Home > Warga Emas > Keadaan Biasa > Memilih Alat Bantuan Berjalan

Memilih Alat Bantuan Berjalan

Pengenalan

Anggota badan manusia adalah sedemikian rupa supaya dapat bergerak. Kebolehan berjalan dapat membantu seseorang untuk melaksanakan aktiviti seharian dan seterusnya menikmati kualiti hidup yang optima. Antara masalah berjalan yang berlaku dengan peningkatan usia adalah seperti kehilangan keupayaan anggota badan, kemerosotan daya ketahanan fisikal, penurunan tahap koordinasi motor serta pengurangan kelenturan dan kekuatan otot. Akibatnya, pergerakan menjadi terhad dan aktiviti yang memerlukan keseimbangan badan menjadi lebih rumit. Risiko jatuh juga bertambah. Alat bantuan berjalan boleh digunakan untuk:

  • Mengurangkan daya dan tenaga yang diperlukan semasa berjalan

  • Membantu meningkatkan keseimbangan badan dan mengurangkan risiko untuk jatuh

  • Mengurangkan beban ke atas kaki yang lemah atau tercedera

  • Mengurangkan kesakitan

  • Membantu berjalan untuk mereka yang kehilangan sebelah anggota bawah badan

Jenis-Jenis Alat Bantuan Berjalan

Terdapat banyak jenis alat bantuan berjalan yang dapat membantu warga emas atau seseorang yang mempunyai masalah berjalan. Berikut merupakan di antara alat bantuan yang biasa digunakan:

  • Rangka untuk berjalan (biasa/ jenis selang-seli (resiprokal))

  • Rangka untuk berjalan dengan roda di hadapan (rolator)

  • Tongkat berkaki tiga/empat

  • Tongkat kayu atau rotan

  • Tongkat bawah ketiak/lengan/siku

Alat bantuan berjalan bertindak dengan menyokong sebahagian daripada berat badan menerusi sebelah atau kedua-dua belah anggota atas badan semasa berjalan. Ia memberi isyarat sentuhan (sensori) untuk meningkatkan keseimbangan badan. Kestabilan seseorang juga dapat dipertingkatkan dengan penambahan kepada keluasan tapak sokongan.

Kerusi roda hanya dicadangkan kepada individu yang tidak boleh berjalan dengan selamat walaupun dengan penggunaan alat bantuan berjalan.

Pemilihan Alat Bantuan Berjalan

Alat bantuan berjalan mungkin diperlukan untuk sementara waktu ataupun untuk jangka panjang. Walau apapun tempoh penggunaan alat bantuan berjalan, penilaian secara individu adalah penting untuk memilih, mengukur serta memadankan alat bantuan ini kepada individu tersebut. Berikut merupakan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan semasa pemilihan alat bantuan berjalan:

  • Tahap kesihatan

  • Umur

  • Saiz badan

  • Tahap keselesaan

  • Kesenangan pengunaan peralatan

  • Kestabilan

  • Keselamatan

Setelah alat bantuan berjalan yang sesuai telah diplih, penyelarasan alat bantuan dan penggunaan kasut yang sesuai juga adalah penting untuk memastikan keselamatan semasa berjalan dan postur badan dipelihara dengan baik.
Elak daripada penggunaan selipar, atau kasut bertumit tinggi atau longgar kerana ia boleh meningkatkan risiko untuk jatuh. Elak juga daripada memakai pakaian yang labuh (di bawah tahap gelangan kaki).

1. Tongkat:

  • Hanya memberi sokongan terhadap 15-20% berat badan pengguna.

  • Berkaki tunggal.

  • Sesuai untuk digunakan oleh pengguna yang menghadapi masalah keseimbangan badan yang ringan atau seseorang yang mengalami kesakitan di sendi pinggul atau lutut.

  • Dipegang di sebelah bertentangan dengan sendi anggota yang mengalami kesakitan.

  • Tongkat digerakkan ke depan seiring dengan penghayunan kaki yang mengalami kesakitan.

2. Tongkat Berkaki tiga/empat:

  • Fungsinya adalah sama seperti tongkat tetapi ia dapat memberi tahap kestabilan yang lebih tinggi dengan adanya tapak sokongan yang lebih luas. (3/4 kaki)

3. Tongkat Lain:

  • Tongkat Bawah Ketiak (Aksila):

    • Memberi sokongan penuh terhadap berat badan pengguna. Ia jarang diguna dikalangan warga emas kerana memerlukan kekuatan tangan. Ia juga boleh meningkatkan risiko kecederaan saraf di bawah ketiak.

    • Dapat menyalurkan daya secara horizontal (terdapat pautan pada 2 tempat iaitu tangan dan lengan atas).

    • Pengguna diingatkan supaya tidak menekan ketiaknya pada hujung atas tongkat (boleh menyebabkan kecederaan pada salur darah atau saraf).

    • Digunakan semasa seseorang itu tidak dapat menampung berat badan dengan sepenuhnya (masalah sebelah atau kedua-dua belah anggota bawah badan)

    • Sesuai bagi kegunaan sementara waktu (contohnya selepas mengalami patah tulang kaki)

  • Tongkat Lengan/Siku:

    • Dapat menyalurkan daya secara horizontal (tempat pautan – tangan & lengan bawah).

    • Alas tongkat lengan/siku adalah lebih rendah berbanding dengan tongkat ketiak.

    • Lebih ringan.

    • Sesuai untuk digunakan oleh golongan yang aktif tetapi mengalami kelemahan pada anggota bawah badan (semua pengguna tongkat axial/lengan/siku memerlukan anggota atas badan yang kuat)

.4. Rangka untuk bantuan berjalan (‘Walking Frame’):

  • Boleh menyokong penuh salah satu anggota bawah badan pengguna tetapi tidak boleh menyokong keseluruhan berat badannya.

  • Lebih stabil dari penggunaan tongkat (masih memerlukan penggunaan kedua-dua anggota atas badan tetapi tidak banyak memerlukan kekuatan anggota atas badan atau keseimbangan seperti mana dalam penggunaan tongkat).

  • Variasi:-

    • Rangka untuk bantuan berjalan resiprokal tidak memerlukan  kekuatan anggota atas badan pengguna yang tinggi untuk mengangkat rangka.

    • Rangka untuk bantuan berjalan yang perlu diangkat boleh melambatkan pergerakan (pengguna perlu membuat langkah pendek dengan setiap pergerakan sebelum menggerakkan rangka ke depan).

    • Rangka untuk bantuan berjalan yang mempunyai roda dihadapan (rolator)  adalah lebih ringan dan lebih mudah untuk digerakkan).

    • Rangka untuk bantuan berjalan yang mempunyai empat roda dan sistem brek.

    • Rangka untuk bantuan berjalan yang mempunyai tempat duduk (boleh dijadikan bangku sekiranya pengguna penat).

Menyelaraskan Alat Bantuan Terhadap Pengguna

Langkah-langkah untuk penyelarasan penggunaan alat bantuan berjalan adalah seperti berikut:

  • Pengguna pakai kasut yang sesuai

  • Letak alat bantuan berjalan disisi pengguna yang sedang berdiri tegak

  • Selaraskan pemegang alat bantuan berjalan tersebut supaya berada pada paras pergelangan tangannya.

(Untuk tongkat bawah ketiak – Selaraskan ketinggian tongkat tersebut supaya hujung atasnya berada pada jarak lebih kurang 2-3 jari di bawah ketiak pengguna)

Latihan

Latihan mesti dijalankan dari segi ergonomik sebelum pengguna dapat berjalan semula menggunakan alat bantuan berjalan yang sesuai secara selesa dan selamat.

Rujukan

  1. Hasselkus, B. (1974). Aging and the human nervous system. American Journal of Occupational Therapy, 28,16-18

  2. Christianson, M. (1990). Aging in the designed environment Physical & Occupational Therapy in Geriatrics 8, 1.

  3. Zoltan B. (1990) Occupational Therapy Practice skills for Physical Dysfunction.Mosby Company.

  4. Trombly, A.N, Occupational Therapy for Physical Dysfunction (2nd Edition), Williams & Wilkins, Baltimore, London.

 

Semakan Akhir : 08 September 2014
Penulis : Thillainathan a/l Krishnan
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi
(Visited 425 times, 2 visits today)