A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Psikologi Kaunseling
  6. /
  7. Umum
  8. /
  9. Lain-lain
  10. /
  11. Memahami Individu yang Sensitif

Memahami Individu yang Sensitif

Adakah anda tidak suka bersosial? Rakan dan keluarga terdekat juga pendiam dan suka memendam persaan? Jika jawapannya ya bermaksud anda berhadapan dengan personaliti sensitif.

Pengenalan

Personaliti merujuk  perbezaan  pemikiran, perasaan dan sikap. Personaliti didefinisikan sebagai satu corak tingkah laku yang wujud dalam diri seseorang sejak kecil dan  tidak pernah berubah terhadap sebarang persekitaran. Personaliti ditakrif sebagai ciri genetik yang lahir tidak berubah dan sering bersifat tekal.

Personaliti  melibatkan tingkah laku dan tindak-tanduknya. Personaliti melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang individu. Personaliti jugakah yang membentuk kemahiran sosial dan bertindakbalas secara positif atau negatif terhadap orang lain dalam pelbagai keadaan.

Allport mentafsirkan  personaliti merupakan satu organisasi sistem psikologi dan kejasmanian yang dinamik di dalam diri seseorang. Ini bersesuaian dengan tindakbalas individu terhadap sebarang situasi unik.  Personaliti boleh ditafsir sebagaiai sifat-sifat yang ada pada seseorang individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, berpersepsi dan lain-lain lagi yang membolehkannya berbeza dengan orang lain.

Dalam kehidupan seharian, personaliti dikaitkan dengan sifat dan perwatakan seseorang. Personaliti seseorang itu dapat diketahui melalui gaya percakapan, tingkahlaku, cara bertindak atau cara bekerja. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang individu dan sememangnya mencirikan perbezaan seseorang individu dengan individu yang lain.

Mengenali Jenis Personaliti

Penemuan ahli psikologi terhadap ciri-ciri personaliti menunjukkan jenis-jenis personaliti yang wujud pada setiap individu adalah bersifat pelbagai. Fakta ini dibuktikan melalui pelbagai kajian “trait” personaliti yang telah dijalankan selama ini.

Menurut Eysenck pula, personaliti ialah organisasi watak, perangai, intelek dan bentuk badan yang agak stabil yang menentukan penyesuaiannya yang unik terhadap persekitarannya.

Berdasarkan teori personaliti Carl Jung, sifat seseorang individu dipengaruhi oleh salah satu daripada alternatif berikut:

  1. Bagaimana seseorang berurusan – Ekstrovert atau Introvert

  2. Bagaimana seseorang melihat informasi – ‘Sensing’ atau Intuisi

  3. Bagaimana seseorang membuat keputusan – ‘Thinking’ atau ‘Feeling

  4. Cara hidup seseorang – ‘Judging’ atau ‘Perceiving

Kebiasaanya individu introvert adalah berlainan daripada karakter individu ekstrovert. Percanggah ini dilihat daripada corak berkomunikasi, berinteraksi, kemahiran sosial dan sebagainya. Ciri introvert lebih cenderung untuk bersendiri manakala ekstrovert pula lebih kepada sosial.

Sumber: http://lidaprypchan.blogspot.com

Berikut adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh individu yang sensitif :

  1. Pasif

  2. Berhati-hati

  3. Berfikir dengan teliti

  4. Terkawal

  5. Risau

  6. Serba tak kena

  7. Bimbang

  8. Rigid

  9. Serius

  10. Pesimistik

  11. Memendam perasaan

  12. Tidak suka bergaul

  13. Memencilkan diri

  14. Pendiam

  15. Cemas

  16. Muda tersentuh

  17. Suka merajuk

Memahami Cara-cara Berinteraksi dengan Individu Sensitif

Individu yang sensitif merupakan individu Introvert maka individu lain yang berinteraksi dengan individu sensitif harus menitik berat beberapa aspek penting sewaktu berurusan dengan mereka.

  1. Menghormati keinginan mereka untuk bersendirian.

    • Ada ketika individu yang sensitif memerlukan masa untuk bersendirian. Mereka juga memerlukan masa untuk bertenang dan berfikir.

  1. Jangan cuba memalukan mereka di khalayak ramai.

    • Individu yang sensitif tidak suka menonjolkan diri di khalayak ramai. Jadi jangan paksa mereka menghadiri majlis keramaian jika mereka tidak mahu. Jangan panggil mereka ke hadapan untuk berucap atau hanya sekadar untuk memperkenalkan mereka kepada orang lain sekiranya mereka tidak bersedia daripada segi mental dan fizikal.

  1. Berikan mereka masa untuk menyesuaikan diri dalam suasana yang baru.

    • Individu yang sensitif adalah individu yang rigid. Mereka memerlukan masa untuk meneroka dan menyesuaikan diri di sesuatu tempat atau keadaan yang baru bagi mereka.

  1. Berikan mereka masa untuk berfikir. Jangan paksa mereka memberikan jawapan secara spontan.

    • Individu yang sensitif tidak mampu bertindak secara spontan. Mereka memerlukan masa yang cukup untuk berfikir, mencari dan merangka jawapan bagi soalan-soalan yang tidak pasti.

  1. Jangan ganggu mereka.

    • Mentertawakan individu sensitif akan menjarakkan perhubungan komunikasi. Jangan jadikan individu yang sensitif bahan lawak jenaka. Galakkan mereka untuk berinteraksi dan hormati pandangan mereka.

  1. Berikan mereka notis awal tentang perubahan yang dijangka akan berlaku dalam hidup mereka.

    • Individu yang sensitif tidak mampu menerima perubahan secara mendadak. Mereka memerlukan notis atau amaran awal supaya mereka mempunyai masa yang cukup untuk bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menerima sesuatu perubahan.

  1. Berikan mereka masa selama 15 minit untuk menyiapkan apa yang sedang mereka lakukan sebelum mengarahkan mereka melakukan aktiviti lain.

    • Bukan mudah untuk individu yang sensitif berubah secara mendadak daripada satu aktiviti ke aktiviti yang lain. Berikan mereka masa yang mencukupi untuk mereka menyiapkan tugasan yang sedang mereka lakukan dan bersedia untuk memulakan tugasan yang baru.

  1. Tegur mereka secara berhemah.

    • Sekiranya individu yang sensitif melakukan kesilapan, jangan tegur mereka secara kasar atau di khalayak ramai kerana teguran sedemikian akan menjatuhkan air muka mereka dan sekaligus menyebabkan mereka menjadi lebih sensitif dan memencilkan diri.

  1. Ajar mereka kemahiran baru secara persendirian.

    • Individu yang sensitif lebih selesa menerima dan belajar sesuatu yang baru secara bersendirian ’one to one’ berbanding secara berkumpulan. Mereka memerlukan tumpuan dan pemerhatian yang khusus mengikut tahap masing-masing.

  1. Jangan paksa mereka untuk mempunyai ramai kawan.

    • Bukan mudah untuk individu yang sensitif untuk memulakan dan mengekalkan sesuatu persahabatan. Mereka juga tidak mampu berdamping dengan semua orang yang berada di sekeliling mereka. Oleh itu, jangan paksa mereka untuk mempunyai ramai kawan.

  1. Hormati sikap introvert mereka. Jangan cuba ubah mereka menjadi ekstrovert.

    • Individu yang sensitif adalah individu yang mempunyai personaliti Introvert. Hormati dan terima mereka seadanya. Jangan paksa mereka berubah menjadi individu  Ekstrovert yang jauh berbeza dengan personaliti mereka.

Mengupas Persepsi Masyarakat Terhadap Individu yang Sensitif

Individu sensitif mempunyai banyak ciri-ciri Introvert maka sikap mereka lebih sering  disalah anggap dan dipandang negatif oleh masyarakat. Mereka sering kali dilabel sebagai seorang yang sombong memandangkan mereka tidak suka bercakap dan gemar menyendiri dalam melakukan sesuatu aktiviti. Individu yang sensitif juga sering dikategorikan sebagai orang yang lembab, kurang bijak dan rendah keyakinan diri. Ini adalah pandangan salah. Walaupun biasanya  mereka mengambil masa yang agak lama untuk berfikir sebelum bercakap atau memberikan pendapat namun mereka bukan lembab.

Individu sensitif kurang gemar bersosial maka aktiviti sosial seperti menghadiri jamuan atau berhadapan dengan kumpulan ramai akan cuba dielakkan.  Jaringan sosial mereka juga agak terhad jadi hormati hak peribadi mereka.

Mengurangkan Gejala-gejala Penyakit Mental di Kalangan Individu Sensitif

Penyakit mental merupakan gangguan yang melibatkan perubahan pemikiran, emosi atau perasaan dan tingkahlaku yang menyebabkan seseorang itu tidak mampu menghadapi cabaran dan tuntutan dalam kehidupan seharian.

Individu sensitif cenderung mempunyai tanggapan negatif kepada diri dan ini menyebabkan mereka mudah silap tafsir pandangan diri dan sering merasakan tidak disayangi atau individu bakal gagal pada masa hadapan. Lantaran itu elakkan mereka berterusan dalam keadaan ini dan galakkan mereka berfikiran positif terhadap diri.

 Masyarakat perlu menggalakkan individu sensitif memiliki kesihatan mental yang baik iaitu :

  1. Berasa selesa dengan diri sendiri

  2. Berasa selesa dengan orang lain

  3. Boleh memenuhi cabaran hidup seharian

  4. Mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain

  5. Mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat

  6. Menyumbang kepada masyarakat

Individu sensitif perlu belajar menghormati dan menghargai diri sendiri.  Mereka harus menilai dan mengetahui kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Mereka juga perlu menerima kegagalan dan kekecewaan serta berupaya mengawal perasaan agar tidak emosional. Mereka harus belajar menangani sebarang situasi dengan baik untuk mendapat kepuasan dalam kehidupan seharian.

Individu sensitif juga perlu menghargai dan mempercayai orang lain. Belajar menerima pendapat orang lain secara terbuka serta memahami dan menghormati perbezaan di antara satu sama lain. Mereka tidak seharusnya mengambil kesempatan ke atas orang lain tetapi perlu belajar memberi dan menerima kasih sayang.  Mahir berkomunikasi secara berkesan  untuk menjalinkan hubungan yang baik dan berkekalan.

Kesimpulanya, personaliti setiap individu adalah unik. Apa yang penting adalah untuk menerima keadaan diri secara realistik serta merancang perubahan dalam kehidupan dengan bijak. Tidak rugi sekiranya seseorang yang sensitif berusaha untuk melakukan sedikit perubahan demi kebaikan diri sendiri dan juga orang sekeliling yang berinteraksi dengan mereka. Namun apa yang penting adalah sikap saling menghormati perbezaan yang ada pada setiap individu serta bertolak ansur agar keharmonian dalam perhubungan dapat dikekalkan.

Rujukan

  1. Allport, G. W. (1937). “Personaliti: A Psychological Interpretation”. New York: Holt.

  2. Eysenck, H.J.(1990). “Biological Dimensions of Personality”. In L.A. Pervin (Ed), Handbook of Personality: Theory & Research (pp. 244-276). New York: GuilFord.

  3. Habibah Elias & Noran Fauziah Yaakub. (2002). “Psikologi Personaliti”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

  4. Mahmood Nazar Mohamed. (2001). ”Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa & Tingkahlaku Manusia”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

  5. Mohd Salleh Lebar. (1999). ”Asas Psikologi Perkembangan”. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

 

Semakan Akhir : 16 Disember 2013
Penulis : Suraya Banu bt Sallehudin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,071,834

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia