Home > Warga Emas > Keadaan Biasa > Maut dan Kematian Warga Emas

Maut dan Kematian Warga Emas

Pengenalan

Kematian adalah satu peringatan kepada kita bahawa kehidupan setiap manusia akan ada akhirannya. Kenyataannya, kematian tidak dapat dielakkan oleh setiap daripada kita, biar seberapa kaya atau berkuasanya seseorang itu. Walaupun kita menyedari hakikat ini, namun isu ini tidak selalu dibincangkan. Oleh itu, ramai yang berasa kurang selesa apabila berhadapan dengan kematian sama ada yang bersangkutan dengan diri sendiri atau mereka yang disayangi.

Zaman sekarang, kita tidak lagi berpeluang meninggalkan dunia ini di rumah dikelilingi oleh sanak-saudara dan sahabat-handai, tetapi di tempat yang terasing, seperti di hospital. Walaupun kematian adalah sebahagian daripada kehidupan kita, namun kebanyakan budaya melihatnya sebagai suatu perkara yang patut dihindarkan dan menakutkan. Jika tidak ditangani dengan teliti dan secara langsung ia akan menjadi penyebab kepada ketegangan kepada semua pihak yang terlibat.

Menurut Plato, ahli falsafah sejati biasanya menghayati kematian dan Nichiren menasihatkan “pelajari kematian dahulu, barulah pelajari perkara lain”. Hanya apabila kita memahami kematian, barulah kita dapat fokuskan pemikiran kita untuk mencari jawapan kepada persoalan kenapa dan bagaimana proses kematian itu berlaku kepada manusia.

Kerumitan Proses Kematian Di Kalangan Warga Emas

Dewasa ini setiap warga emas mungkin mempunyai jangkauan ajal dan kematian yang berbeza. Kemajuan sains perubatan telah membantu memanjangkan hayat manusia dan melewatkan kematian. Manipulasi hayat secara moden telah menyebabkan batas kehidupan dan kematian menjadi kabur. Ini menyebabkan jangkaan masa kematian warga emas sukar dan rumit.

Kumpulan pertama adalah warga emas yang mengalami kegagalan pelbagai sistem organ badan yang kronik. Mereka berada dalam keadaan sembuh dan sihat bersilih-ganti dan menyebabkan ketidakupayaan jangka panjang. Oleh itu, adalah amat susah untuk menjangka saat kematian seseorang warga emas dalam kumpulan ini. Contohnya kegagalan paru-paru yang berulang akibat “penyakit halangan salur pernafasan kronik” – chronic obstructive airway disease (COAD), kegagalan jantung berulang, kegagalan buah pinggang, dan kegagalan hati yang kronik.

Kumpulan warga emas lain pula mempunyai kekurangan keupayaan menjaga diri dan mempunyai tahap kesihatan yang merosot secara perlahan-lahan ke arah kematian. Ini selalunya disebabkan oleh penyakit penyusutan otak (peringkat akhir nyanyuk(dementia)), penyakit Parkinson dan penyakit ketidakupayaan akibat strok. Di dalam kedua-dua kategori penyakit ini, jangkaan ke arah kematian adalah sangat berlainan. Ini amat berbeza dengan warga emas yang berhadapan dengan kematian akibat kanser di mana jangka masa kematian dapat diramal dengan lebih mudah (6 bulan ke 1 tahun). Oleh itu, adalah sukar untuk melakukan perancangan ke atas mereka yang berhadapan dengan kematian secara perlahan-lahan.

Kepelbagaian budaya, agama dan bangsa di Malaysia menambahkan kerumitan dalam menangani isu kematian dan prosesnya terutamanya proses kematian itu sendiri.

Komplikasi

Ramai yang memilih untuk tidak berfikir mengenai perkara berkaitan kematian daripada berbincang mengenainya secara langsung. Kematian dilihat sebagai musuh yang perlu ditewaskan. Ada kepercayaan palsu bahawa kematian boleh diatasi menerusi teknologi dan peralatan perubatan moden.Tetapi yang nyata, kematian adalah pengakhiran muktamad kepada setiap yang bernyawa di dunia ini dan tiada manusia yang terkecuali. Oleh itu kita sepatutnya berfikiran terbuka dan menerima kematian dengan kelapangan jiwa. Daripada mengelak, kita sepatutnya fokus untuk memastikan bahawa saat-saat terakhir setiap manusia di muka bumi ini dapat dikecapi dalam keadaan aman, selesa dan segembira yang boleh.

Buat masa ini Malaysia mengalami kekurangan Pakar Geriatrik Paliatif yang boleh meningkatkan kualiti hidup warga emas dan membantu mereka mengurangkan penderitaan semasa menghadapi saat kematian. Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila mendengar ada anak-anak yang menggesa pihak doktor menyambung nyawa ibu bapa mereka yang berumur 80-90-an walau dengan apa cara sekalipun, melalui alat pernafasan walaupun ibu bapa mereka telah pun terlantar sekian lama di katil, mempunyai pelbagai penyakit yang kronik atau mempunyai tahap kesihatan yang menyusut. Mereka tidak menyedari bahawa tindakan ini hanya akan memanjangkan penderitaan warga emas tersebut, menyebabkan kesakitan dan tidak akan dapat menyelamatkan nyawa warga emas yang telah sampai ke saat akhir kehidupan mereka. Kesukaran yang mengecewakan ini telah menjadi asas untuk meningkatkan tahap penjagaan akhir hayat warga emas kepada yang lebih baik.

Kepentingan Jangkaan Atau Perancangan Awal Dan Pilihan Pengakhiran Kehidupan

  • Perkara asas ialah bagaimana kita memberi yang terbaik kepada seseorang yang sedang berhadapan dengan kematian dan berdepan dengan pilihan yang kritikal. Memberi penjagaan yang betul di akhir kehidupan merupakan nadi masyarakat yang bertamadun dan ia harus menjadi satu keutamaan.

  • Penjagaan yang paling baik kepada warga emas yang sedang bergelut dengan kematian memerlukan pengendalian holistik dan realistik, sama ada kepada mereka sendiri atau keluarga mereka. Penjagaan sempurna di saat-saat akhir kehidupan adalah mustahak untuk memberikan kualiti hidup yang lebih selesa.

  • Pengendalian standard termasuk penglibatan pelbagai disiplin perubatan yang menyeluruh untuk mengurangkan simptom, memberi sokongan psikologi dan kerohanian bertepatan dengan keperluan budaya serta kehendak pesakit dan keluarganya. Dalam masa yang sama penilaian warga emas yang sakit haruslah dibuat secara berkala dan konsisten.

  • Perbincangan dan perancangan awal dengan pesakit yang sedang berhadapan dengan maut dan keluarganya mengenai pilihan intervensi perubatan dan pilihan pengakhiran hayat adalah sesuatu yang mustahak dilakukan semasa pesakit masih pada tahap kesihatan yang agak baik. Jika tidak, mereka mungkin berada dalam keadaan yang terlalu sakit untuk memberi sebarang pandangan dan pilihan. Perancangan masa hadapan melibatkan perbincangan keadaan warga emas yang masih pada tahap kesihatan yang memuaskan dan bagaimana penyakit yang dialami akan menjadi tenat. Contohnya:

    • Apakah isu dan tanda psikososial yang akan timbul?

    • Apakah keadaan yang berlaku pada saat-sat akhir kematian?

    • Apakah tempat yang sesuai di saat akhir kematian, bagaimana penjagaannya dan pengurusan selepas itu?

    • Apa yang perlu dilakukan pada saat-saat genting?

    • Siapa yang akan menjadi penjaga dan menangani sebarang keperluan contohnya arahan dan masalah berkaitan perundangan?

  • Banyak negara telah mempunyai kaedah “Arahan masa hadapan” (Advanced Directives) atau “Wasiat hidup” (Living Wills). Ini adalah satu dokumen yang menyatakan kehendak pesakit dalam perkara berkaitan rawatan untuk memanjangkan hayat seperti mesin pernafasan, makanan melalui tiub, pengendalian kesakitan dan lain-lain pengurusan saat akhir kematian. Ramai pesakit mahu menghadapi kematian di dalam keadaan yang selesa di rumah dan dikelilingi oleh yang tersayang. Ada sesetengah daripada mereka yang inginkan keluarga dan sahabat handai melakukan upacara penghormatan di hadapan mereka semasa masih hidup lagi yakni sebelum mereka menemui ajal.

Cara Pengendalian dan Adaptasi Sebagai Penjaga

Kematian yang baik menurut definisi budaya barat memerlukan perkara yang berikut :

  • Kematian yang tiada kesakitan

  • Penerimaan dan pengakuan bahawa saat kematian sudah tiba

  • Untuk mati di rumah

  • Untuk berada di samping keluarga dan sahabat karib

  • Untuk dapat menyelesaikan sebarang konflik dan sebarang masalah

  • Kematian sebagai perkembangan peribadi

  • Untuk mati mengikut pilihan sendiri

  • Untuk memperoleh kematian yang mencerminkan keperibadian

Sebagai tambahan, penjagaan ke atas seorang warga emas yang sedang berhadapan dengan kematian membenarkan seseorang itu memperoleh satu pengalaman hidup mengenai kerohanian manusia. Semasa menjaga seseorang yang dikasihi menghadapi ajalnya, sesetengah keluarga menjadi rapat dan bersatu. Tetapi terdapat juga keluarga yang bergaduh, menjadi porak-peranda, kecewa dan marah semasa mengurus orang yang tersayang ini.

Walau apapun, kebanyakan penjaga biasanya berhadapan dengan satu perasaan kekurangan pengetahuan, kekurangan keupayaan mengendalikan keadaan, kekurangan psikososial dan kewangan, ketakutan, halangan, dan selalunya ditinggalkan keseorangan berhadapan dengan warga emas yang sedang menghadapi maut. Ini memerlukan penyesuaian, pengubahan pekerjaan, gaya hidup dan tanggungjawab. Walaupun terdapat banyak kesulitan, kita perlu terus memberi penjagaan kepada mereka dan ini merupakan satu perkembangan peribadi kepada penjaga dan kita akan dapat menghargainya sebagai sesuatu yang ada kaitan dengan kehidupan.

Banyak perselisihan, pertengkaran, pergaduhan dan perpecahan keluarga berlaku akibat kurangnya komunikasi. Ia juga berlaku apabila seseorang penjaga itu ditinggalkan berseorangan mengendalikan keadaan yang rumit ini. Menceritakan keadaan, meluahkan perasaan kepada keluarga dan kawan rapat, menjaga keperluan diri, memberi masa untuk diri, dan sentiasa memberi penjagaan dengan ceria adalah sesuatu yang sangat penting. Jika tidak, emosi akan memberi kesan negatif ke atas mereka yang sedang berhadapan dengan maut.

Contoh di mana penjaga tidak dapat mengendalikan keadaan dan tertekan adalah apabila mereka :

  • Tidak tahu berapa lama mereka akan memberi penjagaan di rumah

  • Berasa bahawa tugas menjaga dipaksa ke atas mereka, bukan atas kerelaan diri sendiri

  • Tidak ada latihan, maklumat atau kemahiran yang diperlukan untuk menjaga

  • Ada tanggungjawab lain selain menjadi penjaga. Antaranya menjadi menjadi ibu, isteri, menantu dan lain-lain

  • Kehilangan hubungan dan kehidupan sosial

  • Ada perasaan bersalah

  • Ada masalah atau kesempitan wang

  • Perlu melakukan tugas yang mereka rasakan menyusahkan atau memalukan

Rujukan

  1. Daisaku Ikeda, Unlocking the Mysteries of Birth and Death….and Everything in Between, pg77-104, 1988, Middleway Press, US

  2. S T A Seah, J A Low, Y H Chan, Symptoms and care of dying elderly patients in an acute hospital, Singapore Med J 2005; 46(5) : 210

  3. Clark D. Between hope and acceptance: the medicalisation of dying. BMJ. 2002; 324(7342): 905-7.

  4. The Natural Death Handbook: Chapter 5 Practical Care for the Dying. http://www.globalideasbank.org.

Semakan Akhir : 11 Mac 2013
Penulis : Dr. Yau Weng Keong

(Visited 136 times, 1 visits today)