Home > Umum > Forensik > Mengenalpasti Identiti Mangsa Bencana

Mengenalpasti Identiti Mangsa Bencana

Antropologi Forensik Bagi Mengenalpasti Identiti Mangsa Dalam Situasi Bencana Ramai Mangsa 

Bagi  memahami artikel yang berikut, beberapa definisi dan terminologi berikut hendaklah difaham:

Antropologi Forensik: menggunakan ilmu pengetahuan antropologi fizikal dan osteology manusia yang memfokus kepada pemeriksaan tulang-temulang manusia bagi tujuan identifikasi yakni termasuk pemprofilan biologi (eg. Jantina, umur, keturunan dan ketinggian) dan juga pemeriksaan tulang untuk mengesan tanda-tanda trauma dan / atau patologi pada tulang tersebut.

Identifikasi Manusia: Proses untuk mengenalpastikan identiti seseorang individu.

Profil Biologi: Ini merupakan ringkasan maklumat demografik biologi  asas seseorang individu. Secara amnya, maklumat ini akan merangkumi penentuan jantina, afiliasi keturunan dan anggaran ketinggian.

Bencana: Menurut International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), bencana merupakan satu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba dan  mengakibatkan kemusnahan harta-benda serta kehilangan nyawa  yang seterusnya mengakibatkan tergendalanya fungsi sesebuah komuniti atau masyarakat dan mendatangkan kerugian dari aspek sumber manusia, ekonomi dan persekitaran  yang melampaui kemampuan / keupayaan sesebuah komuniti atau masyarakat itu dengan  sumber yang sedia ada.

Bencana ramai mangsa : Bencana akibat perlakuan  manusia atau bencana semulajadi yang menyebabkan kecederaan ramai orang awam serta kehilangan nyawa  sehingga melumpuhkan  perkhidmatan awam seperti khidmat perubatan kecemasan tempatan. Dalam bencana yang tertutup, bilangan dan identiti mangsa  diketahui, contohnya dalam nahas kapal terbang manakala dalam bencana terbuka, bilangan dan identiti mangsa  tidak diketahui, misalannya seperti  pengeboman bangunan.

Kematian besar-besaran: Ini adalah kejadian  kejadian yang melibatkan ramai bilangan mayat/bahagian cebisan  mayat yang melebihi kemampuan  sumber atau kapasiti yang sedia ada dari segi  penyediaan penempatan, pengenalpastian identity mangsa dan pengurusan jasad mayat atau cebisan mayat/jenazah.  Kematian besar-besaran ini boleh terhasil semasa  berlakunya  peristiwa bencana.

Dalam bencana ramai mangsa, proses mengenalpasti  identiti mangsa  merupakan isu yang paling penting untuk ditangani akan tetapi pada hakikatnya ianya suatu proses  yang agak rumit untuk ditangani, terutamanya apabila skala bencana tersebut melebihi kapasiti yang boleh ditanggung oleh agensi atau kerajaan yang berkenaan. Ianya  akan menjadi lebih sukar apabila bencana itu  membabitkan mangsa dari pelbagai bangsa / keturunan dan agama.

Sebelum memasuki bab-bab berhubung dengan peranan Antropologi Forensik dalam proses mengenalpasti  identity mangsa  dalam kematian besar-besaran, kita hendaklah memahami tugasan asas seorang Pakar Antropologi Forensik, di mana  beliau bertanggungjawab untuk mengenalpasti tulang manusia, melakukan pemprofilan biologi untuk tulang-temulang manusia, dan juga menjalankan pemeriksaan bagi mengesan tanda-tanda patologi atau kesan trauma pada tulang-temulang tersebut.

Dalam peristiwa kematian melibatkan ramai orang,  proses identifikasi pada kebiasaanya adalah untuk mengdokumentasi  ciri-ciri fizikal dan barangan kepunyaan peribadi si mati,  fotografi muka mangsa, pengambilan cap jari, pengambilan imej  sinaran-X serta pemeriksaan odontologi forensik.   Akan tetapi, hakikatnya, jasad mayat yang dijumpai dalam bencana adalah pada kebiasaanya tidak utuhyakni dalam keadaan bercebisan atau berceraian,  dan kadang-kala telah mengalami proses penulangan akibat tempoh masa yang berlalu sebelum ianya dijumpai. . Dalam situasi sebegini, kebanyakkan prosedur identifikasi yang tersebut  di atas  tidak dapat dilaksanakan. Pada masa itu, perkhidmatan pakar antropologi forensik  diperlukan untuk membantu dalam mengenalpasti  bahagian cebisan mayat ataupun tulang-temulang manusia tersebut.

Peranan Antropologi Forensik Dalam Proses Mengenalpasti  Mangsa Dalam Situasi Bencana Ramai Mangsa

  1. Pencarian  dan pengenalpastian bahagian cebisan  mayat dan/atau tulang-temulang manusia di tempat kejadian bencana

    Langkah pertama dalam proses mengenalpasti jasad mayat / bahagian cebisan mayat / tulang-temulang manusia dalam bencana yang melibatkan kematian besr-besaran adalah untuk memastikan  yang bahagian cebisan mayat ataupun serpihan tulang itu adalah manusia dan bukannya artefak ataupun tulang bukan manusia.

    Di tempat kejadian bencana seperti pengeboman, kebakaran, nahas kapal terbang, kemalangan keretapi dan sebagainya, , kebarangkalian untuk jasad mayat menjadi tidak utuh atau  menjadi cebisan bahagian mayat yang dijumpai  adalah  tinggi. Cebisan mayat ini juga berkemungkinan besar untuk bercampur-aduk dengan benda artefak yang terdapat di kawasan persekitaran bencana. Kadangkala, keadaan bencana mungkin menjadi lebih rumit jika cebisan mayat atau serpihan tulang manusia ini menjadi sebati dengan alam persekitaran tersebut.  Terdapat juga bencana yang berlaku di tempat yang terasing atau sukar untuk di akses  seperti di tengah-tengah gurun yang luas, atau kawasan perhutanan dara, di mana jasad mayat berkemungkinan untuk melalui proses penulangan dan tinggal rangka atau serpihan tulang yang dijumpai disebabkan tempoh masa pencarian terlalu lama.

    Dalam keadaan sebegini, cabaran yang paling utama dihadapi oleh pihak penyiasat  adalah untuk memulakan pencarian di tempat kejadian untuk memulihkan dan mengenapasti bahagian badan manusia/tulang/serpihan di tempat kejadian bencana bagi mendapatkan serta mengenalpasti bahagian cebisan mayat atau tulang-temulang manusia di tempat kejadian bencana dan diikuti dengan proses pengumpulan cebisan mayat serta serpihan tulang-temulang secara teratur Ianya merupakan langkah yang genting dalam proses pencarian mangsa bencana kerana sebarang kesilapan yang berlaku sewaktu proses ini akan mempengaruhi proses pemeriksaan yang seterusnya serta menganggu prosedur mengenalpasti identiti mangsa selanjutnya.  Pada masa yang sama, cara pengumpulan dan prosedur dokumentasi di tempat kejadian juga amat penting kerana  kes kematian besar-besaran akibat bencana berpotensi untuk dibawa ke mahkamah untuk dibicara dan mendapat keadilan yang sewajarnya.  

    Pakar Antropologi Forensik merupakan orang yang terlatih dari aspek pencarian dan mengenalpasti bahagian cebisan mayat atau tulang-temulang manusia di tempat kejadian bencana. Oleh itu, khidmat kepakaran ahli antropologi forensik amat diperlukan di tempat kejadian bencana bagi pencarian serta perolehan/pengumpulan dan mengenalpasti bahagian cebisan mayat dan serpihan tulang-temulang kepunyaan manusia.


    Gambar 1: Contoh bencana besar-besaran – nahas kapal terbang yang membabitkan kematian ramai orang.
    (Dipetik dari http://www.firstpost.com)
     

    Gambar 2: Kesukaran bagi  orang biasa dalam membezakan tulang manusia dengan tulang bukan manusia di tempat kejadian. Ini disebabkan  kadang-kala, tulang manusia kelihatan seperti bahan artefak.
     
  1. Proses Mengenalpasti Identiti Mangsa  Semasa Pemeriksaan Antropologi Forensik

    Kepakaran ahli Antropologi Forensik  diperlukan jika terdapat tulang-temulang manusia atau tulang yang disyaki tulang manusia dijumpai di tempat kejadian. Pakar Antropologi Forensik seterusnya perlu  melakukan pemeriksaan tulang yang disyaki manusia tersebut secara terperinci..

    Sewaktu  pemeriksaan, soalan utama yang perlu dijawab  ialah adakah  tulang ini tulang kepunyaan manusia?

    Jika jawapannya adalah negatif, maka pemeriksaan seterusnya tidak dilakukan dan sebaliknya tulang tersebut akan diserah kembali kepada pihak penyiasat utama kes.  .

    Jika jawapannya adalah positif, langkah pertama dalam proses mengenalpasti identiti mangsa  telah tercapai dan pemeriksaan selanjutnya untuk mengenalpasti identiti individu tersebut boleh dijalankan.
     

  1. Pemprofilan Biologi

    Seperti yang telah diterangkan,  pemprofilan biologi  boleh memberi maklumat demografi yang penting mengenai tulang-temulang manusia ini yakni jantina, anggaran umur, ketinggian dan keturunan (samada Caucasoid, Mongoloid atau Negroid). Melalui maklumat asas pemprofilan ini, kita dapat mengecilkan skop senarai orang yang hilang dan seterusnya mengenalpasti serta mengesahkan identiti mangsa tersebut.


     

  1. Pemeriksaan Antropologi Forensik Bagi Mengesan Trauma dan Patologi Pada Tulang-Temulang Manusia  

    Selain daripada pemprofilan biologi ke atas tulang-temulang manusia, pemeriksaan secara terperinci ke atas tulang-temulang ini juga merupakan aspek yang mustahak.  Tujuan utama pemeriksaan terperinci ke atas tulang-temulang ini adalah bagi mengesan tanda-tanda patologi pada tulang serta kesan kecederaan yang terdapat pada tulang sewaktu kematian berlaku (tempoh perimortem) bagi membantu pihak penyiasat mengetahui punca kematian si mati.

    Sebaliknya, pengesanan trauma yang lama seperti contohnya retakan tulang yang telah sembuh, ciri-ciri tulang yang unik seperti polidaktili, pertumbuhan tulang berlebihan iaitu bony spurs, penyakit tulang seperti kanser tulang, dan kewujudan alat perubatan yang tertanam pada tulang yang mempunyai catitan nombor siri misalannya seperti alat penggantian sendi lutut boleh digunapakai dalam proses mengenalpasti identiti individu tersebut.       

    Dengan menggabungkan kesemua hasil penemuan  pemeriksaan Antropologi Forensik, ianya boleh mengecilkan skop proses mengenalpasti identiti mangsa bencana tersebut.  Seterusnya, perbandingan DNA juga dapat dilakukan dengan waris yang disyaki mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa tersebut. Proses identifikasi sedemikian akan membolehkan pengesahan identiti si mati dibuat secara positif.

    Dalam sesetengah situasi yang lain,  hasil penemuan Antropologi Forensik dapat digunakan secara positif  bagi  menentukan identiti seseorang individu  tanpa memerlukan analisa DNA, iaitu melalui perbandingan rekod data antemortem dengan data hasil pemeriksaan antropologi ke atas tulang-temulang tersebut. Akhir sekali segala maklumat hasil dari pemeriksaan terperinci pada cebisan mayat atau tulang-temulang manusia ini boleh digabung-cantumkan dan seterusnya memuktamadkan identiti mangsa bencana atau individu tersebut. Sebagai kesimpulan, proses pengenalpastian identiti manusia dalam bencana ramai mangsa adalah suatu tugaans yang agak rumit terutama apabila melibatkan bahagian cebisan mayat atau tulang-temulang yang banyak dan ini memerlukan penyiasatan yang terperinci dan kerja secara berpasukan dari pelbagai agensi yang berkaitan termasuk kepakaran antropologi forensik. Ini disebabkan sebarang kesilapan dalam proses penyiasatan kes bencana berkemungkinan untuk mengakibatkan malapetaka lain yang lebih teruk.  .

Rujukan

  1. Bass, W., Human Osteology: A laboratory and field manual 5th edition, 2005
  2. Robert, J., PPT: Forensic Anthropology, 2014
  3. https://www.ifrc.org/en/what-we-do/disaster-management/about-disasters/what-is-a-disaster/
  4. http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/bone
  5. White, T.D., Folkens P.A., The Human Bone Manual, 2005          

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Chong Sin Leng
Akreditor : Dr. Nurliza bt. Abdullah