A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Mata Malas (Ambliopia)

Mata Malas (Ambliopia)

Apakah itu Ambliopia atau Mata Malas?

Ambliopia atau dikenali sebagai ‘mata malas’ merujuk kepada penglihatan yang kabur dan tidak dapat dibetulkan dengan cermin mata, kanta lekap atau pembedahan mata. Mata kelihatan normal dan tiada sebarang penyakit mata dikesan.

Masalah ini selalunya berlaku pada satu mata dan jarang sekali pada kedua-dua belah mata

Pandangan kabur

Pandangan normal

Gambar 1: Ambliopia terjadi apabila penglihatan satu mata kabur dan satu mata lagi normal. Otak secara semulajadi akan mengabaikan mata yang kabur dan melihat hanya dengan mata yang normal

Adakah mata ambliopia buta?

Tidak. Mata yang mempunyai masalah ambliopia tidak buta sepenuhnya, tetapi penglihatan pada mata ini sangat kabur dan boleh dikategorikan sebagai samada berpenglihatan terhad atau buta. Mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) : Buta adalah penglihatan yang kurang dari 3/60 dan Penglihatan Terhad adalah penglihatan yang kurang dari 6/18 hingga 3/60 di Carta Snellen dengan cermin mata atau kanta lekap pada mata yang terbaik.

Bagaimana ambliopia berlaku?

Ambliopia berlaku apabila terdapat halangan semasa informasi penglihatan dihantar dari mata ke otak semasa tempoh kritikal di peringkat awal usia iaitu dari peringkat bayi hingga 6 tahun.  Halangan ini akan mengurangkan rangsangan ke bahagian otak yang memproses fungsi penglihatan. Ini menyebabkan otak tidak dapat menterjemahkan informasi yang diterima, menjadikan imej kelihatan kabur.

Otak akan mengabaikan mata yang penglihatan kabur dan memilih untuk melihat dengan mata yang mempunyai penglihatan lebih baik. Akibatnya, mata yang kabur tidak digunakan dan akan menjadi ambliopia.

Gambar 2: Gambar menunjukkan mata dan otak

Apakah yang menyebabkan Ambliopia?

Ambliopia selalunya terjadi akibat daripada kegagalan kedua-dua mata untuk melihat pada masa yang sama secara serentak.

Tiga penyebab utama ambliopia:

  1. Juling sebelah mata yang kekal (lihat juling)

Sekiranya berlaku juling, satu mata akan memandang ke depan dan mata yang juling memandang samada ke arah dalam, ke arah luar, ke atas atau kebawah. Setiap satu mata akan melihat objek yang berbeza menyebabkan penglihatan  menjadi dua.

Pesakit akan mengalami pening, sakit kepala atau loya seterusnya menyebabkan otak akan memilih untuk mengabaikan mata yang juling bagi mengelakkan kekeliruan atau penglihatan menjadi dua. Akibatnya mata yang diabaikan ini akan menjadi menjadi kabur dan seterusnya menjadi ambliopia.

  1. Rabun – Anisometropia (lihat rabun jauh, rabun dekat, astigmatisma)

Anisometropia adalah keadaan dimana terdapat perbezaan rabun yang tinggi diantara kedua-dua mata. Rabun yang tinggi ini boleh terdiri daripada rabun jauh (myopia), rabun dekat (hypermetropia) atau astigmatisma (astigmatism).

Penglihatan pada mata yang mempunyai rabun yang tinggi akan lebih kabur. Secara semulajadi, otak akan perlahan-lahan mengabaikan mata tersebut dan hanya melihat dengan mata yang lebih baik. Mata yang tidak digunakan akan menjadi ambliopia jika tidak di rawat.

  1. Penglihatan terhalang secara fizikal.

Ketidaknormalan pada tisu atau struktur mata seperti kelopak mata yang kuyu (ptosis), parut pada kornea (samada dari kecederaan atau kecacatan masa lahir) dan katarak (kanta mata yang berselaput) akan menghalang penglihatan.

Semua ini akan menghalang maklumat penglihatan dihantar ke otak, meyebabkan penglihatn menjadi kabur. Otak akan mengabaikan mata yang kabur dan melihat dengan hanya menggunakan mata yang normal. Mata yang tidak digunakan akan perlahan-lahan menjadi ambliopia jika tidak dirawat.

Ptosis pada mata kiri (kelopak mata yang kuyu)

katarak (kanta mata yang berselaput)

Gambar 3: Ketidaknormalan pada kelopak mata (ptosis) dan katarak

Siapakah yang akan mengalami Ambliopia

Kanak-kanak yang menghadapi masalah seperti yang diterangkan di nombor 4 iaitu juling, rabun dan penglihatan yang terhalang secara fizikal.

Apakah tanda-tanda yang dialami oleh pesakit yang mengalami Ambliopia?

Kanak-kanak yang mengalami masalah ambliopia jarang mengadu kerana mereka masih dapat melihat dengan mata yang baik.
Begitu juga sekiranya jika masalah ambliopia berlaku pada kedua-dua mata. Kanak-kanak yang menghidapinya tidak mengadu kerana mereka beranggapan keadaan ini adalah normal seperti orang lain.

Siapakah yang boleh mengesan dan merawat masalah ambliopia

Pegawai Optometri dan Oftalmologis (Pakar Mata) di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau praktis swasta boleh mengesan masalah ambliopia melalui pemeriksaan mata yang kompreshensif termasuk pemeriksaan tahap penglihatan dan pemeriksaan kuasa cermin mata.

Dimanakah rawatan ini boleh didapati

Perkhidmatan rawatan terapi ambliopia ini disediakan oleh Pegawai Optometri di Klinik Mata Hospital KKM dan praktis swasta.

Bilakah masa yang sesuai untuk pemeriksaan dan pengesanan Ambliopia.

Untuk mengelakkan kelewatan pengesanan dan rawatan, kanak-kanak (seawal peringkat usia bayi hingga belasan tahun) perlu menjalani pemeriksaan mata termasuk pemeriksan tahap  penglihatan dan kuasa cermin mata berkala sekali setiap tahun.

Masalah amblyopia ini sebaiknya dikesan sebelum berumur 7 tahun. Pengesanan awal akan memberikan rawatan yang berkesan dan peluang penyembuhan yang lebih baik.

Apakah rawatan untuk ambliopia?

Rawatan merangkumi salah satu atau gabungan beberapa kaedah rawatan seperti berikut :

  1. Merawat punca-punca  ambliopia terlebih dahulu samada :
  • Merawat mata yang juling terlebih dahulu.
  • Merawat rabun mata dengan cermin mata atau kanta lekap.
  • Merawat ketidaknormalan pada mata seperti pembedahan katarak, pembedahan membetulkan kelopak mata yang kuyu.
  1. Terapi Visual

Terapi penglihatan dilakukan dengan cara menutup mata yang baik dan  memaksa menggunakan mata yang ambliopia  melihat  dengan melakukan  latihan pada jarak dekat seperti mewarna, melukis, membaca dan sebagainya.

Pegawai optometri akan mencadangkan tempoh masa mata yang baik perlu ditutup dan jenis latihan mata yang perlu dilakukan bergantung kepada umur pesakit dan tahap keterukan ambliopia. Latihan dekat ini juga boleh menggunakan peralatan lain seperti software seperti Visual Physiological Recovery Apparatus dan Amblyopia Computer Software Program.

Gambar 4 : Menunjukkan mata yang baik ditutup

Gambar 5 : Sebahagian aktiviti latihan dekat semasa terapi ambliopia

Apakah matlamat rawatan ambliopia

Matlamatnya adalah untuk mendapatkan penglihatan yang terbaik untuk setiap mata. Walaupun bukan kesemua kes akan mencapai tahap normal tetapi kebanyakan akan bertambah baik. Peningkatan ini bergantung kepada umur,  tahap keterukan dan pematuhan kepada terapi yang diberikan semasa rawatan

Komplikasi jika rawatan tidak dilakukan

Penglihatan yang kabur dan tidak dirawat akan menjadi kekal selamanya. Rawatan awal sangat penting untuk menentukan tahap kejayaan rawatan. Rawatan paling berkesan bila dilakukan sebelum usia 7 tahun.

Di samping itu, peluang kerjaya juga terhad bagi mereka yang menghidapi ambliopia. Sesetengah pekerjaan memerlukan pekerjanya mempunyai tahap penglihatan  yang  baik pada kedua-dua mata seperti juruterbang, tentera dan bomba.

 

Rujukan

1. Millodot, M., 2004. Dictionary of Optometry and Visual Sciene. Ed. ke-4. Oxford: Reed. Educational and Profesional publishing.
2. American Optometric Association. Optometric clinical practice guideline: care of the patient with ambliopia, American Optometry Association 1994.
3. Pediatric Eye Disease Investigator Group (PEDIG). A randomized Pilot Study of Near Activities Versus Non-near activities during patching therapy for ambliopia. Journal of American Association for Pediatric Ophthalmology & Strabismus 2005;9:129-36.
4. Noorden GK, Campos E. Binocular Vision and Ocular Motility. 6th ed. St. Louis: Mosby, 2002.
5. American Association for Pediatric Ophthalmology and Strabismus Amblyopia. www.aapos.org/terms/conditions/21. Assessed Jun 2013.
6. Gambar 2. www.khilafatworld.com
7. Gambar 3. www.sandipjain.com

 

Tarikh Semakan Akhir : 18 Jun 2014
Penulis : Pn. Nor Aini Hanafi

 

Artikel Berkaitan

Kemahiran Pragmatik

Pragmatik merujuk kepada kemahiran bahasa sosial yang kita gunakan dalam interaksi harian kita dengan orang lain.

Mangsa Dera & Penderaan Kanak-Kanak

Keganasan mengikut tafsiran WHO (World Health Organisation) sebagai dengan sengaja menggunakan kekerasan atau kekasaran, ancaman atau benar-benar terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti sama ada mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,223,226

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia