A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mata Merah yang Tidak Menyakitkan

Mata yang merah biasanya akan menyebabkan kita bimbang kerana mungkin terdapat sesuatu yang tidak kena dengan mata kita. Permukaan mata kita kelihatan merah kerana saluran darah di dalam mata membengkak.

Mata yang merah biasanya akan menyebabkan kita bimbang kerana mungkin terdapat sesuatu yang tidak kena dengan mata kita. Permukaan mata kita kelihatan merah kerana saluran darah di dalam mata membengkak.

Terdapat banyak keadaan yang boleh menyebabkan mata menjadi merah.

Antara puncanya adalah :

  • Kecemasan.
  • Masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan, atau
  • Keadaan yang tidak berbahaya.

Darjah kemerahan mata tidak menunjukkan tahap keseriusan masalah. Keadaan mata adalah serius jika :

  • Penglihatan menjadi kabur, dan/atau
  • Berasa sakit
  • Berasa sakit apabila terdedah kepada cahaya (fotofobia)

Punca mata merah – tidak menyakitkan

Terdapat banyak sebab mata menjadi merah tetapi tidak menyakitkan. Antara puncanya adalah :

  • Pendarahan subkonjunktival
  • Konjunktivitis (Radang pada konjunktiva)
  • Alahan
  • Episcleritis

Pendarahan subkonjunktival

Pendarahan subkonjuktival adalah keadaan apabila terdapat pendarahan di bawah konjunktiva. Konjunktiva adalah satu lapisan lutsinar nipis yang meliputi bahagian mata putih dan bahagian dalam kelopak mata. Terdapat saraf dan banyak saluran darah kecil di konjunktiva. Saluran darah ini mudah rosak.

Punca

Kebanyakan pendarahan subkonjuktival berlaku secara spontan tanpa sebab yang jelas. Anda mungkin bangun pada waktu pagi dan mendapati tompokan merah pada mata putih anda. Kadang-kala anda mungkin tidak menyedarinya tetapi orang lain akan perasan dan bertanya kenapa mata anda menjadi merah.

Sebab lain yang boleh menyebabkan pendarahan subkonjuktival adalah :

  • Bersin
  • Batuk
  • Meneran atau muntah
  • Menggosok mata
  • Cedera

Rawatan

Pendarahan subkonjunktival biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia akan sembuh dalam tempoh satu minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mendapati tompok merah di mata anda, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan mengenal pasti punca.

Pencegahan

Tiada langkah pencegahan yang diketahui.

Konjunktivitis

Konjunktivitis adalah keradangan pada konjunktiva. Konjunktiva adalah lapisan paling luar mata dan permukaan dalam kelopak mata.

Punca

Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Punca lain termasuk :

  • jangkitan bakteria
  • alahan
  • bahan kimia atau lain-lain perengsa
  • kulat
  • beberapa penyakit seperti artritis reumatoid, Lupus eritematosus sistemik (SLE), ulser kolitis, penyakit Crohn, penyakit kawasaki dan lain-lain.

Jangkitan bakteria dan virus mudah berjangkit. Ia biasanya dipindahkan dari individu ke individu tetapi ia juga boleh merebak melalui perkongsian objek yang tercemar contohnya tuala atau sapu tangan.

Tanda dan gejala

  • Mata kelihatan merah. Ia biasanya bermula dengan satu mata dan kemudiannya merebak ke mata sebelah.
  • Mata akan berair dan setelah bangun pagi anda akan mendapati keruping (tahi mata) pada mata anda.
  • Anda akan berasa tidak selesa dan mengalami kerengsaan pada mata tetapi tidak menyakitkan.
  • Mengalami fotofobia iaitu ketidakselesaan apabila melihat cahaya atau apabila berada di kawasan yang terang.
  • Penglihatan biasanya tidak terjejas tetapi mungkin terdapat komplikasi.

Rawatan

Rawatan konjunktivitis bergantung kepada punca masalah. Sekiranya terdapat jangkitan bakteria, ubat titis antibiotik akan diberikan. Konjunktivitis yang disebabkan virus sembuh dengan sendirinya. Kebanyakan doktor memberi ubat titis antibiotik yang ringan untuk mencegah jangkitan bakteria. Jika mengalami alahan, rawatan antialahan akan diberikan. Langkah-langkah akan diambil untuk mengenal pasti alahan dan menjauhkannya daripada individu yang terjejas.

Untuk meredakan kerengsaan mata akibat konjunktivitis, tuaman suam boleh digunakan pada mata yang pejam.

Prognosis (Ramalan kesembuhan penyakit)

Boleh disembuhkan dengan rawatan.

Pencegahan

Elakkan jangkitan kepada isi rumah atau sekolah.

Elakkan menggosok mata anda dengan tangan anda. Gunakan sapu tangan yang bersih atau kertas tisu.

Amalkan kebersihan yang baik :

  • Basuh tangan anda dengan kerap
  • Elakkan menyentuh mata dengan tangan
  • Jangan berkongsi tuala atau sapu tangan
  • Kendali dan bersihkan kanta lekap dengan betul
  • Jangan berkongsi alat kosmetik mata
  • Kerap ganti alat kosmetik mata
  • Kerap tukar sarung bantal

Bila perlu mendapatkan bantuan?

Jika anda mendapati mata anda merah, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Alahan mata

Alahan adalah satu lagi punca biasa bagi mata merah yang menyakitkan. Anda mungkin mempunyai alahan mata jika mata anda merah, gatal dan atau berair. Keadaan ini boleh menjejaskan mata sahaja tetapi sering dikaitkan gejala hidung seperti bersin, hidung berair atau hidung tersumbat.

Penyebab alahan mata

Ia disebabkan oleh alahan yang berada di udara yang masuk ke dalam mata dan hidung dan menyebabkan reaksi alahan.

Contoh alahan bawaan udara termasuk :

  • Debu
  • Debunga
  • Kulat
  • Bulu binatang
  • Alahan lain termasuk kosmetik atau ubat-ubatan tertentu seperti ubat titis antibiotik

Tanda dan gejala alahan mata :

  • Mata merah
  • Mata gatal
  • Bengkak mata
  • Mata berair atau mempunyai tahi

Rawatan

Keadaan mata yang mengalami alahan adalah merimaskan tetapi tidak berbahaya.

Elakkan benda yang boleh menyebabkan alahan pada mata.

Bilas mata dengan air suam (air paip) atau gunakan bahan pembersih mata. Jika tanda atau gejala tidak reda atau gejala semakin teruk, berasa sakit atau penglihatan menjadi kabur selepas membersihkan mata, sila dapatkan rawatan doktor. Menangguhkan rawatan boleh menyebabkan komplikasi.

Jangan gosok mata anda. Menggosok mata biasanya akan memburukkan tindak balas alahan.

Doktor boleh memberi ubat topikal antihistamin. Steroid topikal digunakan dengan berhati-hati dan di bawah penyeliaan pakar mata. Penggunaan steroid topikal boleh membawa kepada komplikasi yang serius.

Pencegahan

  • Cuba jauhkan diri daripada alahan.
  • Pastikan rumah anda bersih dan bebas daripada bulu haiwan dan habuk.
  • Jangan biarkan haiwan kesayangan anda mendekati perabot anda.
  • Jangan menggosok mata.

Episkleritis

Episklera adalah satu lapisan nipis yang meliputi bahagian mata putih. Episkleritis adalah satu keadaan di mana terdapat kerengsaan atau keradangan kepada episklera. Keadaan ini biasa berlaku.

Punca

Puncanya tidak diketahui. Ia boleh berlaku dengan penyakit-penyakit tertentu seperti :

  • Rheumatoid arthritis
  • Herpes zoster
  • Sifilis
  • Tuberulosis

Tanda dan gejala

Ia adalah penyakit ringan. Antara gejalanya adalah :

  • Mata kelihatan merah jambu atau kemerahan
  • Ketidakselesaan pada mata tahap ringan atau sederhana (mungkin menyakitkan)
  • Fotofobia (cahaya boleh memburukkan gejala)
  • Mata berair

Rawatan

Sembuh dengan sendirinya dan gejala hilang selepas 1 hingga 2 minggu.

Ubat titis mata kortikosteroid boleh melegakan gejala lebih cepat. Ubat ini perlu digunakan dengan pengawasan doktor. Ia mesti digunakan sebagai rawatan jangka panjang.

Bila perlu mendapatkan bantuan?

Jika anda mendapati mata anda merah, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Nazrila Hairizan bt. Nasir
Terjemah : Pn. Noorhayati Kassim
Akreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Artikel Berkaitan

Kanta Sentuh

Jika anda kurang selesa dan kaca mata anda membatasi aktiviti anda, mengapa tidak mencuba kanta sentuh

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,094,303

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia