A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Melasma

Melasma merupakan tompok-tompok berwarna coklat, coklat tua atau kelabu kebiruan pada bahagian muka

Definisi

Melasma merupakan tompok-tompok berwarna coklat, coklat tua atau kelabu kebiruan pada bahagian muka. Kebiasaannya melibatkan wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun. Orang lelaki juga boleh menghadapi masalah melasma.

Penyebab

Melasma dipercayai disebabkan oleh interaksi di antara pancaran matahari, keturunan dan perubahan hormon seperti pengambilan pil perancang kehamilan dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kulit lebih senang mendapat masalah pigmentasi selepas terdedah kepada cahaya ultraviolet (UV). Wanita hamil mempunyai peningkatan hormon estrogen, progesterone dan melanocyte-stimulating hormone (MSH) semasa trimester kedua dan ketiga. Melanocytes adalah sel kulit yang menghasilkan pigmen dan menyebabkan pigmentasi kulit. Selain dari itu, produk atau rawatan yang boleh menyebabkan radang kulit boleh menyebabkan peningkatan produksi melanin dan mempercepatkan masalah melasma.

Gejala-gejala

Melasma melibatkan 3 kawasan utama iaitu di bahagian tengah muka, bahagian  tulang pipi (Foto 1) dan bahagian dagu. Di bahagian tengah muka, kebiasaannya ia melibatkan pipi bahagian atas (Foto 2), bahagian atas bibir, dahi dan bahagian tengah dagu. Bentuk malar melibatkan bahagian kulit tulang pipi. Manakala bentuk mandibular melibatkan bahagian kulit tulang dagu.

Foto 1: Melasma kebiasaanya melibatkan kedua-dua belah muka Foto 2: Pigmentasi berwarna coklat kedua-dua belah muka pada pipi bahagian atas

Rawatan

Respon terhadap rawatan bergantung kepada jenis melasma. Melasma di bahagian lapisan luaran kulit atau jenis epidermal mempunyai respon yang lebih baik terhadap rawatan berbanding jenis dermal kerana pigmen lebih dekat dengan permukaan kulit.

Rawatan memerlukan penggunaan krim pelindung cahaya matahari setiap hari dan ubat sapu seperti hydroquinone (HQ). Krim-krim yang paling kerap digunakan mengandungi 2% hydroquinone dan yang memerlukan preskripsi doktor iaitu 4% hydroquinone. Krim pelindung cahaya matahari perlu disapu diatas krim hydroquinone setiap pagi. Sesetengah krim pelindung matahari juga mengandungi 4% hydroquinone.

Krim dalam bentuk kombinasi atau formulasi khas yang mengandungi hydroquinone, agen hipopigmentasi phenolik, asid azelaik dan asid retinoik, agen pencerahan bukan phenolik dan/atau asid kojik, boleh dibeli dengan preskripsi doktor. Bagi kes melasma yang teruk, HQ dengan konsentrasi yang lebih tinggi atau HQ dengan kombinasi tretinoin, cortiscosteroid, atau asid glycolic mungkin lebih efektif untuk mencerahkan kulit.

Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuk radang pada kulit. Penggunaan HQ berkonsentrasi tinggi untuk jangkamasa yang panjang (kebiasaannya selepas beberapa bulan atau tahun) boleh menyebabkan ochronosis. Ochronosis merupakan pigmentasi kulit yang kekal dan boleh berlaku bila konsentrasi hydroquinone yang digunakan melebihi 4%. Walaupun terdapat kesan sampingan, namun ia masih digunakan dengan meluas kerana ia paling berkesan. Sekiranya, terdapat tanda-tanda awal ochronosis, HQ perlu dihentikan serta merta.

Rawatan yang lain termasuk losyen asid Lactik 12%, krim asid Glycolik 10-20% dan losyen pengelupasan asid glycolik 10-70%. Rawatan dengan bahan pengelupasan berkonsentrasi tinggi perlu dilakukan oleh pegawai yang terlatih di bilik rawatan. Ia mungkin berguna untuk kes-kes melasma yang tertentu. Jenis bahan perlu di selaraskan mengikut individu dan dinilai oleh doktor pakar.

Asid azelaik efektif bagi melasma walaupun hasil keseluruhannya kurang memuaskan berbanding 4% hydroquinone. Sedikit kesan sampingan termasuk gatal, kemerahan pada kulit, kering dan rasa perit akan bertambah baik selepas 14-30 hari penggunaan.

Respon terhadap krim tretinoin sahaja mungkin lebih lambat dari hydroquinone. Krim tretinoin boleh menyebabkan sedikit kesan sampingan seperti kulit mengelupas, kering dan radang.

Terdapat krim yang memerlukan preskripsi dalam bentuk kombinasi fluocinolone acetonide 0.01%, hydroquinone 4%, dan tretinoin 0.05%. Ianya boleh digunakan untuk merawat melasma dan lain-lain pigmentasi kulit. Hasil rawatan boleh dilihat selepas 6 hingga 8 minggu. Krim tidak boleh digunakan melebihi 8 minggu tanpa nasihat doktor. Wanita hamil dan yang menyusukan anak tidak boleh menggunakan krim tersebut tanpa nasihat doktor.

Kombinasi krim yang lain termasuk formulasi Kligman yang mengandungi retinoid, hydroquinone dan steroid topikal (contoh: fluocinolone acetonide 0.01%, hydroquinone 8% dan tretinoin 0.1%). Pelbagai konsentrasi boleh dibuat bergantung pada pakar. Ianya amat efektif untuk melasma.

Pelbagai rawatan kombinasi beserta dengan penggunaan krim pelindung cahaya matahari dapat memberikan hasil yang terbaik. Namun begitu rawatan tidak semestinya berjaya. Adalah penting untuk berhati-hati kerana rawatan yang agak agresif boleh menyebabkan melasma menjadi lebih teruk. Kesemua rawatan di atas merupakan rawatan kosmetik dan tidak dilindungi oleh insuran kesihatan.

Bagi memastikan rawatan berkesan, pendedahan kepada cahaya matahari perlu dikurangkan. Kebanyakan krim untuk melasma perlu dihentikan jika hamil atau menyusukan anak kerana terdapat risiko terhadap kandungan. Individu yang sedemikian boleh menggunakan krim untuk menutup pigmentasi bagi sementara waktu.

Peranan laser untuk melasma

Laser boleh digunakan untuk merawat melasma tetapi bukan rawatan pilihan yang utama. Hasil rawatan juga mungkin kurang memuaskan. Laser juga boleh menyebabkan melasma menjadi lebih teruk. Rawatan yang berulang kali diperlukan untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Saranan SPF untuk melasma

Penggunaan harian sun protection factor (SPF) yang mengandungi penghadang fizikal seperti zink oxide dan titanium dioxide, disarankan bagi menghalang sinaran UV. Penghadang kimia yang biasa digunakan mempunyai SPF 30. Penghadang kimia mungkin tidak dapat menghalang kedua-dua UV-A dan UV-B sebagaimana zink dan titanium.

Pencegahan

Untuk mencegah dari mendapat melasma, elakkan dari terkena cahaya matahari dan memakai krim pelindung cahaya matahari. Melasma boleh pulih sendiri tetapi adalah lebih baik untuk menggunakan krim pelindung cahaya matahari dan elakkan sinaran matahari. Melasma juga boleh pulih selepas bersalin atau selepas berhenti mengambil pil perancang atau rawatan hormon.

Rujukan

  1. Freedberg, Irwin M., et al. Fitzpatrick’s Dermatology in General Medicine. 4th ed. Vol. 1. New York: McGraw-Hill, 1993.
  2. Rashmi Sarkar, Shikha Chugh, Vijay K Garg.  Newer and upcoming therapies for melasma. Indian journal of dermatology and venereology. 2012: 78(4); 417-428.
  3. Kabir Sardana, Vijay K Garg Lasers are not Effective for Melasma in Darkly. Pigmented Skin Journal of Cutaneous and Aesthetic Surgery. 2014, 7 (1); 57-60.
  4. Pooja Arora, Rashmi Sarkar, Vijay K Garg, Latika Arya. Lasers for Treatment of Melasma and Post-inflammatory Hyperpigmentation Journal of Cutaneous and Aesthetic Surgery.2012: 5 (2); 93-103.
  5. Tania Ferreira Cestari, Lia Pinheiro Dantas, Juliana Catucci Boza. Acquired hyperpigmentations. An Bras Dermatol. 2014;89(1):11-25.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Akreditor : Datuk Dr. Roshidah bt. Baba
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Steven-Johnson Syndrome

Stevens-Johnson Syndrome (SJS) adalah penyakit yang berpotensi untuk menjadi serius. Ianya melibatkan sistem imun dan kebiasaannya melibatkan kulit dan mukosa.

Kurap

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Ketuat – Dewasa

Ketuat disebabkan oleh jangkitan virus, human papillomavirus (HPV). Ia boleh melibatkan bahagian kulit dan mukosa seperti di bahagian alat kelamin lelaki dan perempuan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,080,485

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia