A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Oftalmologi
  8. /
  9. Mata Letih Dan Sakit...

Mata Letih Dan Sakit Kepala

Pengenalan

Mata letih dan sakit kepala ialah gejala yang biasa kita alami. Keadaan ini mungkin berpunca daripada masalah mata seperti:

  • Kegagalan akomodasi dan konvergens
  • Rabun
  • Penggunaan komputer berlebihan
  • Penyakit saraf optik seperti Glaukoma dan Papiloedema.

Apa Itu Akomodasi Dan Konvergens?

Kuasa kanta kristalin membantu mata hasilkan imej jelas. Contohnya, apabila objek jauh dibawa hampir ke mata, imej jadi tidak terfokus dan kabur.

Kanta kristalin akan berubah bentuk menjadi tebal. Dengan ini, mata dapat memfokus objek dekat. Sebaliknya akan berlaku apabila melihat objek jauh.

Proses penyesuaian kuasa kanta kristalin ini ialah akomodasi.

Rajah 1  

Rajah 2: Proses Akomodasi

Akomodasi Saling Berkait Dengan Konvergens.

Proses konvergens berlaku apabila kedua-dua mata bergerak untuk menumpu. Mata bertumpu untuk kekalkan imej yang jelas.

Sekiranya, mata gagal menumpu, objek akan kelihatan dua (penglihatan berganda).

Rajah 3: Proses Konvergens

Kegagalan Akomodasi Dan Konvergens

Apabila akomodasi dan konvergens gagal berfungsi secara normal,tugas yang memerlukan penglihatan dekat tidak dapat dilaksanakan secara efisien .

Kegagalan berfungsi secara normal berpunca daripada keperluan akomodasi yang tinggi. Sebagai contoh, menaip di komputer atau membaca buku selama 2 jam. Selain itu, kegagalan akomodasi dan konvergens juga boleh berlaku akibat daripada keadaan mata yang cepat letih atau terdapat sebarang tekanan pada mata.

Perlu diingatkan bahawa ubat-ubatan,kecederaan pada kepala dan beberapa jenis penyakit seperti diabetis boleh menggangu proses akomodasi dan konvergens.

Simptom

Masalah akomodasi dan konvergens akan menyebabkan seseorang mengadu:

  • kabur selepas lakukan kerja dekat dengan lama
  • sakit kepala terutama di bahagian dahi
  • mata tidak selesa
  • mata selalu lesu
  • mabuk apabila berada dalam kenderaan bergerak (motion sickness)
  • mudah hilang tumpuan semasa melakukan tugasan jarak dekat.

Jenis Kegagalan Akomodasi Dan Konvergens

Antara jenis kegagalan akomodasi adalah lemah akomodasi, kurang akomodasi dan akomodasi kejang.

Masalah konvergens yang biasa dialami adalah lemah konvergens.

Cara-Cara Mengatasi

Semua pesakit perlu menjalani pemeriksaan untuk menentukan keperluan memakai cermin mata. Pemakaian cermin mata akan dapat mengekalkan imej jelas dan mengurangkan tekanan pada sistem penglihatan.

Gambar 4: Contoh Kaca Mata

1. Masalah Akomodasi

Kanta cembung boleh digunakan bagi mengatasi kegagalan akomodasi. Kanta cembung dapat membantu merangsang dan mengekalkan akomodasi. Rawatan seterusnya yang diperlukan adalah rawatan terapi penglihatan.

Akomodasi kejang berlaku apabila pesakit sukar merehatkan akomodasi. Keadaan ini jika tidak dirawat boleh menjejaskan pandangan jauh.

Untuk mengatasi masalah ini, terapi penglihatan merupakan rawatan terbaik bagi meningkatkan keupayaan akomodasi. Sekiranya terapi gagal, ubat titis atropin dan cermin mata dekat perlu diberi.

2. Masalah Konvergens

Lemah konvergens boleh diatasi dengan terapi penglihatan, penggunaan prisma atau kanta. Terapi yang selalu dipraktik ialah kaedah pencil push up.

Pesakit perlu bawa pensil dengan perlahan menghampiri mata. Pesakit perlu menumpu pada hujung pensil dan cuba mengekalkan imej tunggal selama yang boleh.

   

Masa terapi adalah 15 minit setiap hari. Jarak terdekat untuk kekalkan imej tunggal perlu direkod. Jarak normal konvergens ialah 6 cm dari mata.

Preskripsi prisma juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Prisma merupakan kanta yang boleh mengubah kedudukan imej. Prisma digunakan untuk mengurangkan daya otot mata menumpu.

 

Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Masalah akomodasi dan konvergens akan menurunkan prestasi penglihatan.

Akibatnya, prestasi akademik kanak-kanak sekolah terjejas. Keadaan ini boleh jadi lebih teruk apabila mereka belajar di tahap yang lebih tinggi kerana tulisan pada buku semakin kecil dan mereka perlu lebih banyak membaca.

Mereka juga tidak dapat selesaikan bacaan atau kerja rumah. Perhatian mereka mudah teralih dan kurang tumpuan semasa dalam kelas. Malangnya mereka tidak mengadu jika mata letih atau sakit kepala.

Seorang atlet juga tidak dapat capai tahap terbaik dan mendapati sukar untuk tentukan jarak mengambil atau memukul bola.

Seorang pekerja perisian komputer pula tidak dapat berfungsi di pejabat secara efisien. Beliau ambil lebih masa untuk siapkan tugasan diberi dan sering dianggap tidak kompeten kerana selalu memerlukan masa untuk berehat.

Umumnya, masalah ini sering berlaku pada dua golongan iaitu golongan kanak-kanak sekolah dan mereka yang melakukan kerja dekat dalam tempoh yang lama seperti membaca atau kerap menggunakan komputer. Mereka mudah terdedah dengan sakit kepala dan mata letih.

Oleh itu, pemeriksaan mata awal adalah penting terutama bagi golongan kanak-kanak. Anda tidak perlu bimbang jika mengalami masalah kegagalan akomodasi atau vergens. Dapatkan rawatan daripada pegawai optometri terdekat.

Tujuan rawatan adalah untuk menghilangkan tanda dan gejala bagi membolehkan mata melihat dan berfungsi dengan baik.

Untuk mengelakkan daripada masalah ini;

  • Pastikan anda rehat 20 saat bagi setiap 20 minit apabila melakukan tugasan dekat.
  • Kerap memandang objek jauh dan kawasan hijau
  • Lakukan senaman atau bersukan di luar rumah.

Rujukan

  1. Rajah 1 : http://www.edow.com/cataract/multi-focal-iols-washington-dc/
  2. Rajah 2: http://youtu.be/iq3hkFGAn0w
  3. Rajah 3 : Sumber: http://youtu.be/p_xLO7yxgOk
Semakan akhir : 18 April 2014
Penulis : Pn. Lily Muhanifah Binti Mustafa
Akreditor : Pn. Noor Zahirah Bt. Husain

 

Artikel Berkaitan

Sakit Tekak

Sakit tekak merupakan gejala yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, biasanya diikuti dengan gejala bersin dan batuk.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,508

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia