A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Rambut Di Kalangan Warga Emas

Pengenalan

  • Apabila umur seseorang meningkat, kebanyakan orang akan mengalami perubahan fungsi pada badan dan organ-organ disebabkan oleh perubahan pada sel-sel dan organ-organ tubuh
  • Perubahan ini boleh menyebabkan seseorang warga emas mengalami perubahan pada wajah dan lain-lain proses penuaan
  • Pada masa yang sama, warna rambut mulai berubah dengan usia; pada umur 50 tahun, 50% daripada warga emas akan mengalami keadaan di mana 50 % daripada rambut mereka akan menjadi uban. Ini adalah disebabkan oleh kehilangan melanosit (sel penghasil pigmen pada rambut)
  • Tahap uban pada rambut sering bergantung pada keturunan. Bagaimanapun, gen yang bertanggungjawab masih tidak dapat dikenalpasti.

Tanda dan gejala masalah rambut pada warga emas

Apabila umur seseorang warga emas meningkat, kualiti dan distribusi rambut boleh berubah dengan ketara dan rambut mungkin menjadi lebih nipis, rapuh dan kehilangan warna asalnya .

  1. Perubahan yang biasa berlaku pada rambut seseorang warga emas termasuklah:
    • Ini adalah salah satu tanda yang ketara untuk proses penuaan
    • Rambut menjadi uban biasanya bermula pada umur awal 30-an. Dengan proses penuaan, kurang melanin dibentuk oleh folikel rambut.
    • Rambut pada kulit kepala biasanya mula bertukar uban di sisi kepala dan seterusnya ke bahagian atas kepala
    • Warna rambut menjadi lebih keputihan dan akhirnya menjadi putih
    • Rambut pada tubuh dan muka juga akan menjadi uban. Ini berlaku lebih lewat berbanding dengan rambut pada kulit kepala.
    • Kelajuan rambut menjadi uban mungkin dipengaruhi oleh faktor genetik
  2. Kehilangan rambut
    • Dengan proses penuaan, hampir semua orang mengalami masalah kehilangan rambut disebabkan oleh pertumbuhan rambut menjadi perlahan
    • Banyak folikel rambut berhenti menghasilkan rambut baru
    • Akhirnya, rambut menjadi nipis, halus dan berwarna keputihan
    • Kehilangan rambut atau botak boleh berlaku pada kedua-dua jantina tetapi dengan corak kehilangan yang berbeza
    • Lelaki mula menunjukkan tanda-tanda botak pada usia 30-an dan ramai yang hampir botak pada usia 60-an. Untuk lelaki, corak kehilangan rambut bermula pada verteks (bahagian atas kepala) dan bahagian depan dan sisi kepala
    • Untuk wanita, mereka boleh kehilangan rambut selepas menopaus dan ini dikenali sebagai corak kebotakan perempuan iaitu rambut menjadi kurang padat dan kulit kepala menjadi lebih ketara
    • Apabila umur meningkat, rambut pada badan dan muka juga mulai hilang
  3. Pertumbuhan rambut yang berlebihan
    • Untuk wanita, pertumbuhan rambut yang berlebihan atau yang tidak diingini menjadi biasa selepas menopause. Rambut pada muka mungkin menjadi kasar, terutamanya pada bahagian dagu dan sekitar bibir
    • Untuk lelaki, rambut mungkin tumbuh lebih panjang dan kasar di bahagian kening, telinga dan hidung

Faktor mempengaruhi masalah rambut pada warga emas

Masalah rambut pada warga emas mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti:

  1.  Masalah perubatan
    • Kekurangan zat besi: Kajian menunjukkan bahawa kekurangan zat besi disebabkan oleh masalah perubatan atau pemakanan yang tidak seimbang mungkin mengakibatkan kehilangan rambut pada warga emas. Oleh itu, dengan mengatasi masalah kekurangan zat besi pada lelaki and wanita, pertumbuhan semula rambut mungkin boleh diperbaiki.
    • Kelenjar tiroid yang kurang berfungsi (Hipotiroidisme): Ini adalah keadaan di mana hormon tiroid tidak mencukupi. Keguguran rambut berlaku dengan cepat dan pertumbuhan rambut adalah perlahan disebabkan oleh kadar metabolisme yang lambat . Walau bagaimanapun, apabila hipotiroidisme dirawat dengan ubat-ubatan, keguguran rambut biasanya bertambah baik.
    • Diabetes: Bagi sesetengah warga tua, diabetes boleh menyebabkan keguguran rambut. Stres disebabkan oleh penyakit ini boleh mengakibatkan rambut berhenti tumbuh atau bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan dan boleh mengakibatkan keguguran rambut. Pengendalian dan kawalan diabetes yang berkesan boleh memperbaiki keadaan rambut.
  2. Pemakanan yang tidak seimbangan
    • Ramai warga emas tidak dapat mengambil diet yang sihat kerana masalah mengunyah atau tabiat pemakanan yang tidak sihat
    • Diet yang kurang sihat boleh menyumbang kepada masalah rambut pada warga emas. Diet yang tidak seimbang dan kekurangan zat tertentu boleh menyebabkan rambut menjadi lemah. Ini boleh menyebabkan rambut mudah putus dan tumbuh semula dengan lebih perlahan
    • Diet yang kaya dengan protein tanpa lemak (seperti ayam dan ikan), sayur-sayuran dan buah-buahan dapat membekalkan nutrien yang mencukupi untuk mengelakkan masalah rambut
  3. Ubat-ubatan
  4. Apabila umur meningkat, warga emas mungkin lebih mudah mendapat penyakit dan beberapa ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat penyakit-penyakit ini mungkin boleh menyebabkan masalah rambut.

    • Ubat-ubatan pencair darah: Ubat yang digunakan untuk merawat pelbagai keadaan jantung contohnya ubat pencair darah (antikoagulan) boleh mengakibatkan  keguguran rambut
    • Ubat gout: Ubat yang digunakan untuk merawat gout seperti Allopurinol boleh menyebabkan keguguran rambut
    • Ubat kemoterapi: Ubat-ubatan ini digunakan untuk merawat kanser. Ia secara khusus menjejaskan penghasilan sel rambut dan memusnahkan sel-sel rambut dengan drastik  dan mengakibatkan keguguran rambut yang cepat
    • Keguguran rambut disebabkan oleh ubat-ubatan biasanya bersifat sementara . Pertumbuhan rambut boleh dipulihkan selepas ubat tersebut diberhentikan. Sila berbincang dengan doktor anda sebelum sebarang keputusan untuk memberhentikan ubat-ubatan ini dibuat.

    Rawatan untuk masalah rambut di kalangan warga emas

    Masalah rambut di kalangan warga emas lelaki dan wanita mungkin berlaku disebabkan oleh gabungan pelbagai masalah. Selain itu, masalah rambut mungkin adalah merupakan tanda-tanda masalah kesihatan yang lebih serius. Oleh itu, warga emas sepatutnya mendapatkan nasihat doktor jika mereka mengalami masalah rambut yang ketara dan secara tiba-tiba.

    Fakta umum tentang rawatan masalah rambut pada warga emas:

    • Produk yang menjanjikan rawatan untuk memulihkan kehilangan rambut yang semula jadi termasuklah pelbagai jenis tonik, krim dan makanan tambahan yang mahal mempunyai sedikit atau tiada faedah langsung
    • Rawatan untuk masalah rambut bergantung kepada punca asas. Jika terdapat keadaan perubatan yang menyebabkan masalah rambut (misalnya kekurangan vitamin, masalah tiroid), keadaan perubatan tersebut perlu dirawati dan dibetulkan.

    Langkah-langkah umum untuk mencegah masalah rambut di kalangan warga emas

    1. Makanan yang seimbang
      • Protein merupakan komponen penting untuk mengukuhkan dan menggalakkan pertumbuhan rambut . Adalah disyorkan untuk mengambil 2 hingga 3 hidangan daging atau gabungan 4 hingga 5 hidangan susu dan kekacang setiap hari. Masukkanlah kekacang dan biji-bijian, telur dan ikan ke dalam diet warga emas
      • Makanlah makanan daripada pelbagai jenis kumpulan, yang merangkumi 6 hingga 10 hidangan pelbagai sayur-sayuran dan 2 hingga 4 hidangan buah-buahan setiap hari
      • Sesetengah nutrisi boleh membantu pertumbuhan rambut. Contohnya pengambilan zat besi hanya disyorkan jika warga emas telah diuji dan disahkan untuk menghidap penyakit anemia kekurangan zat besi
    2. Cara pengendalian rambut yang wajar
      • Pengendalian rambut haruslah secara lembut dan tidak keterlaluan semasa menyikat dan membasuh rambut. Elakkan perkara-perkara dan prosedur yang boleh merosakkan rambut seperti getah pengikat, perms , meluruskan rambut, pewarna, dan keriting rambut
      • Rambut yang panjang menjadikan rambut kelihatan lebih nipis. Oleh itu, galakkan warga emas berambut pendek.
      • Biasanya rambut menjadi nipis di bahagian atas kepala. Oleh itu, cuba buat pemisahan rambut di sisi. Ini boleh mengurangkan perhatian terhadap bahagian rambut yang nipis.
    3. Pengendalian stres
      • Masalah kehilangan rambut boleh mengakibatkan stres
      • Stres fizikal dan emosi kadang-kadang boleh meningkatkan masalah kehilangan rambut
      • Keguguran rambut tambahan adalah perkara biasa bagi wanita terutamanya semasa menopaus
      • Pengurusan stres yang bersesuaian boleh mengurangkan masalah rambut (hyperlink)

    Rujukan

    1. Habif TP et al. Hair diseases. Clinical Dermatology 5th ed. St. Louis, Mo: Mosby Elsevier 2009.
    2. Tosti A. Diseases of hair and nails. In: Goldman L, Schafer AI eds. Goldman’s Cecil Medicine 24th ed. Philadelphia, PA: Elsevier Saunders 2011.
    3. National Library of Medicine. Aging changes in hair and nails. www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/004005.htm. Accessed June 18, 2014
    Semakan Akhir : 22 Januari 2016
    Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
    Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi

     

Artikel Berkaitan

Kulit

Semasa proses penuaan, kulit menjadi lebih nipis, kurang elastik dan kedutan halus pada kulit mudah terbentuk. Tambahan pula, pendedahan kepada cahaya matahari yang berpanjangan boleh menyebabkan pembentukan kedutan dan menjadikan kulit semakin kasar.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,306,655

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia