A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Tingkah Laku Ketika Makan

Kemahiran makan yang bermasalah selalunya dikaitkan dengan masalah komponen perkembangan yang lain seperti masalah motor halus, masalah tingkah laku serta masalah emosi.

Masalah Tingkah Laku Ketika Makan Di Kalangan Kanak-Kanak

Pengenalan

Sejak dalam rahim lagi kanak-kanak telah mula belajar kemahiran makan dengan menghisap jari mereka sendiri. Proses perkembangan ini terus berlaku sehingga mereka boleh menikmati makanan orang dewasa.

Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 25% dari kanak-kanak normal menghadapi masalah kemahiran makan (Chatoor, I, 2009). Selain itu, dianggarkan juga 80% dari kanak-kanak berkecelaruan perkembangan menghadapi masalah ini (Chatoor, I, 2009).

Masalah Makan

Kemahiran makan yang bermasalah selalunya dikaitkan dengan masalah komponen perkembangan yang lain seperti masalah motor halus, masalah tingkah laku serta masalah emosi.

Sebahagian dari gejala yang menunjukkan masalah makan di kalangan kanak-kanak adalah;

  • Tercekik,
  • Pemilihan makanan yang cerewet
  • Muntah
  • Kegagalan menaikkan berat badan.
  • Enggan makan sama sekali.

Keengganan kanak-kanak ini makan dapat dilihat dari pelbagai jenis makanan termasuklah;

  • Enggan makan makanan lecek seperti bubur
  • Enggan makanan lembut seperti kuih talam/puri
  • Enggan makan makanan yang keras seperti biskut

Selain dari enggan makan makanan tertentu, ada juga yang hanya memilih jenis/keadaan makanan yang tertentu seperti;

  • Hanya makan makanan berkuah.
  • Hanya memilih makanan berasa manis
  • Hanya makan nasi tanpa apa-apa lauk pauk.

Walaupun mereka berhadapan dengan semua masalah di atas, kanak-kanak tidak pandai menyatakan apa yang mereka mahu dan apa yang mereka tidak mahu/ tidak lalu makan sepertimana orang dewasa yang lain.

Kecelaruan Tingkah Laku Ketika Makan (Behavioral Feeding Problems)

Behavioral Feeding Problems adalah temasuk semua tingkah laku bermasalah yang berlaku semasa waktu makan. Kanak-kanak ini biasanya menunjukkan gejala berikut;

  • Enggan duduk di meja makan/tempat makan

  • Enggan menyuap sendiri walaupun dia mampu untuk melakukannya.
  • Membaling makanan ketika masa makan
  • Merampas makanan dari orang lain
  • Sengaja menangis, menjerit atau muntah untuk mengelak dari kena makan.
  • Dan lain-lain

Kecelaruan Deria Pemakanan (Sensory Feeding Problems)

Kanak-kanak yang menghadapi sensory feeding problems ini biasanya tidak selesa dan mudah terganggu dengan makanan/minuman melalui;

  • Rupa makanan yang dihidang
  • Rasa
  • Bau
  • Tekstur

Manakala, masalah yang biasanya dihadapi oleh sebahagian besar dari mereka ditunjukkan sebagai, sukar menerima makanan yang mempunyai tekstur berbeza. Contohnya,

  • Mereka menghadapi masalah untuk meninggalkan makanan dalam bentuk cecair (susu) atau puri. Terdapat kanak-kanak berusia lima tahun minum dua botol susu sebelum pergi ke sekolah, enggan bersama dengan kelas semasa makan dan apabila pulang, terus mendapatkan dua botol susu.
  • Mereka enggan sama sekali mencuba makanan yang lebih pejal.
  • Kebanyakan masa, apabila mereka dipaksa makan juga, mereka akan muntah atau gag secara tidak sengaja

Kecelaruan Pemakanan yang Lain

Selain dari kecelaruan pemakanan berasaskan tingkahlaku dan deria, kelewatan perkembangan dan masalah perubatan juga boleh menyebabkan masalah kemahiran pemakanan. Walaupun gejala yang dipamerkan hampir sama, untuk menangani dengan baik, seorang Terapi Pertuturan-Bahasa perlu mengenalpasti punca dan asas sesuatu masalah itu.

Kanak-kanak Berisiko Tinggi Untuk Behavior Feeding Problem

Kanak-kanak yang mempunyai risiko yang tinggi menghadapi masalah kecelaruan kelakuan pemakanan termasuklah;

  • Kanak-kanak Autisma
  • Kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan
  • kanak-kanak yang kurang sokongan / tiada model pemakanan yang baik
  • Lain-lain lagi

Pengendalian Kanak-kanak Behavior Feeding Problem

*Strategi yang dinyatakan di sini boleh berbeza sedikit untuk disesuaikan dengan keperluan individu. Tidak semua strategi di sini sesuai untuk semua kanak-kanak bermasalah kelakuan pemakanan.  

  • Ibu bapa merupakan model yang terbaik untuk mempamerkan sikap pemakanan yang baik.

    Semasa waktu makan, adalah baik semua anggota keluarga duduk bersama di meja makan. Tiada siapa dibenarkan untuk makan di depan televisyen. Apabila ibubapa menggariskan satu peraturan yang sama untuk semua ahli keluarga, kanak-kanak bermasalah pemakanan ini berpeluang untuk memerhatikan dan seterusnya memahami serta mengikuti peraturan tersebut.

  • Pecahkan objektif kepada langkah-langkah yang mudah dicapai

    Kanak-kanak dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila matlamatnya mudah dicapai. Perhalusi langkah yang besar dan pecahkan objektif yang besar menjadi lebih kecil agar mudah dicapai oleh si kecil.

  • Berikan penghargaan kepada setiap langkah yang dicapai

    Apabila kanak-kanak berjaya mencapai setiap satu langkah kecil, berikan pujian dan penghargaan. Berikan penghargaan berupa objek yang beliau sukai dan hargai, ini akan merangsang kanak-kanak agar kerap mengulangi langkah tersebut. Setiap kali kanak-kanak berjaya mencapai satu langkah seterusnya, ibubapa/penjaga mestilah memberikan pujian.

    Sebahagian kanak-kanak memerlukan ulangan untuk setiap langkah kecil ini semasa waktu makan. Kerapkali mereka perlu mengulang berhari-hari atau berminggu-minggu sebelum mereka dapat menyempurnakan langkah kecil tersebut dengan baik. Oleh itu, ibabapa perlulah memberikan mereka masa dan tidak jemu membantu mereka melalui fasa ini.

  • Mulakan dari sifar

    Teknik ini sesuai diaplikasikan ke atas kanak-kanak pra-sekolah dan yang lebih besar. Kanak-kanak akan memulakan setiap harinya tanpa objek/ aktiviti yang digemari. Kanak-kanak perlu menyempurnakan langkah kecil tersebut dahulu sebelum dia mendapat objek/aktiviti kegemarannya.

    Contohnya, kanak-kanak boleh menonton satu rancangan televisyen sekiranya beliau berjaya memakan separuh roti planta semasa sarapan.

  • Kanak-kanak yang mudah mengamuk dan sukar bertoleransi

    Terdapat kanak-kanak yang sukar bertoleransi dengan langkah sangat kecil yang hendak dicapai atau perubahan paling minima yang telah dirancang. Ada ketikanya keadaan menjadi lebih teruk apabila objektif itu telah meningkatkan kekerapan dan keterukan tingkah laku yang tidak diingini. Terdapat sebahagian kecil dari mereka boleh bekerjasama pada peringkat awal tetapi kemudiannya mundur ke belakang atau kemudiannya enggan maju ke hadapan (static).

    Pelan pemakanan untuk kanak-kanak yang mudah mengamuk dan sukar bertoleransi mestilah dirancang dengan teliti dan perlu dipantau agar kanak-kanak serta keluarganya berada dalam keadaan yang selamat. Semua kes seperti ini perlu mendapat perhatian dan panduan dari ahli profesional pelbagai disiplin (interdisciplinary team).

Memilih Teknik Yang Sesuai

Ibubapa mestilah berjumpa dan berbincang dengan ahli professional terlibat untuk menentukan teknik manakah yang sesuai dengan masalah anak mereka. Kanak-kanak bermasalah pemakanan ini seperti ini mestilah dinilai oleh Terapis Pertuturan-Bahasa yang pakar dalam pemakanan kanak-kanak atau ahli interdisciplinary feeding team.

Kebiasaannya Interdisciplinary feeding teamterdiri daripada;

  • Terapis Pertuturan-Bahasa
  • Pegawai Dietetik
  • Terapis Cara Kerja,
  • Pegawai Psikologis
  • Pakar Kanak-kanak.

Kesimpulan

Sebarang permasalahan berkaitan dengan pemakanan perlulah dibincang dengan ahli professional yang terlibat sejak awal lagi agar masalah ini tidak berlarutan. Gejala masalah pemakanan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain terutama apabila usia semakin bertambah.

Rujukan

  1. Chatoor, I. (2009) Diagnosis and Treatment of Feeding Disorders in Infants, Toddlers and Young Children. Washington DC
  2. Behavioral and Sensory Feeding Problems http://nutrition.cedwvu.org/feeding-and-swallowing-clinic/behavioral-and-sensory-feeding-problems.php
  3. Morris, S.E. & Klein, M.D (2000) Pre-Feeding Skills 2nd Edition. United States of America
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Maryam bt. Aizuddin
Akreditor : Nurshahira bt. Razali
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Latihan ke Tandas

Latihan ke tandas adalah proses biasa yang dilalui oleh kanak-kanak. Kesediaan untuk ke tandas tidak berlaku secara automatik selari dengan peningkatan usia kanak-kanak tersebut.

Demam Sawan

Pengenalan 2 -5% kanak-kanak boleh mengalami sawan demam dan ini

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,227,758

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia