Home > Umum > Forensik > Mengenalpasti Bahan Bukti Kesan Stain

Mengenalpasti Bahan Bukti Kesan Stain

Penggunaan Teknologi Dalam Mengenalpasti Bahan Bukti Kesan Stain

Definisi Bahan Bukti

Menurut Oxford Companion to Law, eksibit adalah suatu dokumen atau bahan lain yang ditunjuk kepada saksi dan dirujuk oleh saksi semasa memberi keterangan atau afidavit. Bahan bukti adalah suatu bentuk undang-undang eksklusif kepada hujah yang membuktikan atau menolak kebenaran subjek yang tertakluk di bawah pemeriksaan kehakiman. Di bawah Seksyen 60(3) Akta Keterangan 1950, jika keterangan lisan merujuk kepada kewujudan atau keadaan apa-apa benda material termasuk sesuatu dokumen, maka mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, menghendaki supaya benda material atau dokumen itu dikemukakan untuk pemeriksaannya. Material yang dinyatakan itu boleh merujuk kepada sebarang bentuk kesan stain yang diperolehi dari tempat kejadian jenayah atau dari mayat itu sendiri. Jika terjumpa kesan stain yang disyaki berkepentingan forensik, pegawai penyiasat akan mencatat lokasi, saiz, jenis kesan stain dan keamatan kesan stain itu dengan melihat sama ada kesan stain tersebut menembusi kain atau bahan lain.


Gambar 1 : Keterangan Lisan

 Apakah Itu Kesan Stain?

Kesan stain terbentuk dalam corak tertentu dan biasanya daripada cecair yang sama ada cair atau tepu, melekit atau tidak melekit, tinggi atau rendah kelikatannya pada permukaan tertentu. Ciri cecair yang mengalir mengikut kesan graviti telah menyebabkannya membentuk titisan dalam arah tertentu. Ia boleh membentuk kolam kecil, lumuran, tompokan atau percikan. Kolam kecil terbentuk daripada cecair yang tertumpah lalu terkumpul. Lumuran biasanya terbentuk melalui sentuhan objek pada bahagian permukaan sahaja dengan intensiti yang tidak sekata. Tompokan atau percikan pula dibentuk oleh titisan cecair yang terkena sama ada secara menegak atau menyerong pada sesuatu permukaan yang keras. Bentuk dan penampilan kesan stain atau lumuran ini boleh memberi maklumat yang berguna dan berkaitan dengan jenayah contohnya ia dapat menunjukkan arah asal cecair itu mengalir. Keadaan ini adalah bergantung kepada sudut impak, halaju, tekstur permukaan dan saiz titisan cecair tersebut (Pua 2009).

Dari aspek kepentingan forensik, beberapa jenis cecair badan termasuklah darah, air mani, rembesan faraj, air liur, peluh dan air mata boleh digunakan oleh pegawai penyiasat atau ahli patologi untuk menentukan identiti seseorang suspek atau mangsa melalui kaedah serologi (Lyle 2004). Selain daripada yang disebutkan di atas, kesan stain juga boleh terbentuk dari sentuhan bagi sebarang sebatian cair atau bahan bukti seperti cat, minyak, ubat, dakwat, pewarna, unsur logam cair dalam sisa tembakan atau sisa letupan, kesan hidrokarbon dan lain-lain

Sumber: stcroixcleaners.com
 

Sumber: avoidchores.com
 
Contoh pelbagai jenis kesan Stain
 

Jenis Kesan Stain

Kering & Basah

Terdapat beberapa jenis pengkelasan untuk membezakan kesan-kesan stain yang wujud dan salah satu daripadanya adalah kategori kesan kering dan kesan basah. Kesan kering biasanya adalah lapisan cecair yang nipis tertinggal pada bahagian permukaan dan ia melibatkan cecair yang mudah meruap dari permukaan sementara meninggalkan kesan tinggalan yang mungkin tidak mudah dilihat atau telah wujud untuk suatu tempoh masa yang panjang atau belum dicuci sehingga bersih. Kesan jenis ini boleh terjadi dari mana-mana bahan bukti halus contohnya pewarna atau cat. 


Kesan kering

Manakala kesan basah didapati biasanya adalah berat dan tepu yang mana cecair itu telah menembusi sesuatu pakaian atau kain telah bersalut dalam cecair tersebut. Ia biasanya kesan baru yang mudah dikenali dengan mata kasar dan melibatkan isipadu cecair yang banyak dan tidak mudah mengewap seperti darah dan lain-lain. Kesan basah adalah mudah diangkat dari permukaan dengan swab kering yang steril, kemudiannya setiap swab tunggal itu ditutup dalam tiub yang berasingan dan berlabel manakala kesan kering mesti dikendali dengan teliti menggunakan swab yang basah dan steril. Terdapat beberapa istilah yang diguna untuk membezakan kesan kering dan kesan basah contohnya “semen” adalah sejenis kesan basah manakala “seminal stain” dinamakan untuk kesan kering air mani (Pua 2009).


Kesan basah

Biologi & Bukan Biologi

Satu lagi jenis pengkelasan adalah kesan biologi dan kesan bukan biologi. Kesan biologi berasal dari organisma hidup dan ia biasanya merupakan cecair atau rembesan dari badan organisma itu sendiri seperti darah, air liur, air mani dan lain-lain. Kesan biologi ini kerap ditemui di tempat kejadian terutamanya melibatkan jenayah ganas atau dari badan mangsa terlibat. Ia berguna untuk menghubungkaitkan suspek yang pernah berada di tempat kejadian serta mengenalpasti seseorang individu dengan tepat dan jitu. Tahap kejituan ini juga sangat berguna dalam menyelesaikan kes keraguan mengenai isu kebapaan dan keturunan seseorang. Kesan bukan biologi pula merujuk kepada sebatian kimia lain seperti dakwat, dadah, sisa-sisa tembakan, makanan misalnya sos tomato yang kurang mempunyai nilai identifkasi tetapi boleh menghalusi pencarian bukti yang berkepentingan forensik. Kesan-kesan stain ini membantu dalam mencari niat penjenayah yang mungkin terlibat bahkan juga punca kematian supaya membantu penyiasatan dijalankan oleh pihak polis.

Kesan biologi  
Kesan bukan biologi

Adalah penting bahawa kesan biologi dan bukan biologi dapat dibezakan contohnya darah harus dapat dibezakan daripada sos tomato atau dakwat merah dengan menggunakan salah satu daripada ujian saringan darah berikut iaitu / sama ada menyebabkan perubahan warna seperti Kastle-Meyer (KM), TetraMethylBenzidine (TMB), Leucomalachite Green (LMG) atau menyebabkan reaksi pendarfluor seperti ujian Luminol dan Flurescein. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa unsur limitasi pengesanan bagi setiap ujian tersebut (Lyle 2004). Untuk mengatasi had tersebut, ujian lain perlu dilakukan di makmal forensik untuk pengesahan seperti ujian Teichmann, ujian Takayama atau kaedah spektrofotometri yang diguna khususnya untuk pengesahan kesan darah.


Kastle Meyer


Takayama

 

Manusia & Bukan Manusia

Kesan stain cecair badan manusia dan bukan manusia boleh lebih lanjut lagi ditentukan selepas ujian pengesahan kesan biologi dilakukan, misalnya, darah manusia boleh dibezakan dengan darah haiwan lain. Dalam kes ini, ujian Precipitin diguna untuk mengesahkan darah adalah berasal dari manusia berdasarkan pembentukan kompleks antigen-antibodi yang menghasilkan mendakan yang jelas kelihatan. Ia melibatkan penggunaan antiserum manusia (serum yang mengandungi antibodi khusus untuk antigen manusia) bagi mengesan kehadiran antigen manusia melalui 2 kaedah iaitu sama ada dijalankan dengan mengguna tiub kapilari atau pun elektroforesis bersilang. 

Jika keputusan didapati negatif, ujian boleh diulangi dengan menggunakan antiserum yang disediakan untuk haiwan lain kerana antiserum boleh didapati secara komersial daripada sesetengah haiwan seperti anjing, kucing, rusa, lembu dan biri-biri. Ujian Precipitin adalah sangat sensitif dan berkesan untuk menguji kesan kering darah. Selain daripada darah, pemeriksaan sel spermatozoa ke atas kesan kering air mani boleh dijalankan untuk membezakan kesan itu berasal dari manusia atau bukan manusia kerana terdapat ciri-ciri yang spesifik untuk spesis berlainan iaitu dari segi ciri-ciri kepala dan ekor, panjang dan lebar kepala, panjang keseluruhan sel spermatozoa serta kaedah pencelupan yang berbeza seperti H&E dan ABE (Pua 2009).


Kesan manusia


Kesan bukan manusia

Jenis Ujian Yang Sedia Ada

Saringan

Untuk menentukan sama ada sampel yang dijumpai sebenarnya adalah darah atau bahan lain, ahli serologi akan menjalankan dua jenis ujian asas termasuk ujian saringan dan ujian pengesahan. Ujian saringan biasanya adalah lebih murah dan lebih cepat. Apabila didapati saringan positif, ini menunjukkan kehadiran darah atau cecair badan lain tetapi keputusannya tidak dianggap muktamad. Itulah sebabnya ujian pengesahan diperlukan. Apabila ujian saringan negatif, darah atau cecair badan lain adalah dibuktikan tidak wujud, maka ujian pengesahan yang lebih mahal dan memakan masa yang lama boleh dielakkan (Lyle 2004).

Darah bukan satu-satunya cecair badan yang boleh menjadi petunjuk kepada pegawai penyiasat untuk mengenalpasti penjenayah. Air mani, air liur serta jarang sekali rembesan dari faraj turut menjadi kunci utama untuk menyelesaikan jenayah. Sewaktu serangan seksual berlaku, air mani dan air liur biasanya dipindahkan kepada mangsa, pakaian mangsa atau permukaan berhampiran. Langkah pertama dalam mengesan cecair badan ini ialah melalui pemeriksaan tempat kejadian dengan menggunakan sumber cahaya ultraungu atau laser yang mampu menyebabkan cecair tersebut bersinar. Bahan bukti ini perlu dikumpul dan dipelihara dengan teliti kerana bahan biologi lembap mudah terdedah kepada penguraian dan pertumbuhan bakteria.

Pengesahan

Pengesanan air mani di tempat serangan seksual perlu dijalankan ke atas mangsa, pakaian dalaman, kondom, cadar, tilam, permaidani dan lantai. Ujian bagi air mani adalah termasuk ujian saringan dan ujian pengesahan. Ujian saringan adalah biasanya berdasarkan prinsip bahawa air mani mengandungi kepekatan enzim asid phosphatase (AP) yang tinggi. 


Ujian AP

Ujian saringan lain pula adalah berdasarkan kehadiran dua komponen lain dalam air mani iaitu spermine dan choline. Setiap satu daripada ujian ini adalah positif apabila kristal bentuk selepas sampel terdedah kepada bahan kimia tersebut. Ujian pengesahannya adalah bergantung kepada kehadiran sel spermatozoa melalui pemeriksaan mikroskopik atau kehadiran antigen khusus prostat (PSA) yang tidak terjejas oleh vasektomi (Lyle 2004).


Spermatozoa

Lebih daripada itu, air liur adalah cecair badan yang juga penting untuk pakar patologi forensik dan ia boleh didapati daripada kesan gigitan dan botol minuman. Air liur digunakan untuk mengenalpasti antigen ABO terlibat, jenis darah dan kadang-kadang menjadi sumber DNA yang mencukupi untuk analisis profil. Air liur memulakan penghadaman terhadap kanji untuk ditukar kepada gula ringkas seperti maltosa dan dekstrin dalam kehadiran enzim utamanya iaitu alfa-amilase. Ujian saringan seperti ujian Phadebas Forensic Press dan ujian kertas merah jambu boleh digunakan, tetapi malangnya tiada ujian yang boleh mengesahkan kewujudan air liur (Lyle 2004).


Ujian air liur


Ujian amylase

Mengesan rembesan dari faraj adalah sukar, tetapi ia mungkin penting dalam kes rogol tanpa ejakulasi mahupun kes penembusan dengan objek asing. Swab boleh diambil dari zakar seseorang suspek atau dari objek asing terlibat yang disyaki. Ujian adalah bergantung pada penemuan sel-sel epitelium yang mengandungi glikogen. Asid-Sciff Berkala (PAS) adalah reagen yang mencelupkan glikogen dalam sitoplasma sel-sel epitelium yang melapisi faraj itu dengan warna cerah magenta. Walau bagaimanapun, gadis muda dan wanita yang putus haid jarang mengandungi sel-sel epitelium faraj yang kaya dengan glikogen ini (Lyle 2004).


PAS

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, ujian saringan seperti Luminol dan Fluoresein akan menyebabkan darah bersinar dalam keadaan gelap di bawah cahaya ultraungu serta mendedahkan darah yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Penjenayah sering kali cuba untuk membersihkan dinding dan lantai kerana beranggapan bahawa darah tidak boleh dilihat lagi dan tidak akan dijumpai setelah dibersih. Mujurlah, perkara ini adalah tidak benar. Kawasan taburan kesan cecair badan ini dapat didedahkan dengan jelas. Kesan sentakan, percikan, tanda seretan, cap kaki dan tangan turut terpapar untuk analisis selanjutnya serta pemulihan semula tempat kejadian. Fluoresein adalah lebih sesuai untuk mendedahkan kesan darah kerana ia tidak bertindak balas dengan bahan pemutih dan adalah cecair tebal yang lebih mudah melekat pada permukaan menegak berbanding Luminol (Pua 2009).


Sumber: dudeiwantthat.com
Luminol


Sumber: practicalhomicide.com
Fluoresein

Polilight

Polilight adalah salah satu peralatan yang dapat memancarkan beberapa warna cahaya pada panjang gelombang tetap dalam unit nanometer (nm) yang berbeza. Dalam aplikasi forensik, polilight digunakan untuk mengesan bukti-bukti biologi seperti air mani, air liur dan darah atau mengesan bukti halus seperti rambut dan cap jari yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Buat masa ini, Polis Diraja Malaysia telah mempunyai 3 jenis polilight iaitu PL10, PL500 dan Crime-Lite (CL). Kebanyakan cecair badan yang disebutkan di atas dapat dikesan dengan menggunakan CL 400 – 430 nm (ungu) bersama-sama gogal kuning (455 nm), CL 430 – 470 nm (biru) bersama-sama gogal oren (495 nm), PL 415 nm (ungu) bersama-sama gogal kuning atau PL 450 nm (biru) bersama-sama gogal oren (PDRM 2009).


Crime Lite


UV  

Objektif utama bahan bukti kesan cecair badan ini adalah untuk menyempitkan lagi tumpuan dalam mencari pemilik kesan tersebut, contohnya melalui jenis darah ABO dengan menggunakan kaedah penyerapan elusi untuk mengeluarkan antigen yang masih tertinggal dalam kesan kering tersebut. Dengan hanya menentukan jenis darah di tempat kejadian atau badan mangsa, penyiasat dapat mengurangkan senarai suspek mereka dengan menggunakan maklumat taburan penduduk bagi empat jenis darah ABO itu. Ia boleh mengenalpasti individu dengan lebih lanjut lagi kerana sel-sel darah merah mengandungi protein, enzim dan antigen yang lain seperti yang dikenali sebagai Duffy, Kell dan Kidd serta enzim intrasel seperti adenylate kinase, asid phosphatase eritrosit dan isoenzim fosfoglukomutase (PGM) yang amat berguna. Semakin banyak faktor yang diwarisi secara independen itu digunakan, maka semakin berkuasa sesuatu identifikasi cecair badan tersebut. 


PGM

Kira-kira 80% – 85% daripada penduduk adalah perembes yang mana mereka mengeluarkan protein dari darah jenis ABO ke dalam semua cecair badan yang lain seperti air mani, air liur dan air mata. Jenis ABO yang dikenalpasti boleh diguna untuk menyingkirkan suspek dalam kes rogol, tetapi ini tidak dapat mengenal pasti individu yang merembeskan cecair badan tersebut dengan tepat. Maka, ujian DNA pada 16 lokus mesti dipakai untuk memadankan identiti muktamad (Lyle 2004).


Jenis ABO

Rujukan

  1. Evidence Act 1950. Law of Malaysia: Incorporating all amendments up to 1 January 2006.
  2. Lyle, D.P. 2004. Working with Blood and Other Bodily Fluids: Serology. 1st Ed. Forensic for Dummies  pg. 213 – 225. Indiana: Wiley Publishing Inc.
  3. PDRM Forensic Laboratory. 2009. Use of Polylight and Crime-Lite during investigation. National University of Malaysia NX 3033 Physicochemical Evidences.
  4. Pua Hiang. 2009. Presumptive Tests and Identification of Stains. National University of Malaysia NX 3062 Body Fluid Investigation.
  5. Pua Hiang. 2009. Receiving, Recording & Examination of Exhibits. National University of Malaysia NX 3062 Body Fluid Investigation.

 

Semakan Akhir : 8 September 2015
Penulis / Penterjemah : Lai Poh Soon
Akreditor : Dr. Siew Shueue Feng