A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Perut – FAQ

  1. Apakah cirit birit dan apakah penyebabnya?

Cirit birit adalah masalah sistem pencernaan yang disebabkan oleh jangkitan kuman seperti virus, bakteria dan parasit. Ia juga disebabkan alahan kepada makanan, ubat-ubatan, pengawet makanan dan bahan kimia

 

  1. Bagaimana mengurus kanak-kanak yang mendapat cirit-birit yang mengalami rehidrasi.

Adalah penting untuk menggantikan air dan mineral dalam badan yang hilang untuk mencegah dehidrasi. Bagi kanak-kanak yang masih menyusu, teruskan penyusuan susu ibu/susu formula di samping memberi minum air garam rehidrasi (oral rehydration salt ORS). Sekiranya anak tidak menyusu badan lagi, teruskan memberi bayi makanan biasa dan minum air garam rehidrasi. ORS perlu diberi sebanyak yang mungkin dan biasanya tidak melebihi apa yang anak anda boleh minum.

Memandangkan masalah cirit birit anak puan telah berlarutan, pemeriksaan teliti oleh pakar kanak-kanak adalah dicadangkan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web PortalMyHEALTH>>Ciritbirit

 

  1. Anak saya berumur 4 bulan dan menyusu badan sepenuhnya. Sejak seminggu lalu, bayi saya mengalami cirit-birit. Saya telah berjumpa dengan doktor, dan beliau menyarankan tukar kepada susu bebas laktosa. Sekarang najis anak saya sudah lebih pekat tetapi masih kerap buang air besar 3 hingga 4 kali sehari. Adakah ini normal?

Anda perlu memahami dahulu mengenai intoleransi kepada laktosa dan melihat sama ada bayi anda mengalami masalah ini (tanda dan gejala intoleransi laktosa)

  • Jika bayi puan mengalami intoleransi laktosa:

Sekiranya bayi anda menyusu badan sepenuhnya dan mengalami ciri-birit, anda boleh memberhentikan susu badan sementara dan menggantikan dengan susu bebas laktosa.

Sementara itu anda dinasihatkan untuk memerah susu badan dan menyimpan stok susu bagi mengekalkan pengeluaran susu ibu.

Teruskan beri susu bebas laktosa kepada bayi anda untuk satu minggu. Setelah keadaan bayi anda bertambah baik, anda boleh perlahan-lahan memulakan kembali penyusuan susu ibu. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk memulakan kembali penyusuan susu ibu (lactose challenge).

Sekiranya anda dapati masalah cirit birit berulang, anda perlu menilai rupa najis bayi (sama ada najis tersebut adalah berbentuk breast feeding stool. Jika najis kelihatan kuning cerah keemasan/bright golden yellow) jangan khuatir dan teruskan penyusuan susu ibu. Namun sekiranya najis adalah cair, hentikan dahulu penyusuan susu ibu dan kembali kepada susu bebas laktosa. Buat sementara teruskan perahan susu ibu untuk kegunaan selepas anak sembuh. Sila bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

  • Jika mungkin bukan laktosa intoleransi dan ciri-birit biasa:

Cuba kembali semula dengan susu ibu dan pantau jika cirit-birit berulang. Pastikan najis ialah cirit-birit dan bukan breast feeding stool sepeti dijelaskan di atas.

 

  1. Anak saya berumur 2 tahun dan minum susu formula X. Saya telah membawa anak saya berjumpa doktor tapi doktor kata ia perkara biasa. Saya telah tukar susu formula jenama lain tapi masih mengalami cirit birit sehari 3 ke 4 kali sehingga kulit di punggung menjadi luka teruk. Saya masih buntu dan tidak tahu apa yang perlu saya buat. Sejak lahir anak saya minum susu formula jenama yang sama, cuma sekarang anak saya baru mengalami cirit birit dan kini sudah berlarutan selama sebulan. Harap dapat membantu saya memberi idea apa yang harus saya buat dan cadangan perlu atau tidak untuk saya menukar ke jenama susu formula yang lain.

Cirit birit kerapkali terjadi di kalangan kanak-kanak dan biasanya ia akan sembuh dengan sendirinya tanpa menyebabkan komplikasi-komplikasi lain. Jadi, tidak perlu risau sekiranya cirit-birit tidak menyebabkan kanak-kanak kekurangan air atau mineral ataupun susu tidak menyerap (absorbed) cepat masa susu melalui usus. Berkaitan dengan anak puan, disebabkan cirit birit anak puan telah berlarutan dalam tempoh yang agak lama, pemeriksaan adalah perlu untuk memastikan anak puan tidak mengalami intoleransi laktosa atau komplikasi yang lain. Punca cirit birit anak puan perlu diketahui dan ini memerlukan pemeriksaan makmal yang lebih lanjut seperti melalui skop usus (colonoscope). Pemeriksaan ini dilakukan sekiranya berat badan anak puan tidak naik dalam masa sebulan ini. Jika dubur luka dan merah, anak mungkin mengidap intoleransi laktose dan memerlukan susu yang tidak mengandungi laktose. Ini perlu dipastikan sebelum susu ditukar. Jika susu ditukar dari satu jenis ke jenis yang lain dalam jangka masa yang pendek, cirit-birit boleh berlarutan. Puan disaran berjumpa doktor dengan segera jika anak puan mununjukkan tanda/gejala seperti keletihan, demam, kurang kencing atau kurang berat badan.

Sila rujuk pada Portal MyHEALTH: Cirit- birit

 

  1. Saya ingin tahu apakah penyebab perut bayi kembung atau sakit perut dan bagaimanakah cara mengatasinya.

Kadang-kadang perut bayi kelihatan seperti kembung, tetapi ibu tidak perlu risau selagi bayi anda kelihatan selesa (tidak resah), boleh menyusu dan tidur seperti biasa. Selain itu, kebanyakan bayi sihat tetapi kadangkala pada umur 2-4 bulan, mereka menangis berterusan disebabkan masalah kolik.

Tanda dan gejala yang perlu diberi perhatian oleh ibu apabila perut anak kembung adalah jika bayi anda mengalami muntah terutamannya jika berwarna kuning atau hijau, tidak membuang air besar atau mengalami cirit-birit, demam dan bayi kelihatan tidak aktif seperti biasa. Dalam situasi ini, bayi anda perlu dibawa ke hospital untuk penilaian kerana dikhuatiri terdapat masalah kesihatan yang memerlukan tindakan segera.

Sila rujuk pada portal – link – bayi – kesihatan bayi baru lahir – kembung perut

 

  1. Apakah punca sembelit berlaku di kalangan kanak-kanak?

Sembelit ialah keadaan di mana kekerapan membuang air besar menjadi kurang atau kesukaran membuang air besar. Tabiat usus bayi atau kanak-kanak berbeza-beza daripada satu kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Tidak semua kanak-kanak/ bayi membuang air besar tiap-tiap hari. Ada yang membuang air besar selang sehari. Kadang-kadang terdapat bayi atau kanak-kanak yang nampak sukar untuk membuang air besar (seperti meneran dengan kuat) tetapi najisnya tidak keras. Keadaan ini adalah normal. Masalah sembelit hanya terjadi 5-30% sahaja di kalangan kanak-kanak. Hanya satu pertiga sahaja yang mengalami masalah sembelit kronik.

Faktor- faktor yang biasa menyebabkan sembelit ialah pengambilan serat atau cecair yang tidak mencukupi, cara mengajar kanak kanak membuang air besar di tandas dan menahan keinginan untuk buang air besar sebab sakit.

Faktor-faktor lain ialah kurang aktif misalnya di kalangan kanak-kanak kurang upaya, pengambilan ubat-ubatan dan penyakit seperti penyakit Hirschsprung atau hypothyroidism.

 

  1. Apakah masalah atau kesan sampingan sembelit di kalangan kanak-kanak jika berterusan dan tidak dirawat?

Perdarahan apabila membuang air besar menunjukkan terjadinya luka kecil di bahagian dalam dubur (anal fissure) dan ia boleh menyebabkan kesakitan.

Situasi ini menyebabkan anak enggan membuang air besar. Kadangkala sembelit menjadi teruk sampai terdapat kesan kotoran najis pada seluar dalam.

Sembelit menjadi semakin kronik jika kanak-kanak jarang membuang air besar, angin dari dubur (flatus) berbau busuk, perut rasa kembung, najis berbentuk pellet dan keras, najis terlekat di seluar dalam, sakit perut atau kurang selera.

Puan perlu bawa anak puan jumpa doktor untuk mempastikan sembelit yang kronik ini bukan disebabkan penyakit tertentu. Ini memerlukan pemeriksaan badan, X-ray perut atau biopsy (jika muntah atau perut kembung), ujian darah dan ujian MRI jika ada masalah lemah kaki (selalu jatuh).

 

  1. Bagaimana mengatasi sembelit di kalangan kanak-kanak?

Selepas memastikan kanak-kanak tidak berpenyakit atau punca-punca lain yang menyebabkan sembelit, kanak-kanak perlu diberi ubat untuk melembutkan najis. Ia bertujuan supaya kanak-kanak berasa kurang sakit semasa membuang air besar. Seterusnya akan mengurangkan keengganan kanak-kanak membuang air besar. Kanak-kanak perlu dipujuk untuk membuang air besar dan memberi galakan atau ganjaran apabila kanak-kanak bekerjasama.

Pada masa yang sama, pastikan cukup cecair dan serat dalam makanan seperti buah-buahan, roti yang berserat tinggi dan kacang panggang.

Sekiranya masalah berterusan, sila berbincang dengan doktor.

Sila layari laman web Portal MyHEALTH>> Bayi/kanakkanak

Kembung Perut dan Sembelit

 

  1. Kenapa bayi saya tidak membuang air besar selepas minum susu badan tetapi apabila saya memberi susu botol, baru anak saya boleh membuang air besar. Kenapa keadaan ini berlaku?

Kebiasaannya masalah sembelit ini jarang berlaku apabila anak diberi susu ibu. Sekiranya bayi selesa, menyusu seperti biasa, membuang angin (kentut dan sendawa) serta tidak mempunyai gejala-gejala lain seperti di atas. Adalah masih normal untuk bayi tidak membuang air besar sehingga seminggu bagi bayi yang menyusu badan kerana susu dihadam dengan baik.

Keadaan sembelit lebih kerap apabila kanak-kanak diberi susu formula berbanding dengan susu badan. Apabila seseorang bayi atau kanak-kanak menyusu badan dengan cukup (exclusive breastfeeding). Maknanya dalam keadaan suhu cuaca panas bayi akan menyusu dengan lebih kerap jika dahaga. Akibatnya bayi yang menyusu badan minum lebih banyak susu ibu daripada bayi yang minum susu formula yang kebiasaan kandungannya sama pekat. Ada kandungan berbeza antara jenama susu tepung yang boleh menyebabkan sembelit tetapi ini berbeza dari seseorang bayi ke bayi yang lain.

Ibu dinasihatkan jangan bertukar-tukar jenama susu formula. Ibu boleh cuba memberi kandungan susu tepung yang sama tetapi naikkan sedikit jumlah air atau beri air kosong kepada bayi. Jika ibu masih menyusu anak, cuba beri susu ibu dengan lebih kerap. Untuk kanak-kanak yang berusia lebih 6 bulan, makanan lain boleh di beri, seperti sup, air buah-buahan (bukan jus buah-buahan paket yang terlalu manis) atau air kosong.

 

  1. Ada kesan burukkah penggunaan ubat lactulose untuk bayi yang ada masalah sembelit? Apakah kesan jangka masa pendek dan kesan pada masa jangka panjang?

Dos Lactulose untuk bayi biasanya 0.5ml/kg/dos atau biasanya 2.5 ml sekali dua kali sehari untuk bayi dan boleh dikurangkan mengikut kekesanan ubat.

Laktulosa (Lactulose) tidak boleh diambil oleh kanak-kanak yang mengalami Galactosaemia. Galactosaemia adalah keadaan semulajadi badan kanak-kanak

yang tidak boleh menggunakan gula galaktosa mengakibatkan gula berlebihan dalam darah dan mengakibatkan masalah kesihatan jika tidak dirawat. Bagi kanak-kanak normal yang tidak mempunyai masalah lain, kesan sampingan yang biasa adalah kembung perut (abdominal distension), kekejangan (cramping) dan buang angin (flatulence). Kadang-kadang cirit-birit atau muntah-muntah juga boleh berlaku jika dos berlebihan. Kurangkan dos lactulose jika terdapat kembung perut atau cirit-birit. Tidak digalakkan diambil secara berterusan atau bergantung penuh kepada ubat.

Sila rujuk “Bagaimana Mengatasi Sembelit” dan Portal Myhealth: Sembelit

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,332,389

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia