A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Fisioterapi
  6. /
  7. Warga Emas
  8. /
  9. Mengelak Daripada Jatuh

Mengelak Daripada Jatuh

Jatuh adalah salah satu daripada masalah besar yang ditakuti oleh warga tua. Kebelakangan ini, kejadian jatuh telah menjadi topik hangat yang dibincangkan sebagai salah satu isu kesihatan yang penting dalam golongan warga tua di Malaysia.

Pengenalan

Jatuh adalah salah satu daripada masalah besar yang ditakuti oleh warga tua. Kebelakangan ini, kejadian jatuh telah menjadi topik hangat yang dibincangkan sebagai salah satu isu kesihatan yang penting dalam golongan warga tua di Malaysia. Kebanyakan pesakit warga tua dimasukkan di wad geriatrik biasanya disebabkan oleh kecederaan yang berkaitan dengan kejadian jatuh.

Epidemiologi


Statistik menunjukan peningkatan kadar kejadian jatuh berkait rapat dengan peningkatan umur :

  • Warga tua yang berumur 65 tahun ke atas akan mengalami jatuh pada kadar 28-35% setiap tahun dan kadar ini akan meningkat kepada 32-42% bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas.
  • Jatuh di kalangan warga tua telah menjadi satu perkara yang membimbangkan kerana kos untuk merawat kecederaan akibat jatuh adalah amat tinggi dan peningkatan jumlah warga tua di Malaysia akan meningkat secara mendadak dalam tempoh 5 tahun akan datang.
  • Komplikasi akibat jatuh juga adalah punca utama kematian pada warga tua yang berumur lebih dari 75 tahun.

 

Faktor-Faktor Risiko Yang Dikenal Pasti Mengakibatkan Jatuh

Punca atau faktor-faktor yang menyumbang kepada jatuh biasanya adalah pelbagai. Ia boleh dikategorikan seperti berikut :

  • Kondisi yang boleh menyebabkan  gangguan pergerakan seperti artritis lutut, kelemahan otot badan (angin ahmar), penyakit Parkinson, kencing manis serta gangguan saraf dan masalah vestibular.
  • Penglihatan yang kabur dikaitkan dengan proses penuaan.
  • Kekeliruan pemikiran yang mungkin mengurangkan koordinasi pergerakkan.
  • Kemerosotan sistem vestibular (sistem keseimbangan) yang boleh menganggu keseimbangan badan, susah untuk menentukan jarak dan sering rasa ” pening “.
  • Inkontinen urinari (kencing tak terkawal) atau urgency (tiba-tiba rasa ingin kencing) menyebabkan warga tua akan tergesa-gesa ke tandas. Ini mengakibatkan kejadian tergelincir dan jatuh.
  • Kesan makan lebih 3 jenis ubat boleh menyebabkan tekanan darah rendah atau mengantuk.
  • Lain-lain risiko adalah persekitaran tidak selamat seperti bilik yang berselerak,  lampu kurang cerah, permukaan lantai licin dan memakai kasut yang tidak sesuai.

 

Langkah-Langkah Pencegahan Dalam Mengurangkan Risiko Jatuh

Ia terbukti dengan meta-analisis (Sherrington et all 2008) bahawa program-program pencegahan jatuh adalah paling berkesan dan kos efektif. Ini melibatkan pelbagai aktiviti dan intervensi. Tindakan adalah seperti berikut :

  • Menjalankan penilaian risiko jatuh
  • Keselamatan tangga
  • Memastikan tangga bebas daripada objek yang berselerak.  Jika menggunakan  permaidani, pastikan ia kemas.
  • Menggunakan Rail tangan adalah langkah yang digalakkan.
  • Pastikan lampu di bahagian  tangga adalah cerah.
  • Keselamatan dapur
  • Pastikan peralatan dapur yang selalu digunakan disimpan di rak rendah.
  • Jika perlu mencapai objek tinggi, gunakan tangga yang stabil, jangan gunakan kerusi.
  • Memastikan lantai dapur bersih dan tidak berminyak.
  • Keselamatan bilik mandi
  • Gunakan alas kaki yang non slip di dalam tub mandi.
  • Memasang rail tangan di dalam tandas. Jangan gunakan penyangkut tuala untuk sokongan apabila berdiri kerana ia tidak cukup kuat untuk menampung berat badan anda.
  • Keselamatan bilik tidur
  • Memastikan semua perabut teratur dan pakaian tidak diletak di permukaan lantai.
  • Memastikan lampu lorong dan bilik dinyalakan dan terang.
  • Katil rendah adalah lebih baik daripada katil tinggi.
  • Simpan barang-barang seperti majalah, kotak, selimut dan wayar elektrik dari laluan.
  • Faktor-faktor lain
  • Perlu tahu nama dan kesan ubat yang anda ambil. Anda perlu berhati-hati melakukan aktiviti jika mengambil ubat-ubatan untuk darah tinggi dan ubat yang boleh membuat anda mengantuk.

Peranan Fisioterapi dalam mengurangkan risiko jatuh seperti :

  • Menjalankan penilaian risiko jatuh. Beberapa ujian yang boleh dijalankan untuk menentukan risiko anda seperti Ujian Functional Reach, Ujian Time Up and Go serta ujian lain yang perlu.
  • Dengan keputusan penilaian dan analisa, Ahli Fisioterapi akan merancang dan menetapkan senaman yang tepat dan membuat preskripsi alat bantuan sokongan jika diperlukan.

Senaman yang digalakkan termasuk senaman keseimbangan badan, senaman menguatkan otot melalui aktiviti fungsi, senaman regangan dan senaman meningkatkan daya ketahanan.

Contoh :-

  • Jika risiko adalah akibat daripada masalah vestibular, Ahli Fisioterapi akan mengajar senaman

khas untuk memperbaiki keseimbangan badan anda .

  • Jika anda mengalami masalah tidak boleh tahan kencing, anda juga boleh dirawat dengan senaman untuk menguatkan otot lantai pelvik dan pundi kencing.
  • Osteoartritis lutut dan buku lali atau masalah sendi  boleh menjadi punca jatuh kerana sakit dan lemah otot. Dapatkan nasihat Ahli Fisioterapi anda untuk  pengurusan kesakitan menggunakan kaedah elektroterapeutik seperti elektrik , haba atau ais atau pengajaran senaman untuk kekuatan, ketahanan, gait training dan pergerakan yang akan mengelakkan jatuh.

Pendidikan dan maklumat yang berkaitan akan mengurangkan insiden jatuh dalam kalangan warga tua. Kesedaran perlu diwujudkan di kalangan semua warga tua untuk mengelak daripada jatuh . Anda boleh berunding dengan Ahli Fisioterapi di kawasan anda untuk mendapatkan penilaian risiko jatuh dan penjelasan selanjutnya.

Rujukan

1. Exercise for falls prevention: putting evidence into practice, Richard Biss, Caulfield Community Rehabilitation Centre

2. Falls: assessment and prevention of falls in older people. NICE guidelines June 2013

3. LD et al, Interventions for preventing falls in older people living in the community. Cochrane Database Syst Rev 2012; (9):CD007146.

4. Mayo Clinic A-Z health guide by Scott C. Leith M.D.

5. WHO Global Report on falls prevention in older age (2007)

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Yew Su Fen
Akreditor : Julaida binti Embong
Penyemak : Halimah bt. Hashim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,179,429

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia