Home > Kesihatan Pergigian > Memberus Gigi Bayi : Bagaimana Memulakannya?

Memberus Gigi Bayi : Bagaimana Memulakannya?

 

Perlukah ibubapa membersihkan gusi bayi sebelum gigi tumbuh?

Ya perlu. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, adalah menjadi satu kelaziman yang sangat baik untuk menyapu gusi bayi dengan kain kasa atau tuala yang lembut setiap kali selepas makan atau ketika mandi. Pada peringkat ini, masih belum ada keperluan untuk menggunakan ubat gigi. Tuala atau kain kasa yang dililit di sekeliling jari boleh digunakan dengan menyapu secara perlahan-lahan disekeliling gusi untuk menghilangkan bakteria yang berbahaya dalam mulut bayi anda.

Bilakah jangkaan gigi pertama bayi akan tumbuh?

Secara amnya, gigi pertama bayi akan tumbuh di bahagian depan rahang bawah ketika bayi berumur enam bulan. Namun, masa pertumbuhan gigi gigi pertama bayi tidak sama antara satu dengan yang lain. Sesetengah bayi masih tiada gigi yang tumbuh walaupun usia telah mencecah setahun.

Bilakah ibubapa seharusnya memberus gigi bayi mereka?

Memberus gigi bayi bolehlah dimulakan seawal gigi pertama kelihatan tumbuh di dalam mulut. Ini akan menanamkan tabiat penjagaan kesihatan pergigian yang baik kepada anak anda.

 

 

Gambar 1: Gigi pertama bayi, biasanya tumbuh di usia enam bulan.

Berapa kerapkah ibubapa seharusnya memberus gigi bayi mereka?

Dua kali sehari terutamanya pada waktu pagi dan malam sebelum tidur.

Adakah ibubapa perlu membelikan berus gigi untuk bayi mereka?

Bergantung kepada keadaan. Anda mungkin berasa lebih mudah untuk membersihkan gigi bayi anda dengan menggunakan kain kasa yang bersih atau tuala basah. Lilitkan di sekeliling jari, letakkan lapisan nipis ubat gigi atau sebesar saiz beras ke atasnya, dan gosok perlahan-lahan pada gigi dan gusi.

Sekiranya menggunakan berus gigi bayi, pilihlah yang mempunyai kepala berus yang kecil, berus nilon yang lembut dan senang/selesa dipegang. Gunakan sedikit lapisan ubat gigi dan gosok secara perlahan-lahan dibahagian dalam dan luar setiap gigi untuk membuang plak dan kotoran.

Berus gigi yang direka khas seperti ‘berus gigi jari’ juga boleh membantu dalam memberus gigi bayi anda.


Gambar 2: Berus gigi jari

Berapa kerapkah seharusnya berus gigi bayi anda ditukar?

Ia seharusnya ditukar secara berkala, kira-kira sebulan hingga tiga bulan. Sekiranya berus mulai mengembang, ia adalah petanda berus gigi perlu ditukar.

Apakah ubat gigi yang sesuai untuk bayi?

Adalah dinasihatkan supaya mencari ubat gigi yang dibuat khas untuk bayi. Periksa bungkusan ubat gigi untuk memastikan tahap kandungan florida adalah sesuai. Gunakan ubat gigi yang mempunyai kandungan florida yang rendah (kira-kira 1,000 ppm) untuk bayi berumur satu hingga tiga tahun.

Pilih ubat gigi yang TIDAK berperisa, seperti perisa buah-buahan, supaya bayi memahami bahawa ubat gigi bukanlah makanan. Menelan ubat gigi berflorida dalam jumlah yang terlalu banyak boleh merosakkan gigi dengan memberikan kesan rapuh, dan boleh menyebabkan bayi sakit atau cirit-birit.

Berapa banyakkah ubat gigi seharusnya digunakan?

Bagi bayi berumur di bawah setahun, tiada keperluan menggunakan sebarang ubat gigi.

Bagi kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun, hanya dengan sedikit atau lapisan nipis ubat gigi melitupi tiga suku berus gigi sudah mencukupi.

Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas, beruslah gigi anak anda dengan ubat gigi bersaiz kacang pis.

Ibubapa dinasihatkan untuk mendidik anak supaya meludah selepas memberus gigi dan tidak makan atau menjilat ubat gigi dari tiub.


Gambar 3: Perbezaan di antara lapisan nipis ubat gigi dan ubat gigi bersaiz kacang pis.

Bagaimanakah cara memberus gigi anak anda?

Ianya mudah dan tidak banyak perkara yang diperlukan. Gunakan berus gigi bayi atau ‘berus gigi jari’, sedikit ubat gigi dan air bersih.

 

Gambar 4: Langkah-langkah dan teknik memberus gigi (bagi kanak-kanak berumur setahun dan ke atas)

  1. Letakkan sedikit ubat gigi berfuorida rendah ke atas berus gigi yang lembut atau pada ‘berus gigi jari’ yang direka khas untuk bayi dan kanak-kanak.
  2. Dudukkan anak di atas paha dengan kepala menghadap kehadapan. Dongakkan kepala anak sehingga mengenai badan anda supaya anda dapat melihat kesemua permukaan gigi.
  3. Halakan berus gigi kepada gusi. Gerakkan berus secara bulatan untuk membersihkan bahagian luar permukaan gigi dan gusi.
  4. Sambung memberus secara bulatan lembut di bahagian dalam permukaan gigi dan gusi.
  5. Berus ke hadapan dan belakang dipermukaan mengunyah gigi.
  6. Selepas memberus setiap permukaan gigi, didik anak supaya meludah keluar sisa-sisa ubat gigi.

 

Bagaimana memantau pemakanan bayi anda?  

Penyusuan botol pada kadar yang berpanjangan akan membawa kepada kerosakan gigi/karies di awal usia kanak-kanak.Satu cara yang berkesan untuk menghentikan penyususan botol yang berpanjangan adalah dengan menggunakan cawan. Minum dengan menggunakan cawan tidak akan menyebabkan air minuman terkumpul di sekitar gigi. Oleh itu, gunalah cawan jika minum minuman yang manis seperti jus buah-buahan.

Pengambilan makanan bergula atau melekit secara kerap, lama-kelamaan akan menyebabkan bakteria terkumpul manghasilkan asid yang akhirnya mengakibatkan kerosakan gigi. Adalah dinasihatkan supaya TIDAK menambah gula ke dalam makanan bayi seperti susu, minuman dan bijirin. Selain itu, berwaspadalah dengan gula tersembunyi di dalam makanan.

Galakkan tabiat pemakanan yang baik dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Hadkan makanan dan minuman yang mengandungi gula pada waktu makan sahaja. Tawarkan makanan ringan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di antara waktu makan.

Bagaimanakah mengenal pasti tanda-tanda awal kerosakan gigi bayi anda?

Ibubapa seharusnya mengetahui ciri-ciri gusi dan gigi bayi yang normal supaya dapat mengenalpasti masalah jika ia berlaku. Contohnya tompok berwarna putih atau coklat pada gigi hadapan adalah tanda-tanda awal kerosakan gigi.


Gambar 5: Tompok putih / coklat di bahagian depan gigi

Periksa mulut anak anda sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan dengan menggunakan teknik “Angkat Bibir” untuk melihat tanda-tanda awal kerosakan gigi (tompok putih atau coklat) di bahagian luar atau dalam permukaan gigi.


Gambar 6: Teknik “Angkat Bibir”

Bilakah ibubapa perlu mula membawa bayi mereka berjumpa doktor gigi?

Bawa anak anda berjumpa doktor gigi seawal umur setahun. Pemeriksaan gigi kali pertama sebelum usia 12 bulan akan membantu untuk mengenalpasti sebarang risiko awal terhadap kesihatan mulut anak anda.

Rujukan

  1.  Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Guidelines Early Childhood Oral Healthcare 2008. MOH/K/GIG/3.2008.
  2. American Academy of Pediatric Dentistry. Guideline on Infant Oral Health Care. Reference Manual. 2014;V37; No.6;15/16.

 

Semakan Akhir : 23 Mac 2017
Penulis / Penterjemah : Dr. Azura bt. Abdullah
Akreditor : Dr. Salleh bin Zakaria