Dapatkan bantuan apabila anda memerlukannya daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran.
      • Bangun perlahan-lahan untuk membantu mencegah pening selepas duduk atau berbaring.
  3. Radang Mulut (Mukositis)

    Kemoterapi seperti cisplatin dan fluorouracil boleh menyebabkan radang mulut (mukositis) di dalam mulut, tekak dan saluran penghadaman. Ia boleh menyebabkan kesakitan, keradangan dan jangkitan yang menjadikannya sukar untuk makan, minum dan menelan.

    • Merawat Mukositis

      Cara terbaik untuk mengurus mukositis adalah dengan mengelak ia berlaku sebelum terjadi atau merawat dengan segera. Biasanya, rawatan yang diberikan adalah:

      1. Ubat kumur yang mengandungi garam atau natrium bikarbonat (serbuk penaik). Walau bagaimanapun, jikaanda mengambil ubat tekanan darah tinggi, anda mungkin perlu mengelak ubat kumur yang bergaram.
      2. Ubat bius dalam bentuk ubat kumur (contoh: lidocaine)
      3. Ubat untuk merawat sakit (contoh:ubat kumur benzydamine, diclofenac)
      4. Ubat antibiotik, anti-virus atau anti-kulat untuk merawat jangkitan.
      5. Menghisap ketulan ais sebelum dan semasa setiap rawatan kemoterapi bagi menghalang mukositis yang disebabkan oleh sesetengah jenis kemoterapi seperti fluorouracil
    • Mengekalkan Kesihatan Mulut

      Jaga mulut dari awal rawatan untuk mengurangkan kesan sampingan. Berikut adalah cara-cara untuk menjaga mulutdan tekak supaya sihat:

      • Elak daripada merokok dan mengambil alkohol kerana ini boleh menyebabkan mulut kering dan mengurangkan keberkesanan rawatan.
      • Gosok gigi menggunakan berus gigi bulu lembut dua kali sehari dan gunakan benang (flos) dengan kerap.
      • Elak guna ubat kumur komersial. Ia sering mengandungi perengsa seperti alkohol.
      • Kurangkan penggunaan gigi palsu. Elak memakai pada waktu malam. Pertimbangkan untuk mengeluarkan gigi palsu antara waktu makan untuk membantu mengurangkan kerengsaan.
      • Makan makanan yangsejuk atau pada suhu bilik untuk meringankan kesakitan.
      • Pilih makanan yang lembut dan menenangkan,seperti aiskrim, kentang lenyek, kastard dan lain-lain.
      • Elak makanan berasid, pedas, masin, kasar dan kering.
      • Minum banyak cecair.
      • Kunyah gula-gula getah tanpa gula jika mulut kering.

Rujukan

  1. (NCCN, 2014). Cancer Related Fatigue. Version 1.
  2. American Cancer Society (2013). http://www.cancer.org/
  3. British Columbia Cancer Agency (2013). http://www.bccancer.bc.ca/default.htm
  4. Cancer Care (2012). Understanding and managing chemotherapy side effects. http://www.cancercare.org
  5. eviQ Cancer Treatments Online (2014). Cancer Institute NSW. https://www.eviq.org.au
  6. National Comprehensive Cancer Network [NCCN]. (2014). Antiemesis. Version 2.
  7. Rudolph, N.V. (2007). Overview of the update antiemetic guidelines for chemotherapy induced nausea and vomiting. Community Oncology. 4, 3-11
Semakan Akhir : 06 November 2014
Penulis : Kamarun Neasa Begum bt. Mohd Kassim
Akreditor : Rozita bt. Mohamad

 

Artikel Berkaitan

Keselamatan pengambilan pelbagai jenis ubat

Bukan mudah untuk mengambil pelbagai jenis ubat dengan cara yang betul. Kadangkala sukar untuk mengingati indikasi setiap jenis ubat, bagaimana dan bila setiap satu perlu diambil. Tips berikut boleh membantu memudahkan anda mengambil ubat

Radioiodin

Fakta Ubat Ubat radioiodin adalah elemen iodin dalam bentuk radioaktif.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,094,253

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia