A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Membantu Kanak-Kanak Buta

Membantu Kanak-Kanak Buta

Definisi

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasi 4 fungsi penglihatan iaitu:

  1. Penglihatan Normal
  2. Penglihatan Terhad Sederhana (Penglihatan terhad/Golongan kurang upaya penglihatan)
  3. Penglihatan Terhad Teruk (Penglihatan terhad/Golongan kurang upaya penglihatan)
  4. Kebutaan (Golongan kurang upaya penglihatan)

WHO mendefinisikan buta secara perundangan (legally blind) apabila seseorang mempunyai tahap penglihatan 3/60 atau kurang daripada 3/60 pada mata yang baik setelah dibetulkan (Pecahan 3/60 bermaksud seorang yang normal boleh melihat objek tertentu sejauh 60 meter tetapi bagi orang yang mempunyai masalah penglihatan hanya dapat melihat objek tersebut dalam lingkungan jarak 3 meter sahaja). Seseorang juga boleh dikategori buta secara perundangan jika mempunyai tahap penglihatan normal (6/6) dengan medan penglihatan hanya 10 darjah ke bawah pada keluasan diameter. Manakala bagi mereka yang mempunyai tahap penglihatan 6/18 – 3/60 atau medan penglihatannya antara 20 darjah hingga 10 darjah dikategorikan sebagai berpenglihatan terhad (low vision). Definisi ini diguna pakai juga untuk kanak-kanak. Masalah penglihatan ini boleh terjadi kepada sesiapa jua tidak terkecuali kanak-kanak.

Perincian statitik dan penyebab kepada masalah penglihatan ini, dan untuk populasi dunia boleh diketahui melalui laman sesawang Vision 2020: The Right To Sight. Sementara itu, bagi populasi di Malaysia sahaja boleh di akses melalui Bancian Penglihatan/Mata Kebangsaan 1996.

Terdapat beberapa cara untuk menolong kanak-kanak yang bermasalah penglihatan ini di Malaysia. Justeru, kanak-kanak kelainan upaya penglihatan akan diberi dorongan dan disediakan bantuan untuk membolehkan mereka berdikari.

  • Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi di klinik-klinik mata, hospital kerajaan atau swasta
  • Persatuan Orang-orang Buta Malaysia
  • Jurupulih Cara Kerja
  • Sekolah Khas Kebutaan/Sekolah Integrasi Masalah Penglihatan
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pegawai Optometri/Pakar Oftalmologi

Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi akan membuat pemeriksaan mata secara menyeluruh dan mengesahkan pesakit tersebut sebagai buta secara perundangan atau berpenglihatan terhad. Kemudian, Pegawai Optometri akan memilih bantuan penglihatan (optikal dan bukan optikal) berdasarkan keperluan kanak-kanak tersebut sama ada untuk dekat, jauh atau kedua-duanya. Seterusnya, Pegawai Optometri akan mengajar cara-cara menggunakan bantuan penglihatan ini dengan betul.

Sekolah Khas Kebutaan/Sekolah Integrasi Masalah Penglihatan

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti menyediakan 2 jenis sekolah untuk kanak-kanak kelainan upaya penglihatan iaitu Sekolah Khas Kebutaan dan Sekolah Integrasi Masalah Penglihatan. Bagi Sekolah Khas Kebutaan, terdapat 6 sekolah rendah, 1 sekolah menengah dan 1 sekolah vokasional. Di sekolah ini, kebanyakan pelajarnya menggunakan tulisan braille dalam pembelajaran harian mereka.

Bagi kategori Sekolah Integrasi Masalah Penglihatan pula, kanak-kanak kelainan upaya penglihatan ini akan ditempatkan bersama atau berlainan kelas dengan pelajar-pelajar berpenglihatan normal. Terdapat 11 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah yang disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB)

Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) adalah sebuah badan bukan kerajaan yang menyediakan banyak program untuk golongan kelainan upaya penglihatan ini. Antara program yang dijalankan adalah program kerjaya, tulisan braille dan pembelajaran, kesukanan dan program komuniti yang lebih memfokus kepada sesi kaunseling dan sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak kelainan upaya penglihatan ini dan lain-lain lagi.

Jurupulih Cara Kerja

Jurupulih Cara Kerja ialah seseorang yang mempunyai ijazah/sijil untuk memberikan latihan kepada kanak-kanak bermasalah penglihatan ini. Jurupulih Cara Kerja ditempatkan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta dan menjalankan program mobiliti dan orientasi (ONM) yang lebih kurang sama dengan program ONM yang dijalankan oleh MAB.

Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendaftarkan kanak-kanak ini sebagai orang kelainan penglihatan dan diberikan kad kurang upaya penglihatan (OKU). Kanak-kanak yang berdaftar dengan JKM layak menerima bantuan kewangan dan pendidikan khas. Lain-lain kemudahan juga dinikmati seperti potongan harga bagi kenderaan awam atau yuran hospital dan potongan cukai yang dikenakan. Untuk informasi lanjut anda boleh merujuk ke laman Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kesimpulan

Dalam membantu kanak-kanak kelainan upaya penglihatan, kerjasama erat daripada pihak kerajaan dan swasta amatlah diperlukan. Perkara ini membolehkan kanak-kanak kelainan upaya mempunyai hak untuk membesar, belajar dan meneroka peluang-peluang yang ada untuk berkembang dan menikmati kehidupan sebagaimana kanak-kanak normal yang lain.

Rujukan

  1. Visual impairment and blindness. World Health Organization. www.who.org
  2. Visual impairment and blindness Fact Sheet N°282″. August 2014. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs282/en/
  3. Blindness and Visual Impairment: Global Facts. www.iapd.org/vision-2020
  4. Mengenai Banci Mata Kebangsaan II.www.crc.gov.my
  5. Senarai Kemudahan Dan Keistimewaan Bagi Orang Kurang Upaya. www.jkm.gov.my
  6. Maklumat bahagian/ Agensi. Kementerian Pendidikan Malaysia. (http://www.moe.gov.my/v/BPKhas)
  7. Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malysia. www.myhealth.gov.my
  8. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs282/en/
  9. Perbezaan Antara Buta Dan Penglihatan Terhad.http://myhealth.moh.gov.my/index.php/en/general/optometri/perbezaan-antara-buta-dan-penglihatan-terhad
  10. Vision 2020: The Right To Sight. http://www.iapb.org/vision-2020/global-facts
  11. Bancian Penglihatan/Mata Kebangsaan 1996. http://www.crc.gov.my/nes2/aboutus_bm.php
  12. Harapan Untuk Melihat Bagi Penglihatan Terhad http://myhealth.moh.gov.my/index.php/en/general/optometri/harapan-untuk-melihat-bagi-penglihatan-terhad
  13. Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia. www.mab.org.my
  14. Jabatan Kebajikan Masyarakat http://www.jkm.gov.my/images/stories/pdf/kemudahanOKU26112012-Isnin.pdf
Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Pn. Azlina Binti Abdullah
Akreditor : Pn. Nor Aini Binti Hanafi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,235,865

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia