Home > Laman Utama > Mencegah Kemalangan, Kecederaan & Keganasan Semasa Melancong

Mencegah Kemalangan, Kecederaan & Keganasan Semasa Melancong

Pengenalan

Risiko pelancong terbunuh atau cedera dalam kemalangan atau keganasan adalah lebih tinggi berbanding dengan jangkitan penyakit eksotik. Kemalangan jalan raya merupakan punca utama kematian dalam kalangan pelancong. Dianggarkan 1.2 juta penduduk dunia terbunuh setiap tahun dalam kemalangan jalan raya dan sebanyak 50 juta orang tercedera. Kematian akibat kemalangan jalan raya dan keganasan merupakan risiko utama dalam kebanyakan negara, terutamanya negara membangun kerana kekurangan penjagaan perubatan yang mahir.

Bahaya rekreasi air di perairan pantai, tasik, sungai, dan kolam renang boleh dikurangkan jika kita mengutamakan keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Lemas dan kesan kecederaan, terutamanya di kepala dan tulang belakang, merupakan risiko utama rekreasi air. Sekurang-kurangnya setengah juta orang mati lemas setiap tahun. Lemas boleh berlaku apabila seseorang itu terperangkap dalam arus dan air pasang yang kian meningkat, terjatuh ke dalam laut, terperangkap dalam objek yang tenggelam, tertidur atas tilam angin dan hanyut ke laut, lemas dalam kolam renang akibat tergelincir, terjatuh ke dalam air yang sejuk, lemas dan cedera akibat pengambilan alkohol serta retina tertanggal akibat melompat ke dalam air atau ke atas orang lain yang berada di dalam air.

Pelancong bercuti untuk membebaskan diri daripada rutin seharian, peraturan di rumah serta bersantai merehatkan diri. Namun, berada jauh daripada tempat kediaman boleh mendatangkan risiko kemalangan yang lebih tinggi!

Pelancong digalakkan untuk mendapatkan perlindungan insurans penuh untuk rawatan penyakit dan kecederaan yang dialami dalam kemalangan. Pelancong juga perlu membawa lesen memandu antarabangsa dan lessen memandu negara sendiri.

Langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya

  • Dapatkan maklumat mengenai peraturan lalu lintas, penyelenggaraan kenderaan dan keadaan jalan raya bagi negara yang dilawati.
  • Sebelum menyewa kereta periksa tayar, tali pinggang keselamatan, tayar ganti, lampu, brek dan lain-lain.
  • Ketahui peraturan tidak rasmi jalan raya seperti membunyikan hon atau memasang  lampu sebelum memotong.
  • Berhati-hati dengan risiko di jalan raya – memandu di sebelah yang berlainan, papan tanda yang asing, selok-belok jalan, kerosakan jalan serta standard keselamatan kereta yang berlainan.
  • Jangan memandu di jalan yang tidak dikenali dan jalan yang tidak berlampu.
  • Jangan gunakan motosikal atau basikal yang statusnya meragukan (seperti dicuri atau lain-lain).
  • Jangan memandu selepas minum alkohol.
  • Pandu ikut had kelajuan yang ditetapkan pada setiap masa.
  • Sentiasa pakai alat keselamatan seperti tali pinggang keselamatan dan topi keledar.

Langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko kemalangan atau kecederaan rekreasi air

  • Utamakan keselamatan semasa melakukan rekreasi air – Gunakan jaket keselamatan, ketahui keadaaan pasang surut air dan arus.
  • Elakkan meminum alkohol sebelum melakukan sebarang aktiviti dalam atau berhampiran air. JANGAN MINUM ALKOHOL dan berenang.
  • Periksa kedalaman air sebelum menyelam dan elakkan menyelam atau melompat ke dalam air yang keruh bagi mengelakkan pelanggaran dengan orang atau objek yang tidak kelihatan.
  • Jangan melompat ke dalam air atau melompat ke atas orang lain di dalam air.
  • Berenanglah bersama-sama dengan orang lain. Sentiasa perhatikan keadaan air pasang, arus dan angin kencang.
  • Berenanglah sekurang-kurangnya satu (1) jam selepas makan dan elakkan tertidur di atas tilam angin semasa berada di laut.

Langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko keganasan

  • Berjaga-jaga dengan peragut samada di waktu siang atau malam.
  • Sentiasa kenalpasti pintu kecemasan, periksa anjung dan cara mendapatkan pertolongan kecemasan setibanya anda di tempat penginapan.
  • Simpan barang kemas, kamera, komputer, telefon dan barangan bernilai yang lain di tempat yang selamat. Jangan membawa wang yang banyak di badan.
  • Elakkan pantai yang terpencil atau kawasan pedalaman.
  • Elakkan menaiki keretapi, bas dan teksi yang sesak.
  • Gunakan teksi yang berdaftar sahaja.
  • Elakkan memandu pada waktu malam.
  • Elakkan keluar bersendirian.
  • Pastikan pintu kereta dikunci dan tingkap ditutup.
  • Berhati-hati ketika berhenti menunggu di lampu isyarat.
  • Letak kenderaan di kawasan yang terang dan jangan tumpangkan orang yang tidak dikenali.
  • Gunakan khidmat pemandu pelancong tempatan atau jurubahasa apabila melancong ke kawasan pedalaman.
  • Rompakan kenderaan adalah risiko yang dikenalpasti di beberapa negara. Jika anda dirompak dengan senjata, jangan melawan dan pastikan tangan anda  boleh dilihat oleh penyerang setiap masa.
  • Berhati-hati dengan haiwan yang berkeliaran.

Sumber

International Travel & Kesihatan, WHO 2006

Semakan Akhir : 19 Jun 2013
Penulis : Dr. Norhayati Rusli

 

(Visited 560 times, 1 visits today)