A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Penderaan
  6. /
  7. Melaporkan Penderaan Kanak-Kanak

Melaporkan Penderaan Kanak-Kanak

Sesiapa sahaja yang mengetahui, atau mengesyaki, mana-mana kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk di dera dan di abai perlu melaporkan kepada pegawai pelindung kanak-kanak (Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM) atau menghantar kanak-kanak tersebut ke hospital yang berdekatan.

Pengenalan

Sesiapa sahaja yang mengetahui, atau mengesyaki, mana-mana kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk di dera dan di abai perlu melaporkan kepada pegawai pelindung kanak-kanak (Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM) atau menghantar kanak-kanak tersebut ke hospital yang berdekatan.

Sekiranya anda ingin memastikan identiti dirahsiakan, anda boleh menghubungi Talian Nur 15999.

Apa yang perlu dilaporkan?

Laporan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

  • Nama kanak-kanak
  • Lokasi/alamat
  • Sebab-sebab disyaki penderaan
  • Nama anda dan cara menghubungi,jika boleh, supaya JKM boleh menghubungi semula sekiranya gagal menemui kanak-kanak terbabit

Bagaimana untuk membuat laporan mengenai penderaan?

Melalui Talian Nur, sila berikan maklumat terperinci berkenaan kes penderaan dan pengabaian yang disyaki supaya pegawai JKM dapat menilai keperluan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Melalui hospital, individu yang membawa kanak-kanak ke Jabatan kecemasan/Pesakit luar kerana penderaan ,mereka akan terus dirujuk ke Pusat perhentian Setempat (One Stop Crisis Center) di hospital.

Melalui polis, ini amat digalakkan terutamanya bagi kes penderaan seksual supaya membolehkan pegawai perubatan untuk melakukan pemeriksaan fizikal dengan segera terutamanya bagi kes baru yang disyaki penderaan seksual

Siapa yang perlu melaporkan tentang penderaan kanak-kanak?

“Mandated reporters”

Di bawah undang-undang Malaysia, Akta Kanak-kanak 2001, doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak adalah tiga kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk melaporkan dengan segera jika mengesyaki kanak-kanak telah didera secara fizikal,atau emosi akibat dari penderaan yang teruk, pengabaian, terbiar atau terdedah, atau didera secara seksual kepada pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Sekiranya doktor, ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak tidak mematuhi dengan melaporkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali (Akta Kanak-kanak 2001, Section 27-29).

Kaunselor, guru dan orang awam juga perlu melaporkan kes penderaan sekiranya kanak-kanak tersebut memberitahu mereka walaupun mereka tidak diwajibkan untuk melaporkannya. Mereka boleh melapor kepada polis juga

Kenapa sesetengah orang teragak-agak untuk melaporkan penderaan kanak-kanak?

  • Anda mungkin tidak sedar kepentingannya di mana anda dapat menghalang dari penderaan seterusnya dan anda dapat mengurangkan kesan buruk jangka panjang akibat penderaan
  • Anda mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana untuk membuat laporan
  • Anda tidak mahu pergi ke mahkamah dan menjadi saksi kes kerana ia akan mengambil masa
  • Anda merasakan bahawa ini bukan masalah anda
  • Anda tidak pasti adakah ianya penderaan
  • Anda bimbang akan di saman oleh keluarga yang di lapor melakukan penderaan
  • Anda bimbang saudara atau orang yang disayangi akan masuk penjara

Kenapa penting untuk melaporkan semua kes penderaan?

  • Kanak-kanak terdedah dan tidak boleh mendapatkan pertolongan terutamanya jika mereka datang dari keluarga atau rumah yang terdapat penderaan.
  • Sekiranya terdapat risiko untuk mendapat kecederaan atau sesuatu yang mengancam kehidupan, keselamatan kanak-kanak tersebut perlulah diutamakan.
  • Walaupun mungkin tidak terdapat tanda fizikal, kanak-kanak boleh merasa rendah diri atau menjadi ganas atau kasar ataupun hyperaktif akibat dari pengabaian dan penderaan dan mereka perlu diberi pertolongan.
  • Sekiranya pengabaian dan penderaan berterusan sekian lama, kesan buruk akibatnya akan lebih teruk. Kanak-kanak perlu dibesarkan dalam suasana penyayang untuk memastikan perkembangan mental, fizikal, emosi dan psikososial yang optima.
  • Penderaan kanak-kanak dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada masalah sosial, masalah kesihatan mental dan fizikal di masa akan datang.
  • Melaporkan kes tidak semestinya bermakna kanak-kanak akan dipisahkan dari keluarga mereka. Ia hanya untuk memastikan keluarga tersebut mendapat pertolongan sekiranya diperlukan dan kanak-kanak mendapat perlindungan. Sekiranya kanak-kanak telah didera dengan teruk dan keselamatannya diragukan sekiranya kembali kepada keluarga, oleh itu sekiranya boleh, ahli keluarga lain yang sesuai akan diberi hak penjagaan oleh mahkamah.
  • Undang-undang menetapkan, orang melaporkan (“mandated reporter”) penderaan kanak-kanak dengan ikhlas tidak boleh didakwa kerana melaporkan kes sekiranya beliau melaporkan kes tanpa niat selain daripada menolong kanak-kanak.

Apa akan berlaku selepas laporan dibuat?

  • Pegawai pelindung atau polis(kalau laporan polis dibuat) akan memulakan siasatan dengan melawat kanak-kanak dan keluarga. Mereka akan membawa kanak-kanak ke hospital untuk penilaian lanjut.
  • Tujuan awal adalah untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan keselamatan mereka
  • Di hospital, kanak-kanak dan keluarga akan di nilai dan kanak-kanak tersebut diperiksa sekiranya terdapat kecederaan atau sebarang masalah kesihatan mental.
  • Sekiranya terdapat penderaan berlaku, perbincangan di antara doktor, pegawai kebajikan, polis dan ahli keluarga yang bukan pendera dilakukan untuk perancangan seterusnya bagi kanak-kanak tersebut.
  • Sebarang tindakan dan keputusan mestilah yang terbaik untuk kanak-kanak dan bukan semestinya untuk keluarga atau ibu bapa.
  • Tujuan umum adalah untuk mengembalikan kanak-kanak kepada keluarga dengan penyeliaan berterusan serta terapi keluarga.
  • Tekanan sosial seperti ketiadaan rumah yang sempurna, tiada pekerjaan, tempat penjagaan kanak-kanak kurang sesuai akan ditangani oleh pegawai kebajikan.
  • Untuk kes polis, pegawai polis akan membawa pendera ke muka pengadilan bagi mendakwa dan tindakan sewajarnya dilakukan.

Rawatan perubatan

  • Merawat kecederaan fizikal seperti patah tulang.
  • Profil aksi dan rawatan penyakit jangkitan kelamin atau HIV.
  • Kaunseling atau terapi keluarga.
  • Terapi kesihatan mental bagi kanak-kanak yang didera.
  • Terapi kesihatan mental untuk ibu bapa dan remaja yang bermasalah.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penterjemah : Dr. Siti Aishah Saidin
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Penderaan Fizikal

Berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang bertanggungjawab

Buli

Buli adalah sesuatu tindakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang. Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya (peer abuse)

Shaken Baby Syndrome

Pendarahan subdural berserta dengan keretakan tulang dada (ribs) dan pendarahan dalam mata dipanggil ‘Shaken Baby Syndrome’.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,045

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia